ANWAR IBRAHIM Imamkan Solat Jenazah, 5000 Hadir Beri Penghormatan Terakhir Buat Salahuddin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot Serkat Pontian pada jam 11 pagi, Isnin, laporan wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin.

Solat jenazah itu turut disertai ahli-ahli politik, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat.

Turut memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Lebih 1,000 orang ramai hadir ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Turut dilihat berada di masjid, kepimpinan parti politik tanah air antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

Sebelum Perdana Menteri tiba, solat jenazah turut dilaksanakan dan diimamkan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang mana difahamkan ia antara permintaan terakhir Allahyarham.

Salahuddin, 61, sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB, namun kesihatannya kian merosot menjelang malam semalam.

Sumber: Sinar harian | Foto: Instagram @anwaribrahim_my

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

IKLAN
Share