Tan Sri Rafidah Aziz memang kita kenali sebagai seorang yang sangat tegas dan lantang dalam menyuarakan pendapat dalam apa jua perkara sekalipun. Namun siapa sangka di sebalik mempunyai personaliti tegas, sebenarnya beliau seorang yang sangat ringkas dan kelakar!
Walaupun mesej yang cuba disampaikan oleh Tan Sri Rafidah Aziz kepada semua wanita supaya bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya adalah serius,tapi beliau menyampaikannya dengan penuh santai dan ada sedikit unsur lawak.
Tak percaya, cuba tengok video ni…
Ads
Ditanya adakah beliau bersetuju wanita yang workaholic itu seorang wanita yang sukses dalam kehidupan?, Tan Sri Rafidah menjawab “Orang yang workaholic ni kalau dia tak work smart, tak bekerja dengan cerdik, tak bekerja dengan bijak tak akan membuahkan hasil. Jadi, bekerja jangan work hard macam orang Inggeris kata tu tak betul..work smart. Jadi, wanita yang bekerja sampai malam. Apa yang dicari? Orang boleh tidur malam awak kerja lagi buat apa? Jadi, kerja dengan cara yang produktif.”
Menjadikan ibu sebagai wanita inspirasi dalam hidupnya, prinsip hidup yang menjadi pegangan dalam hidupnya ialah berani kerana benar, takut kerana salah dan menganggap sifat tegas yang ada dalam diri sebagai superpower yang dimiliknya.
“Kita tidak boleh menilai kekuatan diri sendiri. Walau bagaimanapun, saya merupakan seorang wanita yang tegas. Saya tidak takut kepada sesiapa kecuali kepada Allah SWT. Saya percaya dan mengamalkan prinsip berani kerana benar. Saya tidak peduli siapa dan kalau saya rasa benda yang saya lakukan itu betul, saya tidak takut. Itu adalah kekuatan saya”, jelas wanita yang berusia 75 tahun ini.
Ads
Menurut Tan Sri Rafidah juga, untuk mendapatkan pengiktirafan sehingga di peringkat global, seseorang wanita itu harus berkerja dan berusaha mengikut tahap kemampuan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mensasarkan kejayaan yang lebih tinggi.
Ads
“Lakukan yang terbaik dan termampu oleh diri sendiri . Jangan ikut tahap kemampuan orang lain kerana kejayaan itu tidak akan berpihak kepada kita. Kadang-kadang kita nak berlumba dengan orang, namum bagi saya berlumba dengan diri sendiri terlebih dahulu.
Kalau orang mahu buat lebih daripada kita, tidak apa. Selepas kita berjaya mencapai sesuatu target itu, baru lah kita cuba untuk meningkatkan lagi tahap kemampuan kita dari semasa ke semasa”, tambah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini.
Bekas menteri kabinet Tan Sri Rafidah Aziz menerima pengiktirafan sebagai Nona Superwoman Of The Year 2018 daripada Majalah Nona di Majlis Nona Superwoman Award 2018 pada 4 Disember lalu di Sime Darby Convention Centre.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Benar kata pepatah, setiap sesuatu yang terjadi itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Siapa sangka ‘kekurangan’ daripada pandangan mata kasar rupanya menjadi tunggak utama dalam kehidupan seseorang. Ratu Atlet Gimnastik ini berkongsi pengalamannya sewaktu kecil sebagai kanak-kanak hiperaktif.
Farah Ann Abdul Hadi tidak menyangka akan berkecimpung dalam sukan gimnas sehingga ke peringkat olimpik. “Saya mula menyertai sukan gimnas pada usia yang sangat muda iaitu tiga tahun. Menurut ibu, pada mulanya beliau tidak berniat untuk menjadikan saya seorang ahli gimnas.
Saya dahulu seorang hiperaktif dan doktor yang merawat mencadangkan agar ibu menghantar saya ke tempat yang boleh meningkatkan fokus. Kawan ibu mencadangkan agar saya dihantar ke pusat gimnastik di Shah Alam. Bermulalah episod kehidupan saya sebagai ahli gimnas di situ. Kemudian saya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bukit Jalil dan membuat latihan khusus di sana,” ucap Farah Ann yang mempunyai kakak merupakan atlet renang berirama negara, Katrina Ann Abdul Hadi.
Ketika diajukan soalan mengapa atlet cantik ini memilih cabang sukan ini, “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum,” ujar Farah Ann yang melakar sejarah sendiri apabila layak ke sukan Olimpik Tokyo 2020.
Walaupun temasya Sukan Olimpik 2020 telah ditangguhkan sehingga tahun depan, ekoran penularan pandemik COVID-19 namun energi positif Farah Ann terhadap sukan gimnastik tak berbelah bagi. “Untuk sekarang fokus utama saya adalah untuk bertanding di sukan Olimpik Tokyo 2020,” tutur gadis kacukan Melayu-Kanada ini yang menjalani jadual latihan ketat dan komited dengan sesi latihan demi menjaga prestasinya.
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann meletakkan harapan tinggi terhadap sukan yang dicintainya ini. “Harapan saya, untuk melihat lebih ramai lagi ahli sukan berjaya di persada dunia dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menceburi bidang gimnastik ini.
Bukan mudah menjadi atlet negara, ada hari latihan yang agak memenatkan dan juga berhadapan dengan kecederaan. Saya berharap supaya peminat sukan tanah air sentiasa memberi sokongan padu untuk semua atlet negara,” terang gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Global (Pengajian Antarabangsa) ini.
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan masanya dengan keluarga sangat terhad. “Sebagai atlet sememangnya masa saya sangat padat dengan latihan. Oleh itu, saya sentiasa perlu ada pengurusan masa yang baik untuk mengatur jadual harian.
Kebiasaannya pada hujung minggu iaitu hari Ahad sahaja saya tidak mempunyai jadual latihan. Oleh itu, saya menggunakan waktu kualiti itu bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, saya suka membaca buku dan menonton tv,” bicara gadis yang berusia 26 tahun ini.
Lembah Klang sememangnya mempunyai banyak lokasi tempat makan menarik untuk seisi keluarga. Sebut sahaja menu yang diinginkan baik tempatan mahupun makanan barat, semuanya mudah ditemui. Antara kafe yang sering meniti di bibir food hunters termasuklah Gula Cakery.
Gula Cakery merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri seterusnya mengembangkan menu mengetengahkan makanan Barat serta Asia. Bermula sebagai sebuah impian, perniagaan yang diasaskan bersama ahli keluarga ini membuktikan kerjasama yang baik di kalangan ahli keluarga mampu merealisasikan sebuah jenama yang menjadi lambang kejayaan bersama.
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.
Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.
Sebelum pembukaan kedai pertamanya, Arieni pernah menuntut ilmu pastri ke Paris untuk belajar dengan sendirinya tentang pembuatan kek dan pastri yang betul. Pada usianya yang muda, beliau telah mengambil kursus pendek selama 3 minggu untuk mahir dengan resepi yang diajar.
“Rangkaian kafe ini sebenarnya bermula daripada sebuah impian. Disebabkan saya terlalu meminati serta obses terhadap dunia pembuatan kek, maka terhasillah jenama Gula Cakery yang menjadi impian saya sejak kecil,” ujar Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Head Baker di kesemua rangkaian Gula Cakery.
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Arieni memulakan perniagaannya seawal usia menginjak angka 20 tahun. Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sentiasa berdampingan dengan mereka telah mencetus idea untuk membuka sebuah pusat belajar memasak untuk kanak-kanak yang turut memuatkan kafe untuk kemudahan seisi keluarga menikmati hidangan ringan.
Ketika itu Arieni ‘menumpang dapur’ di rumah ibunya untuk menyiapkan tempahan para pelanggan sambil menganjurkan kelas-kelas baking secara sambilan. Pada peringkat permulaan, Arieni menggunakan nama Gula Home Bakery sebagai jenama produk memandangkan dia memulakan perniagaan dari rumah.
Keunikan nama Gula menjadi sinonim buat Arieni yang menganggap gula sebagai salah satu elemen penting dalam menyiapkan kek untuk para pelanggan.
Penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD ini boleh berbangga mempunyai 13 cawangan kafe di ibu negara yang bukan sahaja menghidangkan kek, malah Arieni turut mempunyai kedai menyediakan roti jala iaitu Arieni’s Roti Jala serta sebuah kedai makanan yang menghidangkan menu dari Mexico yang terletak di Setia Alam. Malah ia turut membuka cawangan di Melaka.
Lebih membanggakan, jenama ini turut diiktiraf Time Out KL sebagai kafe berkonsepkan kekeluargaan terbaik apabila kafe Gula Cakery mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kafe yang diberi nama Gula Petite di IOI City Mall Putrajaya. Tambah Arieni lagi, Gula Petite berkonsepkan kafe mini yang memberi fokus kepada jualan aneka jenis kek, sandwich dan hidangan minuman panas and sejuk.
Kejayaan demi kejayaan dirai oleh jenama tempatan yang diusahakan bersama keluarga ini membuktikan berkat kerjasama dan kesefahaman antara satu sama lain mampu membawa jenama ini menempa pelbagai kejayaan dalam jangka masa yang singkat.
Berkat doa dan kemahuan untuk merebut peluang mengembangkan perniagaan, Arieni tidak menafikan sokongan keluarga dan sifat dirinya yang sentiasa ingin memajukan diri menjadi antara faktor yang mendorong kejayaannya kini.
“Suami sering melabelkan diri saya sebagai wanita yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja idea atau benda yang hendak saya lakukan. Idea-idea yang datang saya kembangkan untuk menjadikan ia sesuatu yang boleh membawa keuntungan. Itu antara faktor yang saya rasa perlu ada dalam diri setiap wanita untuk berjaya.
Saya menguruskan 13 cawangan dan 180 orang kakitangan. Sudah semestinya saya tidak boleh berdiam diri dan merancang pelbagai strategi untuk sama-sama memajukan jenama serta memastikan kakitangan juga menikmati manfaat bersama,” ujar Arieni yang memasang azam untuk menambah baik kehidupan kakitangannya dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya mengamalkan konsep berkongsi rezeki dengan kakitangan kerana dalam perniagaan ini ia saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. sepanjang 8 tahun ini saya rasa lebih banyak memberi lebih memberi ketenangan dan dapat berkongsi kebaikan dengan insan-insan yang penting dalam hidup saya,” ujar Arieni lanjut.
Sepanjang bergelar usahawan, Arieni juga tidak terlepas dari berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan jenama kesayangannya itu mampu bersaing dalam industri makanan yang kompetatif.
Malah baru-baru, gandingan suami isteri ini turut menjadi juara sebuah rancangan memasak realiti yang dianjurkan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan.
“Secara peribadi, dugaan atau cabaran terbesar yang perlu saya hadapi adalah untuk mengenali diri sendiri. Sebagai ketua, saya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah baik dari segi staff mahupun pelanggan.
Bayangkan, saya mempunyai 180 orang staf dan memerlukan ‘orang kanan’ untuk memastikan masakan yang terdapat dalam senarai menu menepati citarasa pelanggan dan piawaian standard yang telah saya gariskan. Jadi, jika titik tersebut tidak saya temui, agak sukar untuk saya memastikan kelancaran kafe sebaiknya.
Jadi, saya tidak boleh beremosi dalam membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi impak terhadap organisasi secara keseluruhannya,” ujar Arieni yang pernah berhadapan dengan masalah apabila kakitangan menamatkan perkhidmatan setelah beberapa tahun berkhidmat.
Sebagai majikan, Arieni amat mementingkan kualiti setiap kakitangan di bawah empayar perniagaannya kerana ia untuk menjayakan perniagaan berasaskan makanan, mutu serta kualiti makanan memainkan peranan yang penting untuk memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara.
Baca artikel penuh penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nornadirah Mohd Shah, 26 tahun merupakan seorang usahawan muda berjiwa besar yang ingin terus mengembangkan empayar niaganya. “Saya merupakan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan sepenuh masa dalam bidang perkhidmatan. Tamat menduduki SPM dengan keputusan cemerlang, saya bergiat aktif dalam aktiviti lasak dengan menyertai latihan PLKN secara sukarela sebagai langkah persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dunia luar.
Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Pentadbiran Awam di UITM Kedah. Saya terus mengorak langkah mencuba nasib dalam pelbagai bidang pekerjaan untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman.
Dikongsikan di sini, saya merupakan pemegang rekod dunia (Guinness World Of Record) dalam kategori persembahan seni silat terbesar di dunia bersama dengan Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi pada 2015. Selain itu, saya juga pernah menyertai Kejohanan Paintball Peringkat Antarabangsa (World Cup Asia) di bersama-sama pasukan UITM Kedah.
Kerana minat mendalam terhadap sukan paintball ini, ia sangat membakar semangat saya untuk ke peringkat seterusnya . Berikutan kos perbelanjaan yang sangat tinggi dalam sukan ini seperti yang kita sedia maklum, sukan ini dikategorikan lebih kepada golongan elit. Ia telah memotivasikan saya untuk mempunyai kewangan yang kukuh demi mencapai cita-cita saya,” kongsi Nornadirah tentang minat dan harapan untuk menjadikan impiannya ini satu kenyataan suatu hari nanti.
Bidang perniagaan sememangnya membuka pintu rezeki yang luas, Nornadirah terus mengorak langkah mencari peluang yang sesuai dengan diri dan jiwanya. “Saya menyertai kursus jahitan di Pusat GIATMARA selama 6 bulan dan mengasah kemahiran serta bakat yang ada. Ketika dalam pengajian dan pembelajaran itu, saya mendirikan rumah tangga.
Bermodalkan mas kahwin sebanyak RM1001, saya membeli mesin jahit dan mula menerima tempahan dari rumah.
Dari situ saya terus gigih belajar selok-belok pengurusan tempahan dan khidmat pelanggan selama tiga tahun. Setiap kali saya belajar dan sertai pelbagai kursus, saya akan pulang dengan motivasi dan semangat tinggi untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan saya. Semangat itu saya bawa bersama usaha dan ketekunan agar ia tercapai.
Dan kini, alhamdulillah kejayaan telah saya peroleh. Saya percaya dengan kesabaran yang tinggi, pengorbanan dan keikhlasan pasti membuahkan hasil. Saya tidak pernah berhenti mempelajari sesuatu yang baru, terutama berkaitan marketing.
Bersama Sifu Najib Assadok, jenama The Nad melonjak naik hasil teknik pemasaran yang betul dan video live saya telah mencecah satu juta tontonan. Ia telah membuka rezeki saya menerima pelanggan baru dan sekaligus menaikkan hasil jualan The Nad.
Hasilnya kini The Nad dahulunya beroperasi dari rumah terus ke komersial lot dan membuka tempat operasi rasmi untuk kerja-kerja jahitan. Bermula dengan hanya satu mesin jahit, The Nad naik taraf dari workshop hingga ke butik. Dan kini, The Nad telah mempunyai satu unit lot dua tingkat dan menjalankan aktiviti perniagaan serta perkhidmatan sepenuhnya,” ujar Nornadirah sambil tersenyum.
Sedikit perkongsian pengalaman sewaktu COVID-19 melanda, “Oh! Masa PKP kedai kami tidak beroperasi sepenuhnya. Saya terus mencari alternatif lain dengan menjalankan aktiviti perniagaan berkonsepkan F&B. Kami menjual Roti John Malik yang lain dari yang lain dengan resepi berbeza dari Roti John lain. Alhamdulillah, mendapat sambutan dan ia berterusan sehingga sekarang.
Selepas tamat PKP, hasrat terpenting dalam perniagaan saya tercapai hasil bantuan rakan-rakan semua, iaitu membuka perkhidmatan pendidikan kelas pengajian Al-Quran untuk semua peringkat umur dan keutamaan kepada orang dewasa dan warga emas yang buta huruf. Ini antara usaha kami untuk membantu mereka dan pastinya niat murni ini adalah kerana Allah SWT, sebahagian daripada saham akhirat kami. Aamin.”
Perjalanan perniagaan memang akan melalui proses yang sukar dan mengambil masa yang panjang bagi usahawan yang menjalankan perniagaan dari bawah dengan tanpa modal yang banyak. Hari demi hari, keberkatan itu memang dapat dirasai dengan kejayaan membuka perkhidmatan terbaru dalam perniagaan kami, iaitu menyenarai perniagaan sewa pelamin sebagai salah satu perkhidmatan yang mempunyai permintaan ramai dalam empayar The Nad.
Berkongsi lagi kisah menyentuh hati dalam hidup Nornadirah. “Peristiwa paling terkesan dalam hidup saya apabila ibu menghidap strok ketika baru tiga bulan kedai saya beroperasi. Pada ketika itu, saya terasa sangat penat dari segi mental dan fizikal. Dengan kekurangan pekerja, bebanan kerja yang banyak, menjaga anak dan menjaga ibu yang sakit.
Sehinggakan satu tahap, suami saya terpaksa berhenti kerja dengan notis 24 jam untuk bantu jaga ibu. Pengorbanan suami ini amat saya hargai dan beliau banyak membantu perniagaan saya sepenuhnya. Tiada istilah rehat ketika itu, waktu siang saya jaga ibu dan malam saya kerja di butik untuk siapkan tempahan, kadang-kadang hingga ke subuh hari.
Makin hari kesihatan diri juga main terjejas dan suami banyak memberi nasihat, serta membantu untuk saya seimbangi gaya hidup yang lebih sihat.
Alhamdulillah, kami amat bersyukur dapat melalui dugaan ini dengan penuh kesabaran dan semuanya kembali pulih dengan lebih baik sehinggakan The Nad berjaya dikembangkan hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan.”
Kata motivasi terakhir dari Nornadirah, “Saya meletakkan matlamat dan cita-cita yang tinggi untuk berusaha menjadi orang kaya supaya dapat membantu orang lain yang memerlukan. Kita perlu memasang niat yang tinggi untuk berjaya di dunia serta akhirat.
Letak Allah di hadapan sebagai matlamat hidup dan perlu tabah menempuhi ujian Allah kerana rezeki yang kita dapat sebenarnya, hasil keberkatan yang kita peroleh. InsyaAllah, Allah akan buka satu persatu jalan terbaik di hadapan kita.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!