Sepasukan jurutera lengkap coveralls kuning seperti biasa sibuk di bilik kawalan. Dalam kesibukan itu, tumpuan Nona terarah kepada Wan Afiedatul Syamimi Wan Ishak atau Fieda, satu-satunya Jurutera Sistem Kawalan wanita yang bertugas di sana.
Bahang Hari Wanita Sedunia masih terasa kehangatannya. Peranan kaum wanita zaman ini dalam mendepani era dwi-kerjaya menemukan Nona dengan Fieda, wanita jelita berusia 32 tahun yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas multinasional di Kerteh, Terengganu.
Persis model, anak jati Kelantan berkulit putih bersih itu begitu lemah-lembut orangnya. Namun di sebalik kelembutan, Fieda sering mengetuai pelbagai projek besar serta memberi arahan kepada ahli pasukan lain yang majoritinya lelaki.
Fieda di bilik kawalan
“Bekerja di loji petrokimia kadangkala menguji ketahanan dan kesabaran diri kita sebagai wanita. Tugas di sistem kawalan sangat penting kerana ia ibarat ‘otak’ kepada loji ini. Saya pula bertanggungjawab di bahagian Distributed Control System (DCS), Emergency Shutdown System (ESD), Programmable Logic Controllers (PLC) serta sistem fire and gas secara keseluruhan.
Saya perlu memastikan agar semua sistem perisian dan perkakasan telah diperiksa serta berfungsi dengan baik demi kelestarian loji ini. Selain itu, saya harus terlibat dengan pelbagai projek, rekaan, merangka strategi penyelenggaraan dan juga mengkaji inisiatif atau teknologi baru tentang sistem kawalan kami.”
Sebagai jurutera, Fieda perlu sentiasa bersedia untuk bekerja pada hujung minggu atau syif malam, terutamanya ketika unplanned shutdown. Tekanan pasti lebih meningkat apabila berlakunya kerugian dalam produksi.
Masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah pula amat singkat dan mereka perlu menepati garis masa yang ditetapkan.
Ads
Dengan stres yang tinggi, tertanya-tanya juga… Mengapa Fieda memilih bidang ini, bukankah kebanyakan wanita lebih suka bidang fesyen dan kecantikan?
Kecantikan Fieda persis model Muslimah
“I love challenges! Memikirkan setiap hari saya bertemu cabaran baru dan kepuasan apabila berjaya menyelesaikannya dengan ilmu kejuruteraan, betul-betul mengujakan saya. Bidang ini juga melibatkan ilmu menyelesaikan masalah, komunikasi dan semangat berpasukan yang tinggi.
Sebenarnya saya pernah bercita-cita mahu terjun ke dunia korporat. Mungkin bekerja di KLCC, tak perlu bergelumang dengan equipments walaupun belajar tentang kejuruteraan.
Tapi jalan hidup saya rupanya telah disusun lebih indah oleh-Nya. Saya ditawarkan posisi terbaik di sini,” cerita Fieda yang berkelulusan Bachelor of Engineering (Hons) – Electrical and Electronics Engineering dari Universiti Teknologi Petronas.
Ads
Lumrah ibu berkerjaya, Fieda tidak menafikan kadang-kadang perlu bertugas lebih masa, selalu standby dan memberi tumpuan lebih di tempat kerja. Mungkinkah gaya hidup sebegini mengurangkan masa berkualitinya dengan keluarga?
“Jujurnya, yes! Di sebalik cita-cita untuk meningkatkan kemahiran dan menjadi aset syarikat, meluaskan network ke peringkat profesional, menginspirasikan golongan muda serta menjadi seseorang yang didengari, saya juga mencari keseimbangan hidup sebagai seorang ibu dan isteri.
Keluarga kecil Fieda
Saya merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Zara Aesha, 6 tahun, dan Zayn Omar, 3 tahun. Rasa bersalah pasti mencengkam jika saya terpaksa menumpukan perhatian pada kerjaya. Tambahan lagi kalau mereka tidak sihat atau saya perlu meninggalkan mereka pada pengasuh.
Ads
Untuk mengatasi perasaan bersalah, biasanya saya akan fokus pada waktu makan malam dan rancang aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan dengan anak-anak.
Mempunyai suami yang berprinsip ‘kita kongsi tanggungjawab’ juga sangat bermakna kerana kami akan sama-sama bergilir menggalas peranan ibu bapa sebaik mungkin ketika salah seorang perlu bekerja,” terang Fieda sambil memaklumkan bahawa suaminya juga seorang jurutera.
KESAMARATAAN
Banyak perkara positif dapat diserap apabila bekerja dikelilingi rakan sekerja lelaki. Ulas Fieda, dia bertuah kerana mereka bukan saja berpengalaman tapi sanggup menjadi coach dan melatih dirinya sebagai pelapis.
“Pesan mereka, every difficulties come with solution and it is just a matter of ways to get to the solution. Mereka juga ajar supaya jangan terburu-buru buat keputusan dan dapatkan nasihat kalau buntu. Belajar bertenang ketika cemas dan semua inilah yang mengajar saya agar lebih matang dan berpengalaman.
Tidak dinafikan bahawa bukan mudah menyesuaikan diri dengan bidang ini. Ada ketikanya saya begitu penat tapi dalam waktu yang sama, saya mahu buktikan kemampuan diri setaraf dengan lelaki.
Pernah saya rasakan begitu susah untuk membuat suara saya didengari. Saya hanya minoriti dan masih muda dalam posisi teknikal. Tapi pada akhirnya, saya sedar bahawa satu-satunya orang yang mencabar adalah diri saya sendiri,” akhiri Fieda dengan positif.
“Saya mempunyai keluarga yang agak unik bila bab makan. Dua anak lelaki saya tak makan apa jenis sayur atau buah, jadi untuk bulan puasa saya kena pastikan ada ayam, tak kisahlah masakan apa pun…” mesra jawapan usahawan sukses, Datin Sabrina Ahmad kala ditanya menu wajib berbuka di rumahnya.
Berbicara tentang Ramadan, selain amal ibadah, topik makanan pastinya membuatkan sesiapa pun merasa dekat dan bahagia.
Momen sahur serta berbuka puasa seisi keluarga adalah saat paling ditunggu-tunggu, termasuklah keluarga Datuk Zulkifly Mohamad dan Datin Sabrina Ahmad yang menetap di Kedah ini.
Akur dengan pelbagai ragam anak-anak menjelang waktu berbuka, Datin Sabrina biasanya tidak kisah menyiapkan beberapa jenis lauk-pauk menepati selera masing-masing.
“Kalau anak sulung saya suka menu ayam, anak kedua pula kena ada daging atau udang manakala anak bongsu saya suka semua jenis lauk yang dimasak. Maka saya cuba penuhi selera mereka supaya keseronokan berbuka itu lebih terasa.” Datin Sabrina
Menyifatkan lauk ketam masak telur masin sebagai menu kesukaan keluarga, ibu kepada Mohd Syamim Zikri, Mohd Abal Khair dan Soffea Dini ini sanggup menyusun semula jadual bekerja demi memberi tumpuan pada ibadah serta keluarga.
“Biasanya kami bersahur dengan juadah lauk-pauk ringkas tapi membuka selera. Telur dadar, ikan bilis goreng lada kering, air asam, sambal daging goreng kicap… itu pun sudah cukup mengenyangkan.
Untuk berbuka pula semestinya lauk-pauk yang lebih berat. Antara yang wajib di atas meja adalah ayam masak sambal, rendang daging, kari ikan atau ikan goreng.” Datin Sabrina
DISEGANI
Selain mesra dan mudah didekati, seperkara yang menawan tentang Datin Sabrina adalah cita rasanya yang elegan. Berusia 45 tahun, beliau sangat menyenangi helaian busana-busana rekaan pereka seperti Datuk Rizalman Ibrahim.
Selain bergelar Pengasas dan Pengarah Urusan di Fereena Marketing, Datin Sabrina juga memiliki kilang sendiri di Napoh, Kedah. Beliau adalah Pengarah Urusan DSpharma Manufacturing Sdn Bhd, sebuah kilang bertaraf GMP untuk produk tradisional serta DZR Pharma Manufacturing iaitu kilang bertaraf GMP untuk suplemen.
Bijak dan sofistikated, dengarkan temu bual eksklusif Nona dengan Datin Sabrina yang berlangsung di The Ritz-Carlton Kuala Lumpur…
Mengimbau kenangan berpuasa paling diingatinya, Datin Sabrina tanpa berselindung bercerita tentang momen Ramadan sewaktu musim pandemik yang lepas.
“Masa tu kami semua adik-beradik, mak ayah serta anak-anak saudara boleh berkumpul di rumah dusun untuk sambut puasa dan menunaikan terawih bersama.
Meskipun suasana terkawal kerana pandemik COVID-19 tapi kami bernasib baik kerana boleh menyambut puasa dengan meriah dan berkumpul semua ahli keluarga. Ahamdulillah.
Kalau cerita tentang Syawal pula, kebiasaannya kami sambut di rumah. Mungkin sebab rumah mak ayah saya berdekatan dan petang raya baru kami bergerak ke Perlis untuk ziarah pusara ibu mertua serta ke Alor Setar ziarah pusara bapa mertua saya.
Tahun ni rasanya semua orang pun pasti menanti-nantikan kemeriahan sambutan hari raya kerana kita bebas daripada sekatan untuk menziarahi sanak saudara.
Bagi keluarga kecil kami, kemeriahan diserikan dengan kehadiran cucu sulung saya Zara Aleena, bayi PKP yang cukup umur 2 tahun untuk meraikan suasana meriah ini.” Datin Sabrina
Mengakhiri perbualan, sempat Datin Sabrina berkongsi aktiviti bisnesnya pada musim perayaan.
“Selalunya pada musim perayaan ni kami akan buat promosi Ramadan dan raya secara besar-besaran di atas talian.
Tawaran promosi pun berbaloi sebab kami nak semua pelanggan tak kira lelaki atau wanita, tua atau muda sambut Hari Raya dengan meriah, cantik dan sihat. Saya nak semua boleh merasa pelbagai juadah yang terhidang setahun sekali. Kalau kita hilang nikmat sihat ni, apa perayaan pun tak berguna lagi.” Datin Sabrina
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Kasih Cicie
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pembukaan tahun 2021 membawa seribu makna buat Ratu Squasy Negara apabila menerima pencalonan di World Games’s Greatest Athlete Of All Time. Datuk Nicol Ann David merupakan salah seorang di antara 24 atlet sukan dunia yang mendapat pencalonan tersebut. Juara squasy dunia ini menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas sokongan yang diterimanya.
Foto: Instagram @nicoldsquashFoto: Koleksi Majalah Nona
“It means so much to me as a retired athlete to continue to receive beautiful words, thoughts and encouragement from you,” kongsinya. Menurut The World Games, peminat ahli sukan boleh mengundi atlet kegemaran mereka sejak 8 Januari lalu dan akan berakhir pada 1 Februari 2021. Buat masa ini nampaknya Datuk Nicol David telah mendahului pencalonan lain dengan mendapat 146,447 undian (ketika artikel ini ditulis). Beri sokongan dengan mengundi perjuangan Datuk Nicol David dalam dunia sukan di sini.
Sejak mengumuman untuk bersara dalam sukan squasy sedikit masa dahulu, Datuk Nicol David telah mula merancang untuk menyumbang bakti kepada masyarakat khasnya atlet tempatan dengan memberi inspirasi kepada mereka. Beliau juga mahu giat menjalankan program motivasi bersama atlet tempatan bagi memajukan bidang sukan masing-masing.
Sumbangan dan bakti Datuk Nicol David terhadap negara telah mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan di Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2019.
Datuk Nicol David mula menceburi sukan squasy ketika zaman remaja, dan kini mampu tersenyum bangga apabila tersenarai dalam 10 pemain squasy wanita dunia selama 177 bulan atau lebih daripada 14 tahun. Kejayaan itu sekali gus memecahkan rekod pemain squasy dalam kategori wanita dan lelaki. Lebih istimewa apabila ranking kategori lelaki yang disandang Gregory Gaultier dari Perancis pun hanya 154 bulan!
Title The Top All Time Unbroken Streak Rank In The World Top Ten itu juga menyaksikan Datuk Nicol David berjaya menjadi yang terbaik dalam kalangan 10 pemain teratas sejak Januari 2004 hingga September 2018. Menewaskan pencabar terdekatnya dari Australia, Liv Irving yang tersenarai selama 142 bulan.
Paling membanggakan, Datuk Nicol berjaya mempertahankan gelaran Ratu Squasy dunia selama 9 tahun, memegang rekod World Championship sebanyak 8 kali, memenangi pingat emas kelimanya dalam Asian Games dan merangkul kejayaan dalam 51 kejohanan yang disertai selama 13 bulan!
Masa PKP usah lupa bersenam dan bagi yang mencari kasut sukan boleh lah tengok kat sini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ogos lalu genap setahun usia perkahwinan Nurul Izzah dan suami tercinta, Yin Shao Loong. Masih segar lagi di ingatan apabila anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini berkongsi berita perkahwinan, ramai yang terkejut dengan khabar berkenaan.
Bagaimana pun, rata-rata mereka memanjatkan kesyukuran dan tumpang bahagia saat Nurul Izzah kembali bergelar isteri.
Sekian lama merancang pertemuan bersama aktivis politik ini akhirnya Izzah menyatakan kesudian menjadi penghias Nona November 2023 versi digital. Walau mempunyai jadual tugas yang padat, kesanggupannya meluangkan masa berkongsi perkembangan terkini bersama pengikut setia Nona amat dihargai.
Apatah lagi Nurul Izzah kini menggalas tanggungjawab selaku Ketua Bersama Sekretariat Penasihat Kepada Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Foto Koleksi Majalah NonaKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzah
Mengulas rutin harian sejak bergelar suri hati Shao Loong, dalam nada bahagia Izzah membuka bicara. “Saya rasa tak ada banyak perbezaan. Mungkin boleh dikatakan kami sama-sama sibuk. Alhamdulillah dalam keadaan suami pun mengenali saya lama, jadi beliau tahu (kesibukan) saya. Rutin tidaklah begitu berbeza berbanding dahulu.
Kami dua-dua pun tidaklah makan sarapan pagi yang besar. Hanya kami fokus persediaan anak-anak sebelum ke sekolah. Samalah seperti mana saya laksanakan dahulu sebelum berkahwin.”
Tambah Izzah lagi, walau suami sempat turun padang bersamanya hanya beberapa kali namun dia bersyukur kerana penyelidik kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkenaan sentiasa menjadi tulang belakang.
“Bila saya memerlukan seorang sahabat, beliau sentiasa meluangkan masa. Kerna kami kenal lama dan kadang kala ada krisis politik atau isu Palestin kita nak meneliti dari segi dasar.
Beliau banyak membantu saya walaupun beliau bertugas dengan dapatan dan input. Bagi saya itu adalah sesuatu yang sangat bernilai because time you cannot buy.
Orang beli sesuatu untuk kita itu satu hal, tapi orang luangkan masa bila kita perlukan pada saat kita perlukan, itulah saya fikir ‘hadiah’ buat kita.”
Diaju pertanyaan mengenai rumah tangga, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, “Make sure people yang berkahwin, saya pernah bercerai dan kahwin kali kedua, saya harus tekankan tiga benda ini.
Dalam perkahwinan kita perlu ada keinginan berkomunikasi, kemahiran untuk berkompromi dan berunding, serta ketiga adalah kesabaran.”
Izzah juga dalam pada itu melahirkan rasa syukur kerana mempunyai sistem sokongan yang baik terutamanya dari keluarga ketika diuji dengan perpisahan rumah tangga.
“Alhamdulillah walau pun banyak yang telah saya hadapi, saya fikir kita diberi peluang untuk bersama ibu, ayah dan adik-beradik dalam satu kepompong kasih sayang dan itu adalah suatu yang amat saya hargai.
Saya juga punya ibu mentua yang sangat memahami dan anak-anak,” ujarnya yang turut mendedahkan suami dan anak perempuan iaitu Nur Safiyah pandai memasak hidangan pasta.
Foto Koleksi Majalah NonaKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzah
Nurul Izzah pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan dikurniakan dua anak masing-masing berusia 16 serta 14 tahun.
Dia kemudian sah bergelar isteri Yin Shao Loong yang pernah menjadi Pengarah Eksekutif Institut Pemikir Institut Rakyat pada Ogos 2022. Shao Loong turut mempunyai seorang anak iaitu Yu Zhou.
Moga rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan berkekalan hingga ke jannah.
Teks & Penyelaras : Suziana Abu Daud
Konsep & Penata Gaya : Norzalina Mohd Alias
Jurugambar & Juruvideo : Sharinizam Othman & Mohd Qaaf
Solekan & Dandanan : Ann Karim
Tajaan Lokasi: Terima kasih Commune Bangsar, Kuala Lumpur (Pegawai Perhubungan Awam – Inga Jawahir)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!