Selama lebih dua dekad berbakti kepada negara, bekas atlet Datuk Leong Mun Yee kini menikmati kehidupan selepas persaraan dengan tenang dan bahagia. Biarpun tidak lagi bergelar jaguh sukan namun pengalaman luas yang diraih sepanjang menjadi atlet membolehkannya menjadi jurulatih bagi skuad terjun negara.
Kejayaan Datuk Leong Mun Yee
Kejayaan yang ditempa anak jati kelahiran Ipoh, Perak ini bukan calang-calang. Atas komitmennya dalam sukan akuatik, nama Datuk Leong Mun Yee tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.
Lebih manis, dia berjaya menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan Sukan SEA.
Bersandarkan pencapaian membanggakan itu, figura ini dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada Februari 2022.
Ads
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, personaliti ini terbuka berkongsi amalan gaya hidup sihatnya bagi menjaga kecergasan diri.
“Untuk mengekalkan kecergasan, saya ada juga belajar shuffle dance tapi sekadar di peringkat asas sajalah. Tapi bila sudah tidak lagi bergelar atlet sepenuh masa, rutin harian berbeza sedikit tetapi saya tetap kekal aktif dengan latihan ringan seperti bermain bola tampar dengan atlet-atlet lain.”
Datuk Leong Mun Yee Bahagia Galas Tugas Ibu
Meniti usia 41 tahun, fasa kehidupan Datuk Mun Yee lebih bermakna apabila menimang cahaya mata sulung lelaki yang dikenali sebagai Lucas pada Mei 2023.
Menerusi perkongsian di media sosial jelas terserlah wajah bahagia rakan gandingan Dato’ Pandelela Rinong berkenaan menggalas tugas sebagai ibu.
Bahkan kebanyakan posting Datuk Mun Yee kini banyak berkisar mengenai anak kesayangan. Difahamkan dia mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan yang tidak didedahkan identitinya pada pertengahan tahun 2022.
Tidak hanya berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia dalam bidang sukan, Datuk Leong Mun Yee melakar kejayaan peribadi menggenggam Sarjana Komunikasi Korporat dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada November 2022.
Semoga kejayaan diraih Datuk Mun Yee jadi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak bertudung suka sangat tengok kehidupan pengacara jelita, Nana Mahazan. Tenang dan bahagia je dengan setiap perkara yang dilakukan.
Bisnes pun makin maju. Alhamdulillah murah rezeki ibu anak dua ini.
Nana juga dilihat sering berkongsi kata-kata semangat termasuk kisah jatuh bangunnya dalam bisnes di media sosial.
Baru-baru ini Nana ada berkongsi satu hantaran video pendek tentang pesanan bapanya bagaimana untuk meraih kehidupan yang tenang, senang dan menang.
3 rules dari sudut pandang bapa Nana Mahazan:-
Ini adalah pedoman yang selalu saya pegang. Abah selalu ingatkan saya, tiga rules ni dalam hidup yang telah dikongsi oleh bapa saya.
Kalau tiga perkara ni kita tahu kita akan lebih tenang, senang dan inshaAllah kita akan menang.
Yang pertama apa yang bapa saya cakap, Nana kita kena faham manusia adalah berbeza-beza. Cara pembesaran dia berbeza, persekitarannya berbeza, cara kefahamannya berbeza dan tahap pembelajarannya berbeza.
Bila kita faham ni, orang adalah berbeza-beza adakah kita akan stres kalau orang tu tak buat macam mana cara kita, kita tidak akan stres.
Kita tak perlu macam nak tanya kenapa. Sebab kita selalu fikir orang kena sama dengan kita. Kita selalu fikir orang patut fikir macam mana aku fikir. Percayalah, manusia adalah berbeza-beza.
Peraturan yang kedua, jangan mengharapkan apa-apa dari orang lain. Maksudnya di sini kita kenalah membuka jiwa kita, minda kita, bersikap terbuka menerima apa jua yang berlaku.
Kalau kita expect.. Oh dia sepatutnya faham aku tengah lapar ni. Dia patutnya belikan aku makanan. So kita anggap orang itu tahu kita tengah lapar.
Bila dia tak berikan kita makanan kita rasa kecewa, sedih. Harapan kita hanyalah kepada Allah Yang Satu.
Bila kita letak banyak sangat pengharapan kepada orang tapi orang tak deliver macam mana yang kita mahu kita akan lebih mudah kecewa.
So konsepnya adalah kita kenalah selalu berlapang dada, berhusnuzon, berfikiran baik dan terbuka inshaAllah kita akan lebih tenang, senang dan menang.
Point yang ketiga, jangan biarkan orang lain pengaruhi apa yang kita rasa. Jangan biarkan orang lain tukar mood kita. Jangan biarkan orang lain pengaruhi apa yang kita rasa.
Maksudnya, jangan membiarkan diri kita mudah dipengaruhi oleh orang lain.
Contoh mudah, orang-orang di social media ni nampak lebih cantik, kenapa orang kat social media ni tunjuk keretanya besar tapi aku rasa aku ni keci.
So kita akan menjadi orang yang leave with people validation of people. The point is mudah, jangan biarkan orang lain menentukan apa yang kita rasa dan apa patut kita rasa.
Kalau anda betul-betul faham inshaAllah kita akan tenang, senang dan menang.”
NONA mendoakan agar Nana kekal tenang dan bahagia menjalani kehidupannya di samping keluarga tersayang seterusnya menjadi seorang Muslimah sejati di dunia mahupun akhirat.
Kredit Foto: Instagram Nana Mahazan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berstatus ibu tunggal bukan halangan buat wanita jelita ini untuk melangkah maju dalam kerjaya. Satu persatu bidang diceburi dan setiap apa yang dilakukan Dr. Siti Khadijah Awang Amat ini pasti membuahkan hasil.
Mahu dikenali dengan panggilan Dr. Katalina, ibu kepada dua cahaya mata ini juga sudah mula melebarkan sayap dalam bidang lakonan tatkala membawa watak kaunselor penjara dalam drama bersiri Lara Aishah bersama gandingan pelakon hebat seperti Jasmin Hamid dan Dato’ Eizlan Yusof. Setahun lalu juga, Dr. Katalina telah melancarkan single pertamanya ‘Macam Faham’ di bawah naungan Warner Music.
Pernah menyertai program nyanyian bersama RTM Sabah ketika berusia 15 tahun, Dr. Katalina cukup optimis mendepani masa depan bersama dua anaknya, Sofea Adrianna dan Muhd Syafeeq Iskandar.
“Tak ada apa yang hendak saya sembunyikan tentang status ini. I’m alright with that. Lagipun, memang niat utama saya mahu bagi semangat kepada para wanita yang senasib supaya tidak takut menghadapi realiti hidup dan kejar impian. Itu yang harus ditekankan,” pintanya.
Keterbukaan Dr. Katalina mencerminkan keperibadiannya yang luhur dan tulus. Enggan mengingati kisah silam, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini cekal mengharungi liku hidup bersandarkan semangat juang yang tinggi.
Dia yang akur dengan takdir Ilahi turut tidak menafikan kenangan lalu telah banyak mematangkan diri. Saat diminta mengulas tentang profesionnya, doktor berusia 34 tahun ini lantas membuka bicara.
“Masuk tahun ini sudah hampir tujuh tahun saya berkhidmat sebagai doktor perubatan. Awal perkhidmatan dulu saya telah ditugaskan ke Hospital Selayang selama tiga tahun.
Cukup tempoh itu, saya dipindahkan pula ke Klinik Kesihatan Bandar Mentakab untuk beberapa tahun sebelum dilantik sebagai salah seorang doktor peribadi kepada keluarga diraja.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana kurniakan saya kesihatan yang baik untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti di bumi Allah. Masa yang terluang itu saya isi dengan aktiviti seni dan memenuhi pelawaan sebagai duta produk.
Demi tanggungjawab sebagai doktor, saya sering turun padang untuk memberi ceramah berbentuk kesihatan dan kesedaran seperti pencegahan penyakit denggi, kebaikan susu ibu, pemakanan bayi dan sebagainya kepada masyarakat.
Kalau ada masa senggang, saya turut mengadakan home visit bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan khusus selain aktif menyertai program bantuan makanan dan keperluan kebajikan bagi golongan gelandangan di sekitar ibu kota.”
Bukan mudah bagi seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang lakonan untuk membawakan sesuatu watak dengan baik dan berkesan namun bagi Duta Kelab Lotus ini, penghayatan yang jelas tentang jalan cerita memudahkan dirinya untuk beraksi di depan lensa kamera.
“Saya tidak pernah ikut mana-mana kelas lakonan. Mungkin bakat berlakon memang sudah ada dalam diri. Ajaibnya, bila sudah berada di set penggambaran dan mendengar suara pengarah yang cuba menyampaikan mood scene terbabit, perasaan itu akan datang dengan sendiri. Hinggakan selepas habis scene pun saya masih menangis kerana terlalu mendalami watak yang diberikan.”
Biarpun sibuk dengan tugas doktor dan penggiat seni, masa bersama anak-anak tidak pernah dilupakan. Malah, dia turut sempat memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti lasak yang digemari.
“Menjadi wanita berkerjaya dan juga ibu tunggal, saya sememangnya amat menitikberatkan kepentingan kedua-dua tanggungjawab ini. Untuk mengelak masa berkualiti dengan keluarga tidak terganggu, saya akan buat jadual kerja dan mengatur temu janji seawal mungkin.
Biasanya, bila ada waktu terluang saya akan pergi bersukan atau beriadah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk sertai aktiviti lasak seperti jet ski dan go kart. Kalau dapat cuti panjang saya akan melancong bersama keluarga tidak kira di dalam mahupun luar negara,” luah peminat setia Tun Dr Siti Hasmah yang menyifatkan doktor wanita pertama negara ini sebagai seorang wanita dan isteri kepada mantan Perdana Menteri yang berjiwa besar. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!