Sekali terpandang wajahnya, mesti nak tengok berkali-kali! Masih ingat lagi tak aktres cantik rupawan yang membintangi telenovela popular Maria Mercedes pada tahun 1992? Kecantikan luar biasa yang dimiliki selebriti Mexico ini nyata memberi impak kepada peminat drama bersiri tersebut hingga ke hari ini.
Thalia atau nama sebenarnya Ariadna Thalia Sodi Miranda bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-48 pada 26 Ogos nanti. Maknanya lagi dua tahun dah masuk usia 50. Tapi dari susuk tubuh dan raut wajah sedikit pun tak menggambarkan umur Thalia bahkan pesona yang ada pada dirinya tetap menarik pandangan!
18 tahun mendirikan rumah tangga bersama Tommy Mottola yang merupakan CEO Sony Music, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Sabrina Sakae Mottola Sodi berusia 11 tahun dan Matthew Alejandro Mottola Sodi, 8 tahun. Tommy yang bertindak selaku penerbit muzik dan buku serta usahawan berjaya dalam industri seni Amerika ini juga sebenarnya bekas suami kepada penyanyi terkemuka, Mariah Carey.
Namun perkahwinan bersama pelantun lagu My All berkenaan hanya bertahan selama lima tahun sebelum kedua-duanya dilaporkan berpisah pada tahun 1998. Dua tahun kemudian, Tommy menamatkan zaman duda bersama Thalia dan berkahwin pada 3 Disember 2000.
Ads
Bersandarkan kejayaan Tommy dan kemasyhuran isterinya, Thalia sebagai penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan.. tak hairanlah pasangan ini mampu menikmati kehidupan serba mewah. Selesa menaiki jet peribadi untuk bercuti, Thalia dilihat kerap memuat naik gambar percutian bersama keluarga di media sosial miliknya selain berkongsi cita rasa fesyen buat tatapan lebih 13 juta peminat!
Alahai, sudahlah cantik… kaya dan ternama pula tu. Patutlah dia mendapat gelaran ‘Queen of Latin Pop’. Tahun lalu, Thalia hadir dengan lagu duet terbaharunya ‘No Me Acuerdo’ bersama Natti Natasha yang memperoleh lebih 900 juta tontonan di YouTube!
Ads
Mengintai Instagram Thalia, wanita cantik ini rupa-rupanya seorang yang aktif bersukan lasak dan berenang. Sebelum ini Thalia dan keluarga telah berkunjung ke Utah untuk mengikuti aktiviti rock climbing. Tidak cukup dengan itu, dia juga gemar melakukan rutin senaman pilates demi mengekalkan susuk tubuh langsing dan bertenaga.
Teruja tengok aksinya melakukan teknik pilates sebab bukan mudah untuk mahir dalam rutin tersebut kerana memerlukan keseimbangan tubuh yang tinggi.
Lepas ini kalau ada yang berhajat hendak memiliki tubuh seksi seperti Thalia, boleh amalkan sukan mendaki dan praktikkan pilates. Dengan usia yang bakal memasuki usia 50 tahun dan mempunyai dua orang anak, kecantikan dan aura Thalia sememangnya tiada tandingan. Sudah pasti segala kecantikan, kemasyhuran dan kemewahan yang dimiliki Thalia menjadi impian setiap wanita.
Kredit foto: Instagram Thalia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terpegun melihat kecantikan ratu sinetron Indonesia, Meriam Bellina ketika percutian beliau di Pantai Katembe, Indonesia baru-baru ini. Pada usia mencecah 58 tahun, beliau masih tetap langsing dan awet muda, sama menawan seperti zaman kegemilangannya!
Tuntutan untuk kekal cantik sememangnya penting buat wanita yang berkecimpung dalam industri hiburan. Rupa paras menjadi aset dan punca rezeki agar terus relevan dalam pasaran yang diceburi.
Meriam Bellina terkenal cantik dari zaman 80-an
Wajah wanita Belanda-Sunda ini persis mendiang Lady Diana
Sejak dulu kerap menghiasi iklan dan cover majalah
BUAT RAWATAN
Membuat rawatan estetik antara alternatif terbaik pada zaman ini untuk mendapatkan hasil yang diingini. Seperti dalam perkongsian Meriam Bellina, beliau sendiri rajin berjumpa pakar kulit di Klinik Dermapro Jakarta bagi menegangkan muka.
Nampak menyakitkan tapi tidak, inilah hasil sebelum dan selepas rawatan ‘tarik benang’ yang dilakukannya. Banyak perbezaan ketara, bukan?
Hasil rawatan ‘tarik benang’ di Dermapro
SEPARUH ABAD
Sejak remaja, wanita berusia 57 tahun ini sudah bergiat aktif sebagai model dan membintangi pelbagai filem serta sinetron popular di Indonesia. Tidak hairanlah jika beliau merupakan salah seorang anak seni tercantik pada zamannya, mirip mendiang Lady Diana!
Sejak tahun 1981, Meriam Bellina sudah menceburi bidang seni dan masih aktif sampai sekarang. Menariknya, penampilan fizikal wanita separuh abad ini seakan tak berubah, malah kelihatan semakin awet muda dan bergaya.
Kalau melihat foto-foto beliau ni, macam tak sangka Meriam Bellina dah cecah usia emas. Kulitnya masih licin dengan riasan mekap sesuai usia serta fesyen terkini. Cantiknya!
Wanita Indonesia cukup terkenal dengan amalan tradisional seperti menjaga pemakanan, mengambil jamu serta mengekalkan gaya hidup cergas untuk kekal cantik. Tak hairanlah Meriam Bellina sentiasa nampak muda, malah dengan bantuan rawatan estetik menambah lagi pesona auranya sebagai bintang seni legenda.
Dilahirkan di Bandung, Indonesia pada 10 April 1965, Meriam Bellina bertuah dilahirkan dalam keluarga campuran Belanda-Sunda. Ibu anak dua ini juga pernah bertugas sebagai pramugari untuk Garuda Indonesia.
Paling penting, jadikan kegembiraan diri sendiri sebagai perkara paling utama dalam hidup ini. Berfikir positif dan ceria selalu!
Foto: Instagram @bellinamer
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kate Middleton mencuri perhatian dunia dengan membuat penampilan sulungnya sebagai Puteri Wales di samping menyarung tiara rasminya! Kate dilihat memakai tiara pertamanya selepas 3 tahun untuk sebuah acara makan malam di Istana Buckingham. Jamuan itu diadakan sebagai sebahagian daripada rangka lawatan negara pertama pemerintahan Raja Charles III, yang mengalu-alukan kehadiran Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, ke U.K.
Pada makan malam yang penuh elegan itu, Puteri Kate memakai gaun putih yang direka oleh pereka Jenny Packham beserta tiara kegemarannya iaitu tiara Queen Mary’s Lover’s Knot.
Dengan gabungan mutiara dan berlian yang disusun indah, tiara itu juga merupakan tiara kegemaran mendiang ibu mertuanya, Puteri Diana. Menurut Court Jeweller, tiara yang menakjubkan itu berusia lebih daripada satu abad dan pada asalnya ditauliahkan daripada tukang emas Garrard oleh Ratu Mary sama ada pada tahun 1913 atau 1914. Ia adalah replika tiara yang dimiliki oleh nenek Mary, Puteri Augusta dari Hesse, Duchess.
Kate juga dilihat memakai anting-anting yang sebelum ini dimiliki Puteri Diana dan gelang dari kotak barang kemas Ratu Elizabeth.
Pada 10 September yang lepas, Catherine Middleton akhirnya bergelar seorang puteri dan mewarisi gelaran Lady Diana iaitu Puteri Wales (Princess of Wales) dan gelaran ini digunakan untuk isteri pewaris takhta British. Pemegang terakhir gelaran tersebut ialah mendiang Diana yang pada tahun 1997. Status Princess of Wales yang menjadi milik Kate ini adalah kali kedua diguna pakai selepas kemangkatan mendiang Puteri Diana pada 1997.
Kredit foto: Getty Images
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters…” itu antara jasa saintis negara, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim yang dijulang tinggi.
Bukan mudah menyelit temu janji di celah-celah lembaran takwim saintis negara ini. Jadual Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim begitu padat, seiring dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia.
Air mukanya lembut dan keibuan. Sejuk mata memandang kecantikan wanita genius yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu. Mengenali Prof Dr Raha, anak Johor ini membawa resmi padi – makin berisi makin tunduk ke bumi. Beliau menyerlahkan pesona wanita Melayu yang bijak dan sukses, namun tetap utuh menjaga adab kesopanan serta merendah diri.
Berpaksikan kelayakan Prof Dr Raha dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang merupakan seorang pendidik ini diberi mandat menerajui agensi NIBM yang merangkumi tiga institusi bioteknologi negara.
Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi beliau berperanan memimpin ratusan saintis negara dalam menjalankan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D), merancang pengkomersilan hasil R&D dan meningkatkan ekosistem R&D dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global.
Sejak dilantik ke jawatan ini pada tahun 2022, Prof Dr Raha banyak membuat pembaharuan dalam memperkasa penyelidikan dan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada negara. “Dengan kepakaran dalam bidang bioteknologi, saya berharap dapat membantu masyarakat dan industri-industri di Malaysia.
Antara projek R&D yang dijalankan adalah menghasilkan vaksin keluaran tempatan dengan kerjasama KKM. Ia sememangnya menepati bidang khusus saya iaitu mikrobiologi dan genetik molekul.”
Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, Prof Dr Raha telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains. Terdahulu sebelum itu, beliau menggenggam Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dan seterusnya Sarjana Sains dari Oklahama State University, USA.
Mengimbau kenangan persekolahan, bekas alma mater Kolej Tunku Kurshiah itu rupa-rupanya mula meminati bidang sains biologi selepas tamat Tingkatan 5. “Dulu di bangku sekolah, kalau ditanya antara subjek fizik, kimia atau biologi, jujur saya paling faham biologi. Di situlah titik permulaan pengajian saya dalam bidang ini sehingga bergelar seorang saintis.
Sebenarnya saya tak percaya dengan stigma bahawa pelajar sains ini nerd atau ulat buku. Bayangkan di sekolah dulu, saya seorang yang aktif. Saya masuk tarian, ahli band, main hoki dan bersilat, tapi pelajaran tetap jadi keutamaan. Pihak sekolah sendiri amat menekankan keseimbangan akademik dan kokurikulum, bukan hanya belajar semata atau jadi anti-sosial.”
Tambahnya, didikan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk karakter diri beliau hari ini. “Arwah abah saya merupakan seorang Settlement Officer (Penyelesai Pegawai Tanah) manakala ibu pula seorang kerani di pejabat kesihatan. Keluarga kami sederhana saja, taklah terlalu senang atau terlalu susah. Tapi mereka berdua sangat menitik beratkan pelajaran anak-anak.
Saya masih ingat waktu kecil-kecil dulu, arwah abah pernah belikan set ensiklopedia yang ada 24 buku tu. Saya juga peminat buku-buku bacaan klasik seperti Heidi, The Tale of Two Cities dan sebagainya. Memang kami rajin beli buku, sebab dia nak terapkan minat membaca dan cintakan ilmu pengetahuan. Bahkan arwah abah memang garang, beliau sentiasa ingatkan saya supaya belajar rajin-rajin demi masa depan dan keluarga.
Saya pula anak sulung dalam tiga beradik, alhamdulillah adik perempuan kini berjawatan Pengurus Besar di syarikat minyak dan gas multinasional manakala adik lelaki pula seorang Jurutera Perisian di Kuala Lumpur,” cerita Prof Dr Raha sambil tersenyum mengingatkan kenangan arwah yang susah menyebut perkataan ‘Microbiology’ dan ‘Molecular Genetics’ sehingga ke akhir hayatnya.
Sporting dan penuh kata-kata motivasi, ikuti temu bual eksklusif Nona bersama Prof Dr Raha sewaktu sesi fotografi Nona Superwoman Award 2024 baru-baru ini…
Wanita genius asal Johor ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia. Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, beliau telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains.
Berpaksikan kelayakan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang memimpin ratusan saintis dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global ini diberi pengiktirafan Nona Professional Award dalam Nona Superwoman Award 2024.
Orang yang mengejar dunia, pasti dunia dan akhirat akan meninggalkannya manakala jika orang itu mengejar akhirat, pastinya dunia dan akhirat akan mengikutinya. Itulah prinsip hidup yang dipegang oleh Prof Dr Raha, selain berusaha sebaik mungkin dalam menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
“Just do your best in life. Kalau kita sudah buat yang terbaik, saya percaya kita tak payah terkejar-kejar jawatan dan pangkat, ia akan datang dengan sendirinya, insyaAllah. Kalau tak datang sekali pun kepada kita, mungkin akan datang kepada anak-anak atau saudara mara kita,” kongsi Prof Dr Raha yang sangat menggemari puisi Rumi.
Merasakan rahsia kejayaan yang sebenar adalah bantuan dan sokongan suami, ibu bapa serta ahli keluarga tercinta, Prof Dr Raha turut merakamkan penghargaan beliau terhadap sahabat-sahabat dan juga kerajaan yang telah membiayai pengajiannya sehingga sukses.
PENDIDIK
Berusia 61 tahun, penyelidikan Prof Dr Raha banyak tertumpu kepada bidang mikrobiologi umpamanya pembangunan bakteria asid laktik. Beliau juga terlibat dalam pelbagai penyelidikan lain termasuk mengenal pasti penanda genetik dan pengesahan produk halal melalui kaedah molekul.
Sebagai pendidik pula, beliau telah membimbing dan menyelia lebih daripada 50 pelajar pasca siswazah, menerbitkan lebih daripada 130 kertas kerja dalam jurnal terpilih dan memfailkan beberapa hak harta intelek.
Mantan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu juga berperanan sebagai perunding kepada beberapa agensi kerajaan dan industri berkaitan bioteknologi. Prof Dr Raha pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di Universiti Putra Malaysia, memegang gelaran Presiden Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia, Presiden Persatuan Mikrobiologi Malaysia dan berkerjasama dengan pelbagai persatuan profesional lain antaranya Persatuan Biologi Molekul dan Bioteknologi Malaysia serta Persatuan Genetik Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, beliau adalah ahli Persatuan Mikrobiologi Amerika dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung di Persekutuan Persatuan Bakteria Asid Laktik Asia.
“Pada peringkat ini, saya kira sudah ada sumbangan sedikit sebanyak kepada negara. Tapi yang paling bermakna adalah apabila saya berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang, bukan saja dalam pelajaran bahkan tingkah laku yang baik. Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters, serta kemudian mereka pula menjadi pensyarah atau terlibat dengan penyelidikan,” katanya.
Menjadikan tokoh sains wanita terkemuka, mendiang Marie Curie, sebagai inspirasi, Prof Dr Raha memasang impian untuk menabur jasa kepada dunia. “Beliau adalah wanita pertama yang meraih Nobel Prize sebanyak dua kali (1903 & 1911) di atas penyelidikan yang dibuat terhadap X-Ray bagi tujuan perubatan terutamanya pencegahan kanser. Teori yang diperkenalkan oleh Marie Curie diguna pakai untuk pembuatan mesin X-Ray yang kita gunakan sehingga ke hari ini dan merupakan antara salah satu penemuan terhebat dalam teknologi sains.
Seorang lagi idola saya adalah mendiang Barbara McClintock. Beliau merupakan saintis wanita Amerika yang turut meraih Nobel Prize (1983) serta amat dikenali kerana penemuan ‘the jumping genes’. Dua wanita ini banyak menukar cara saya berfikir termasuk kemampuan kita untuk mengatasi halangan… and of course, breaking the glass ceiling!”
Mengakhiri temu bual, Prof Dr Raha yang diiktiraf Nona Professional Award 2024 sempat menitip pesan agar wanita harus berterusan membuat self-improvement. Tidak kira berapa pun usia kita, teruslah belajar dan memberi manfaat kepada orang lain. “Saya ada dua anak perempuan, Adeela dan Adreena yang kedua-duanya baru selesai pengajian Sarjana. Kepada mereka saya selalu berpesan bahawa kejayaan ini adalah berkat doa ibu bapa dan keluarga. Be humble and always remember your roots, ini juga pesanan saya kepada pelajar-pelajar saya,” akhiri beliau.