“Awak Saja Yang Betul, Saya Salah!” Amalkan 4 CARA Ini Saat Berdepan Dengan Pasangan Ego

“Semua salah awak, kalau tak semua ni tak akan jadi!”

“Kan dari dulu lagi saya dah cakap tapi awak tak nak dengar!”

Kata-kata ini memang cukup mengguris hati lebih-lebih lagi kalau kerap dilontarkan. Mempunyai pasangan yang selalu rasa dirinya betul pasti menimbulkan rasa kesal dan kecewa.

Mana taknya, setiap kali timbulnya konflik anda juga yang dipersalahkan walaupun punca sebenar adalah daripada dirinya sendiri. Sesekali mengalah tidak mengapa lagi demi menyelamatkan hubungan. Tapi kalau sudah berulang kali sebaiknya jangan diamkan saja.

Segeralah bertindak agar anda tidak terus menerus menjadi mangsa keegoannya. Pandangan pakar terapi, Karyl McBride menyatakan individu yang sering merasa dirinya betul memiliki ego yang sangat lemah.

Ketika harga dirinya terancam dia akan berusaha untuk menang lalu menekan orang lain agar mengikut semua kehendaknya. Amalkan 4 cara ini ketika berdepan dengan pasangan sebegini.

TENANG

Ini adalah kunci utama ketika berdepan pasangan sebegini. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus perlahan-lahan. Kawal emosi dan reaksi anda walaupun diterjah pelbagai tuduhan darinya. Ingat, tak perlu balas kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Beri masa 10 minit, sejam atau sehari untuk masing-masing tenangkan diri. Setelah reda, berbincanglah. Namun begitu, elak menyambung semula pertengkaran jika masing-masing masih memendam rasa kerana ia hanya sia-sia.

KOMUNIKASI

Setelah betul-betul tenang, bincangkan masalah bersama. Anda tak perlu menekannya untuk mengaku salah sebaliknya ajak pasangan untuk luahkan ketidakpuasan hatinya. Pastikan anda dengar dengan tenang dan jelaskan alasan dan bukit anda.

Berkomunikasilah dengan bijak dan minta suami turut bermuhasabah diri. Ia bukan saja dapat membantu menurunkan ego malah menimbulkan rasa saling memahami.

RENDAHKAN EGO

Konflik pasti akan berterusan jika masing-masing ego dan tak mahu mengalah. Maka, rendahkanlah ego masing-masing. Walaupun pasangan anda sering merasa betul tetapi dia juga berhak untuk didengari.

Fahami pendapatnya dahulu sebelum melontarkan pendapat anda. Dengan memahami perasaan dan pandangan pasangan akan memudahkan anda untuk memaafkannya.

CARI JALAN KELUAR

Tiada gunanya untuk mencari siapa betul, siapa salah. Buat keputusan bersama untuk mencari jalan keluar agar menguntungkan kedua belah pihak. Jangan biarkan ego mengatasi segalanya tanpa penyelesaian.

Cari persamaan hobi anda berdua contohnya menonton wayang. Lakukannya sebagai usaha untuk menjernihkan semula keadaan. Semakin baik suasana hati anda dan pasangan, semakin mudah untuk menemui jalan keluar dari masalah.

IKLAN
Share