
Buat wanita bertubuh besar, pemilihan fabrik amat penting selain daripada potongan pakaian. Ini penting kerana pemilihan fabrik yang salah boleh membuatkan anda tampak lebih besar malah kelihatan seperti badut. Wajib untuk anda mengkaji bentuk badan terlebih dahulu sebelum memilih fabrik yang tepat dan sempurna.
Mungkin anda menyangka fabrik pilihan anda adalah paling tepat untuk dipakai. Namun apabila ia disarungkan pada tubuh pelbagai masalah terjadi dan dan yang paling ketara ia seakan menambahkan lagi saiz badan anda. Oleh itu, Nona kongsikan 5 pilihan fabrik yang harus dijauhi jika anda mempunyai bentuk badan yang gempal dan besar!
SEKUIN
Efek berkilau pada fabrik ini sebenarnya memberi ilusi lebih besar apatah lagi ianya disarung oleh wanita gempal. Sekiranya situasi memerlukan anda memakai fabrik ini pastikan ia adalah daripada tona gelap.
BERBULU
Hati-hati menggayakan kain seperti ini kerana jika anda tidak mahir memilih potongan yang bersesuaian, ia boleh menampakkan anda lebih besar dua kali ganda dari saiz asal! Pilih kot atau jaket yang mempunyai tali yang boleh diikat pada sekitar pinggang.
LATEX
Meskipun permintaan fabrik ini tidak begitu popular di Malaysia namun ia sering dipakai oleh selebriti A-list di Hollywood. Efeknya yang sedikit bersinar menjadikan ia tidak sesuai untuk wanita bersaiz XL.
LYCRA
Lycra memang terkenal dengan fabrik nipis yang berat. Oleh kerana fabriknya nipis dan bersifat memeri ia tidak boleh menyorokkan bahagian badan yang mempunyai lemak.
NEOPRENA
Ini juga salah satu fabrik yang tidak sesuai digayakan untuk wanita berbadan gempal. Fabriknya tebal dan kurang pengaliran udara menyebabkan ianya tidak selesa dipakai. Meskipun siluetnya gah bila dipakai dan senang dibentuk ianya hanya akan menambahkan kecacatan pada tubuh badan anda.
Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim

Dalam mencari sebuah keredaan dari yang Maha Esa, hubungan erat antara suami isteri menjadi salah satu panji kekuatan. Saling menyokong antara satu sama lain serta sentiasa mencari yang terbaik di dalam diri pasangan menjadi azimat yang disemat di dalam hati pasangan dua sejoli ini.
Dikurniakan tiga cahaya mata yang comel mereka memiliki strategi bagus dalam membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya lantas membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
Cantik dan moden kala berada di kediaman Erny dan Rafiq. Menurut Erny, dia dan suaminya cukup suka dengan gaya ringkas scandinavian dan rekaan perabot yang minimal agar rumah nampak luas apatah lagi ia menyediakan ruang yang cukup untuk anak-anak kecil berlari-lari.
Kreatif dalam menghias rumah ini mungkin hadir dari dalam diri kedua-dua mereka yang juga bekerja dalam industri yang menjana kreativiti, untuk pengetahuan anda pasangan suami isteri ini merupakan pengasas bersama jenama Pieces By Raeesa. Selain daripada itu Rafiq juga memiliki sebuah syarikat yang diberi nama Hitech Innovations yang terlibat dalam bidang produksi televisyen dan pengiklanan.
Mengenali Erny, dirinya sangat ramah dan mudah mesra. Dia memiliki satu prinsip apabila menerima tetamu di rumahnya. Ini merupakan satu amalan gaya hidup positif yang cuba diterapkan.
“Saya suka menyambut tetamu di rumah kami, kalau sesiapa sahaja yang bertandang pasti akan dijamu dengan makanan sampai mereka kenyang. Saya susah hati sebenarnya kalau orang datang ke rumah dan pulang dengan perut kosong.
Bagi saya kedatangan tetamu di rumah adalah satu petanda membawa rezeki kepada diri. Lagipun bukankah agama kita menganjurkan untuk berbuat baik kepada tetamu,” selorohnya sambil menghidangkan pelbagai jenis makanan.
Erny anggun menggayakan busana dari jenamanya sendiri Pieces by Raeesa yang memfokuskan kepada helaian-helaian daripada fabrik batik. Sebelum memulakan perniagaan fesyen, wanita berusia 35 tahun ini mula menjual helaian-helaian kain batik ela secara sambilan sahaja memandangkan ketika itu dia masih lagi bekerja dalam sektor korporat. Namun dari permulaan kecil inilah yang membawa bisnes ini laju ke hadapan.
Menurutnya, “Dari menjual secara kecil-kecilan ketika zaman bujang lagi sehinggalah saya berkahwin pada tahun 2009 dan akhirnya dengan sokongan kuat dari suami pada tahun 2012 saya bertekad untuk mengembangkan lagi bisnes ini secara lebih serius. Nama Raeesa didedikasikan sempena nama anak kedua yang merupakan anak perempuan tunggal kami.
Dari permulaan kecil ini saya mula melakar sendiri corak-corak batik dan menjualnya secara kecil-kecilan dan sehingga kini ia berkembang dan jenama ini sudah memiliki ruang pameran sendiri yang terletak di Vista Alam, Shah Alam.
Corak-corak batik yang dihasilkan adalah sangat eksklusif kerana tiada helaian yang serupa jadi ini merupakan satu kelebihan kepada para pelanggan untuk merasakan pengalaman membeli belah fesyen eksklusif tanpa perlu risau akan ada baju yang sama disarung orang lain.”
Apakah stail, estetik dan juga DNA jenama Pieces by Raeesa? “Sejujurnya apabila saya mula-mula serius dalam bidang ini matlamat utama adalah untuk menjadikan fabrik batik lebih mudah diterima, moden dan sesuai digayakan oleh semua wanita dari pelbagai lapisan umur.
Bahkan saya mahu batik diterima golongan muda dan menjadikannya sebagai pakaian harian yang menarik serta tidak tersekat untuk majlis-majlis rasmi sahaja. Bagi saya kalau bercakap soal nilai estetik jenama ini, ia terletak kepada proses penghasilan setiap busana.
Menghasilkan sehelai kain batik memerlukan kreativiti yang tinggi serta ketelitian agar setiap cantingan nampak cantik dan mahal, tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa helain batik merupakan sebuah seni dan proses untuk membuatnya cukup rumit. Jadi setiap rekaan dari Pieces by Raeesa adalah sebuah karya seni.

DNA keseluruhan jenama ini pula boleh dilihat dari segi potongan siluet yang moden dan tidak keterlaluan serta diserikan bersama kombinasi warna-warna menarik.”
Bekerja bersama-sama dengan suami, bukan semua orang mampu melakukannya. Bahkan ada yang lebih suka mengasingkan hal kerja dari hubungan suami isteri. Namun tidak bagi pasangan ini, mereka merasakan bekerja bersama dalam membangunkan sebuah jenama lebih memberi nilai positif berbanding negatif.
Menurut Rafiq sambil diperhatikan isterinya, “Asam garam kehidupan sebagai suami isteri, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kami. Erny merupakan seorang yang tegas dan dia tahu apa yang dia mahukan di dalam hala tuju perniagaan kerana dalam apa jua keputusan yang kami ambil ia adalah satu perniagaan yang diwujudkan untuk keluarga kami. Boleh saya katakan yang perniagaan ini banyak diuruskan oleh isteri saya ini namun dia akan selalu bertanyakan pendapat sebelum membuat keputusan.”
Jadi adakah anda bersetuju bahawa perniagaan yang melibatkan suami isteri lebih mendamaikan dan menguntungkan? “Betul! Bagi kami ia satu bonus kerana kami memang kenal antara satu sama lain. Yang penting untuk bekerja sebagai suami isteri adalah kita faham apakah objektif perniagaan tersebut dan seiring dengan itu kepercayaan, kasih sayang serta pengorbanan menjadi rencah yang serasi dengan apa yang dilakukan.
Sebagai contoh, kadangkala kami perlu ke luar negara untuk membeli produk-produk berkaitan perniagaan. Status sebagai suami isteri ini sebenarnya memudahkan lagi kerja memandangkan kami boleh berkongsi bilik sekaligus ia mengurangkan kos.
Kalau bertikam lidah sekalipun kami tidak akan memanjangkan perkara tersebut dan suka menyelesaikan masalah secepat mungkin. Ini adalah perkara penting dalam apa sahaja perniagaan yang diceburi, masalah tidak harus dipendam dan disimpan kerana ia akan menjadi nanah yang akan menjejaskan perniagaan yang dibina. Paling penting satu kunci menjaga hubungan adalah jangan pernah menceritakan hal dalam kelambu kepada orang luar. Apa sahaja masalah yang terjadi biarlah antara diri masing-masing,” tegas mereka berdua tentang persoalan yang diajukan.
Setiap manusia pasti memiliki satu gol untuk dicapai dalam kehidupan tidak kiralah bagi yang bekerja sendiri atau mendaki tangga dunia korporat. Bagi Erny pula, matlamatnya untuk lima tahun akan datang menjadi lambang besar harapan agar jenamanya berkembang ke serata dunia.
“Semestinya saya mahu memperluaskan perniagaan ini sehingga ke peringkat antarabangsa. Kalau boleh saya mahu perniagaan fesyen batik ini boleh berdiri setanding dengan jenama-jenama antarabangsa yang lain. Bagi saya elemen batik ini harus dibawa keluar dengan lebih gah agar ia boleh diterokai dan dihargai oleh orang asing, rugi kalau khazanah seni negara ini tidak diketengahkan. Kalau boleh kami ingin menjadi jenama batik yang moden dan kontemporari nombor satu di Malaysia, InsyaAllah” jawab ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Sebelum bermula meneroka dunia, pastinya langkah demi langkah perlu diambil supaya persediaan yang lengkap serta ilmu untuk lebih berjaya tersemat di dada. Hari ini jenama Pieces by Raeesa dijual ke berapa negara?
“Sekarang kami sudah memiliki rakan perniagaan dari negara Qatar dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Untuk pasaran di sana saya menghasilkan koleksi yang diberi nama Aludra by Raeesa. Rekaan koleksi ini disesuaikan mengikut gaya dan juga budaya pemakaian negara tersebut. Antara rekaan yang saya terapkan seperti siluet abaya dan juga jalabeya. Selain Qatar kami juga memiliki rakan perniagaan di negara Brunei darussalam dan juga Singapura.”
Selain jenama Pieces by Raeesa dan Aludra by Raeesa, mereka turut menawarkan rekaan siap pakai yang diberi nama Raeesa RTW yang mana rekaan ini menampilkan busana harian pada harga mampu miliki, untuk rekaan koleksi ini mereka hanya menggunakan fabrik linen untuk keselesaan. Tidak dilupakan juga persalinan untuk kanak-kanak yang bernaung dibawah label RNCO Design.
Berhijab Sambil ‘Bawa’ PETA MALAYSIA, Taruhan dUCkscarves Sempena MERDEKA!

Hanya untukmu Malaysia.. dUCkscarves memutuskan untuk menambah jumlah pengeluaran hijab premium edisi terhadnya kali ini. Ia demi memastikan setiap wanita tanpa mengira lapisan bangsa, agama mahupun umur dapat bersama-sama bergaya patriotik sempena kemerdekaan Malaysia ke-61 dengan koleksi terbaru, The Merdeka Duck.
Meskipun jumlah pengeluaran telah ditambah, namun ada beberapa warna The Merdeka Duck telah pun sold out! Senario yang tidak asing lagi bagi jenama hijab esksklusif ini setiap kali edisi terhad mereka dilancarkan. Memang luar biasa sambutan peminat dUCkscarves ni.. apatah lagi, The Merdeka Duck baru saja dipasarkan empat hari lepas. Tak sampai seminggu!
Selaras usaha untuk mencerminkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat, Vivy Yusof selaku Pengasas The Duck Group berkata edisi kali ini benar-benar memberi makna bagi dirinya sendiri. “Kali ini kami hasilkan lebih banyak kuantiti supaya ramai rakyat Malaysia dapat memakainya.
Dalam masa sama, saya mahu naikkan kembali warisan dan budaya negara kita khususnya kepada generasi sekarang. Sebab itu kami memilih peta Malaysia sebagai ‘statement’ rekaan kali ini selain turut memasukkan elemen tradisional batik memandangkan ia makin digemari ramai wanita masa kini.”


Jelas Vivy lagi, tercetusnya idea untuk menggabungkan kombinasi peta Malaysia dan batik ini adalah daripada tinggalan kain batik milik nenek kepada narrator ‘D’ iaitu Tok Ma yang disimpan rapi hingga ke saat ini sambil menyifatkan ia sebagai satu warisan unik rakyat Malaysia.



5 warna menarik dan versatil ditawarkan untuk edisi terhad The Merdeka Duck iaitu Senja, Rimba, Langit, Bumi dan Bunga. Apa yang pasti, para hijabi mahupun fashionista wajib memiliki hijab premium eksklusif ini di The dUCk Store Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, butik-butik FashionValet dan website FashionValet.com.
Ketika menganjurkan majlis The Merdeka Duck di Muzium Negara baru-baru ini, pelbagai budaya dan permainan tradisi diadakan.. antaranya congkak, batu seremban dan dam haji buat para pengunjung sebagai usaha untuk menyemarakkan semangat merdeka.
Gaya Fazura Dalam Sut Serba Putih Menyerlah, Ramai Puji Boss Lady Nampak Ikonik!

Lembaran kerjaya Fazura terus berkembang. Selepas kejayaan membina empayar namanya sebagai boss lady, beliau kini terpilih sebagai juri tetap Innovathon, sebuah rancangan realiti terbitan Astro yang dilancarkan baru-baru ini. Paling menarik, tentu sekali gaya sut Fazura ketika hadir ke Sidang Media, segak dan cukup memukau!
Mengenakan sepasang sut putih oversized rekaan S Bahar, gaya maskulin Fazura menyuntik inspirasi timeless.
Penampilan yang diserikan hijab dan sepatu hitam ini menyerlahkan kuasa wanita yang pintar dan dominan, namun tetap feminin dan menggemari fesyen.
Menerusi komen Fazura, tata gaya beliau telah disempurnakan oleh Yana Baharudin, styling hijab oleh Nurhana Halim dan solekan daripada Rozlan Nassir.



Tapi paling seronok tengok, detik Fazura bergurau dengan Datin Lisa Surihani. Berdekah gelak! Dua-dua pelakon wanita Malaysia paling diminati ramai, sejuk mata bila aktres-aktres kesayangan ini tampil manis berhijab…
Dalam hantaran yang sama, ibu anak satu itu melahirkan rasa bangga kerana dipilih sebagai juri tetap dalam program tersebut, menyertai YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi di Kuala Lumpur.
Innovathon adalah rancangan realiti terbitan Astro yang unik di Malaysia dalam memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mengetengahkan pelbagai idea serta solusi inovatif kepada pelbagai masalah harian yang dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat.
“Negara kita sememangnya kaya dengan idea dan kesungguhan rakyat dalam memperbaiki mutu serta taraf hidup. Syabas kepada semua. Lots of love.” Fazura


BERGAYA
Peralihan imej Fazura sejak berhijab langsung tidak membuat aktres dan penyanyi asal Pekan, Pahang itu ‘hilang bisa’ daripada terus bergaya.
Jalan hidup kita, suka atau duka, semuanya telah disusun cantik oleh Allah. Sejak berkahwin pada tahun 2018, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang usahawan wanita yang terkenal di tanah air.
Kalau dulu sekadar mengusahakan butik fesyen House of Doll, kini beliau berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama gaya hidup dan Muslimah seperti Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly (jenama yang diusahakan bersama Puteri Zarith) serta yang terbaharu, Fazura Beauty Water.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/cekal-besarkan-anak-lepas-suami-pergi-kekuatan-ibu-fazura-jadi-inspirasi-anggun-usia-60an/
HIJRAH
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang. Penghijrahan itu sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Tidak mendadak, akhirnya transformasi imej Fazura secara rasmi berlaku menjelang penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita yang bakal mencecah 40 tahun itu.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah yang sejati.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik. Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.” Fazura
Paling menyentuh hati, Fazura sangat bersyukur kerana perniagaan tudung yang dijalankan sedikit sebanyak membuka hati segelintir kaum wanita untuk mula belajar menutup aurat.
Sebagai salah seorang selebriti popular yang pernah menerima banyak anugerah, laluan Fazura dalam dunia keusahawanan terbentang luas menggunakan platform peminatnya yang ramai. Terkini, jumlah pengikut beliau mencapai 5.7 juta di Instagram dan 525,000 di TikTok!
Ibu kepada si comel Nur Fatima Aisya, 2 tahun, itu juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Bersangka baik dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali.
Pun begitu, sebagai wanita yang sering diangkat sebagai ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail hijab yang berbeza.”
Bersyukur kerana bukan sahaja dapat membantu membuka pintu hati para wanita untuk berhijab, perniagaan Tudung Fazura juga turut membantu orang lain, khususnya stokis dan ejen menjana pendapatan selepas terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu, ramai stokis dan ejen yang bernaung di bawahnya sebelum ini hilang punca pendapatan.
Sentiasa mengutamakan circle yang sihat serta positif, Fazura yang kini mempunyai lebih 4,000 orang ejen serta dropship berdaftar bertuah kerana dirinya sering dikelilingi ‘besties’ yang saling mendorong satu sama lain.
“Kebanyakan ‘besties’ saya ialah golongan suri rumah yang ingin membantu suami menjana pendapatan. Saya bangga dengan kejayaan mereka yang sama-sama mendukung jenama Tudung Fazura serta produk-produk saya yang lain.
Ini membakar semangat saya untuk terus menghasilkan produk pada harga mampu milik yang sesuai untuk semua.”