Percaya bahawa kunci pintu syurga ada pada suami, majoriti wanita terharu tengok Neelofa gigih sebar dakwah.
Selain sibuk menguruskan dua cahaya mata, Bilal dan Abbas di rumah, usahawan selebriti Neelofa kini giat menganjurkan program-program Islamik bersama suaminya, Haris Ismail.
Merupakan seorang penceramah bebas dan rakan niaga Neelofa di Nunha, program dakwah ‘Dari Akad ke Syurga, Marriage with Ihsan’ mula mendapat sambutan di kalangan wanita yang belum dan sudah berkahwin.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2021 itu sering menjadi model pasangan Muslim yang mengamalkan kehidupan keluarga berlandaskan syariah, bahkan penghijrahan Neelofa yang mengenakan niqab turut dikaitkan sebagai ikhtiarnya menjaga kecantikan untuk tatapan suami semata-mata.
Merupakan Juara Dewi Remaja 2009/2010, Neelofa sebelum ini sinonim dengan program bual bicara MeleTOP selama tujuh tahun, selain aktif dalam bidang lakonan dan usahawan berjaya. Ternyata kelebihan beliau ini tidak disia-siakan, Lofa tambah sebar dakwah selepas berkahwin.
Haris Ismail atau PU Riz sebelum ini pernah berkongsi tip setiap kali berdepan ujian rumah tangga.
Ads
“Kami akan tunaikan solat bersama. Syukur Lofa tak pernah merajuk sepanjang saya berada dengan dia. Dia seorang isteri yang memahami dan kalau ada masalah, kami selesaikan dengan solat, insyaAllah,” kongsi PU Riz.
Tambah Lofa, adakalanya pasangan suami isteri juga boleh hilang spark dalam rumah tangga.
“Saya rasa, kalau ada orang yang situasi itu (hilang spark dalam rumah tangga), mereka kena luahkan dengan adab, kemudian kena ada toleransi.
Macam mana diorang nak give and take untuk cari solusi. Sekiranya benda itu terlalu menyukarkan, mungkin kena libatkan pihak ketiga untuk kaunseling atau nasihat.
Ads
Yang keempat, sudah tentu kena doa, tawakal, zikir dan kena hidupkan kehidupan agama dalam rumah. Berkahwin ini bukan untuk seronok, suka sama suka, I love you, you love me, tapi ia lebih daripada itu.
Ia ada satu amanah yang akadnya perjanjian kontrak dengan Allah,” katanya merujuk Al-Quran sebagai sumber rujukan.
PROGRAM RUMAH TANGGA
Percaya bahawa kunci pintu syurga ada pada suami, majoriti wanita terharu tengok Neelofa gigih sebar dakwah.
Program ‘Dari Akad ke Syurga, Marriage With Ihsan’ yang dianjurkan oleh Nunha adalah sebuah acara perkongsian ilmu yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman serta pandangan tentang perkahwinan dari perspektif Islam.
Ia menampilkan perkongsian dari Neelofa sendiri serta tokoh-tokoh lain seperti Ustaz Haris, Datin Fouziah Gous, Saharul Ridzwan dan Deena Emir. Acara yang berlangsung di MATRADE Exhibition Convention Centre ini menekankan aspek-aspek penting dalam membina rumah tangga yang berkekalan, seperti iman, kekuatan dalaman, cinta dan pertumbuhan bersama.
Program dengan kolaborasi bersama jenama kosmetik dan penjagaan diri halal Indonesia, Wardah ini diadakan dalam suasana yang tenang dan penuh kehangatan, dengan perkongsian yang menyentuh hati dan memberi inspirasi. Peserta juga digalakkan untuk berkongsi ilmu dan peringatan yang diperoleh dengan orang lain.
Ringkasnya, ‘Dari Akad ke Syurga’ adalah platform untuk mendalami makna perkahwinan dalam Islam dan membina keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah.
Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!
Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.
Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Beberapa tahun lalu pengacara dan pelakon cantik berusia 30an, Uyaina Arshad pernah disahkan menghidap komplikasi jantung.
Bertitik tolak daripada itu, biarpun kini tahap kesihatannya di tahap yang baik namun Uyaina tidak lagi dibenarkan melakukan aktiviti lasak yang sememangnya menjadi minat Uyaina sebelum ini.
AKTIF SUKAN
“Saya seorang yang workaholic and enjoy working. Saya juga sukakan aktiviti berlari. Ketika di bangku sekolah saya memang aktif dalam aktiviti sukan seperti hoki, lompat tinggi, lompat jauh dan bola jaring.
Kalau di tempat kerja lama dulu, waktu masuk pejabat pukul 9 pagi. Tapi saya akan sampai awal pukul 7 pagi dan akan pergi berlari dulu di kawasan sekitarnya.
Selesai berlari saya akan membersihkan diri dan bersiap seperti biasa. Saya masuk ke pejabat dengan badan yang sangat segar dan cergas.
Pada Mac 2019 saya didiagnos sakit jantung. Menurut doktor yang merawat, ianya berlaku kerana jantung ‘dipaksa’ untuk bekerja secara berlebihan.
Kebetulan tahun lalu saya terlalu bekerja keras, rehat pun kurang. Namun selepas kesihatan semakin baik saya betul-betul menjaga kesihatan termasuk pemakanan. Selain itu, saya turut amalkan gaya hidup sihat, minum air putih dan melakukan senaman ringan.
NASIHAT
Sesiapa saja atau berapa pun usia kita tetap berisiko diserang penyakit. Rajin-rajinlah membuat check-up kerana kita tak tahu apa yang berlaku dalam badan. Kadang-kadang badan dah bagi signal tapi kita tak sedar atau buat-buat tak sedar.
Ingat, badan kita bukan mesin. Sampai masa ia perlukan rehat secukupnya. Mungkin ada yang beruntung kerana bebas penyakit walaupun dah berusia. Tapi saya pula mengalaminya sekarang, masih muda. Dalam masa yang sama harus bekerja.
Maka ekstra usaha diperlukan untuk menjaga kesihatan. Saya tak anggap ia satu halangan walaupun banyak aktiviti lasak yang saya dah tak boleh buat lagi.”
Kesimpulannya sakit tidak mengira usia, siapa, bila dan bagaimana ia terjadi. Oleh itu, hargai kesihatan kerana ia adalah harta paling berharga selagi kita diberikan nikmat untuk bernafas di muka bumi ini.
Uyaina merupakan Juara Puteri Muslimah Asia 2018 dan kini sedang komited mengembangkan kerjayanya di Indonesia. Semoga Uyaina kekal sihat seterusnya berjaya menggapai apa yang diimpikan.
Kredit Foto: Instagram Uyaina Arshad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!