Puteri keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Iman juga merasai keperitan dan perasaan seperti adik dan kakak-kakak tersayang apabila menyaksikan peristiwa bapa tersayang ditahan dikediaman keluarganya ketika usianya baru mencecah 8 tahun.
“Ya benar, semasa itu saya berumur 8 tahun. Saya tidak tahu apa telah terjadi dan tertanya tanya ke manakah papa akan dibawa ketika itu. Saya ingat pada malam papa ditangkap, kami adik beradik dan sepupu menunggu di bilik tidur di tingkat atas. Tidak tahu apa yang telah terjadi,” ujar Iman memula bicara mengenang kembali peristiwa hitam itu.
“Selepas itu saya dan adik beradik di minta turun ke bawah dan pada masa yang sama terdapat ramai orang di rumah. Saya didukung oleh anggota polis yang bertopeng dan terasa benda tajam di bahagian perut. Kemungkinan benda tajam itu adalah senjata anggota polis tersebut.
Polis itu masukkan saya ke dalam van bersama adik beradik saya kecuali kak Ilham kerana dia tertinggal di rumah. Saya tertidur di dalam van kerana lewat malam pada masa itu. Semasa saya bangun, kami berada di balai polis dan mama sedang bercakap dengan pihak polis.
Pada esok hari, papa tiada di rumah. Mama suruh kami adik beradik pergi ke sekolah seperti biasa. Semasa kami dapat tahu bahawa kami boleh jumpa dengan papa di mahkamah, Saya ingat lagi rasa takut dan risau terhadap papa. Saya bertanya, kenapa mata papa hitam?
Saya melihat muka papa masih terukir senyuman walaupun matanya lebam. Kak Ilham, Hana dan saya dakap papa dengan kuat. Papa beritahu kami jangan sedih walaupun papa sakit. Sentiasa bersama dan kuatkan diri dan itulah apa yang kami buat.
Ads
Semangat kekeluargaan inilah yang menjadi pembakar semangat untuk terus mengharungi dugaan ini,” ujar Nurul Iman yang menjadikan pengalaman masa kecilnya sebagai dorongan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.
CEKODOK BUAT PAPA
Sambil memanjatkan kesyukuran setelah hampir 20 tahun perjuangan menuntut keadilan untuk bapa tersayang, Iman juga tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri tahun ini dengan ahli keluarganya yang lengkap.
“Kami sentiasa beraya di Kuala Lumpur di mana kami akan mengunjungi keluarga papa dan mama. Menyentuh aktiviti raya pula, saya rasa tidak banyak akan berubah. Namun, saya sangat teruja dan bersyukur bahawa kami sekeluarga dapat luangkan masa bersama dan papa akhirnya berada di sisi kami.
Ads
Papa suka makan cekodok, walau ada banyak hidangan untuk Raya, kami pastikan cekodok mencukupi untuk hidangan papa,” ujar Iman yang berkongsi minat memasak bersama kakaknya Ilham.
Menyentuh pula persiapan untuk menyambut Aidilfitri, menurut Iman segala persiapan telah dilakukan secara berperingkat kerana tidak mahu tergesa-gesa menguruskan persiapan dengan jadual kerja yang agak padat.
Ads
“Alhamdulillah, persiapan sudah dilakukan lebih awal kerana segala pakaian sudah siap sejak tahun lalu. Apa yang penting dapat memanfaatkan waktu sepenuhnya dengan papa dan keluarga sebelum semua kembali sibuk dengan urusan masing masing.
Tambahan pula, setelah sekian lama anggota keluarga kami tidak lengkap, jadi Syawal kali ini kami dapat meraikan bersama-sama dengan rasa penuh kesyukuran,” ujar wanita berusia 27 tahun ini.
Ditanya mengenai nasihat yang sering dititipkan oleh kedua ibubapanya dalam menempuhi cabaran, menurut Iman pesanan papa dan mama supaya sentiasa bersabar dan bertakwa menjadi pegangan hidupnya untuk berfikiran lebih rasional dalam setiap tindak tanduk dan keputusan.
“Papa dan mama selalu berpesan bahawa sentiasa bersabar dan bertakwa kerana segala yang berlaku adalah sebahagian dari percaturan Allah SWT. Keperibadian papa dan mama yang sentiasa cekal memberi teladan yang baik untuk kami adik-beradik. Saya sentiasa berfikir jika mama boleh melalui ujian yang sungguh perit itu, maka takkan saya tidak boleh melakukan perkara yang sama,” ujar Iman mengukit senyuman penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ogos lalu, ikon Youtuber, Asyalliee Ahmad pernah mengumumkan di media sosial kisah dukanya keguguran namun keajaiban dari Allah, kandungan Asya kini sedang membesar dengan baik. Rezeki Asya Semakin luas apabila produk supplemen Hello Peach Please mendapat pengiktirafan daripada majalah kecantikan Singapura.
Semakin menjadi-jadi perniagaan ikon Youtuber ni. Kejayaan dan rezeki diterimanya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi dikongsikan bersama ibu dan bapa mentuanya. Rasa sebak menonton video yang dikongsikan Asya di laman instagramnya tidak lama dahulu.
https://www.instagram.com/p/CBXpnavlbX8/
Peredaran zaman kadang-kala membuatkan generasi ‘lama’ seakan terkebelakang. Dari segi teknologi sudah tentulah jauh berbeza dan kini idealogi anak-anak muda juga sangat dilakar jauh dari pemikiran kita dahulu. Mereka lebih berdikari, lebih bijak mengatur kehidupan dalam mencari rezeki bukan hanya untuk diri, tetapi keluarga yang dibina.
Mengenali ikon Youtuber yang merangkul salah satu anugerah ASEAN Outstanding Business Award 2019, Asyalliee Ahmad atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Baba membuka luas minda penulis mengenai anak-anak muda kini.
Dikenali melalui video-video tutorial solekan serta berjaya menarik 400,000 subscribers di Youtube sehingga dia digelar Beauty & Make Up Guru, Asyalliee kini hidup selesa bersama keluarga.
Walaupun masih lagi aktif berkongsi tips-tips solekan dan penjagaan wajah, dia kini sudahpun bergelar usahawan melalui perniagaan kecantikan dan kesihatan Loveliee. Meminjam Love dan gabungan Lliee dari namanya sendiri, Asya kini sudah boleh menarik nafas lega kerana impiannya untuk menjadikan setiap wanita cantik dan lebih berkeyakinan tinggi sudah terlaksana.
“Saya memang cintakan bidang solekan. Saya sudah terbiasa bersiap cantik untuk menghadiri majlis atau untuk sekadar content di dalam Instagram. Bila dah bersolek, tentulah kita rasa diri kita cantik dan ketika itulah keyakinan kini makin melonjak.
Nak buat apa pun kita yakin, waima hanya untuk berada di rumah. Disebabkan itu, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjalankan perniagaan ini. Bukan hanya untuk saya, tetapi setiap wanita di dunia,” katanya penuh semangat.
HIDUP MISKIN
Perjalanan yang dilaluinya bukanlah semuanya indah. Wanita kacukan Thailand-Melayu ini pernah terjah ke dunia modelling namun itu bukan ‘jiwanya’.
“Saya mula dengan perkongsian video solekan di Youtube. Kemudian saya masuk ke dunia modelling dan baru mulakan perniagaan. Saya pernah ditipu, dijadikan kambing hitam, difitnah dan tidak dibayar dulu. Mungkin kami suami isteri tidak ada pengalaman dalam bisnis ini tambahan pula saya masih muda, mungkin itu yang menyebabkan orang mengambil kesempatan.
Waktu kecil dulu pun saya digelar budak miskin. Arwah ibu hanyalah seorang tukang masak yang sering berpindah-randah. Kalau nak tahu, saya pernah menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kedah kerana mengikut ibu. Jadi saya tak ramai kawan. Sewaktu di Kedah, arwah ibu dapat menjadi tukang masak di kedai dan diberikan sebuah hostel kecil untuk kami tiga beranak.
Di situlah kami tidur dan makan. Kawan-kawan di sekolah gelarkan saya budak miskin, budak kotor, tak mandi malah mereka jauhkan diri dari kami. Hendak ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Lepas ibu meninggal dunia, saya dan adik terpaksa berpisah kerana kami tinggal berasingan bersama kakak-kakak yang sudah berkahwin,” ceritanya.
PERKAHWINAN
Masih kekal cantik dan bertubuh langsing, surihati kepada Eboy Arbaain dan ibu kepada dua cahaya mata, Haider Mikhael dan Siti Helena Adrianna ini terus diuji dalam kehidupan. tidak pernah berputus asa, Asya dan suami terus bangkit mencari rezeki halal.
“Sebelum berkahwin, saya memang hidup hasil daripada review yang dibuat di Instagram. Itulah perbelanjaan untuk makan, membeli keperluan seperti barang solekan, baju dan mungkin beg tangan. Selepas berkahwin, saya masih mencari pendapatan dengan hasil review tetapi di bawah satu pengurusan. Saya menjadi duta produk dan aktiviti modelling juga. Namun, upah yang diterima sangat sedikit berbanding percentage yang diambil pihak pemgurusan.
Baru beberapa minggu usia kandungan pertama, saya difitnah meniru rekaan fesyen seorang pereka. Tidak ada sesiapa yang menegakkan kebenaran dan saya menjadi mangsa kambing hitam! Duit dalam bank hanya tinggal tak sampai RM500 untuk kami hidup. Saya terlalu stress dan emosi saya sangat terganggu ketika itu. Saya jual baju K-Pop yang saya gemari, beg-beg tangan walaupun tak berjenama hanya untuk beli makanan.
Mujur kakak-kakak dan kawan-kawan sedia membantu. Di rumah merekalah tempat kami menumpang makan. Saya sentiasa berdoa agar Allah mengubah hidup kami menjadi lebih baik dan menunjukkan kepada kami kebenaran. Kami rasa sungguh teraniaya!”ujarnya.
CABARAN DAN MATLAMAT
Di sebalik setiap kesukaran, tentunya terbit hikmah di hujung jalan. Ujian dari Allah tak pernah surut. Dalam perniagaan juga ada kalanya kuat juga dugaan dihadapi.
“Menjadi seorang influencer, susah juga untuk sentiasa nampak ‘sempurna’ di mata orang. Sedangkan saya juga sama seperti orang lain yang melakukan kesilapan. Saya sendiri masih mencari ruang untuk memperbaiki diri yang serba kekurangan tetapi terpaksa hadam setiap kecaman. Jujurnya ia memang menambahkan tekanan tetapi itulah cabaran seorang influencer.
Setiap kali saya jatuh, saya anggap diri saya kalah. Untuk bangkit semula, saya letakkan dua BIG WHY iaitu untuk memberikan anak-anak saya hidup senang. Saya tak mahu mereka hidup susah seperti kami dulu. Dan, saya juga ingin memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Kesusahan dalam hidup dulu memang banyak mengajar saya mengenai hidup. Betullah kata orang, kalau asyik memandang ke langit, sesekali perlu juga menjenguk rumput di tanah.
Memilih posting yang sesuai untuk tatapan viewer setiap hari juga mencabar. Saya pentingkan feed yang bermakna serta aesthetically pleasing to the eyes kerana dalam industri ‘influencer’ ini, kita perlu berikan value dalam setiap posting untuk kekal relevan. Kalau setakat tayang gambar cantik sahaja tidak mampu untuk membuatkan kerjaya anda tahan lama,” katanya.
Pada usia 23 tahun, Asyalliee sudah memiliki beberapa buah kereta mewah dan koleksi beg berjenama. Segala kepayahan yang dihadapi sudahpun dibayar dengan kesenangan masa kini. Apakah perasaan anda?
“Ini semua pinjaman dari Allah. Saya tak boleh rasa terlalu happy atau bangga dengan kurniaan ini kerana ia hanya bersifat sementara. Saya kira, ini adalah rezeki anak-anak dan perlu digunakan sebaik mungkin. bila Allah dah berikan ilmu serta pengalaman, saya mahu kongsikan bersama orang lain. Niat saya, untuk membantu orang.
Saya kuat berangan. Macam-macam saya mahu tetapi Allah itu lebih mengetahui. Dia memberi apa yang saya perlu, bukan apa yang saya mahu. Matlamat saya adalah untuk naikkan perniagaan orang Islam dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum wanita.
InsyaAllah, tak lama lagi saya akan mengeluarkan single sulung. Dari seorang ahli perniagaan, saya juga akan mula menceburi bidang nyanyian. Doakan ini menjadi salah satu peluang untuk saya kembangkan lagi bakat dan kurniaan Allah kepada saya.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto dan video: Instagram Asyalliee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejayaan yang ditempa usahawan muda ini bukan calang-calang. Belum pun mencecah usia 30 tahun tapi semangat Siti Mariam Abdul Samad untuk berjaya dalam perniagaan benar-benar cetus inspirasi. Mana tidaknya, daripada seorang jururawat yang tiada pengalaman dan latar belakang dalam dunia keusahawanan kini merupakan pemilik empayar niaga bernilai jutaan ringgit!
Tatkala ditanya faktor utama yang membuatkan Siti Mariam nekad mahu bergelar usahawan produk rambut berjaya, ini jawapan jujur beliau selaku pengasas Faith Fleur. “Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah rambut yang sangat teruk kira-kira lima tahun lepas. Rambut saya gugur dengan banyak dan saya rasa malu berdepan dengan orang ramai selain hilang keyakinan diri.
Saya juga jadi buntu apabila kebanyakan produk yang sudah saya cuba dan guna pun tidak memberi kesan memuaskan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut sendiri,” ujarnya yang tertarik dengan dunia kecantikan rambut sejak zaman remaja lagi.
Yang pasti, jenama produk penjagaan dan kecantikan rambut Faith Fleur yang diusahakan kira-kira tiga tahun lalu merupakan pencapaian paling bermakna bagi isteri Muhamad Abdul Halim Bahadorisam ini. Apatah lagi, dia pernah mengalami kejatuhan dalam bisnes selain menanggung beban hutang yang besar.
“Bayangkan, umur baru 24 tahun tetapi saya terpaksa tanggung hutang keliling pinggang berjumlah lebih daripada RM110 ribu! Selepas berkahwin, saya berdepan masalah kewangan yang serius. Saban hari saya ‘dikejar’ pemungut hutang Ah Long.”
Sebelum bergelar usahawan, Siti Mariam pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Bagaimana pun, beliau memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan.
Sepanjang tiga tahun mengemudi legasi Faith Fleur di samping suami tercinta, kini Siti Mariam boleh tersenyum bangga apabila hasrat untuk memiliki wisma sendiri akhirnya berjaya direalisasikan. Wisma Ctymary yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor dijadikan sebagai ibu pejabat Faith Fleur dan sehingga kini Siti Mariam mempunyai seramai 3,000 agen di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei.
Lebih mengujakan, papan iklan berkaitan produknya terpampang luas di segenap lebuh raya utama di seluruh negara. “Alhamdulillah, tahun ini Faith Fleur di bawah Ctymary Resources bakal membuka tiga warehouse di headquarters kami di Bandar Saujana Putra, Bintulu dan Sabah. Selain itu, kami juga baru sahaja menerima empat anugerah daripada mentor Dr Azizan Osman dari Richworks.”
Ujar graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini lagi, dia amat bertuah kerana jenama Faith Fleur melonjak naik dan dikenali ramai ketika negara berdepan Covid-19 sejak pertengahan Mac lepas. Malah pasaran Faith Fleur mendapat permintaan luar biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu disebabkan strategi pemasaran yang tepat dan betul.
“Kebanyakan pengguna tertarik dengan Faith Fleur kerana ia bebas kimia berbahaya seperti paraben, sles dan paling utama kerana kami adalah produk keluaran Bumiputra. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, saya sendiri dengan rela menjadi ‘tikus makmal’ untuk uji keberkesanan setiap produk Faith Fleur. Daripada feedback yang diterima daripada pengguna, rata-rata mereka menggemari hair serum kerana baunya yang wangi dan tidak melekit. Sebab itu jugalah ia menjadi bestseller Faith Fleur.”
Siti Mariam tanpa berselindung mengakui menjadikan usahawan dan selebriti terkemuka tanah air seperti Noor Neelofa Mohd Noor sebagai pendorong untuk berjaya. Katanya, kesungguhan Neelofa mengurus perniagaan dan kerjaya seni benar-benar mencuri perhatian. Selain Neelofa dia turut menjadikan Dr Azizan Osman sebagai sumber inspirasi.
Kesungguhan pakar motivasi tersebut membimbing dan memberi kata-kata semangat kepadanya sejak awal berniaga dahulu amat bermakna buat Siti Mariam kerana berjaya membentuk dirinya menjadi individu matang, berani dan berpandangan jauh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Niatnya untuk membantu sambil berdakwah, membuatkan nama Ustaz Ebit Lew sentiasa harum di bibir masyarakat. Tanpa menggunakan sebarang kabel, beliau tetap aktif menyantuni golongan yang memerlukan, melangkaui batasan bangsa dan agama.
Jumaat lepas, Ustaz Ebit Lew mengambil satu inisiatif besar dengan menyewa sebuah pesawat kargo swasta bagi menghantar bantuan kepada petugas barisan hadapan di Sabah. Dalam hantaran di bawah, kata beliau,
Doakan ya. Risau teramat sangat baca tentang saudara kita di Sabah. Ramai mesej saya minta bantuan. Terus pagi ini hantar barang medikal ke Sabah. Hantar barang medikal set PPE dengan spec, face shield, mask, shoe cover untuk keperluan kakitangan hospital, klinik dan frontliner di Sabah. Saya guna perkhidmatan Raya Airways.
Doakan ye insyaAllah semoga Allah selamatkan Sabah. Sayang orang Sabah sangat.
Sehari kemudian, kelihatan semua bantuan tersebut telah selamat diagih-agihkan kepada frontliners di hospital-hospital utama sekitar Sabah. Cepat dan efisyen, begitulah budaya kerja Ustaz Ebit Lew dan pasukannya mengatur bantuan.
Syukur sangat barang yang dihantar kami dari sini ke Sabah dengan Raya Airways Kargo selamat selesai dihantar. Semua bekalan set PPE, mask, spec, sarung kaki, face shield untuk frontliner telah selesai diedarkan dalam masa 2hari. Syukur 10 kru sukarelawan kami di Sabah diketuai Hj Ikhsan Helzy. Mereka semua berniaga kereta sewa. Senang bergerak sana sini. Banyak kenderaan.
Bantuan di hantar ke Hospital Tawau, Pejabat Kesihatan Lahad Datu, Hospital Semporna, Hospital Kudat, Hospital Tuaran, Menggatal, Semporna dan beberapa tempat lain. Bergerak sepanjang hari sampai malam bergerak dalam kenderaan kesana sini. Bahagia rasa. Anak muda bergerak di sana. Banyak video ucapan terima kasih dari Ketua Pengarah di sana. Syahdu rasa sangat.
Cuma satu harapan saya dari sini. Semoga Allah selamatkan Sabah. ALLAH beri kekuatan pada semua frontliner. Allah sembuhkan yang sakit. Allah berkatkan rezeki setiap orang yang dalam kesempitan. Semoga semua cepat kembali suasana seperti dulu-dulu Insya-Allah.
================
Alhamdulilah, syukur dengan segala keprihatinan dan bantuan dermawan seperti Ustaz Ebit Lew ini. Satu persatu budi baiknya menjadi kenangan manis rakyat Malaysia, antaranya yang terbaru dengan menyewa bas bagi membantu para pelajar pulang ke kampung dan menyewa lori tangki air untuk membantu penduduk Selangor yang keputusan bekalan air.
Semoga lebih ramai hartawan dan dermawan Malaysia sama-sama turun padang meringankan beban para petugas hadapan serta rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini. InsyaAllah dengan izin-Nya, dunia akan kembali sembuh dan semua dugaan ini akan berakhir.
Sumber: Facebook Ustaz Ebit Lew
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Siapa sangka, kanak-kanak kecil yang dahulu main badminton di kilang tempat ibu bapanya bekerja kini merupakan pemain badminton wanita yang menghuni ranking ketujuh dunia! Ratchanok Intanon bukan hanya menjadi kebanggaan rakyat Thailand malah bakat sebagai jaguh badminton meraih perhatian peminat sukan antarabangsa.