Petang itu mendung, awan sepertinya menunggu masa untuk mencurahkan rezekinya ke bumi. Suasana itu membuatkan jiwa saya menjadi sentimental sambil menyelak beberapa naskhah majalah Nona yang lama dan uzur rupa parasnya.
Sebuah jenama terunggul diterbitkan pada tahun 1986 dan alhamdulillah terus bertahan sehingga sekarang. Saya percaya, ada di antaranya yang membesar dengan naskhah ini. Sebuah karya yang menjadi teman melepaskan waktu lapang dan medium ilmu buat wanita unggul, sebelum hadirnya media sosial. Dari saiznya besar gedabak hinggalah sekarang telah dikecilkan saiznya.
Detik ini membuatkan saya ingin berbicara bersama salah seorang mantan editor majalah Nona, Ida Abdul Aziz. Enam tahun sudah berlalu sejak wanita inspirasi ini meninggalkan kerusi jawatannya sebagai editor majalah.
Sepanjang perjalanannya memegang tampuk pemerintahan empayar NONA, terlalu banyak pengalaman yang dilalui dan terakam menjadi memori terindah dalam hidupnya. Beliau adalah bekas bos saya, sebelum selayaknya saya mengambil alih tugas dan tanggungjawab itu.
26 tahun sis Ida masih lagi bertahan dalam dunia penerbitan, kini kerjayanya diteruskan sebagai editor majalah Rasa. Sis Ida mula bercerita, “Sebelum berkahwin dengan Nona, saya merupakan senior writer Mingguan Wanita dan kemudiannya dilantik sebagai editor Rasa. Tak silap saya, perjalanan saya di Majalah Nona bermula pada tahun 2006 dan ia merupakan satu pengalaman yang membawa saya ke satu level lain.
Di situ pernah air mata saya tumpah dan di sepanjang pelayaran itu juga saya merasa gembira dan teruja. Pahit dan manis tersimpul rapi dalam ingatan saya. Bersama majalah Nona saya mula didedahkan dengan kehidupan orang-orang atasan, VIP, kerabat diraja dan ramai wanita-wanita besi negara.
Ketika itu, saya belajar tentang protokol majlis rasmi, masuk istana dan sebagainya. Menyelami kehidupan yang selama ini berbeza dengan kehidupan harian yang dilalui. Saya bukan beranak atas duit, asal daripada keluarga sederhana. Tiba-tiba melangkah ke dunia glamor dan ternama. Sememangnya satu putaran sosial hidup yang menuntut saya mengenali dunia lebih luas dalam pelbagai golongan lapisan masyarakat.
Pada awalnya, saya mengambil masa untuk mengenali dan berinteraksi dalam suasana baru ini tetapi tidak pernah saya mengalah kerana inilah cabaran dan tugas kewartawanan yang perlu saya lalui. Saya mula menghadiri pelbagai majlis berprestij dan dibawa menjelajah ke beberapa buah negara untuk membuat pelbagai laporan client. Paling penting juga wardrobe kena bertukar dengan elegan untuk menghadiri pelbagai undangan majlis.
Saya langkah dengan berani dan dari situ saya mula menjalin hubungan yang begitu akrab dengan ramai VIP dan golongan atasan. Pada permulaan memang semuanya canggung dan kekok, lama-kelamaan kita sendiri boleh merasai dan tahu karakter ragam manusia yang sebenarnya.
Kita sudah boleh baca sikap mereka, kalau ada yang pura-pura dan tidak ikhlas juga, kita boleh tahu. Semuanya saya lalui secara profesional. Cara percakapan dan mindset juga perlu bertukar sesuai dengan jenama majalah yang dibawa.
Kalau ingin diceritakan kisah dan pengalaman bersama Nona terlalu banyak, satu peristiwa yang membuatkan saya tersentuh apabila seorang VIP membuat panggilan menyuruh saya untuk memberhentikan salah seorang penulis majalah Nona disebabkan beliau tidak suka dengan cara penulisan penulis itu.
Saya enggan untuk terus melatah dengan keadaan ini. Cuba selesaikan dengan cara yang baik, menghantar surat memohon maaf kepada pihak VIP tersebut dan memberi surat teguran kepada penulis tersebut. Itulah antara cabaran kala kita berhadapan dengan insan-insan berpengaruh, perlu berhati-hati dengan setiap apa yang kita ingin kongsi kepada pembaca.
Itu tidak masuk lagi kes saman dan sebagainya. Dalam keadaan ini ada ketikanya kita terasa sangat kecil, tetapi tidak semua antara mereka yang sombong atau hidung tinggi, kebanyakannya baik hati dan ada antaranya menjadi sahabat baik sehingga sekarang.
Antara kenangan terindah yang dapat saya kongsi bersama apabila diberi peluang untuk duduk dan berbicara dengan isteri Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Siti Hasmah dan Allahyarhamah Datin Paduka Seri Endon. Saya kagum dengan dua wanita inspirasi ini, setiap petah baris bicara mereka pastinya diselimuti dengan elemen positif dan semangat memperkasakan wanita lain.
Selain itu, memori terindah apabila kami berjaya dapatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya YB Nurul Izzah Anwar. Alhamdulillah, sold out edisi Jun 2008 itu. Bukan mudah untuk dapatkan beliau ketika itu yang baru sahaja keluar daripada tahanan. Saya tolak ketepikan soal politik dan majalah Nona hanya fokuskan pada kisah ‘Dari Hati Seorang Ayah’.
Biarpun peruntukan masa yang diberikan hanya sejam, alhamdulillah semuanya berjalan dengan sempurna. Biarpun mendapat pelbagai kritikan positif dan negatif, kami di meja editorial sangat berpuas hati dengan hasil yang dihidangkan buat semua pembaca majalah Nona. Aura Datuk Seri Anwar bila berbicara, saya akui sangat mempesonakan, bijak dan sarat dengan ilmu.
Kata akhir saya buat semua penulis yang ingin menceburi dunia kewartawanan:
Terima kasih saya kepada Kumpulan Media Karangkraf kerana memberi kesempatan dan kepercayaan untuk saya menerajui jenama besar ini. Majalah Nona, saya belajar erti kekuatan dan ketabahan dalam membentuk keperibadian saya hari ini.” – IDA ABD AZIZ.
Kini, Ida Abd Aziz kembali menerajui editorial majalah Rasa 2018. Semoga sis Ida terus sukses dan berjaya membawa majalah Rasa ke satu tahap terbaik menerusi platform digital dan print… InsyaAllah, amin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perhatian lensa kamera saat berlangsungnya PAU2023 pastinya tertumpu pada anak perempuan bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib Razak. Dikenali sebagai ‘anak bossku’, jelitawan pintar yang menyandang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu jelas memperlihatkan minat yang mendalam terhadap bidang politik seperti yang diwarisi daripada keluarganya.
Nama Nooryana Najwa atau mesra disapa Yana Najib mungkin agak asing bagi segelintir masyarakat namun bagi peminat politik tanah air, mereka pasti mengenali wanita ini.
Ibu dua cahaya mata berusia 35 tahun ini merupakan anak perempuan kepada Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam perkembangan terkini Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) yang kini rancak berlangsung di WTC Kuala Lumpur, kelibat Yana Najib yang manis berselendang merah jambu menarik perhatian…
Berkongsi sebuah video di media sosial, Yana Najib tidak menyembunyikan kesedihannya apabila barisan Pemuda UMNO menyampaikan penganugerahan TOKOH PEMUDA kepada ayahnya.
“Mencari yang bermakna Dalam liku-liku perjuangan
Memilih yang sejati Teman susah dan senang
Terima kasih Pemuda UMNO daripada kami sekeluarga atas penganugerahan TOKOH PEMUDA kepada ayahanda Dato Sri Mohd Najib.
Not a dry eye in the house.” Yana Najib
Tiba seawal pagi dan menghabiskan banyak masa disamping ahli-ahli Puteri UMNO yang lain di perhimpunan yang diadakan, jiwa politik Yana Najib jelas menyerlah. Beliau meresapi perjuangan bapanya dan cukup lantang berkongsi semangat ‘Bossku’ yang sinonim dengan bapanya.
“Yana Najib berjinak-jinak dengan politik. It’s in the DNA, I guess.”
Menelusuri sisi peribadinya, Yana bukan sekadar memiliki jiwa penyayang malah seorang pelajar yang cukup berdedikasi dan cemerlang dalam akademik kerana telah berjaya memperoleh pelbagai ijazah.
Dua tahun selepas berkahwin, Yana menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Wharton, University of Pennsylvania pada tahun 2017 dan tahun lalu pada tanggal 31 Mei pula dia menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Harvard University!
Nooryana selamat bergelar isteri kepada Daniyar Kessikbayev yang berasal dari Kazakhstan pada 19 Mac 2015.
Tidak puas bergantung rezeki pada bidang nyanyian, penyanyi Dato’ Jamal Abdillah, 64 tahun, kini lincah sebagai penternak lembu komersial sejak sebulan lalu. Beliau juga memiliki ladang lembu seluas 2 hektar di Bukit Merah!
Menerusi Bernama, Raja Pop yang bernama Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini juga berimpian mahu mempromosi bidang pertanian agar lebih ramai bumiputera terlibat dalam bidang tersebut.
“Sekarang saya mulakan dengan 20 ekor lembu, perancangan saya akan bawa masuk 80 ekor lagi induk lembu bagi menambah induk sedia ada pada tahun ini juga.” Dato’ Jamal Abdillah
Ladang seluas hampir dua hektar itu dilengkapi dengan kandang lembu yang boleh memuatkan 300 hingga 400 ekor haiwan itu dan kawasan untuk menternak kambing yang juga dalam perancangannya.
Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berkata berbanding ternakan ikan hiasan Arowana sejak 2009, menternak lembu lebih mudah.
Menurut Dato’ Jamal Abdillah, Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) juga sentiasa bersedia membantu beliau memberikan khidmat nasihat dalam membantu menguruskan penternakan lembu tersebut.
Menyentuh mengenai ladang ternakan ikan Arowananya yang juga terletak di Bukit Merah, beliau berkata minat terhadap ikan hiasan membuatkan dia mahu mengekalkan perniagaan tersebut.
Katanya sebelum ini perniagaan itu dijalankan secara sistem ‘pawah’ atau pajakan, tetapi kini ia dimulakan semula dan merancang mengeksport hasil tersebut ke luar negara.
“Bidang ternakan ikan hiasan dan lembu ini amat berpotensi memberi hasil lumayan jika dilakukan dengan konsisten.
Tidak terkecuali masih banyak ruang boleh diteroka oleh usahawan Melayu yang mahu menceburkan diri dalam bidang ini, apatah lagi untuk membantu usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara.” Dato’ Jamal Abdillah
NYANYIAN
Kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa membantu dari segi khidmat nasihat dan kursus bagi mereka yang berminat menjadi penternak dan peladang. Justeru, beliau mengambil keputusan untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur menguruskan kerjaya nyanyian dan ladangnya di Perak.
Menyentuh kerjaya nyanyian, Jamal yang baru dikurniakan cahaya mata keempat hasil perkongsian bersama isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin, April lepas berkata dia akan terus menyanyi selagi diterima peminat.
“Selagi orang suka saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya melakukan senaman dan menjaga pemakanan bagi menjaga kualiti vokal.”
Sebelum ini dilaporkan ladang ternakan Dato’ Jamal Abdillah mendapat perhatian JPV dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali meluangkan masa melawat ladang berkenaan.
Inisiatif tersebut dipuji kerana penyanyi itu mengambi langkah bijak menyahut seruan kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara.