
Pernahkah anda berhadapan dengan rakan sekerja yang memanggil anda dengan gelaran ‘sayang’ atau ‘ dear’ sebelum ini? Jika ya, tahukah anda, memanggil rakan sekerja dengan panggilan seperti itu boleh dikenakan tindakan tatatertib?

Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengeluarkan satu surat edaran bertarikh 7 April yang menyebut ucapan ‘sayang’ dan ‘dear’ oleh mana-mana pegawai awam yang mengganggu mangsa dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan.
Manakala tindakan menyentuh, memegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati dan seumpamanya oleh penjawat awam pula adalah kesalahan gangguan seksual secara fizikal.

Penjawat awam juga dianggap melakukan gangguan seksual visual jika menghantar gambar tidak senonoh serta mesej berbaur seks atau ‘sexting’ menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya.
Ketika membuat aduan, mangsa perlu memaklumkan kesan akibat gangguan terbabit secara terperinci seperti menyebabkan fikiran terganggu, perasaan kurang senang, rasa terhina dan sebagainya.
Mangsa juga perlu memaklumkan tempat, masa dan tarikh kejadian, selain tempat bertugas ketika kesalahan itu berlaku.
Semua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Pada masa sama, surat edaran dikeluarkan Bahagian Naik Pangkat dan Tatatertib SPA itu turut menggariskan penjawat awam yang terbabit dalam hubungan sulit sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Kesalahan lain termasuklah tidak hadir bertugas, tidak ketik kad perakam waktu, mengemukakan sijil cuti sakit palsu, penyalahgunaan dadah, membuat penyataan awam di media sosial dan kesalahan perolehan.
Hukuman bagi setiap kesalahan pula akan ditentukan Lembaga Tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, sama ada amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


