Bertamu ke kediaman mewah milik the one and only Datuk Chef Wan yang terletak di Garden Residence Cyberjaya ini mencetuskan inspirasi.
Banglo tiga tingkat yang dilengkapi dengan kemudahan lif menambahkan lagi keterujaan kami untuk meneroka ke segenap ruang hunian yang baharu didiami ini.
Nona bertuah kerana berpeluang untuk bertandang ke kediaman hebat milik Datuk Chef Wan. Keindahan rekaan interiornya begitu memukau pandangan.
Rona lembut melatari segenap ruang banglo tiga tingkat ini. Penulis cukup teruja dengan idea dekorasi yang diilhamkan sendiri olehnya. Masih terasa keempukan fabrik Baker Sofa yang dihasilkan khas dari New York bagi melengkapi ruang tamu bernuansa elegan.
Kreatif
Biarpun di luar sana aura Datuk Chef Wan tidak boleh dinafikan lagi namun ketika mendekatinya secara dekat, beliau juga begitu menitikberatkan nilai privasi.
Buktinya, setiap ruang kediaman punya kisahnya yang tersendiri seiring dengan momen-momen kembara yang turut diadaptasi dalam setiap sentuhan dekorasi.
Ads
Kebanyakan barangan perhiasan yang dipamerkan melambangkan sebahagian daripada negara-negara yang pernah beliau kunjungi. Antaranya ialah pasu, pinggan mangkuk serta perabot.
Benarlah, Datuk Che Wan seorang yang cukup istimewa serta unik kerana selain pakar dalam masakan beliau juga seorang yang kreatif dalam berbagai bidang termasuklah dekorasi. Ternyata, kreativiti beliau tidak terbatas. Itulah yang dinamakan anugerah dari Ilahi yang mungkin tidak dimiliki oleh orang lain.
“When your life is hectic and often surrounded by endless people, I always take comfort to escape and be on my own to kind of unwind yourself, and find peace and tranquility,” ungkap Datuk Chef Wan.
Ads
Maka, sebab itulah Datuk Chef Wan mencurahkan sepenuh idea untuk interior kediamannya kali ini biarpun terpaksa mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk disiapkan sepenuhnya.
Ruang Privasi
Sudut privasi serta menjadi kegemaran Datuk Chef Wan untuk beristirehat ialah ruang televisyen. Di sini beliau dapat bersendirian tanpa gangguan. Sementara untuk tetamu mahupun saudara mara yang berkunjung, mereka disediakan ruang khas di tingkat bawah.
Ads
Namun begitu, Datuk Chef Wan tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap ibu tercinta. Sebuah kamar indah disediakan dilengkapi dengan dekorasi bernuansa klasik buat ratu hatinya itu.
Datuk Chef Wan menjadikan ibunya iaitu Noraini Abdullah sebagai tulang belakang dan sumber inspirasi untuk berjaya dalam kehidupan.
Beliau juga sentiasa mengenang pengorbanan serta keperitan ibunya dalam membesarkan tujuh orang anak. Sejak kecil lagi Datuk Chef Wan belajar erti kepayahan hidup yang menjadi pencetus semangat buat beliau untuk merubah kehidupan.
Kesimpulannya, Datuk Chef Wan dilihat begitu menitikberatkan soal pencahayaan semula jadi untuk kediamannya. Beliau juga akan memastikan membuat pilihan yang terbaik, berkualiti dan berbaloi ketika membeli barangan perabot mahupun perhiasan kediaman. Ia umpama satu pelaburan jangka masa panjang. Amy Mohd
Kredit Gambar: Instagram Datuk Chef Wan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bantuan Prihatin 2021 yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn.Bhd menyasarkan penyampaian sumbangan kepada golongan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan sepanjang PKP dan PKPD di seluruh Selangor dan di Kuala Lumpur.
Program bantuan ini turut disertai oleh syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn.Bhd., Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd. Pihak Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings iaitu SimplySiti, BeauSiti dan BeauTYRA mengalu-alukan lebih ramai individu, syarikat dan NGO untuk menyertai usaha ini sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin.
Pengasas Yayasan Nurjiwa merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn.Bhd, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berharap agar program bantuan ini akan dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai anak kecil. Bantuan ini memfokuskan kepada barangan keperluan kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah dan boleh dimohon oleh keluarga di Selangor dan di Kuala Lumpur.
”Kami akan usahakan secara berperingkat dan menyasarkan 1500 keluarga yang terjejas akibat pandemik sewaktu PKP dan PKPD ini. Justeru, saya juga berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini,” ujar Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Siti mewakili Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn.Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd. menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini.
”Sejak pandemik melanda negara hingga ke hari ini, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh rakyat. Hari ini kita terus kuat bersatu dan menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,” jelas Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Bagaimanakah cara memohon Bantuan Prihatin 2021 ini? Program Bantuan Prihatin 2021 ini boleh dimohon dengan mengisi Google Form sahaja. Keluarga susah dan mempunyai anak berusia 6 tahun ke bawah layak memohon.
Klik pautan INI Kemudian lengkapkan maklumat yang diperlukan. Permohonan mendapatkan bantuan ini hanya perlu dibuat oleh salah seorang wakil suami atau isteri sahaja.
Orang ramai boleh menyertai usaha memberikan bantuan ini dengan menyumbang ke Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 yang dilancarkan oleh Yayasan Nurjiwa dan CTDK bersama Kita Fund. Untuk menyumbang, klik link INI atau terus ke laman web Kita Fund.
Kredit Foto: Instagram @ctdk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terpikat dengan aura cantik dan raut wajah penuh kelembutan milik adinda Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Muhammad V, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Amalin Aishah Putri ini. Anggun berhijab dan senyuman yang lekang terukir di bibir… keperibadian YAM Tengku Amalin Aishah Putri sentiasa menjadi inspirasi kepada ramai kaum wanita di luar sana.
Menjelang bulan Jun depan, genap tujuh tahun YAM Tengku Amalin melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Pengiran Hj Mohamed Bolkiah. Istimewanya pada tahun ini, rumah tangga YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi diserikan dengan kehadiran cahaya mata ketiga Yang Amat Mulia Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Putri Binti YAM Pengiran Muda Abdul Qawi.
Memetik laporan yang disiarkan menerusi Instagram Koleksi Foto Sultan Muhammad V, YAM Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Putri selamat dilahirkan di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pada hari Rabu, 18 Jamadil Akhir 1441H bersamaan 12 Februari 2020 pada jam 10 pagi.
Mengimbas kembali detik penyatuan jiwa YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi, pasangan diraja Kelantan Darul Naim dan Brunei Darussalam ini selamat diijabkabulkan pada sebelah malam, hari Khamis 27 Jun 2013 di Istana Mahkota, Kubang Kerian. YAM Tengku Amalin Aishah Putri ialah satu-satunya puteri kepada DYMM Almarhum Sultan Ismail Petra dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis.
Manakala pengantin lelaki iaitu YAM Pengiran Muda Abdul Qawi ialah anakanda saudara kepada DYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. YAM Pengiran Muda Abdul Qawi merupakan putera sulung dari 10 beradik kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah Almarhum Pengiran Pemancha.
Terdahulu, YAM Tengku Amalin Aishah Putri dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dikurniakan dua orang puteri. Puteri sulung iaitu YAM Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafa’ah Bolkiah Putri lahir pada 13 April 2014 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Sementara puteri kedua, YAM Pengiran Anak Tengku Azzahra Iffatul Bolkiah Putri pula Jun 2016.
Di samping dilimpahi dengan kebahagiaan berkeluarga, YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga pernah berkhidmat dalam bidang perundangan selama beberapa tahun. Sesuai dengan kelulusannya dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada awal kariernya YAM Tengku Amalin Aishah Putri telah memulakan tugas sebagai seorang Majistret di salah sebuah mahkamah di Kota Bharu bermula dari pertengahan tahun 2006 hingga 2009.
Setelah itu, YAM Tengku bertukar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan jawatan sebagai Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah. Dan akhir sekali memegang jawatan Timbalan Pendaftar sebelum kembali menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne, Australia.
Kini di samping menjalani kehidupan rumah tangga bersama suami dan anak-anak tercinta, YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga memiliki firma guaman sendiri yang dibuka bersama dua lagi rakan kongsi.
Sumber: Instagram Koleksi Sultan Muhammad V
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.
Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.
Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!