Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
Ads
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
MASA BERKUALITI
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
Ads
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
Ads
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Teringat pertemuan yang diatur bersama figura hebat ini di kediamannya untuk edisi khas Nona Superwoman 2018. Bukan sahaja melayan mesra ketika sesi fotografi dan temu bual malah menyediakan hidangan penuh meja. Tak cukup dengan itu, dibekalkan nasi lemak istimewanya berlaukkan sambal udang untuk dibawa pulang.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Memiliki personaliti yang lembut dan apabila berbicara terasa seperti sedang meluahkan perasaan dan mendengar nasihat daripada ibu sendiri. Itulah aura yang dimiliki oleh Datuk Prof Dr Che Muhaya Haji Mohamad ini. Bagi lah apa sahaja soalan pasti akan dijawabnya dengan penuh hemah. Tidak pernah lelah mendengar wanita ini berhujah dan setiap butiran kata yang keluar dari bibirnya ada benarnya.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Mempunyai pengalaman luas dalam bidang kedoktoran banyak membantu wanita yang mesra disapa Prof Muhaya ini lancar bertutur. Mula ditauliahkan sebagai doktor pada 17 Ogos 1985, setelah mendapat Ijazah Doktor Perubatan (M.D) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah memperoleh Sarjana dalam bidang Oftalmologi UKM, Prof Muhaya menjadi Pensyarah dan Pakar Mata Oftalmologi di UKM.
Kemudian, memperoleh sarjana Perubatan dari Universiti Nasional Singapura pada tahun 1992 dan memperoleh FRSC (Edinburgh) juga pada tahun 1992. Beliau seterusnya mendapat Fellowship Uvetis dari Institut Oftalmologi London pada tahun 1998 dan berjaya memperoleh Ph.D dalam bidang Ocular Immunology daripad University of London. Bukan calang-calang wanita yang mampu berada ditempatnya.
Mencipta sejarah tersendiri dengan bergelar Pakar Mata pertama di Asia Tenggara yang melakukan kaedah LASIK tanpa pisau system (Femtosecond Visumax) ke atas pembedahan mata pesakit.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Jarang sekali kita mendengar wanita yang mempunyai darah kacukan Cina ini mengupas tentang isu semasa. Teringin juga mendengar komen Prof Muhaya tentang isu ini. “Memang saya tidak berapa gemar menyuarakan tentang perkembangan isu semasa dan membiarkan mereka yang lebih pakar untuk memperdebatkannya. Bagi saya isu semasa itu adalah gejala tetapi saya lebih suka merawat kuman,” jelas Datuk Prof Dr Muhaya yang bergelar ibu ketika usianya 26 tahun ini penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita yang hebat adalah wanita yang tahu apa yang diingini di dalam kehidupan. Bukan sekadar memiliki objektif bahkan menyumbang kepada pembangunan insan di sekeliling. Tidak kiralah apa pun latar belakang keluarga, ia bukan menjadi satu jaminan atau tiket yang pantas untuk berjaya. Biarpun beliau berdarah keturunan diraja dari kerabat Negeri Sembilan ia langsung tidak memberi kelebihan kepadanya dalam mendaki tangga kejayaan sebaliknya usaha yang tidak kenal erti lelah dan juga kesungguhan yang tinggi menjadi kunci kepada kehidupan yang lebih baik.
Boleh ceritakan mengenai perjalanan kerjaya anda?
Sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat diploma, saya terus mencari pekerjaan dan alhamdulillah ketika itu saya diterima bekerja di IBM Malaysia. Kemudian saya bertukar kerjaya di dalam bidang penyiaran radio di bahagian pemasaran bersama dengan Media Prima Berhad dan ketika itu radio hot.fm baru sahaja dilancarkan jadi saya diletakkan dalam posisi untuk membangunkan jenama ini. Sepanjang bekerja di sana tidak dinafikan saya menimba begitu banyak pengalaman dan bertemu ramai orang. Dari satu acara ke satu acara dan semuanya begitu menyeronokkan namun lama kelamaan saya mula terfikir bahawa kalau saya terus dengan kerjaya ini mungkin saya tidak mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. Kalau nak tahu selepas menceburi kerjaya ini saya pernah menyertai multi level marketing dan bermacam-macam lagi jenis kerjaya yang saya rasakan boleh memberi keuntungan namun semuanya tidak membuahkah hasil sehinggalah saya menceburkan diri dengan Public Mutual. Bermula pada tahun 2010 saya bermula dari bawah dan belajar selok-belok dunia pengurusan kewangan ini dengan mereka yang lebih senior.
Kalau nak tahu, untuk berjaya di dalam Public Mutual bukanlah mudah, sebaliknya ia memerlukan sikap yang positif dan minat yang tinggi. Selain itu seseorang perlu suka cabaran dan apabila berdepan dengan klien berpotensi kita harus mempersiapkan diri dengan segala maklumat. Caci dan maki daripada mentor adalah perkara biasa, namun saya faham bahawa mereka mahu menolak saya untuk menjadi seorang insan yang lebih kuat dan cabaran serta dorongan mereka itu saya ambil dari sudut positif. Alhamdulillah, gaji pertama saya sebagai Perunding Unit Trust mencecah RM6000, mungkin kedengaran tidak banyak tetapi percayalah saya cukup bersyukur dan gembira. Sebelum ini menerusi pekerjaan lain gaji saya tidak sampai pun sebanyak itu. Jadi ini menaikkan lagi semangat saya untuk berjaya di dalam bidang ini. Dari jawatan Perunding Unit Trust saya sedikit demi sedikit mendaki tangga kerjaya dengan bergelar Agency Supervisor kemudian naik sebagai Agency Manager sehinggalah bergelar Group Agency Manager kepada kumpulan saya sendiri sehingga kini.
Pernahkah orang lain merendah-rendah pilihan kerjaya anda?
Pernah! Bukannya orang luar, orang terdekat dengan saya pun merendah-rendahkan jalan kerjaya yang saya pilih. Ada yang pernah mempersoalkan boleh kaya ke sebagai seorang Perunding Public Mutual. Lebih teruk dari itu saya dipandang kecil sahaja berbanding orang lain. Tetapi saya langsung tidak mengambil peduli apa tanggapan mereka. Saya sesekali tidak mahu bersikap kurang ajar, jadi saya hanya mendiamkan diri. Perkara ini menjadikan semangat saya lebih kuat untuk berjaya. Sesungguhnya percaturan rezeki Allah untuk hambanya yang bekerja keras sangat besar. Kini apabila sudah berjaya orang yang dahulunya memperkecilkan saya sudah tidak boleh merendah-rendahkan diri ini. Jauh di sudut hati ini, saya serba sedikit berterima kasih kerana merekalah yang menjadikan saya seorang wanita yang kental untuk mencapai impian
Boleh kongsi tiga tip untuk menjadi orang berjaya?
Tiga perkara yang perlu ada untuk jadi orang berjaya ialah rajin, impian dan juga doa. Pertama kita perlu rajin berusaha, kalau kita malas bagaimana kita hendak berjaya bukan. Hanya orang yang rajin sahaja mampu menjalankan tanggungjawab dan tugasan dengan baik. Yang kedua pula impian, kalau rajin sahaja tetapi tiada impian pun tidak berguna juga. Jadi kita perlu tetapkan satu set di dalam minda apa yang kita mahukan, jadi kita perlu kejar impian tersebut. Yang terakhir sekali ialah kuasa sebuah doa. Jangan pernah pandang enteng terhadap kuasa sebuah doa, InsyaAllah jika kita rajin berdoa kepadaNya dia akan memakbulkan permintaan tersebut. – Fiezreen Ahmad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan melakukan kerja amal untuk dihargai malah jauh sekali untuk dipuji sebaliknya Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah turut diuji dengan kerakusan kanser yang menyerangnya 13 tahun lalu. Namun dugaan hidup yang ditempuhnya telah mendorong untuk memberi lebih kepada komuniti terutama pesakit kanser.
Wanita anggun yang memiliki semangat luar biasa ini bukan sahaja lambang wanita inspirasi bahkan seorang isteri, ibu dan anak yang serba membahagiakan. “Saya merupakan kanser survivor, sebab itu apabila saya melakukan kerja amal melalui Breast Cancer Foundation ia menjadi lebih bermakna dan saya faham serta kenal sangat masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Bercakap sahaja nampak mudah tetapi sukar untuk menyeimbangkan kehidupan sebagai pesakit, ibu, isteri, anak dan macam-macam peranan menjadi tanggungjawab pesakit kanser. Memang besar cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan dan saya bersyukur kerana dengan ‘kurniaan’ ini saya benar-benar dapat mendalami hati dan perasaan pesakit kanser,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene lembut memulakan bicara.
Jelas terpancar riak bahagia apabila bercerita tentang perjuangannya membantu pesakit kanser dapat menerima hakikat kehidupan dan meneruskan kehidupan seperti sedia kala. “Dahulu ketika di awal penglibatan saya, tidak ada sesiapa berani bercakap tentang kanser payudara kerana semua takut untuk bercakap. Sebagai seorang wanita, payudara merupakan simbol yang perlu dipelihara. Bila sudah tidak ada di tempatnya umpama bukan seorang wanita sejati.
Bukan mudah untuk menerima hakikat itu dan perasaan seumpamanya sukar untuk diceritakan kepada umum. Bagi saya Breast Cancer Foundation telah melakukan tugas mereka dengan sempurna untuk mewujudkan kesedaran terhadap wanita tentang bahaya kanser payudara ini. Kini wanita sudah tidak malu untuk bercerita tentang kanser lagi.
13 tahun dahulu hampir 80 peratus pesakit yang datang ke hospital telah didiagnosis kanser tahap tiga atau empat. Tetapi kini bilangan itu sudah semakin berkurangan sehingga 40 peratus. Pada saya ia merupakan suatu anugerah yang tidak terhingga apabila ramai wanita yang sudah sedar dan melakukan pemeriksaan awal. Jadi kanser payudara ini boleh dikesan di peringkat awal dan boleh dirawat dengan lebih cepat. I am so proud of the achievement,” jelas Puan Sri Dato’ Azrene dengan penuh semangat.
Apabila diminta untuk mengulas tentang ramai wanita lain yang menjadikan Puan Sri Dato’ Azrene sebagai inspirasi kehidupan mereka, balasnya dengan nada tenang, “Kerana saya merupakan seorang survivor, secara tidak langsung komuniti kanser payudara ini begitu rapat dengan saya. Apa sahaja yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memperkasa dan menyuntik inspirasi kepada wanita agar bahagia dalam kehidupan walaupun setelah didiagnosis sebagai pesakit kanser. Itu adalah objektif saya.
Apa yang saya lakukan ini umpama telah ditetapkan oleh Sang Pencipta dan meletakkan saya di dunia ini untuk melakukan kerja amal ini. I am happy to do it. Apabila melihat transformasi yang positif telah menguatkan semangat untuk terus berusaha memperkasakan pesakit kanser ini. Apabila saya ketahui ramai wanita yang menganggap saya sebagai sumber inspirasi mereka ini menggalakkan saya untuk beri yang lebih dalam kerja amal begini. I will do this until I die, insyaallah,” terang isteri kepada Datuk Kamaluddin yang merupakan anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Foto: Instagram @breastcancerfoundationmalaysia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.