Naluri seorang ayah terpanggil untuk berkongsi tentang keadaan anaknya yang baru berusia sebulan terkena serangan Batuk Kokol di laman Facebook kini menjadi viral dan mendapat perhatian netizen.
Muhammad Fateh dipercayai menghidap Batuk Kokol juga dikenali sebagai batuk 100 hari dan keadaanya itu diceritakan sendiri oleh bapanya, Azhar Azif.
“Saya akan ceritakan secara ringkas apa itu penyakit batuk kokol supaya lebih ramai yang tahu dan faham tentang penyakit ini. Batuk Kokol atau pun Whooping Cough adalah sejenis penyakit disebabkan oleh kuman bakteria Bordetella Pertussis yang dijangkiti melalui udara daripada orang lain. Sama ada dijangkiti dari ibu bapa sendiri atau adik beradik dan menurut doktor ia mengambil masa 2 hingga 3 bulan juga untuk reda”, jelasnya di laman facebook miliknya.
Ads
Azhar juga memberi tip untuk ibu bapa di luar sana supaya jauhkan bayi daripada orang yang sedang sakit mahupun orang ramai yang tidak dikenali.
“Elakkan bayi yang berumur 5 bulan kebawah berada ditempat orang ramai seperti dalam shopping mall, pasar malam, atau majlis-majlis yang melibatkan ramai orang”, pesannya lagi.
Selain itu, Azhar turut berkongsi tanda-tanda ringan bayi diserang Batuk Kokol dan kesannya terhadap bayi. Tanda – Tanda Ringan
Ads
Demam
Selsema
Bersin
Batuk yang panjang
Selepas batuk yang berpanjangan ini berlaku, ia boleh menyebabkan bayi:
Muntah
Sukar Bernafas/ terhenti nafas
Sianosis (Kebiru-biruan pada mulut, tangan dan kaki.
Azhar turut berkongsi detik cemas apabila Fateh menghadapi kesukaran bernafas sehingga nafas terhenti untuk seketika
Ads
“Kegagalan pihak klinik mengesan sakit yang dialami oleh Fateh, menyebabkan Fateh menghadapi kesukaran bernafas, sehingga terhenti nafas. Apabila wife tepuk-tepuk belakangnya baru lah baby bernafas semula dan kami berkejar ke hospital. Saya tidak menyalahkan seratus peratus kepada pihak klinik (walaupun sepatutnya mereka lebih tahu dan menasihati kami untuk ke hospital lebih awal), namun kami menyalahkan diri kami juga kerana sebagai ibu bapa, kita juga perlu tahu penyakit – penyakit yang berbahaya untuk anak – anak kita supaya kita lebih waspada dan bersedia”, katanya lagi yang turut menjaga anaknya itu bersama isteri, Fiza Jaffar.
Menurut Azhar lagi sekiranya penyakit anaknya itu lambat dirawat, ia akan menyebabkan radang paru-paru, kurang bekalan oksigen ke otak yang boleh menyebabkan sawan dan fungsi otak tidak normal dan boleh menyebabkan kematian. “Semasa saya menulis ini, Fateh masih lagi dalam rawatan (dah 6 hari masuk ICU) dan bergantung penuh dengan alat bantuan pernafasan, masih lagi batuk – batuk yang panjang dan telah diberikan antibiotik secara berperingkat”, tulisnya lagi. Nona berdoa agar Fateh cepat sembuh dari penyakit ini dan kembali normal seperti bayi yang lain.
Sumber: Facebook Azhar Azif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gara-gara watak Tombiruo, semua peminat Zul Ariffin tahu bahawa aktor kacak ini terpaksa ‘membina badan six-pack’ agar mirip sang Penunggu Rimba.
Tidak boleh terlalu kekar dan tidak juga terlalu kurus. Peranan Zul Ariffin sebagai Ejim atau Tombiruo yang menjadi legenda di hutan Keningau turut ‘memaksa’ dia sentiasa bertopeng.
“Memang kali ini produksi filem betul-betul tak menjual rupa. Bayangkan wajah saya tak nampak langsung, sebaliknya mereka banyak close up pada bahagian badan dan mata.
Saya rasa watak Farid Kamil pun lebih menguntungkan sebab sekurang-kurangnya orang tahu juga itu Farid Kamil,” seloroh Zul sambil ketawa.
Katanya kepada Nona, salah satu scene yang paling sukar dilupakan adalah sewaktu mengangkat Nabila Huda, atau pemegang watak Wan Suraya di sungai.
“Rasa menggigil-gigil tangan angkat dia! Bukan saja berat, tambah lagi kena jalan atas batu-batu sungai dan rambut palsu yang menutup topeng muka.
Masa scene tu, kami sama-sama cuak sebab batu licin. Nabila yang ‘konon-konon’ pengsan tu pun asyik minta maaf,” sambung Zul tertawa kecil.
Nona: Tak bawa Mak?
“Saya dengan Mak memang close sangat sebab saya anak bongsu. Kadang-kadang ada juga bawa dia ke lokasi penggambaran sebab nak Mak tengok sendiri bagaimana saya bekerja.
Tapi untuk shooting Tombiruo ni, saya tak cakap langsung sebab kebanyakan scene di hutan. Tak sesuai pula bawa Mak.
Sebenarnya sepanjang penggambaran tu, saya selalu cedera kerana buat stunt sendiri. Nak pakai padding tak boleh sebab Tombiruo tak pakai baju.
Ligamen lutut saya pun cedera sebab dehydrated joint. Itu belum lagi kena slip disc dan macam-macam lagilah! Kalau Mak nampak tentu dia risau. Sebab tu saya rahsiakan,” kongsi lelaki kacak berumur 31 tahun itu.
Nona: Pengalaman baru sebagai Tombiruo?
“Sebenarnya setiap kali berlakon, ada saja benda baru yang saya belajar. Untuk filem ini, salah satunya kena selalu bawa bandage (ketawa).
Tapi sebenarnya I wish I had more time. Walaupun saya dah bagi sepenuhnya, tapi saya yakin kalau ada banyak masa lagi mesti saya akan beri yang sehabis baik.
Penggambaran filem ini dijalankan selama 60 hari iaitu dari bulan Ogos hingga September 2016. Saya selalu dengar macam-macam pendapat… Yang itu yang ini, buat begitu atau jangan buat begini, tapi sejujurnya saya cuma value pendapat yang keluar dari mulut Abang Ramlee saja.
Berkali-kali saya tanya dia, Abang nak role ni macam mana? Sebab bagi saya sebagai penulis cerita Tombiruo yang sebenar, hanya dia yang layak nilai lakonan saya.
Dan momen paling memuaskan hati ini sebagai pelakon adalah bila saya siap pakai kostum, dengar Abang Ramlee cakap, ‘Tak percaya orang yang saya imagine menjelma depan mata!’
Ramlee Awang Murshid Dapat Ilham Sebelum Tidur
Memilih untuk bekerja dari rumah, novelis thriller No. 1 di Malaysia ini mengakui selalu mendapat inspirasi menulis sebelum tidur.
“Yang sebenarnya bila-bila pun idea tu boleh datang. Tapi saya paling tak suka bila ‘dia’ datang sebelum tidur sebab saya akan jadi susah nak tidur!
Jadi cara yang saya buat, saya pujuk-pujuk ‘otak’ supaya keluarkan lagi banyak idea bila saya bangun tidur nanti,” kata Ramlee Awang Murshid yang kini memilih untuk menulis sepenuh masa.
Nona: Abang Ramlee bekerja dari rumah ke sekarang?
“Ya, itu keputusan saya selepas berkhidmat selama 19 tahun di RTM. Sudah sampai satu tahap yang saya mahu bekerja sendiri dan atas kesedaran tak mahu mencuri-curi masa menulis sewaktu bekerja.
Hidayah untuk bekerja sendiri datang pada tahun 2008. Akhirnya saya berhenti pada tahun 2012 dan fokus 100% untuk menulis sepenuh masa.
Setiap hari saya bangun jam 5.45 pagi, solat Subuh dan buat sarapan untuk famili. Kemudian saya hantar anak tunggal ke sekolah, diikuti aktiviti basuh kain dan bersolat Dhuha.
Selepas itu saya mula ‘tenggelam’ dengan dunia penulisan, sebelum tiba masa untuk memasak dan ambil anak dari sekolah,” kongsi Abang Ramlee yang sangat positif terhadap profesion lelaki yang bekerja dari rumah seperti dirinya.
Nona: Novel yang paling dekat dengan kehidupan Abang Ramlee?
“Sunan. Mungkin sebab saya tergolong dalam kategori orang-orang yang mahu bertaubat. Sebenarnya saya mengaku di sekolah dulu, saya kurang pandai. Tapi sekarang saya sedar bahawa semua manusia itu pandai cuma kita saja yang tak sedar potensi diri sendiri.
Saya banyak terhutang budi dengan isteri dan arwah ibu. Dua wanita ini memang penyokong kerjaya saya sejak mula. Dan dua orang ini jugalah yang percaya pada kemampuan saya, pada saat saya tak menyedarinya.
Pencarian saya mencari Tuhan baru bermula. Saya selalu sedar graf agama saya turun naik. Bapa saya qari, tapi saya tak manfaatkan ilmunya betul-betul.
Tahun 2000, saya baru tahu bahawa rezeki yang berkat datang daripada solat dan zakat. Sebelumnya saya selalu bingung, kenapa duit royalti selalu habis? Rupanya zakat ni adalah cara Allah mengajar kita tentang rezeki.
Tentang agama, saya masih lagi belajar. Dan saya tak malu untuk terus belajar sampai bila-bila pun,” akui Abang Ramlee yang kini berusia 50 tahun.
Nona: Cerita sedikit tentang Tombiruo?
“Filem adaptasi novel sudah tentunya tak 100% sama dengan novel asal. Jalan cerita masih kekal cuma ada sedikit yang diubah suai bagi menghidupkan filem yang dihasilkan.
Filem aksi ini mengisahkan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai Penunggu Rimba.
Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan.
Ia secara tak sengaja telah melibatkan kematian ayah Tombiruo, Pondolou, dan itu menimbulkan kemarahan Tombiruo.
Sementara itu, insiden kematian Tan Sri Berham dan isteri Amiruddin, Salina telah membuatkan Amiruddin menyimpan dendam dan memburu Tombiruo kerana menganggap lelaki berwajah bukan manusia itu yang melakukan segala kekecohan.
Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut menjejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak berbahaya seperti yang dikatakan.
Namun apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan, telah mengiringi kekuatan Tombiruo.
Tetapi hakikatnya sebuah rahsia di antara mereka berdua yang telah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden selama ini?
Filem Tombiruo dibarisi pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Dato’ M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar serta ramai lagi. Jom dengarkan promosi dari bibir Zul Ariffin dan Ramlee Awang Murshid sendiri seperti di bawah. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melakar satu lagi sejarah terbaik pada abad ini, Nona bertuah kerana diberi penghormatan untuk membuat siaran rasmi melalui gelanggang media sosial sempena penganjuran acara World #QuranHour yang berlangsung semalam.
Acara bertaraf antarabangsa ini bukan saja berlangsung pada hari bersejarah negara iaitu 31 Ogos 2017, malah turut jatuh pada tanggal 9 Zulhijjah 1438H.
Sepagi di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu lokasi perdana bagi World #QuranHour kali kedua itu, Nona menyaksikan penyertaan hebat lebih 1,000 orang bermula jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang.
Selain wajah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf iaitu Dato’ Haji Hussamuddin Yaacob, turut kelihatan ramai para ulama, tetamu kenamaan dan selebriti ternama menyerikan majlis yang bertemakan ‘Dunia Berbudi & Penyayang’ itu.
Antaranya selebriti Mawi, Johan As’ari, Ameng Spring dan Lah Ahmad; Imam Masjid Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki; PU Akram; Juara Imam Muda, Hassan Adli; serta ramai lagi.
Program dibawah naungan JAKIM ini dianjurkan oleh UIAM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS).
Semua media utama yang terdiri daripada media cetak, elektronik dan sosial bergabung tenaga atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen World #QuranHour. Ia turut dipancarkan secara langsung di saluran ASTRO Oasis jam 12 tengah hari.
Selain ASTRO, Kumpulan Media Prima, RTM, BERNAMA, TV Al-Hijrah, IKIM.FM serta akhbar utama kumpulan UTUSAN MALAYSIA dan KOSMO, NSTP Group, News Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro serta Kumpulan Media Karangkraf seperti Sinar Harian, Sinar TV dan termasuklah Nona.
Tahun ini landskap mengaji dikhususkan pada bacaan surah Yasin bagi mengambil sebahagian besar inti Al-Quran tentang rahmah yang terdiri daripada nilai kasih sayang, belas kasihan, perikemanusiaan, kebaikan dan cinta, prihatin dan empati sesama manusia.
Acara World #QuranHour dimulakan dengan aktiviti pembukaan ngaji surah Al-Fatihah oleh Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan surah Al-Baqarah Ayat 1-5 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Acara kemuncak adalah solidariti interaksi surah Yasin yang dipimpin bacaannya oleh 21 ‘Yasin Flag Bearers’ atau Pembawa Panji-Panji Yasin yang terdiri daripada latar berbeza sebagai mesej bahawa setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam menjadikan nilai Al-Quran sebagai tindakan bersama untuk membina dunia yang berbudi dan penyayang.
Terdapat 4 kategori lokasi di seluruh dunia:
(1) Lokasi perdana di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM.
(2) Di Padang Arafah yang melibatkan 45,000 jemaah secara individu atau berkumpulan.
(3) Lebih 750 lokasi di seluruh Malaysia termasuk agensi kerajaan, pejabat majlis agama, syarikat, institusi, masjid, sekolah, taman, pasar, kawasan awam atau di rumah dengan pusat keluarga dan Rumah Ngaji.
(4) Lebih 50 negara di seluruh dunia dianjurkan oleh entiti peserta sama ada dalam kumpulan atau sebagai individu. Ini termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan rakan kongsi dan ummah yang lain di seluruh dunia.
Negara terlibat seperti Australia, Oman, Brunei, Filipina, Korea, Jepun, Singapura, India, Myanmar, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Mesir. Norzalina Mohd Alias
Kredit: Foto Karangkraf
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alhamdulillah, tahniah buat Dato’ Jamal Abdillah dan isteri Datin Zai Izatti yang selamat timang cahaya mata baharu. Berita kelahiran anak ketiga buat Datin Zai dan zuriat kelima bagi Raja Pop tanah air ini diumumkan menerusi platform media sosial milik pasangan berkenaan.
Proses kelahiran anak Dato’ Jamal dan Datin Zai kali ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Sebelum ini Dato’ Jamal mendedahkan isteri tercintanya bakal melahirkan bayi mereka pada tarikh 22 Februari 2022 memandangkan bersalin secara pembedahan dan berpeluang memilih tarikh tersebut.
Malah, Dato’ Jamal juga sudah mempunyai nama untuk bayi lelaki ini iaitu Iskandar Rayyan Yamani.
Syukur, semuanya dipermudahkan dan menerusi video yang dimuat naik kelihatan penyanyi lagenda negara ini melaungkan azan sebaik bayi dilahirkan.
Kongsi mereka, “Rabbanaghfirlanaa wa liikhwaninnalladziina sabaquunaa bilimaani wa laa taj’alfii quluubinaa ghilaa lilladziina amanuu rabbannaa innaka raufurrookhiimun.
Artinya: “Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara kami yang telah mendahului kami dengan membawa iman, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sungguh Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
Assalammualaikum..Alhamdullilah telah lahir anak lelaki saya. Mohon doa semoga menjadi anak yg soleh. Amin …
Dato’ Jamal mendirikan rumah tangga bersama Datin Zai Izatti pada April 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani.
Dato’ Jamal juga mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani.
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!