Barbie Edisi Indonesia Sempena Ulang Tahun Mattel & Kemerdekaan RI ke-80, Pakai Gaun Batik!

Bukan boneka biasa, Barbie edisi Indonesia sempena ulang tahun Mattel & Kemerdekaan Republik Indonesia (RI) ke-80 ini tampil elegan bergaun batik!

Mattel baru sahaja menghadirkan sesuatu yang cukup istimewa untuk Indonesia. Sempena meraikan ulang tahun Mattel yang ke-80, yang bertepatan pula dengan 80 tahun kemerdekaan Republik Indonesia (RI), boneka Barbie edisi One-of-a-Kind (OOAK) telah diperkenalkan secara rasmi pada Khamis, 14 Ogos lalu.

Indonesia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-80 pada 17 Ogos 2025 lepas, genap lapan dekad selepas Proklamasi 17 Ogos 1945 yang membebaskan bangsa daripada belenggu penjajahan.

Dengan tema ‘Bersatu Berdaulat, Rakyat Sejahtera, Indonesia Maju,’ sambutan tahun ini berlangsung penuh warna daripada upacara kenegaraan di Istana Merdeka, doa kebangsaan di Taman Makam Pahlawan hinggalah pesta rakyat dan karnival budaya yang meriah di sekitar Monas.

Kemeriahan tidak hanya tertumpu di Jakarta, malah turut bergema di seluruh pelosok tanah air termasuk di Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan persembahan orkestra khas yang mencuri perhatian. Seluruh negara dihiasi dengan merah putih yang berkibar megah, melambangkan keberanian dan kebersamaan rakyatnya.

80 tahun merdeka bukan sekadar angka tetapi bukti keteguhan Indonesia dalam menjaga warisan, membina kebanggaan serta melangkah gagah ke masa depan.

“Boneka One-of-a-Kind edisi perayaan ini adalah penghormatan kepada semangat Indonesia. Ia melambangkan kebanggaan, kreativiti dan keyakinan terhadap generasi penerus, sekaligus menegaskan sumbangan jangka panjang Mattel dalam industri permainan di Indonesia,” ujar Roy Tandean, Naib Presiden merangkap Pengurus Besar PT Mattel Indonesia ketika pelancaran di Muzium Nasional, Jakarta.

Barbie Indonesia
Barbie Indonesia

Boneka istimewa ini lahir daripada kolaborasi antara pasukan Mattel di Indonesia dan El Segundo, California. Dan ia bukan sekadar boneka biasa – setiap helaian dan perincian gaunnya menyimpan makna yang mendalam.

Barbie tampil anggun dalam gaun merah, warna yang mewakili bendera nasional Indonesia sekaligus identiti jenama Mattel. Keindahan busana ini diperkaya dengan motif batik sawunggaling, simbol kekuatan, keberanian dan kebanggaan budaya.

Gaun tersebut turut diserikan dengan batik parang yang melambangkan keteguhan, lengkap dengan siluet bunga calla lily, metafora keanggunan.

Barbie Indonesia

Untuk menyempurnakan gaya khas wanita Indonesia, Barbie ini turut berambut sanggul, menyerlahkan pesona tradisi yang halus tetapi penuh wibawa.

Agaknya bagaimanalah kalau Barbie ini dibuat untuk Malaysia? Mesti pakai baju kurung kapas bunga-bunga kecil dengan selendang, kan? Eh cantik sangat, rasa nak kumpul semula boneka Barbie macam zaman kanak-kanak dulu!

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/badan-terlalu-besar-struggle-naik-perodua-viva-ikon-kurus-200kg-buktikan-beli-kereta-mewah/

Share
Published by
Norzalina