Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mengharumkan nama negara dengan meraih kejayaan demi kejayaan di arena sukan basikal adalah suatu pengorbanan yang sukar dibalas.
Dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo tak lama lagi, Juara Dunia Keirin 2017 ini terpaksa ‘meninggalkan’ sementara isteri tercinta dan anak-anak tersayang demi perjuangannya memburu pingat pertama untuk negara.
Besar sungguh pengorbanan ayah kepada dua anak puteri, Amna Mariam dan Amna Khadeeja dan suami kepada Athiah Ilyana Abdul Samat kepada negara.
Khabarnya, pemilik Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini bukan saja menjadi tumpuan media tempatan. Malah turut diberi penghormatan oleh wartawan antarabangsa apabila disenaraikan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo kelak.
THE POCKET ROCKETMAN
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini begitu terkenal seluruh dunia dengan gelaran The Pocket Rocketman.
Ads
Kemampuannya merakam kelajuan hampir mencecah 100 kilometer per jam (km/j) begitu luar biasa sehingga mendapat gelaran sebegitu. Kagum melihat kejayann anak ke-8 daripada 9 adik-beradik ini.
Azizul kini berada di tangga teratas dalam acara pecut individu berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari 2021. Ranking pertama itu diperolehi kerana Azizul telah berjaya mengumpul 1,600 mata.
Imbas kisah antara Azizul dengan basikal apabila arwah bapanya yang memberi basikal terpakai sebagai ganjaran selepas dia mendapat 7A 1B dalam PMR. Ketika itu, Azizul banyak terima tawaran melanjutkan pelajaran di SBP dan MRSM tetapi memilih Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana minat yang mendalam bidang sukan.
Daripada basikal terpakai, Azizul bakal menggunakan basikal istimewa di sukan Olimpik nanti berdasarkan laporan Berita Harian Online. Basikal tersebut dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.
BURUAN PINGAT
Semoga Azizul mampu melakar sejarah besar berbanding di Rio 2016 selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu.
Ads
Dilahirkan pada 5 Januari 1988 atlet negara ini membuat penampilan pertama di sukan Olimpik pada 2008 di Beijing apabila menduduki tempat ke-10 selepas terkandas di separuh akhir dalam acara keirin.
Empat tahun kemudian di London Azizul berjaya mara ke final acara berkenaan tapi menduduki tempat keenam.
Di Rio 2016, Azizul sekali lagi mara ke saingan akhir dan kali ini berjaya membawa pulang gangsa selepas tumpas kepada Jason Kenny (Great Britain) yang meraih emas dan pemenang pingat perak dari Belanda, Matthijis Buchli.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.
TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.
Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.
Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.
Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”
Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai seorang wanita lebih-lebih lagi yang melalui proses peningkatan usia sedikit sebanyak pasti mahu kecantikan miliknya mampu diperlambatkan.
Oleh itu pengambilan suplemen adalah langkah paling mudah untuk mencegah penuaan ataupun meningkatkan tenaga. Tetapi, ramai wanita yang ‘tertipu’ dengan produk yang berada di pasaran.
Dr. Izzar Anwari telah berkongsi tentang pemilihan yang wajar dilakukan oleh wanita sebelum membeli produk atau suplemen.
Kongsinya, “Produk ubat-ubat, suplemen dan ubat tradisional yang dijual di pasaran Malaysia mesti diuji oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk-produk ini, melalui skim pendaftaran dan perlesenan. Barulah pengguna dapat menggunakan produk-produk yang berkualiti dan yang penting, SELAMAT.
Ia akan menjadi isu apabila company ni daftar produk dia sebagai suplemen vitamin/herba SAHAJA. TETAPI selepas sahaja mendapat kelulusan NPRA untuk vitamin/herba, BOOM dia repackage kotak suplemen tu dan tukar terus CLAIM jadi ubat penyembuh rabun, kencing manis, dan strok. 3in1 macam instant coffee, Amazing!
Sebab tu ada kes seller tu jual ‘ubat’ super yang kononnya boleh menyembuh banyak penyakit dan pada masa yang sama, dia dah didaftar/lulus KKM.
Satu lagi, kalau dengar/baca iklan ubat kata boleh menyembuh penyakit dan lain-lain, sah-sah tu TIPU. Ada 20 JENIS PENYAKIT yang tak boleh diiklankan. Kalau dia ada iklan salah satu daripada 20 penyakit tu, itu tak benar.
Setiap produk berdaftar ada nombor pendaftaran MAL. Inilah ‘IC’ kepada produk tersebut. Kita boleh check produk tu di website NPRA dengan menggunakan nombor MAL ini. Maklumat kandungan aktif produk, pengeluar dan lain-lain boleh kita stalk di situ.
Produk berdaftar juga ada Pelekat Hologram Meditag sendiri. Cara membaca nombor MAL n tengok rupa Meditag tu.
So, kalau penjual promote ubat was-was tu, tanyalah dia ada no MAL tak. Tengok ada Meditag tak. Check dulu kat website NPRA. Kalau takde no. MAL, bye-bye la. Dan kalau dia claim melampau, tak payah beli. Check senarai 20 penyakit yang saya terangkan tadi.
Untuk yang ada mak ayah tu, selalu ke rumah diorang. Pergi ke dapur dan check sikit ubat/suplemen apa dia orang ambil. Saya dan adik-adik selalu buat. Memang ada kadang-kadang produk was-was ni,” kongsi suami kepada Ummi Nazeera ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama selebriti Ashraf Muslim merupakan antara yang terawal dijangkiti virus COVID-19 iaitu sekitar Mei tahun lepas. Sebagai ‘COVID Fighter’, beliau banyak berkongsi hikmah di sebalik ujian tersebut. Pengalaman itu turut mendorong beliau memperbanyakkan amalan sedekah, antaranya menerusi misi kemanusiaan anjuran Islamic Relief Malaysia ini.
Dalam situasi semasa yang menguji penduduk dunia seluruhnya, Islamic Relief Malaysia bersama barisan Ikon Kemanusiaan saling berusaha keras menjalankan kempen dan aktiviti pengumpulan dana untuk meringankan beban mereka yang terjejas.
“Sebagai salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, saya anggap usaha menyebarkan semangat kemanusiaan dan inisiatif mengajak masyarakat melakukan kerja kebaikan merupakan tanggungjawab saya sebagai selebriti.
Saya berharap dengan inisiatif yang dilakukan ini, para peminat dan follower saya juga boleh turut serta menjalankan perkara kebaikan untuk manfaat dunia sejagat.
Islam juga menggalakkan kita untuk saling bantu-membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Pendekatan memberi manfaat itu tidak kira dalam apa jua bentuk pertolongan dan bantuan yang dihulurkan asalkan ia mendatangkan kebaikan kepada si penerima.
Mungkin dengan sekecil-kecil sumbangan yang kita hulurkan hari ini sebenarnya dapat memberi impak besar dalam hidup seseorang, siapa tahu,” kata Ashraf Muslim yang merupakan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
Meskipun padat dengan jadual penggambaran dan tugasan lain, Ashraf tetap berusaha untuk menjayakan kempen ini selain berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat untuk pesakit COVID-19.
Menurut Ashraf, tiada siapa yang meminta untuk diduga positif COVID-19. Justeru, dia menasihati masyarakat sekeliling agar memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang dikenali serta mengelakkan insiden-insiden kecaman berlaku.
Tambahnya, ujian ini adalah takdir yang telah ditetapkan Allah dan kita sebagai hamba perlu sabar, reda serta tabah mengharunginya.
Ashraf Muslim dan kumpulan nasyid Saujana telah mengambil langkah proaktif mengumpul dana dengan melancarkan kempen COVID-19 Emergency Appeal secara atas talian di platform crowdfunding Launchgood.
KONGSI REZEKI
Pelbagai luahan diterima dan terlalu banyak kisah sedih yang dikongsi. Ibu bapa runsing dengan komitmen kewangan juga perbelanjaan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup. Anak-anak pula menghitung hari untuk kembali ke sekolah persekolahan bagi menjalani pembelajaran secara fizikal seperti dahulu.
“Memandangkan kita semua terkesan, jadi sama-samalah kita berkongsi rezeki yang ada. Peka dan prihatinlah dengan orang-orang di sekeliling kita dan cubalah bantu semampunya.
Jika tidak mampu membantu dari sudut wang ringgit, bantulah dengan memberi sokongan moral atau lebih mudah bantulah kami sebarkan maklumat berkenaan kempen ini,” kata Suffian Amrin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
“Jika ada yang sering melemparkan persepsi juga kata-kata bahawa NGO di Malaysia banyak membantu penerima manfaat di luar negara, jadi dengan adanya kempen COVID-19 Emergency Appeal ini dapat mengubah pandangan mereka.
Islamic Relief Malaysia khususnya sentiasa berusaha membantu mereka yang memerlukan tanpa mengenepikan keperluan bantuan masyarakat kita sendiri.
Jadi, bantu kami dengan menyokong kempen ini kerana sedekah itu bukan amalan orang kaya sahaja tetapi ianya ibadah yang mampu menjemput rezeki menjadi melimpah ruah,” akhiri Azalinor Abdul Rahman, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.