Sudah lebih sepuluh tahun Farah menghidap penyakit lelah atau asma. Apabila diserang penyakit ini, pasti Farah tidak dapat melakukan tugasan harian dengan lancar. Badannya akan cepat berpeluh, sukar bernafas dan jantungnya berdegup pantas.
Apa itu asma? Asma ialah sejenis penyakit di mana saluran-saluran pernafasan akan mengecil ketika asma menyerang. Ini akan menyebabkan seseorang pesakit itu sukar bernafas dan nafasnya akan berbunyi. Peringkat kedua asma adalah apabila berlaku radang atau inflamasi di dinding-dinding saluran pernafasan tersebut atas tindak balas badan.
Dalam keadaan biasa dan normal pesakit biasanya tidak mempunyai apa-apa tanda, kerana proses pengecilan itu adalah sementara.
Walaupun asma secara amnya adalah seperti penyakit biasa, tetapi kadangkala penyakit asma yang teruk boleh menyebabkan maut dan asma yang tidak terkawal boleh menyebabkan pesakit di kalangan kanak-kanak mempunyai tumbesaran yang terganggu.
Penyebab
- Keturunan.
- Penyakit alahan (allergic) seperti allergic rhinitis dan utricaria.
- Menyerang apabila seseorang itu terdedah kepada faktor-faktor luaran yang dipanggil alergen seperti habuk, cuaca sejuk, makanan, kucing atau haiwan berbulu yang lain.
- Jangkitan kuman pada saluran pernafasan atau Upper Respiratory Tract Infection juga boleh menyebabkan seseorang pesakit itu diserang asma.
Golongan Berisiko
- Menurut kajian, jumlah kanak-kanak diserang penyakit asma adalah 10 hingga 20 peratus tetapi kebiasaannya kanak-kanak ini akan sembuh apabila usia mereka meningkat.
- Bagi kanak-kanak yang menghidapi asma sederhana, serangan ini akan hilang apabila mencapai usia lingkungan 12 hingga 13 tahun.
- Manakala, 50 hingga 60 peratus akan sembuh apabila mencapai usia 20 hingga 25 tahun. Sementara, 20 peratus lagi akan mendapat asma berterusan dan hanya sebilangan kecil saja yang akan sembuh.
Rawatan
- Langkah pertama yang mesti diambil oleh pesakit asma ialah mengenali dan menjauhi faktor-faktor penyebab asma.
- Setiap pesakit biasanya mempunyai faktor penyebabnya sendiri dan biasanya pesakit itu sama ada dewasa atau kanak-kanak atau ibu bapanya akan tahu faktor-faktor ini.
- Seboleh mungkin, cuba jauhi faktor penyebab dan anda boleh mengelak asma.
- Jika asma masih menyerang, terus ke hospital atau bagi kanak-kanak, mereka hendaklah dibawa untuk berjumpa dengan doktor atau klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Cara Menghindari
- Punca seperti haiwan peliharaan dan ubatan seperti aspirin perlu dipastikan dan dielakkan. Mereka yang mempunyai simptom asma sepanjang hari biasanya berasa lega dengan ubat penghalang berterusan. Ubat penghalang yang paling berkesan adalah steroid yang dihidu.
- Penghidu (inhaler) kortikosteroid (contohnya flutikasone, budesonide, beclomethasone, mometasone)
- Leukotriene antagonis (contohnya montelukast sodium, zafirlukast)
- Agonist beta2-adrenoseptor tahan lama (contohnya salmeterol, formoterol)
- Penstabil sel Mast (contohnya kromolyn sodium (sodium kromoglykate), nedokromil)
- Ambil ubat seperti yang dicadangkan oleh doktor. Jika serangan asma semakin teruk, jangan tunggu sehingga janji temu seterusnya.
- Bawa ubat ke mana-mana saja anda pergi.
- Elakkan daripada menghisap rokok atau berada berdekatan dengan orang yang menghisap rokok.
- Ambil ubat sebelum anda ke tempat yang mungkin akan menimbulkan serangan asma. Jika anda sering mendapat serangan asma yang teruk, sentiasalah membawa senarai ubat daripada doktor anda.
Penyakit asma kadangkala berkait dengan penyakit alahan seperti di kulit (eczema) atau alahan hidung (allergic rhinitis). Pesakit asma yang sukar dikawal juga mungkin disebabkan penyakit lain seperti jangkitan kulat di paru-paru, asid refluks atau resdung.
Semua pesakit asma sama ada dewasa atau kanak-kanak perlu mengenali dan menjauhi faktor-faktor penyebab asma. Bagi kanak-kanak, ibu bapa mestilah peka akan faktor-faktor tersebut, dan kebiasaannya mereka tahu faktor ini. Cuba jauhi faktor penyebab dan anda boleh mengelak asma berlaku pada anak anda.
Ubat-ubatan Berkaitan
Senarai ubat dan rawatan ini adalah bergantung kepada keadaan dan doktor yang merawat.
(a) Syrup Ventolin (Salbutamol)
Ubat ini dikenali sebagai ‘bronchodilators’ iaitu untuk membuka semula saluran pernafasan yang mengecil.
(b) Syrup Prednisolone
Ubat ini juga kadangkala diberikan bagi mengelakkan berlakunya peringkat kedua asma iaitu peringkat radang saluran pernafasan.
(c) Gas Nebulizer
Dalam keadaan yang lebih serius doktor akan memberikan ubat gas (nebulizer) Salbutamol. Nebulizer mengandungi salbutamol dalam bentuk gas yang boleh terus sampai ke saluran pernafasan dan membukanya secepat mungkin.
(d) Suntikan Hydrocortisone
Suntikan ini berfungsi sama seperti ‘prednisolone’ dan bertindak mengelakkan radang di saluran pernafasan. Rosmah Idayu Abu Samah