Bekas Ratu Cantik & Bergelar Nenek, DATIN PADUKA SUSAN MANEN Tetap Jelita Di Usia 47!

Aura Ratu Cantik Malaysia 1993 ini masih memukau walaupun beliau kini sudah pun bergelar ibu kepada empat anak! Membintangi drama bersiri Pengantin 1 Malam dan Perempuan Tanpa Dosa, kecantikan Datin Paduka Susan Manen Ibrahim dalam drama tersebut ternyata menjadi bualan ramai. Apatah lagi dalam usia lewat 40an, Datin Paduka Susan masih kelihatan anggun dan awet muda. Pendek kata, kalau orang kata anak dara pun mesti ramai yang percaya. Beliau sememangnya seorang wanita cantik!

Hakikatnya selain rajin menjaga kesihatan dan kecantikan diri, isteri Datuk Paduka Mustapha Kamal ini juga difahamkan mempunyai darah kacukan Inggeris, Portugis dan Sinhalese. Selepas berjaya menjuarai pertandingan Ratu Cantik Malaysia, populariti Datin Paduka Susan terus melonjak dalam industri seni apabila beliau menerima tawaran berlakon dalam filem Penyu arahan Z.Lokman.

Wajah jelita Datin Paduka Susan pada usia 47 tahun
Di samping suami tercinta, Datuk Paduka Mustapha Kamal
Bersama 4 anak tersayang
Ceria di samping cucu tersayang

Pada tahun 1998, Datin Paduka Susan membuat keputusan memeluk agama Islam dan berkahwin dengan aktor berbakat besar, Datuk Paduka Mustapha Kamal. Sebaik mendirikan rumah tangga, beliau memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.

Hasil perkongsian hidup selama lebih dua dekad, pasangan selebriti ini dikurniakan empat cahaya mata comel iaitu Sabella Qawiema, 22 tahun; Aulia Qayyiem, 20 tahun; Salsabil Qurani, 18 tahun dan Naqli Qaddiem berusia 10 tahun.

Kemunculan Datin Paduka Susan dalam beberapa drama popular nyata mencuri tumpuan ramai. Kerap berlakon di samping suami tercinta, kecantikan beliau yang meniti usia 47 tahun cukup dikagumi penonton. Dengan sepasang mata cantik, hidung mancung dan bibir mungil… tidak hairanlah beliau tetap menjadi buruan pengarah dan agensi pengiklanan.

Melalui perkongsian di media sosial miliknya juga membuktikan Datin Paduka Susan seorang yang aktif bersukan dan gemar menyertai jungle trekking. Ini rupanya rahsia beliau mampu kekalkan bentuk tubuh seperti zaman anak dara dulu.

Datin Paduka Susan Manen
Terserlah wajah ayu Datin Paduka Susan

Antara menu Yummilicious Cakes by Susan Manen

Selain aktif mewarnai industri seni negara, Datin Paduka Susan juga semakin rancak mengusahakan bisnes ‘Yummilicious Cakes by Susan Manen’. Antara menu yang disediakan ialah Sambal Bilis Garing dan aneka jenis kek iaitu Chocolate Indulgence, Chocolate Indulgence Oreo, Chocolate Indulgence Cadbury, Pandan Cheese, Pandan Oreo dan Red Velvet.

Tanggal November 2019, suami tercinta Datin Paduka Susan dikurniakan darjah kebesaran Ahli Setia Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk Paduka pada Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-50, di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Bersyukur dengan pengurniaan darjah yang diterima, Datuk Paduka Mustapha Kamal melahirkan penghargaan buat isteri tercinta.

“Kejayaan seorang suami adalah kerana sokongan, dorongan dan dokongan seorang isteri. Tiga suku kekuatan yang ada dalam diri dan di jiwa suami adalah kerana isteri. Peranan isteri paling penting untuk kejayaan suami dan keluarga, berkat kesabaran dan kesungguhan usaha. Insya-Allah, Dia Maha Penyayang.”

Perkahwinan Datuk Paduka Mustapha Kamal bersama Datin Paduka Susan Manen merupakan perkahwinan ketiga aktor tersebut. Menerusi perkahwinan pertamanya, beliau dikurniakan empat orang anak iaitu Darul Amir Hazin, Darul Ali Hafiz, Darul Azam Harris dan Dayang Aimi Shahira. Perkahwinan kedua pula beliau mempunyai dua orang anak iaitu Ayuna dan Ayuni. Ini menjadikan keseluruhan anak Datuk Paduka Mustapha Kamal seramai 10 orang.

 

Kredit: Instagram Susan Manen & Mustapha Kamal

IKLAN
Share