Seronok dengar cerita Adira Suhaimi sejak bergelar emak! Tak menjadikan kehadiran anak-anak sebagai penghalang kerjaya atau beban seperti tanggapan segelintir pihak, Adira bersyukur kerana pada usia 31 tahun dia sudah pun dikurniakan empat cahaya mata.
Merancang untuk bersalin anak bongsu pada usia muda, isteri Datuk Seri Adnan Abu ini bagaimana pun akur perancangan melahirkan cahaya mata keempat sedikit tersasar. “Memang saya rancang untuk beranak dulu, lepas tu berhenti untuk mulakan balik karier seni.
Sebenarnya saya dah ‘ikat’ (peranakan) dah sebab keempat-empat anak bersalin Czer. Jadi ambil keputusan tu atas nasihat doktor dan suami juga. Syukur dah ada dua anak lelaki dan dua perempuan.
Saya cadang nak berhenti beranak sebelum atau masa umur 30 tahun tapi sebab Covid-19 dan sebagainya, lahir anak last umur 31 tahun.”
Menjawab persepsi wanita anak ramai akan ‘hilang’ awet muda kerana tekanan, Adira ketika ditemu bual Nona menyuarakan pandangan jujur berhubung isu tersebut.
“Tak semestinya anak seorang, dia akan nampak awet muda dan tak semestinya juga anak ramai, akan nampak lebih tua.
Ads
Saya rasa yang penting, mental kita kena jaga dan emosi serta rutin harian kita. Begitu juga apa yang kita makan. Kadang-kadang orang muda tapi tak ada anak pun dah nampak tua. Mungkin dengan masalah tempat kerja atau sebagainya.
Jadi saya rasa wanita khususnya ibu kena sihat mental dan fizikal. Diikuti rutin apa yang dia buat dan pemakanan. Kalau tanya saya sebenarnya, beranaklah ramai-ramai. Seronok ada anak ni sebab bagi saya, bila bujang dulu lain dia punya vibes.
Bila dah jadi seorang ibu ni, lain lagi yang mana saya rasa ia sangat bagus untuk diri saya. Bila ada anak-anak, saya banyak belajar dari segi jadi matang seorang ibu dan jadi multitasking. Saya seronok buat semua tu.
Jangan takut untuk kahwin dan beranak. Beranak ramai sebab anak itu adalah rezeki,” ujar ibu cantik ini yang bakal lancarkan single terbaharu.
Mengulas perkembangan bisnes Air Tangan Adira, pemilik nama Siti Adira Suhaimi ini teruja mengeluarkan rangkaian produk tersebut tidak lama lagi.
Ads
“Bisnes dah setahun ini makin orang tahu. Plan untuk Ramadan, kita keluarkan produk baru macam kerepek, sambal Air Tangan Adira pun dah ada dalam tujuh ke lapan jenis. Memang kalau boleh saya nak fokus dua-dua bisnes dan karier seni.”
Makin aktif membuat content menghiburkan untuk peminat di media sosial, pelantun lagu Ombak Rindu ini akui cara tersebut merupakan antara strateginya untuk lebih dekat dengan masyarakat.
“Saya cuba cabang lain untuk content di media sosial agar lebih mesra dan dekat dengan fan club. Dalam masa sama dapat kenal dan kumpul ramai kawan baru hasil content menghiburkan itu.
Saya happy sebab mereka happy dan apa yang saya cuba tonjolkan di media sosial tu sebenarnya adalah diri saya sendiri dan tak nak ada negative vibes.
Mungkin sebelum ini saya kurang aktif di media sosial. Sekarang, lepas kahwin dan beranak-pinak dengan permintaan terhadap media sosial, saya kena ikut peredaran masa.”
Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red pada 3 Disember 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Anggrek berusia 6 tahun, Asan; 5 tahun, Anggun umur 4 tahun dan Ayub yang lahir pada September tahun lalu.
Selepas pembubaran kumpulan KRU pada tahun 2018, agak jarang dengar khabar Edry Abdul Halim. Apatah lagi, adik kepada Datuk Norman dan Datuk Yusry ini sudah pun berhijrah ke Manchester, United Kingdom (UK) kira-kira empat tahun lalu.
Meskipun tidak lagi mewarnai industri muzik tanah air, kecintaan Edry terhadap bidang seni masih menebal dan menubuhkan KRU Entertainment United Kingdom Limited yang berpangkalan di sana.
Edry yang kini berusia 46 tahun pernah memberitahu media salah satu faktor pembubaran kumpulan KRU adalah kerana masing-masing mahu beri tumpuan kepada keluarga.
Dia dilapor berpindah ke UK bagi mendapatkan pembelajaran terbaik untuk anak ketiganya iaitu Emery yang merupakan anak autisme.
Keputusan untuk berhijrah ke sana dibuat Edry sekeluarga memandangkan Malaysia tiada sekolah khas bagi autism. Setelah beberapa tahun mendapat pembelajaran di UK, Emery memasuki persekolahan menengah khas dan mampu menyesuaikan diri.
Sememangnya membesarkan anak-anak istimewa ini memerlukan perhatian penuh dan kesabaran tinggi bukan saja kepada ibu bapa. Bahkan adik-beradik yang lain.
Menyentuh kebahagiaan rumah tangga, 5 November lepas merupakan ulang tahun perkahwinan Edry dan isteri tercinta, Milia Mohamad yang ke-23. Daripada foto-foto terkini yang dikongsikan Edry di media sosial, kelihatan sisi bahagia isteri tersayang. Malah, terserlah wajah awet muda dan jelita Milia!
Walau lebih dua dekad melayari alam perkahwinan, kemesraan Milia dan Edry kekal subur seperti pasangan kekasih hangat bercinta.
Menitipkan ucapan romantis sempena ulang tahun perkahwinan, kongsi Edry. “23 tahun, 4 cahaya mata dan 1 happy family. Separuh umur saya hidup bersama Milia dan semoga bahagia selamanya.”
Edry mendirikan rumah tangga dengan wanita cantik, Milia Mohamad pada 5 November 1999. Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan empat anak iaitu Emil, Edylia, Emery dan Elya.
Edry merupakan salah seorang anggota kumpulan KRU yang turut diterajui adik-beradiknya iaitu Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Yusry. Cukup popular sekitar era 90an, bagaimana pun kumpulan ini mengumumkan pembubaran selepas 25 tahun menghiburkan peminat seni.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Oktober nanti usia perkahwinan Fazeera Nazri Azrai dan Fizo Omar bakal mencecah usia tiga tahun. Sebelum mendirikan rumah tangga dengan pelakon kacak berkenaan, Fazeera atau mesra disapa Faz merupakan seorang pramugari.
Ibu kepada dua cahaya mata ini mempunyai pengalaman menjadi krew di syarikat penerbangan Air Asia dan Qatar Airways sebelum meninggalkan karier di awan biru itu untuk berkahwin.
Bersandarkan pengalaman tersebut, Faz pada Januari lepas diundang berkongsi pandangan mengenai bidang penerbangan di University College of Aviation Malaysia (UNICAM).
Tampil menawan dalam persalinan biru, anak kelahiran Sarawak ini dilaporkan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan pendidikan.
Ujarnya, “I’m humbled to get together with UNICAM in conjunction with career week and have finally conducted my programme, Language to Inspire.
My main idea that I presented today is professional etiquette for interviews. I personally believe that students need to be exposed to this as a preparation for their future profession.
My hope is that the students can gain as much insight and input from this program. I am so privileged to work with this reputable aviation university.”
Fazeera Nazri bergelar ibu buat pertama kali pada 25 Jun 2022 dan menimang cahaya mata sulung iaitu Wan Khaleeda. 19 Mei 2023, suri hati Fizo ini selamat bersalin anak kedua mereka yang dinamakan Wan Umaira.
Faz dan Fizo bernikah pada 21 Oktober 2021. Menerusi perkahwinan terdahulu, Fizo turut mempunyai seorang anak perempuan iaitu Wan Maryam.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Petah berbicara, gelagat spontan dan gaya bersahaja Asni Abu Mansor ketika menyampaikan ceramah mahupun mengacarakan sesebuah program di kaca televisyen tidak pernah mengecewakan.
Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir saat berdakwah menerbitkan rasa tenang kepada setiap mata yang memandang. Di sebalik kelembutan, terserlah sisi ketegasan insan istimewa ini yang lebih dikenali sebagai Ustazah Asni.
Beliau yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan sudah berkecimpung dalam dunia dakwah dan pembangunan kemahiran serta potensi diri masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu. Bukan hanya bergelar penceramah motivasi, Ustazah Asni juga merupakan seorang Al-Hafizah.
“Saya dibesarkan sebagai anak peneroka felda di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Biasalah anak felda ini dia lasak orangnya. Masa kecil saya selalu ikut mak saya pergi ke kuliah di kampung. Kesan daripada selalu ikut mak ke kuliah itu jadi saya jatuh minat kepada bidang dakwah.
Dari situlah saya mahu bersekolah agama. Bila belajar Al-Quran, saya mahu mendalami lebih banyak lagi. Asalnya saya belajar dengan mak dan kemudian minta untuk berguru dengan ustazah-ustazah lain,” bicaranya.
Menelusuri latar belakang figura terkenal berusia 49 tahun ini, beliau mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran melalui pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Walau pada awalnya hasrat Ustazah Asni untuk beralih arah dalam jurusan tahfiz Al-Quran dipersoal ahli keluarga memandangkan beliau merupakan pelajar cemerlang. Namun penulis buku Kuasa Cinta Al-Quran ini nekad meneruskan impian berkenaan. Hatinya terdetik untuk mendalami kitab suci itu selepas membaca hadis sebuah buku ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Waktu itu saya tengah berehat sekejap dan baca buku hadis bertajuk Fadilat Al-Quran. Dalam hadis itu memberitahu, “Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan mengamalkannya, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia.”
Ia terus menusuk ke dalam kalbu dan dalam hati saya berkata apa lagi cara untuk membalas jasa mak bapa melainkan dengan cara ini. Saya bertegas cakap pada diri sendiri, apa pun keputusan saya, saya mahu hafaz Al-Quran nanti. Alhamdulillah saya dapat teruskan dengan matlamat tersebut. Bagi saya niat yang baik akan memberi kesan yang baik.”
BAKAT
Selain aktif menganjurkan ceramah dan program keagamaan, Ustazah Asni juga mempunyai bakat seni terpendam dan gemar melakukan aktiviti lasak seperti sukan selam skuba dan menunggang kuda. Walau berstatus agamawan tetapi beliau enggan mengehadkan kemahiran dan sering mencuba perkara baharu untuk menguji potensi diri.
“Islam tak kaku dan tidak membataskan kita menjadi orang yang kaku. Islam ini merupakan satu agama yang sangat mudah. Kita boleh letak diri kita walau di mana saja terutamanya dalam seni. Saya ialah seorang yang sangat berjiwa seni.
Saya minat melukis, suka muzik, saya main piano, percussion, seruling, flute dan sebagainya. Walau saya tak ada asas dalam muzik mahupun bidang seni lukis. Saya rasa seni ini sangat membantu dalam urusan dakwah saya. Macam lukisan, saya boleh luahkan perasaan melaluinya.
Pada pandangan sayalah, kalau seni ini lebih mudah menyentuh orang seni. Kadang-kadang satu gambaran atau visual yang kita buat tak perlu berbicara seribu kata. Cukup dengan lukisan. Sekarang ini saya banyak melukis mengenai Palestin sebab ia begitu dekat di hati.
Malah, saya banyak kali ke sana dan belajar banyak benda sepanjang di sana,” dedahnya yang menjadikan lukisan sebagai alat bantu mengajar bagi memberi gambaran kepada penonton ketika beliau menyampaikan ceramah.
Karya indah Ustazah Asni Abu Mansor kebanyakannya berkisarkan mengenai keagungan terhadap Allah SWT dan islam semakin mendapat perhatian banyak pihak. Antara yang membeli lukisan beliau termasuklah golongan kenamaan dan rakan-rakan artis seperti Dato’ Alha Alfa, Datin Paduka Umie Aida, Uqasha Senrose, Nora Danish dan Mimi Lana.
Bukan itu sahaja Ustazah Asni juga merancang untuk membuka galeri dan menerima jemputan seni di luar negara.
CABARAN
Lumrah bergelar individu berpengaruh pasti tidak terlepas daripada menjadi perhatian khalayak. Begitu juga dengan kehidupan Ustazah Asni yang turut berdepan kecaman. Enggan menjadikan ia halangan untuk saling memesan dan menyebar agama Allah, beliau kekal tenang berfikiran positif dan bermuhasabah diri.
“Kecaman itu normal. Nabi Muhammad SAW bukan hanya disanjung tapi juga dikecam oleh ahli keluarga sendiri. Baginda berhijrah ke Madinah kerana dakwah tidak diterima. Sukar untuk buat orang suka dengan kita. Jadi, bersedialah. Bila kita buat dakwah, kita hendak cari reda Allah.
Berdakwah memang perkara mulia tapi jangan rasa kita mulia. Dakwah yang kita lakukan kini tak semua orang boleh terima. Bismillah dan teruskan berdakwah. Ya Allah, saya berdakwah bukan untuk saya betulkan orang. Saya hendak betulkan diri saya sendiri. Pada saya, jalan dakwah ini sebenarnya adalah proses kita memperbaiki diri.
Kalau saya hendak perbaiki diri dan ‘locked’ diri saya dengan beramal di rumah saja ertinya proses itu tidak sampai. Kerana proses membaiki diri adalah kita kena jadi baik, beramal baik dan ajak orang berbuat baik. Jangan perasan kita baik,” nasihatnya.
Sepanjang pembabitan dalam industri ini Ustazah Asni turut berdepan dengan bermacam-macam cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikalnya. Tidak ketinggalan, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.
“Sebelum keluar pergi menyampaikan ceramah atau dakwah, saya selalu berdoa kepada Allah. ‘Aku tinggalkan anak-anakku di bawah jagaan dan pengawasanMu, Ya Allah.’
Syukur alhamdulillah sekarang mereka bukan saja dah menginjak usia remaja. Bahkan kedua-dua anak perempuan saya sudah menjadi ibu. Saya suka anak-anak didik anak mereka dengan buat kelas Al-Quran di rumah,” titip Ustazah Asni Abu Mansor yang merupakan ibu empat orang anak dan nenek kepada tujuh orang cucu.
Bersandarkan populariti beliau sebagai pendakwah bebas, Ustazah Asni menjalin kolaborasi bersama agensi pelancongan ‘World Travel Ambassador’ (WTA) khusus bagi trip perjalanan ke bumi Anbia seperti Jordan dan Palestin. Katanya, destinasi terkenal dalam kalangan umat Islam iaitu Al-Aqsa di Palestin meninggalkan banyak momen indah kepada beliau terutamanya pada tahun 2014.
“Pengalaman saya ketika di sana ialah apabila saya bersama tiga orang anak dan seorang anak murid mendapat ijazah Al-Quran dalam satu bilik di mana bilik itu ialah bilik kuliah Imam Al-Aqsa bernama Imam Sheikh Yusuf Abu Snieneh.
Saya diberitahu dalam bilik kuliah yang sama juga ada makam Nabi Sulaiman. Selain itu, Allah juga izin dan rezekikan untuk anak saya melaungkan azan di dalam masjid pada Hari Raya pertama tahun 2014. Ia adalah jemputan daripada Imam 1 Masjid Al-Aqsa,” imbas Ustazah Asni.
Sebelum mengakhiri perbualan, Ustazah Asni sempat menitipkan kata-kata hikmah ini agar kaum wanita tabah dan kuat melalui liku kehidupan.
“Hati milik Allah. Menangislah untuk Allah dan keranaAllah. Tangisan ini ialah keinsanan yang Allah beri dari lubuk hati paling dalam. Menangis tak salah tapi menangisi hidup itu salah. Banyak menangis juga akan buat kita jadi lemah.
Kita tak boleh menentukan takdir sebab itu takdir bukan untuk difikir, takdir untuk kita zikir. Kalau orang asyik fikir takdir, ia akan merosakkan jiwa. Kalau hati rasa sedih, gantikan dengan tasbih. Jangan layan sedih itu.
Kalau kita rasa risau, jangan dilayan risau itu sampai tak boleh tidur. Kalau kita risau, hati kita galau gantikan dengan doa banyak-banyak. Serahkan kepada Allah SWT. Percayalah Allah takkan buat sesuatu yang buruk untuk kita. Walau kita rasa benda itu tidak menarik untuk kita, tapi sebenarnya Allah tengah sediakan benda yang menarik untuk kita. Tugas kita adalah sabar dan bersangka baik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!