Bukan calang-calang keluarga Kavita Kaur Sidhu. Pelakon, usahawan dan penerbit filem ini berasal dari keluarga berpendidikan tinggi. Mendiang bapa Kavita Sidhu iaitu Profesor Datuk Dr. Joginder merupakan bekas pensyarah radiologi dan tokoh akademik.
IKLAN
Begitu juga ibunya yang bergelar doktor. Malah salah seorang adik-beradik Kavita turut memegang status sama.
Ternyata jelitawan ini tidak hanya bersandar kepada rupa paras cantik semata-mata. Sebaliknya Kavita yang pernah melibatkan diri dalam bidang peragaan ini juga berjaya mencipta nama dalam industri seni berbekalkan bakat dan berilmu.
Mendiang bapa Kavita Sidhu, Profesor Datuk Dr. Joginder Singh Budh Singh meninggal dunia pada 3 Mac 2021 ketika berusia 85 tahun. Pemergian sosok bapa pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap Kavita.
Apatah lagi, dia cukup manja dengan bapa tersayang. Bahkan Kavita banyak berkongsi mengenai mendiang bapa di media sosial.
Salah satunya menerusi posting yang memaparkan foto mereka berdua meluangkan masa di rumah.
“The many moments with dad at home. My brother sent me this photo. Think I was showing him my Instagram page as he would always wonder how his nurses knew what I was doing everyday.
Here he is wearing his Gucci watch I gave him 20 years ago and he wore it every single day. Now it’s safely in my drawer. I was his favourite child can you tell.”
Dr. Joginder pernah berkhidmat sebagai pensyarah radiologi di Universiti Malaya. Tokoh akademik kelahiran Taiping, Perak itu merupakan antara individu yang bertanggungjawab mewujudkan Jabatan Pengimejan di Hospital Pantai pada tahun 1985.
Mendiang meninggalkan seorang balu Datin Dr. Prabhavathi, tiga orang anak iaitu Sushil Singh Sidhu, Dr Jagdish Singh Sidhu dan Kavita Sidhu serta tiga orang cucu.
Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan daripada seorang lelaki.
Setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Seorang suami yang bertanggungjawab pula akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya, kemudian berusaha pula menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh si isteri yang tercinta. Tapi bagaimana caranya?
Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W ada menasihatkan para suami tentang beberapa perkara. Ayuh renung semula dan amalkan dalam rumah tangga kita!
(1) Tidak Membenci Pasangan Yang Beriman
Dalam melayari alam rumah tangga, sudah pasti ada beberapa perkara yang membangkitkan emosi atau ego antara kedua pasangan, terutama daripada pihak suami.
Masing-masing mahu mempertahankan pandangan sehingga kadang terbenci dengan sikap pasangan yang tidak mahu menyokong pandangannya. Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Janganlah seorang mukmin membenci wanita yang beriman. Jika dia membenci salah satu perangainya, maka masih ada perangai lain yang menyenangkannya.” Hadis Riwayat Muslim
Walaupun ada satu sikap isteri yang kurang disenangi oleh para suami, ingatlah ada sikap lain yang lebih baik padanya. Ini kerana boleh jadi kita membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagi diri kita.
(2) Menghormati Kaum Wanita
Muawiyah R.A berkata:
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, ‘Apakah hak isteri terhadap suaminya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menghina dan tidak pula meninggalkan isteri melainkan dia tetap berada di rumahnya’.” Hadis Riwayat Abu Daud
Dalam konteks ‘menghormati’ kaum wanita ini bukanlah bermaksud para suami perlu menjadi ‘hamba’ kepada pasangannya. Tidak sama sekali. Hadis ini merupakan panduan buat para suami supaya tidak mensia-siakan kaum wanita terutama para isteri. Rasulullah S.A.W sendiri amat menghormati dan melayani para isterinya dengan cara yang cukup mulia.
(3) Memaklumkan Kepulangan Kepada Isteri Di Rumah
Anas R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Janganlah kalian mengetuk pintu isterimu di malam hari.”
Dalam riwayat lain, Rasulullah S.A.W menegaskan larangan tersebut supaya para isteri yang ditinggalkan itu dapat membuat persiapan dengan merapikan dirinya bagi menyambut kepulangan suami masing-masing.
Ada benarnya gesaan seperti ini kerana apabila para isteri tidak dimaklumkan tentang kepulangan suami lebih awal, dibimbangi isteri yang berada di rumah dalam keadaan yang kurang menyenangkan seperti baju berbau busuk, tidak mandi lagi, rumah berselerakan, makanan tidak dimasak dan sebagainya.
Lalu, apabila situasi tersebut berlaku sejurus suami pulang ke rumah, sudah pasti akan mematikan mood si suami yang letih dan mahu beristirahat di rumah. Bahkan, lebih parah apabila keadaan ini akan menimbulkan pula kebencian di hati suami terhadap isteri yang sudah pasti akan memberi kesan terhadap institusi keluarga yang dibina.
(4) Memberi Nafkah Kepada Keluarga
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya nafkah yang kamu keluarkan kerana mengharap keredaan Allah S.W.T nescaya akan dibalas dengan pahala, termasuk apa yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu.” Hadis Riwayat Bukhari
Nafkah keluarga adalah satu kewajipan buat setiap ketua keluarga terutama suami. Namun begitu, haruslah diingat serta diteliti sumber bagi memperolehinya. Ini kerana apa-apa yang diberikan kepada ahli keluarga itu terutama dalam soal pemakanan kelak akan menjadi darah daging dalam tubuh mereka. Jika baik sumbernya, maka baiklah seluruhnya.
(5) Menjaga Rahsia Suami Isteri
Diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya manusia paling buruk tempatnya di sisi Allah S.W.T pada hari kiamat adalah suami yang mendatangi isterinya dan isterinya mendatanginya (berhubungan intim) lalu dia sebarkan rahsianya.” Hadis Riwayat Muslim
Menerusi hadis ini dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan sebaran rahsia tersebut adalah hal yang berlaku antara suami isteri di tempat tidur. Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci.
Oleh itu, berusahalah untuk memelihara ikatan tersebut daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya, antaranya dengan menceritakan perihal hubungan kelamin kepada rakan, ahli keluarga dan sebagainya.
(6) Perintahkan Ahli Keluarga Untuk Solat
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan, perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan, akibat itu adalah bagi orang yang bertakwa.” Surah Taha : 132
Solat yang menjadi tiang atau asas dalam agama juga perlu dititik beratkan. Ini kerana salah satu kelebihan bagi mereka yang memelihara ibadah solat ini adalah ia dapat menghindarkan diri daripada perkara yang keji dan mungkar.
Seterusnya memberi ketenangan kepada seisi rumah. Adapun, jika solat tidak dipelihara, dibimbangi ia akan memberi kesan buruk dalam kehidupan keluarga itu sendiri.
(7) Tidak Meninggalkan Isteri Terlalu Lama
Aisyah R.A meriwayatkan:
“Apabila Rasulullah S.A.W hendak melakukan perjalanan, Baginda akan mengundi isteri-isterinya dan siapa yang namanya keluar, maka dialah yang akan menemani Baginda S.A.W dalam perjalanan.” Hadis Riwayat Tirmizi
Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W juga tidak akan meninggalkan isterinya sekalipun ketika berjihad. Baginda akan melakukan undian dan memastikan salah seorang daripada mereka akan ikut serta.
Ini kerana meninggalkan isteri dalam tempoh masa yang lama dibimbangi akan melunturkan rasa kasih seterusnya menjadikan sesebuah perhubungan itu rapuh dan mudah ditiup angin. Akibatnya, perceraian juga akan mudah berlaku.
(8) Tidak Membawa Perkara Yang Bertentangan Masuk Ke Dalam Rumah
Abu Talhah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar (patung atau lukisan).” Muttafaqun Alaih
Bagi mewujudkan rumah tangga yang harmoni, hal ini juga haruslah dititik beratkan. Sebagai ketua keluarga, para suami hendaklah memastikan tiada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam ada di dalam rumah masing-masing.
Gantikanlah hal tersebut dengan perkara yang lebih berfaedah untuk seisi keluarga seperti solat berjemaah atau bacaan Al-Quran.
Diharapkan perkongsian ini akan dapat memberi panduan kepada umat Islam terutamanya para suami yang mengemudi bahtera rumah tangga masing-masing. Norzalina Mohd Alias
Rasa cepat mengantuk, hilang konsentrasi dan tidak bertenaga pada siang hari merupakan antara keluhan biasa termasuk golongan yang bekerja dari rumah.
Nona tertarik berkongsi tip daripada pakar mata, Dr Noor Aniah Azmi ini yang juga merupakan anak kepada Pakar Motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.
Lazimnya orang dewasa memerlukan sekitar 7-9 jam tidur berkualiti. Tapi, banyak faktor yang menyebabkan kita mengantuk menjelang pertengahan hari walaupun mendapat tidur yang cukup pada waktu malam.
Personaliti Dr Aniah persis ibu tercinta
Dr Aniah bertugas sebagai Pakar Mata di IKONIK Eye Specialist Centre
Antaranya masalah gangguan tidur, sindrom prahaid, insomnia, fibromyalgia, anemia dan hypotiroidism.
Menerusi satu video TikTok Dr Aniah, beliau berkongsi 5 petua mujarab untuk mengatasi masalah ini.
Kurangkan makanan karbohidrat
Minum banyak air
Sapu atau bau minyak peppermint
Pasang lagu-lagu kesukaan
Buat senaman ringan
Wah, memang informatif dan banyak contents menarik macam ni daripada Dr Aniah…
Makan makanan berat seperti nasi dengan berlebihan boleh menyebabkan kita kekenyangan dan mendorong rasa mengantuk. Jadi, kawal pengambilan nasi sewaktu makan tengah hari.
Pendek kata, amalan gaya hidup sihat membantu kita kekal cergas dan penuh konsentrasi tak kira untuk bekerja atau beribadah pada waktu siang.
Dengan tip Dr Aniah ni, kita boleh kekal bertenaga dan fokus sepanjang hari. Buktinya beliau sendiri adalah seorang Pakar Mata di Ikonik Eye Specialist Centre (dulu dikenali sebagai Prof Muhaya Eye & LASIK Centre) serta ibu kepada empat anak.
“Saya suka sampai awal ke tempat kerja. Paling kurang satu jam sebelum saya jumpa patient. Tujuannya supaya saya dapat work on myself. Fokus pada self-development, baca material yang memberi motivasi baru dan tulis semula dalam iPad saya.
Dengan cara ini, saya dapat buat perancangan dengan lebih baik dan review semula diri saya dari semasa ke semasa.
Saya juga suka tulis atau voice out gratitude journal… Apa yang saya bersyukur hari ni. Jadi dengan amalan-amalan pagi sebelum mula bekerja ni, saya akan rasa lebih positif dan bertenaga waktu bekerja.” Dr Aniah Azmi
Keluarga kecil Dr Aniah Azmi dan Tuan Addaem
Semoga tip yang dikongsikan oleh wanita bersuara lembut dan isteri kepada usahawan Tuan Addaem Chandran ini memberi manfaat kepada ramai orang. Terus segar dan produktif dengan gaya hidup sihat!
Gaya hidup warga kota kini sentiasa sibuk dengan pelbagai acara sosial. Selain dihambat bebanan kerja, corak pemakanan yang kaya kolestrol dan sesetengahnya mengkonsumsi alkohol mengundang pelbagai penyakit moden, antaranya hipertensi. Turut dikenali sebagai tekanan darah tinggi, hipertensi adalah masalah kesihatan masyarakat di negara maju serta negara membangun termasuklah Malaysia. Kebanyakannya tidak dilaporkan, malah kira-kira 30 peratus kes tekanan darah tinggi tidak dikesan sehingga komplikasi lain seperti angin ahmar, serangan jantung dan sakit buah pinggang timbul.
Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan menunjukkan kadar berlakunya tekanan darah tinggi sebanyak 24% dan dijangka akan meningkat kepada 40–45% dalam masa 20 tahun yang akan datang. Bagi kes yang telah ditemui, 4.1% tidak mendapat rawatan. Sememangnya hipertensi memberi kesan yang besar kepada kos perubatan, justeru, mengapa tidak mencegah sebelum terlambat?
Penyakit ini dikesan menerusi kadar tekanan sistolik dan tekanan diastolik. Tekanan sistolik adalah tekanan yang wujud apabila jantung mengecut dan darah dipam keluar manakala tekanan diastolik adalah tekanan yang wujud apabila jantung mengendur dan darah dipam masuk.
Contoh bacaan normal
120 mmHg (sistolik)
80 mm Hg (diastolik)
RISIKO HIPERTENSI
Bacaan sistolik dan diastolik melebihi paras normal
Berusia 30 tahun ke atas
Wanita putus haid
Sejarah keluarga
Kegemukan
Tekanan
Gaya hidup sedentari
Merokok
Pengambilan alkohol
KESAN TERHADAP KESIHATAN
Hipertensi sangat berbahaya kerana ia akan membebankan jantung dan ini menyebabkan arteriosklerosis (pengerasan dinding arteri). Gejala ini meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok. Jika tidak dirawat, hipertensi akan membawa kepada penyakit kronik degeneratif seperti retinopati, paru-paru berair, penebalan dinding jantung dan penyakit berkaitan jantung, pengerasan dinding pembuluh darah serta kematian.
SIMPTOM-SIMPTOM
Kerap kencing
Susah bernafas
Pening dan pitam
Muka panas dan merah
Bunyi berdengung dalam telinga
Kemurungan
Penglihatan kabur
Bengkak kaki
Hidung berdarah
Dikenali sebagai pembunuh dalam senyap, hipertensi tidak menyebarkan simptom (asimptomatik) selama beberapa tahun sehinggalah pesakit diserang strok, angin ahmar dan serangan jantung.
PENCEGAHAN & PENGAWALAN
Capai berat badan yang normal menerusi aktiviti fizikal
Mengamalkan cara pemakanan yang sihat
Kurangkan pengambilan garam dan lemak dalam diet
Tingkatkan pengambilan serat, kalium, magnesium dan kalsium mencukupi
Elakkan pengambilan alkohol dan jangan merokok
Menangani tekanan dengan bijak
TIP
Jika anda menurunkan berat badan anda sebanyak 1kg bermakna anda telah berjaya menurunkan tekanan arteri sebanyak 1.5mmHg.
Senaman atau aktiviti fizikal boleh menurunkan tekanan darah sebanyak 10/8mmHg (pesakit Hipertensi) dan 2/3mmHg (normal).
Garam umpama span dalam badan yang menyerap air dalam tubuh, semakin tinggi garam dalam badan anda, semakin banyak air diserap dan semakin tinggi tekanan darah.
Pesakit Hipetensi perlu mengehadkan natrium kepada 2.4g sehari. Satu sudu teh garam sudah mengandungi 2g natrium.
Hanya dengan menghisap sebatang rokok anda telah meningkatkan tekanan darah sebanyak 5–10mmHg selama lebih kurang 30 minit.
Tekanan darah normal orang dewasa ialah 120/80 mmHg. Bacaan pada 140/90 mmHg atau lebih akan meningkatkan risiko anda terhadap tekanan jantung.