Gaya Hidup

Berbilion BAKTERIA Hidup Dalam Mulut, Doktor Gigi Ini Ajar Cara Efektif Cegah Bau Kurang Enak & Kesihatan Gusi!

Pernah tak menghadapi masalah apabila memberus gigi setiap hari tetapi gusi sangat senang dan selalu berdarah? kadang-kadang ada masanya gusi berdarah ketika sedang bercakap dan ini amat memalukan. Bila lihat gusi menjadi begitu merah dan terdapat gigi yang sudah goyang sedikit.

Menurut Dr Halina Haron, sememangnya kesihatan pergigian seseorang itu bergantung kepada tabiat penjagaan gigi seseorang itu setiap hari. Ia adalah dengan menggosok gigi, flos celah gigi, membersihkan permukaan lidah dan akhiri dengan berkumur dengan cecair kumur antiseptik.

Dr Halina – Doktor Gigi

Perkara yang perlu diberi perhatian adalah cara melakukan rutin seperti di atas. Adakah cukup berkesan atau melakukan teknik yang betul. Bagi mengatasi masalah gusi, anda perlu berjumpa dengan doktor gigi agar dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan gusi berdarah.

Dalam mulut kita terdapat berbilion bakteria yang jika tidak dikawal, boleh menyebabkan keradangan gusi iaitu gusi menjadi warna merah, bengkak dan mudah berdarah.

Penyakit gusi yang berlarutan ini pula akan menyebabkan pinggir gusi mudah terhakis dan seterusnya boleh mengakibatkan kemusnahan tulang sekeliling leher dan akar gigi. Sebab itu anda mula perasan ada gigi yang sudah mula bergoyang.

Pada peringkat gusi begini, anda perlu segera rawat gusi supaya gigi dapat diselamatkan daripada terpaksa dicabut kerana sudah terlalu bergoyang dan tidak boleh digunakan untuk mengunyah.

Plak (selaput likat) pada permukaan gigi perlu dibersihkan dengan berkesan dengan mempelajari dan mempraktikkan cara yang betul. Gunakan berus gigi yang lembut, mempunyai kepala pendek dan lakukan gerakan berus ke atas ke bawah atau gerakan bulatan kecil. Pastikan kesemua permukaan gigi di berus. Guna ubat gigi yang sesuai untuk masalah gusi berdarah. Berus gigi perlu ditukar setiap 3 hingga 6 bulan. Seterusnya pelajari cara yang betul untuk flos, bersihkan lidah dan berkumur dengan betul.

Masalah gusi merupakan masalah oral yang lazim di Malaysia. Ia dikenali sebagai the silent tooth killer. Puncanya diketahui dan boleh dicegah dengan mudah. Mari kita beri lebih keutamaan kepada kesihatan gigi dan gusi kita supaya bebas daripada penyakit gigi dan gusi supaya gigi boleh dikekalkan sepanjang hayat.

Formula asas penjagaan gigi dan gusi secara amnya sudah diketahui ramai. Apa yang berkurangan adalah tata cara melakukannya secara berkesan.

Adalah dinasihatkan :

  • Berus gigi dua kali sehari selama 2 minit menggunakan berus gigi manual atau jenis berus gigi elektrik. Guna ubat gigi fluorida untuk menguatkan struktur gigi.
  • Jangan abaikan amalan flos gigi anda. Cara yang betul flos gigi dapat mengeluarkan sisa makanan di celah gigi supaya masalah radang gusi dan karies gigi dapat dielakkan.
  • Jika permukaan lidah kelihatan berselaput keputihan, sebaiknya gunakan alat pencuci lidah (tongue scraper) untuk menanggalkan lapisan kotoran tersebut dengan lebih berkesan.
  • Langkah terakhir dalam penjagaan gigi adalah berkumur dengan bahan kumur yang boleh juga memberi bau nafas yang segar.

Harapnya gigi kita dapat dikekalkan sepanjang hayat.

– Dr Halina Haron, BDS (Mal), MCD (Mal), Klinik Pergigian Halina

IKLAN
Share