Kagum dengan semangat juang yang tersemat kemas dalam diri wanita cekal ini. Mana tidaknya, walau mengalami keadaan lumpuh separuh badan namun Yang Berhormat (YB) Senator Ras Adiba Radzi berjaya membuktikan kemampuan diri. Bahkan lebih hebat berbanding insan sempurna lain!
Selain bergelar seorang senator, atlet para negara dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU), beliau mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi baharu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 24 November lepas di Parlimen. Perkhabaran gembira itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. Tahniah!
Menariknya, YB Ras Adiba yang juga merupakan bekas personaliti TV ini menjadi wanita pertama dilantik menjawat tugas berkenaan dalam sejarah penubuhan BERNAMA selama 53 tahun. Menerusi pelantikan tersebut, wanita berjiwa kental berusia 52 tahun ini diberi kepercayaan untuk menguruskan operasi stesen radio Bernama Radio dan saluran Bernama TV. Beliau mengisi kekosongan jawatan itu yang pernah disandang Suhaimi Sulaiman sebelum ini.
Tanggal 20 Mei lepas, YB Ras Adiba mengangkat sumpah jawatan sebagai senator dan merupakan perwakilan OKU di Dewan Negara. Beliau dilaporkan menerajui sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU atau lebih dikenali sebagai OKU Sentral. Semasa pandemik Covid-19 melanda negara, YB Ras mewakili OKU Sentral turut aktif memberi bantuan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Nama Ras Adiba Radzi mula dikenali sejak beliau menjadi penyampai berita pada tahun 1986 ketika baru berusia 18 tahun. Beliau kemudian meninggalkan industri penyiaran selepas 34 tahun menceburi bidang yang diminatinya itu. Atas usaha gigih dan semangat jitu, YB Ras Adiba diberi anugerah Tokoh Srikandi Negara 2014.
Bagaikan tidak puas dengan pencapaian yang telah dicapai, beliau turut bergiat aktif dalam arena sukan termasuk pernah mewakili negara ke Sukan Para ASEAN 2015 dan Sukan Para ASEAN 2018 menerusi acara menembak 10m air rifle.
Ads
Gemar berkongsi aktiviti dan rutin harian buat tatapan umum, YB Ras Adiba menjelaskan, “Kini sudah 18 tahun saya menjadi seorang pesakit saraf tunjang yang lumpuh separuh badan di bahagian Thorasic 10 atau T10. Payah, sukar dan tak keruan hidup saya. Namun saya bersyukur akan segala yang telah terjadi dan akan menjelang.”
Berpeluang menemubual insan hebat ini sekitar tiga tahun lalu, perkongsian YB Ras Adiba cukup meninggalkan kesan. Detik hitam yang menimpa dirinya kira-kira 25 tahun lalu benar-benar menyentap semangat dan keyakinan diri. Mengakui kelu dan kaku menerima ketentuan takdir saat itu, langit cerah yang menerangi hidup beliau selama ini bertukar mendung sekelip mata. Baru ‘semalam’ dia berjalan lincah seperti insan normal lain tapi hari berkenaan dia terpaksa menggalas status Orang Kurang Upaya (OKU). Sekian lama bertarung dengan emosi dan diri sendiri, YB Ras Adiba akhirnya temui erti hidup yang lebih luas.
“Kita diberikan peluang untuk hidup dalam apa jua keadaan yang dilalui. Kena percaya semuanya telah tertulis. Kalau jatuh, susah… bangkit balik. Kita kena bertanggungjawab. Orang yang kita sayang kadang-kadang akan tinggalkan kita. Tak mengapa. Tapi Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Ramai lagi orang yang susah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jangan benarkan masalah menjadikan hidup kita tak keruan. Biar kita menangis sebentar dan kemudian kita dapat berjalan terus.
Ads
Segalanya bermula pada tahun 1995 saya balik dari buat liputan di Stadium Shah Alam. Kereta depan brek dan kereta belakang langgar saya. Saya tercampak keluar dari motokar. Masa tu injury saya di leher saja. Masih boleh berjalan tapi kesakitan. Saya terpaksa makan ubat pain killer yang banyak. 2001, saya dipukul depan rumah mak saya sebab orang nak curi motokar. Masa dipukul, titanium di leher patah. Jadi injury lama turun ke bahagian dada. Masih makan pain killer dan waktu itu masih boleh berjalan.
2002 saya ambil barang dari almari yang tinggi. Saya jatuh dekat T10 iaitu bahagian pinggang. Ia patah dan putuskan urat saraf. Saya tak boleh merasa dan bergerak. Membuatkan saya separuh lumpuh. Setakat ini tiada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan keadaan saya tapi manalah tahu ada yang diperbaiki oleh-Nya. Kita kena selalu bersangka baik kepada Tuhan sebab di sebalik kejadian ini pasti ada hikmah.
Sepanjang tempoh itu juga saya pernah berdoa agar Allah membawa saya pulang sebab saya tak tahu hidup sebagai OKU. Saya dah terbiasa panjat sana sini dan aktif. Tapi hari ini, saya bersyukur sebab kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang. Bagi saya, kekurangan saya adalah keupayaan saya. Alhamdulillah.
Ads
Beza sekarang dan dulu adalah saya cuma tak boleh berjalan. Tapi saya tetap buat benda lain sama macam orang lain juga. Saya membersihkan rumah, mop lantai, gosok dan basuh baju, bawa kereta. Tak ada masalah. Tak ada excuse pun. Saya selalu beritahu diri agar menjaga diri sendiri. Tak akan ada orang menjaga kita selain Tuhan,” terangnya yang merupakan ibu dua anak.
Ujarnya lagi, “Saya mahu wanita mempercayai keupayaan diri dan percayalah perkataan mustahil tak ada. Anda boleh lakukan apa saja asalkan kuat semangat dan kerja keras. Hanya kita saja.. kaum wanita yang boleh menggoncangkan dunia.”
Semoga perkongsian YB Senator Ras Adiba Radzi menjadi pembakar semangat buat seluruh wanita agar terus maju ke hadapan dan mencipta kejayaan cemerlang.
Kredit foto: IG YB Senator Ras Adiba
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hakikatnya bukan mudah bergelar isteri kepada seorang tentera yang bertugas demi negara. Pelbagai cabaran yang harus ‘ditelan’ oleh sang isteri bukan hanya terpaksa berjauhan bahkan perlu sentiasa berdikari dan memahami tugas suami yang bukan calang-calang hebatnya.
Nurul Alis atau Kiki yang kekal cantik walaupun usianya kini mencecah 45 tahun.Seorang wanita lasak. Patutlah nampak awet muda!
Siapa tak kenal dengan penyampai berita dan pengacara jelita, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki yang bersuamikan seorang tentera iaitu Dr Faizal Baharuddin. Hampir 5 tahun pasangan ini melayari bahtera rumahtangga berpaksikan cinta jarak jauh. Kiki di Kuala Lumpur manakala suaminya bertugas di Lumut.
Pasangan bahagia dan romantik walaupun terpaksa berjauhan.
Selain bergelar Brigedier Jeneral, Dr Faizal juga merupakan Pakar Perubatan Awam serta Pegawai Memerintah 96 Hospital Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM Lumut. Menurut Kiki sejak berlakunya COVID-19 suaminya semakin sibuk dengan tugas.
“Sebagai frontliner suami bertanggungjawb menjaga keselamatan dan kesihatan seluruh anggota serta keluarga di Pangkalan TLDM Lumut termasuk kawasan-kawasan lain sekitar Lumut dan Manjung yang diletakkan di bawah pengawasan 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) sepanjang PKP.
Penduduknya sentiasa bersiap sedia dan dapat menampung individu-individu yang disyaki atau dijangkiti virus COVID-19 di sana. Suami juga memastikan segala kelengkapan sentiasa mencukupi dan bersedia membantu dalam apa jua situasi yang bakal negara hadapi.
PASRAH
“Ketika mula-mula kena bertugas sebagai frontliner memang terasa sangatlah sebab saya tahu suami akan menjadi sangat sibuk. Sebagai Pegawai Memerintah beliau perlu menjaga keselamatan berpuluh ribu anggota dan keluarga di situ termasuk yang berada di atas kapal di pangkalan.
Kadangkala terasa juga seperti ‘dianaktirikan’ tetapi ini ujian untuk saya bersabar dan muhasabah diri. Saya faham suami memikul tanggungjawab dan amanah besar yang tak boleh diambil mudah. Suami mampu lakukan tugasnya dengan baik. Setiap kali balik ke rumah memang nampak kepenatan dan kebimbangan suami terhadap hospital dan anggotanya di Lumut.
PESANAN TERHADAP SUAMI
Saya selalu berpesan kepada suami supaya jangan terlalu risaukan saya dan anak-anak walaupun saya juga perlu menjalankan tugas di RTM sebagai penyampai berita. Saya kata “Don ‘t worry about me and kids, I got this! U just focus kerja di sana. Bila free nanti call”
Suami tahu saya seorang yang berdikari. Cuma kalau suami risau pun mungkin takut dengan keselamatan kami terhadap jangkitan COVID-19. Saya selalu ingatkan suami tentang pemakanan dan diet. Sekali sekala saya akan hantar Whatsapp tanya khabar suami termasuk ingatkannya agar sentiasa berwaspada.
Saya berdoa agar musibah ini berakhir secepat mungkin. Ambil iktibar kerana ketika inilah kita dapat menilai segala kebaikan, kejujuran, keikhlasan, tabiat, perwatakan kita dan insan lain. Siapa yang tamak, bertimbang rasa, sentiasa bersabar dan berusaha memperbaiki situasi.
Tak lupa, syabas buat isteri-isteri anggota 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut yang bersabar dan bekerjasama berlatih membuat PPE jika diperlukan kelak. Kita permudahkan kerja-kerja suami dan bantu apa yang boleh. Semoga Allah SWT mengurniakan keredhaanNya kepada kita semua Insyaallah.
Buat frontliners teruskan semangat dalam menjalankan tugas walau ada ketikanya diri diperkecilkan. Tanggungjawab ini amanah besar dan berat. Yang melaluinya saja faham betapa sedihnya anggota terpaksa meninggalkan anak isteri di kala wabak ini bermaharajalela. Berperang dengan sesuatu yang tak nampak. Ini bukan mudah dan tiada senjata yang boleh membunuhnya. Tawakal dan jalankan tugas sehabis baik.
SAMPAIKAN BERITA SAHIH & TEPAT
Sebagai penyampai berita tugas saya ialah menyampaikan maklumat sahih dan tepat mengenai COVID-19 di stesen televisyen yang menjadi saluran rasmi kerajaan. Kini terlalu banyak berita palsu berkaitan situasi terkini, agama dan sebagainya tersebar di sosial media. Biarlah pemerintah melaksanakan tugas mereka.
Sebagai rakyat kita perlu akur dan patuh. Mereka yang di atas seperti Perdana Menteri lebih arif tentang apa yang sedang berlaku kerana sumber info mereka tepat. Patuhi arahan kerajaan kerana sebagai rakyat itulah perkara paling mudah untuk kita lakukan.
Saya melihat ini sebagai satu hikmah dalam ujian. Kalau dulu ramai yang mengadu sibuk bekerja, tak ada masa untuk keluarga. Nah, sekarang dah diberi banyak masa. Ambil peluang ini untuk eratkan lagi hubungan keluarga. Bersyukurlah,” akhiri Kiki yang kini berusia 45 tahun.
Kredit Foto: Instagram @kikijoule
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon terkenal Hollywood Johnny Depp, 58, baru-baru ini memenangi kes saman fitnah serta dianugerahkan AS$15 juta dalam kes berkenaan terhadap bekas isterinya.
Mahkamah dalam keputusannya bagaimanapun mendapati pelakon francais filem “Pirates of the Caribbean” itu dan Amber Heard, 36, saling bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan fitnah antara satu sama lain.
Pampasan sebanyak $15 juta kepada Depp merangkumi AS$10 juta manakala AS$5 juta dolar lagi sebagai ganti rugi punitif.
Namun yang menarik perhatian Johnny Depp telah membuat keputusan untuk menderma hasil wang kemenangan kesnya itu kepada beberapa badan kebajikan serta amal.
Lima badan amal berbeza itu ialah Make a Film Foundation, The Painted Turtle, Red Feather, Teitaroa Society dan Amazonia Fund Alliance.
Pertubuhan-pertubuhan ini yang memberi manfaat kepada kanak-kanak yang sakit, membantu komuniti orang asli dan membantu memulihara kelestarian pulau masing-masing akan menerima AS$200,000 (RM924,000) daripada bintang Pirates of the Caribbean, lapor CNN.
Asalnya, para juri di Virginia menganugerahkan Depp sebagai ganti rugi pampasan AS$10 juta dan ganti rugi punitif AS$5 juta dolar pada Jun 2022.
Selepas memenangi jes tuntutan mahkamah, Johnny membuat kemunculan semula dalam industry filem apabila muncul di Festival Filem Cannes mempromosikan filem Jeanne Du Barry manakala Amber Heard pula berpindah ke Sepanyol bersama anak perempuannya.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun wanita kecil molek ini banyak menghabiskan masa remajanya di Kota London namun semangat jati dirinya tak pernah pudar. Mula menetap di London sejak usia 16 tahun untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang menjadikan semangatnya terus kental berjuang membantu mereka yang memerlukan dalam bidang yang sangat dicintainya ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Seronok mendengar Intan Amalina Dato’ Sri Mohd Sarit bercerita tentang kerjayanya dalam bidang guaman dan semangatnya melakukan kerja amal. “Sejak kecil lagi, saya memang minat dan cenderung melakukan kerja amal kerana ibu dan ayah saya sentiasa mengajar kami adik-beradik untuk berbakti kepada masyarakat.
Ayah dan ibu dulu mempunyai sebuah rumah anak yatim yang diberi nama Rumah Bakti Semantan di Temerloh. Syukur, hasil daripada usaha ayah dan ibu, anak-anak ini telah pun berjaya dan menjadi lulusan universiti di dalam dan luar negara. Saya cuba terapkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan semasa.
Setelah saya pulang ke Malaysia pada tahun 2015, saya menjadi guru secara sukarela di IDEAS Academy untuk warga pelarian dan banyak projek lain yang masih dalam proses kolaborasi,” kata anak bongsu kepada pasangan Dato’ Sri Haji Mohd Sarit Haji Yusoh mantan Ahli Parlimen Temerloh dan Pakar Motivasi, Datin Sri Dato’ Fadzilah Muhammad Ali sambil tersenyum.
Foto: Koleksi Majalah NonaFoto: Koleksi Peribadi Intan Amalina
MEDIASI
Wanita yang berkelulusan LLB (Hons) United Kingdom dan Mediator in Civil and Commercial Matters (ADR GROUP, London) serta sedang dalam proses menamatkan MA Global Diplomacy dari SOAS London ini komited memperjuangkan salah satu bidang perundangan yang digelar mediasi.
“Semasa saya di sekolah guaman, The Honourable Society of The Inner Temple, saya diperkenalkan kepada bidang Alternative Dispute Resolution (ADR) iaitu kes-kes tidak ke mahkamah malah menggunakan cara alternatif untuk diselesaikan. Justeru, saya mula mengenali dan mendalami bidang mediasi (mediation) ini.
Oleh kerana saya mempunyai bakat dan sering menjadi pelajar terbaik dalam bidang ini, pensyarah menggalakkan saya untuk mengambil lesen akreditasi untuk menjadi mediator dalam bidang sivil dan komersial,” terang pencinta kucing ini.
“Setelah pulang dari London, Tan Sri Apandi Ali (Peguam Negara ketika itu) telah mengundang saya untuk menimba pengalaman di Jabatan Peguam Negara. Saya masih berpegang teguh dan komited untuk melebarkan sayap dalam bidang mediasi semasa saya menceduk pengalaman di sana. Namun, saya tidak sangka betapa peritnya untuk mendapat peluang kerana kes-kes mediasi sangat terhad di Malaysia.
Demi menguar-uarkan tentang proses mediasi, saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa, Young Practitioner’s Group di Asian International Arbitration Center (AIAC) yang dulu lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Regional Center for Arbitration (KLRCA). Salah satu tugas saya adalah untuk bercakap tentang proses ADR dan mediasi kepada bakal-bakal peguam yang masih menuntut seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” ucap Intan bersemangat.
Foto: Koleksi Majalah Nona
KEMAHIRAN MEDIASI
Setelah hampir berputus asa menghadapi cabaran yang diluar jangkauan, Intan bersyukur kerana telah dipertemukan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyuntik inspirasi untuk terus berjuang. “Rezeki datang tanpa disangka apabila saya diperkenalkan kepada Mediators Beyond Borders International (MBBI) yang merupakan NGO mediasi antarabangsa yang berpusat di Washington. Saya telah dilantik menjadi wakil dari Malaysia dan juga Pengasas MBBI Malaysia.
Melalui NGO ini, saya diberi banyak pendedahan kepada dunia mediasi, terutama sekali bidang informal mediasi di mana kemahiran mediasi digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan dalam komuniti, masyarakat sejagat, serta politik dan juga kemahiran mediasi digunakan sebagai cara menyokong isu-isu yang perlu diketengahkan.
Misalnya, pada tahun 2019, saya telah diundang untuk menyertai dan bercakap di United Nation Women Insider Mediator di Davao, Filipina. Di sana saya berkumpul bersama-sama wanita dari kawasan pedalaman Filipina yang terpaksa berdepan dengan guerilla pemberontakan. Mediator-mediator dipanggil untuk berkongsi kemahiran dengan mereka untuk berkomunikasi secara efektif dan aman,” bicara waris generasi ke 14 keturunan Tun Perak ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.