
Memilih kerjaya dalam sektor minyak dan gas sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan. Walau bagaimanapun, pendedahan Suhaida Jamaludin tentang realiti sebenar pekerjaannya membuatkan ramai yang berminat, berfikir berkali-kali.
Berusia 29 tahun, wanita Muslimah kelahiran Jengka, Pahang ini mesra disapa dengan panggilan Sue. Orangnya lembut dan menyenangkan, tak sangka pula kerjaya hariannya sangat lasak serta menuntut tenaga yang banyak.
Mengenali Sue, banyak pengalaman hebat dikongsikan tentang kehidupannya di pelantar minyak. Sebagai seorang Field Engineer, Sue yang kini bertugas di perairan Kelantan dan Terengganu perlu akur terhadap tuntutan tugas berjauhan dengan keluarga.
Sejak enam tahun lepas, Sue yang berkelulusan Degree of Mechanical Engineering dan Master of Science Engineering Education itu juga telah berkhidmat dengan beberapa syarikat petroleum terkemuka di dunia.
KERJAYA & KELUARGA
Beliau juga pernah bertugas di perairan North Sea, Norway selama tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia, berumah tangga dan kini mempunyai seorang cahaya mata.
“Alhamdulillah, suami saya Mohd Syahril Azmi memahami kerjaya saya sejak dulu lagi. Cuma selepas kelahiran anak kami, perasaan rindu pada si kecil bertambah-tambah terutamanya apabila terpaksa meninggalkan bayi saya untuk bertugas di laut.” Sue
Baru berusia lima bulan, Ayden Syauqi sememangnya sangat memerlukan perhatian dan belaian seorang ibu. Namun apalah daya, hanya dapat berhubung melalui panggilan video saja dengan ibu tercinta.
“Talian Internet kurang stabil di laut. Tapi saya tetap berusaha menghubungi keluarga tersayang, bercakap dan menatap wajah mereka sekurangnya 5 minit setiap hari.
Faktor pandemik menyukarkan lagi hubungan kami. Kami terpaksa bekerja melebihi jadual kerana situasi di platform pelantar minyak yang berdepan kesukaran untuk ‘crew change’ atau pertukaran krew serta SOP yang lebih ketat.
Itu belum lagi jika pulang ke darat, masing-masing mesti dikuarantin bagi mengekang penularan wabak.
Jadi jika selalunya kami bekerja 4 minggu, tapi disebabkan pandemik ini terpaksa berlarutan sampai 8 minggu atau lebih di laut.” Sue
Tonton lebih banyak pengalaman dan cabaran dilalui Sue seperti diceritakan semula dalam temu bual Lensa Nona ini…
Tak Menang Tangan Layan Pelanggan, Bisnes Air Balang Syahmi Bikin Kecur Sampai Beratur Panjang!

Rezeki Syahmi Sazli! Apa saja yang dihasilkan Influencer ini pasti mendapat sambutan hangat. Bermula sebagai bintang YouTube, kini Syahmi bukan hanya pemilik syarikat produksi. Bahkan usahawan produk wangian kereta atau bilik ‘Blank’ dan Air Balang Syahmi.
Sempena Ramadan, jualan Air Balang Syahmi paling dinanti-nantikan. Bijak menggunakan pengaruh media sosial, strategi peniaga berusia 28 tahun ini ‘menjamu’ warga maya dengan video serta gambar pembuatan air menggunakan bahan premium seperti ais krim dan campuran buah-buahan segar, nyata membuatkan ia laris di pasaran.
Memang kecur dibuatnya! Tiap kali Syahmi buat live, mesti cecah ratusan ribu tontonan.
Bertempat di hadapan bangunan pejabat Air Balang Syahmi di Kota Bharu, Kelantan, setiap petang lokasi tersebut akan dibanjiri orang ramai yang sanggup beratur panjang demi membeli air viral itu.
Malah harga yang dijual juga berpatutan iaitu RM6.60 sebungkus. Antara perisa minuman yang dijual termasuklah Milo, Jagung, Keladi, Strawberi dan dua perisa terbaharu iaitu Onde-Onde dan Durian.




Mengimbas kembali idea berniaga Air Balang pada April 2022, Syahmi sebelum ini pernah mendedahkan ketika awal berniaga dulu ia tidak mendapat perhatian.
Bagaimana pun selepas membuat live di media sosial, ramai yang mengetahui bisnes tersebut dan pelanggan mula beratur panjang.
Dek kerana sambutan luar biasa yang diterima, Air Balang Syahmi pernah ditutup sementara kerana timbul isu berkaitan tapak perniagaan yang didakwa mengganggu pengusaha lain di kawasan tersebut.



Kredit Facebook Syahmi Sazli Production


6 April ini Syahmi sekali lagi menerbitkan karya Satu Hari Sebelum Raya di saluran Astro First yang menampilkan pelakon Wanie Rohaimie, Yoe Parey, Hushairi Husain, Samer dan Asif Suhaimi.
Di samping penampilan khas Mustapha Kamal, Saiful Apek, Sheila Mambo dan ramai lagi.
Warak, Penyayang & Family Man, Ini Peribadi Sebenar Big Boss AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun Yang Ramai Tak Tahu!

Industri penerbangan hambar sejak wabak COVID-19 menular. Namun tatkala meninjau angkasa, ingatan serta-merta tertumpu pada aktiviti Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun yang juga penerima Nona Men’s Corporate Award.
Kebetulan sewaktu sesi temu bual ini berlangsung, Datuk Kamarudin dan isteri, Datin Siti Munajat Md Ghazali baru sahaja berlepas ke London. Sekadar mampu berutusan melalui e-mel, wakil dari unit Komunikasi Kumpulan AirAsia ringan tulang membantu.
Syukur, segalanya lancar sebelum tiba-tiba gempar berita Pengasas Bersama AirAsia itu disahkan positif COVID-19 dan terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.
‘Datuk Kamarudin stabil tapi Datin terpaksa bertahan dengan bantuan mesin pernafasan.’ Petik laporan dari sebuah portal terkemuka dari bumi Inggeris.
Seperti dapat merasai kebimbangan warga AirAsia Allstars terhadap keadaan ‘ibu bapa’ mereka, penulis berusaha mengintai khabar lelaki asal Kuala Lumpur itu dari kejauhan, melihat perkembangan kesihatannya yang kian pulih dari semasa ke semasa.


Berpegang kepada prinsip hidup iaitu mementingkan keseimbangan fizikal dan spiritual juga menjaga hubungan silaturrahim yang baik dengan semua orang, lelaki yang diiktiraf Nona Men’s Corporate Award di acara Nona Superhero Award ini menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasinya.
“Bagi saya kerja dan keluarga perlulah seimbang. Dalam kesibukan bekerja, kita perlu juga mencari waktu untuk bersama keluarga.
Contohnya apabila terpaksa ke luar negara atas urusan kerja dan apabila berpeluang, saya akan cuba untuk membawa keluarga saya bersama kerana masa yang dapat diluangkan bersama keluarga dalam apa jua keadaan adalah suatu nikmat yang tidak ternilai.” Datuk Kamarudin
LELAKI PINTAR
Datuk Kamarudin berkelulusan Diploma Sains Aktuari (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tinggi (Magna Cum Laude) dalam jurusan Kewangan (1986) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (1987) dari Central Michigan University.
“Sebelum menyertai AirAsia, saya bertugas di Arab-Malaysian Merchant Bank dari 1988 hingga 1993 sebagai Pengurus Portfolio, menguruskan kedua-dua institusi dan dana pelaburan pelanggan individu bernilai tinggi.
Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Innosabah Capital Management Sdn Bhd (anak syarikat Innosabah Securities) yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Intrinsic Capital Management.”



Mudah mesra, senang diajak berbual dan meminati muzik, Datuk Kamarudin juga amat dikenali dengan sifatnya yang merendah diri. Orangnya warak dan senang menghadiri majlis-majlis ilmu kerana kecintaannya terhadap agama.
Tokoh korporat dan keusahawanan hebat ini merupakan teman karib dan rakan niaga Tan Sri Tony Fernandes, yang sama-sama mengambil alih pengurusan AirAsia pada Disember 2001.
Misi dua sahabat itu jelas. Mereka sama-sama mahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah sekaligus merintis tagline ‘Now Everyone Can Fly’.
Dan dari cita-cita polos itu, berkembang menjadi sebuah syarikat disegani di seluruh rantau Asia Pasifik!

“Pada awal permulaan AirAsia, ramai yang beranggapan bahawa model perniagaan kami tidak akan berjaya dan hanya mampu bertahan selama 3 bulan sahaja. Namun kami berjaya membuktikan kami masih bertahan hingga ke hari ini.
Saya percaya when there’s an opportunity and if you strongly believe in it, you should grab it. Ambil peluang dan cuba lakukannya sebaik mungkin kerana you don’t want to live a life with regret!” Datuk Kamarudin
Kini Datuk Kamarudin merupakan Pengasas bersama dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, yang bertanggungjawab membangunkan strategi menyeluruh bagi syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, ahli lembaga pengarah penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X Berhad, selain memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah bagi pasukan bolasepak Red Giants Selangor dan Yayasan Anugerah Sains Mahathir.
PANDEMIK
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia terpaksa berdepan cabaran paling besar dalam sejarah. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan negara melaksanakan sekatan perjalanan serta menutup pintu masuk antarabangsa, industri pelancongan dan penerbangan lumpuh sama sekali.
Saat itu, ramai bertanya… Mampukah Kumpulan AirAsia terus bertahan dengan pendapatan yang menjunam, prestasi merosot dan keuntungan menyusut?

“Pandemik COVID-19 adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana ia mengejutkan industri penerbangan di seluruh dunia dan merupakan cabaran yang tidak pernah dilalui oleh siapapun.
Namun setiap cabaran ada hikmah disebaliknya kerana ia akan membuka mata kita untuk belajar menjadi lebih kreatif dan kritis untuk mengatasi apa jua masalah yang dihadapi dengan usaha, tawakal dan izin Allah SWT.
Sebagai contoh, walaupun strategi pendigitalan perniagaan AirAsia sebenarnya telah bermula sejak 2018 iaitu lama sebelum pandemik melanda lagi, AirAsia telah menggunakan tempoh PKP untuk menggandakan usaha dan menggerakkan seluruh tenaga kakitangan kami untuk menjayakan projek pendigitalan ini sehingga lahirnya AirAsia Super App.
Pada masa yang sama kami juga telah menubuhkan sebuah aplikasi yang dinamakan IKHLAS. Aplikasi IKHLAS ini adalah satu cabang platform lifestyle patuh shariah dibawah AirAsia yang menawarkan kemudahan untuk masyarakat melaksanakan ibadah zakat, sedekah, infaq jumaat, qurban dan aqiqah.
Disamping itu, IKHLAS juga menawarkan pakej haji dan umrah serta platform jual beli atas talian untuk pelbagai produk yang bukan sahaja sesuai untuk masyarakat Muslim tetapi juga untuk semua.
Seterusnya IKHLAS juga bergiat aktif bersama badan-badan NGO, peniaga kecil dan sederhana dengan menjalankan aktiviti bantuan kemanusian bagi mereka yang memerlukan. Aplikasi IKHLAS ini bergerak seiring dan saling melengkapkan dengan AirAsia Super App.
Kejayaan Gelembung Perjalanan Langkawi juga mengajar kami mengenai beberapa perkara, antaranya semua tetamu telah biasa dengan pematuhan SOP dan sedia memberikan kerjasama untuk semua inisiatif kami seperti self check-in dan baggage drop.

Walaupun pandemik ini merupakan episod yang sangat perit sebenarnya, bukan sahaja bagi AirAsia tetapi keseluruhan industri penerbangan, namun kami percaya industri penerbangan dan pelancongan secara amnya akan kembali pulih secara berperingkat, bermula dengan pembukaan sektor domestik dan diikuti penerbangan antarabangsa tidak lama lagi.” Datuk Kamarudin
NORMA BAHARU
Bekerja dalam suasana norma baharu turut memudahkan Datuk Kamarudin menguruskan pelbagai tugasan di mana-mana sahaja.
“Sudah tentu fleksibiliti ini memberikan kelebihan kepada semua terutamanya kepada saya dan kakitangan kami yang sudah berkeluarga.
Sebagai contoh, saya dapat menjalankan tanggungjawab saya untuk mempengerusikan mesyuarat syarikat secara dalam talian walau dimanapun saya berada.
Walau bagaimanapun, jika berkesempatan sudah tentu saya akan ke pejabat untuk bertemu dengan kakitangan kami khususnya yang bekerja didalam bidang operasi di lapangan terbang.
Di samping itu, kita tidak harus melihat bencana COVID-19 ini sebagai suatu penamat. Sebaliknya lebih kepada peluang yang ada hikmah disampingnya. Oleh itu, penjanaan idea baru adalah sesuatu yang penting dalam usaha kita untuk mengharungi cabaran COVID-19 ini.
Sentiasa bersyukur dalam apa jua yang berlaku dan insyaAllah kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi sebarang cabaran.”
Di akhir perbualan, Datuk Kamarudin sempat menitipkan nasihat bahawa ilmu dan keikhlasan adalah sesuatu yang penting untuk berjaya di dalam kehidupan dan kerjaya.
“The more you seek knowledge, the more you will find something that you don’t know. Carilah ilmu dan beri ilmu secara ikhlas.”
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Foto: AirAsia
Datin Narena Nasrudin Dedah Rahsia Kejelitaan Pada Usia 40 TAHUN, Patutlah Nampak Macam Gadis Remaja!

Kejelitaan wanita benar-benar terserlah apabila raut wajahnya kekal remaja meskipun usia makin meningkat. Keremajaan kulit tidak akan datang dengan sendiri tanpa usaha yang berterusan.
Rejim kecantikan kulit memainkan peranan utama dalam mengekalkan kelembapan dan keserian kulit jauh dari dalam. Sebaik-baiknya penjagaan kulit harus dilakukan sejak awal agar kejelitaan terus terpelihara.
Nona mengintai rutin kecantikan wanita jelita, Datin Narena Nasrudin yang memiliki raut wajah yang lembut dan kulit bersih tanpa sebarang cela walaupun sudah mencecah usia 40 tahun.
Keanggunan wanita yang bertubuh tinggi lampai ini tidak perlu disangkal lagi dan pesona dalam dirinya melambangkan wanita yang bercita rasa tinggi dalam kelasnya tersendiri. Pasti ibu kepada empat orang anak ini menyimpan rahsia rejim kecantikan tersendiri.
Tanpa berselindung wanita yang mudah mesra ini berkongsi rahsianya mempercayai Clé de Peau Beauté sebagai produk yang membelai lembut kulit wajahnya.
“Saya memang menitik-beratkan penampilan dan bagi saya setiap wanita perlu menjaga kecantikan untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Solekan menjadi suatu kemestian bagi saya walaupun hanya dengan berbedak atau bercelak.
Setiap wanita patut mengambil inisiatif untuk sentiasa tampil cantik dan bergaya. Tidak semestinya menyarung baju berjenama mewah atau menggalas beg tangan buatan luar negara tetapi setiap wanita perlu tahu memotret dirinya di depan masyarakat.
Melalui aturan yang betul dengan manfaat yang ditawarkan oleh sesuatu produk adalah penting untuk kita wanita mendapat kulit yang bersih dan cantik seperti yang diidamkan. Saya begitu cerewet dalam pemilihan sesuatu produk terutama berkaitan dengan kulit.
Saya akan mencuba dengan teliti dan membaca ulasan sesuatu produk itu. Namun saya akan setia jika sudah berjumpa dengan produk yang menambat hati.
Kunci kepada kecantikan sebenar kulit adalah apabila mempunyai tahap kelembapan yang diperlukan oleh kulit. Rahsia saya sudah semestinya serum kesayangan saya, Clé de Peau Beauté, Le Sérum! Kuasa Clé de Peau Beauté, Le Sérum ini sangat menakjubkan kerana membantu menyegarkan kulit dari dalam umpama terjaga daripada lena yang panjang. Malah serum pujaan saya ini berupaya memberikan penghidratan maksimum dan menjadi nadi utama rejim kecantikan saya. Setelah berjumpa dengan Clé de Peau Beauté, Le Sérum ini saya tidak pernah tinggalkannya dalam rutin penjagaan kulit setiap hari dan menjadi teman percutian yang wajib dibawa.
Selain itu pembersih juga sangat penting dalam rutin penjagaan kulit harian saya. Fungsi buih pembersih ini adalah untuk membersihkan wajah jauh ke dasar kulit sambil mengekalkan kelembapan semula jadi. Sudah menjadi kemestian untuk memakai pembersih dua kali sehari. Kemudian diikuti pula dengan menyapu losen serta pelembap pada waktu siang dan malam.
Bagi mengekalkan kecantikan dalaman pula saya banyak makan buah-buahan, sayur-sayuran serta ulam. Saya tidak boleh hidup kalau tidak makan buah dalam sehari,” kongsi Datin Narena tentang rahsia rejim penjagaan kulitnya yang putih dan mulus.