Jangan mudah menyerah! Allah sedang melatih kesabaranmu. Tetaplah bersyukur atas segala dugaan yang menimpamu. Jika kamu sedang diuji, itu bererti kamu sedang dipersiapkan untuk yang lebih baik. Sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. InsyaAllah, sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan. Azila Ahmad, 42 tahun, terus berdoa dan berusaha memperbaiki ruang-ruang kesulitan yang dilalui dalam hidupnya.
Pemegang Diploma Perakaunan dari UiTM ini pernah berkhidmat selama tiga tahun di sektor perbankan, dan 17 tahun di sektor anak syarikat kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (GOC). Pencapaian terbaiknya apabila menerima anugerah ‘High Potential Awards’ pada tahun 2016. Beliau kemudiannya menceburi bidang perniagaan dengan menjadi dropshipper separuh masa sejak tahun 2017 sehingga sekarang.
Beliau percaya di dalam hidup kita perlu berusaha dan berdoa kepada Tuhan dan hasilnya tergantung dengan apa yang telah kita lakukan. Semua yang dilakukan hanya kerana Allah dan keluarga tercinta.
“Saya perlu bekerja lebih masa demi mencari rezeki lebih bagi menampung kekurangan kewangan yang ada. Saya bermula dengan menjual tudung yang saya beli secara borong di Kuala Lumpur dan kemudian menjadikan tudung tersebut lebih menarik untuk dijual.
Saya meletakkan manik-manik dengan design saya sendiri. Harga tudung dijual serendah RM10 (tiada manik) dan di antara RM18 – 20 (manik). Tetapi perniagaan tudung tidak mendapat sambutan mungkin disebabkan terlalu banyak brand tudung di luar sana.
Lalu saya beralih kepada menjual makanan untuk sahabat-sahabat di tempat kerja. Seawal 4 pagi saya memasak, mengikut menu yang ditetapkan setiap hari dan pada musim perayaan ada juga saya menjual rendang ayam cili api nogori.
Ads
Pada satu hari, langit cerah membawa mendung yang sangat gelap dalam hidup saya. Suami diuji lumpuh separuh badan. Doktor memberitahu bahawa suami susah untuk sembuh seperti sediakala dan jika hayat dia panjang, dia tidak lagi dapat bercakap dan tidak boleh sembuh seperti sediakala.
Ketika itu suami baru berusia 40 tahun. Anak-anak kami pula masih kecil. Saya terpaksa mengharungi dugaan hebat ini berbekalkan keyakinan saya dengan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui segalanya. Tangisan saya mula menjadi teman hidup sehingga air mata jadi kering dan tidak bermakna lagi.
Saya terpaksa tinggal bersama keluarga mertua untuk meneruskan kehidupan. Suami sudah tidak bekerja dan saya perlu memikirkan perniagaan yang dapat dijalankan dalam keadaan kehidupan kami sekarang. Saya telah memilih untuk menjadi ejen dropship untuk AFA Design, ejen Consultant Norwex, ejen kuih-kuih raya dan juga ejen dropship Corelle dari USA sehingga sekarang.
Alhamdulillah, walaupun rezeki saya tidak mencecah keuntungan berpuluh ribu ringgit tapi saya berjaya mendapat jualan sehingga RM5000 dengan menjual baju kurung AFA design pada musim perayaan baru-baru ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki ini,” ujar Azila cekal membesarkan dua orang anaknya.
Ads
“Pernah berlaku perkara yang amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu apabila anak saya yang berusia 8 tahun, Adelia menangis tersedu di hadapan saya pada malam raya. Saya tanya kenapa Adel, mengapa menangis? Jawabnya, ‘Terima kasih belikan Adel baju raya dan kasut raya.’ Dia peluk saya dan menangis. Luluhnya hati saya ketika itu, hanya dengan pemberian kasut raya Bata RM50 dan sepasang baju raya RM60 dah mampu membahagiakan anak saya. Duit keuntungan tidaklah banyak, namun saya dapat sediakan untuk anak-anak dan keluarga.
Sejak ayah mereka sakit, emosi anak-anak tidak stabil, trauma dan mereka juga sangat risaukan kesihatan mama mereka yang bekerja keras mencari rezeki. Saya faham anak-anak amat rindukan ayah mereka yang dulu, boleh bercakap dan melayan karenah mereka. Namun, semuanya tidak lagi seperti itu. Mentaliti saya memang saya letak 100% untuk jadi lebih kuat supaya anak-anak saya boleh teruskan hidup,” jelas Azila dengan nada sayu.
Ujian membuat beliau semakin hebat, diperkasakan dengan sokongan teman yang lain. “Sahabat di sekeliling saya selalu berkata, ‘Azila awak perlu jadi kuat.’ Ya, saya nampak kuat di luar. Saya mampu tersenyum dan ketawa di hadapan semua, namun di dalam hati kadang-kadang saya rasa sangat sesak dan ingin keluar dari rasa kesempitan ini.
Dalam menempuh dugaan besar ini, Allah SWT menguji saya sekali lagi apabila ibu pula pergi meninggalkan kami. Pada saat itu, hidup saya serasa sangat gelap. Terlalu gelap. Orang yang melahirkan saya, membesarkan saya dengan penuh kasih sayang, menjadikan saya insan yang cukup ilmu dunia akhirat, mendoakan saya setiap hari telah pergi untuk selamanya. Di mana saya ingin mencari kekuatan ketika itu? Hilang…”
Ads
Nyata musibah itu bagaikan air keruh, semakin kau aduk semakin keruh. Maka bersabar dan tenanglah dalam menghadapi masalah kerana insyaAllah tiba masanya ia akan jernih. “Ya! Saya tetap yakin dengan Allah SWT. Kemurungan selepas 4 bulan, saya tekad untuk ubah kehidupan saya. Kembali bangkit dengan kekuatan yang ada dan hanya bertawakal kepada Allah SWT.
Sekarang saya masih lagi terus memperkasakan diri saya untuk menjadi wanita, isteri dan ibu yang terbaik. Walaupun pulangan dalam perniagaan yang saya ceburi sedikit tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki ini.
Saya ingin memberitahu kepada semua wanita di luar sana yang mengalami nasib yang sama seperti saya, kuatkan semangat, cari jalan yang terbaik, jika tiada modal yang banyak untuk memulakan perniagaan, mulakan dengan menjadi ejen dropship. Jangan jadikan semangat kita terus jatuh dan terus menyalahkan apa yang terjadi dan mengapa ini terjadi.
Paling utama, apa saja yang kamu usahakan, yakin dengan Allah SWT. Keyakinan itu insyaAllah membuahkan hasil. Doa dan tawakal,” bicara Azila tenang mengenangkan keperitan hidup dan tanggungjawab kepada anak-anak yang dilalui dan menjadikan semua itu sebagai pendorong untuk memajukan diri.
Bicara akhir Azila, “Ramai di luar sana, jatuh berkali-kali. Kejatuhan yang berkali-kali itulah membuka jalan kepada kejayaan diri kita. Jangan mengalah. Jika tiada hujan mana timbulnya pelangi. Jika tiada suria, terangkah bulan di dalam kegelapan? Teruskan melangkah, usaha, tawakal, insyaAllah ada kejayaan menunggu di hujung perjalanan itu,” ujar Azila yang sentiasa menghargai semua pelanggan yang turut menjadi tulang belakang rezekinya hari ini, alhamdulillah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saya ingin berkongsi, dulu berat badan saya 170kg, sekarang berat badan saya telah turun 90kg kerana memakai kasut kesihatan. Bila saya memakai kasut Medshoe saya tidak lagi lenguh atau sakit sendi. Saya menjadi lebih aktif untuk bergerak dan berjalan lebih jauh daripada dulu saya malas untuk berjalan. Tetapi pada masa yang sama, mestilah disertakan dengan senaman dan penjagaan makanan,” ujarnya tentang kelebihan yang ada pada kasut Medshoe. Malah rekaan sepatunya juga mempunyai pelbagai rekaan mengikut cita rasa pengguna masa kini untuk setiap golongan usia.
Hajah Nur Diana Dzulkiply tampil dengan kekuatan dan kehebatan yang tersimpan dalam dirinya dengan bukti yang diperlihatkan melalui kejayaan perniagaan MEDSHOE (Medical Health Footwear) miliknya. Beliau bukanlah wanita selemah yang dibayangkan, dia adalah wanita superwoman yang gigih dan pantang menyerah!
“Kalau mengikut keadaan sebenarnya, saya merupakan seorang peguam syarie dengan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Kehakiman dengan Kepujian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan selama tiga tahun saya berkhidmat sebagai peguam syarie. Kemudian saya menyertai program yang dikelolakan oleh Bank Negara dengan menjalani latihan dalam “Financial Sector Talent Enrichment Programme (FSTEP)” dan kemudian saya menyertai dunia perbankan. Tidak lama selepas itu saya berhijrah menjadi guru Bahasa Arab selama dua tahun, walaupun dalam masa yang sama saya masih praktis sebagai peguam SYARIE.”
2016, bermulalah perjalanan untuk komersialkan kasut MEDSHOE. “Saya menerima respons yang baik daripada semua jururawat seluruh Malaysia dan mereka mencadangkan agar saya menghasilkan kasut Medshoe untuk pemakaian harian biasa. Dengan modal yang ada, saya melahirkan satu kasut kasual Medshoe untuk orang awam dengan kuantiti 50,000 pasang pada permulaan pemasaran.
Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Ramai yang menyukainya setelah mencuba dan saya berani untuk menyatakan kasut Medshoe ini sepatutnya menjadi item wajib untuk semua orang miliki, jangan tunggu sampai sakit kaki baru nak pakai. Ini adalah kasut terbaik menjaga kaki dan postur tubuh badan anda.
Tapak kasutnya daripada 100 peratus getah asli yang bersifat anti licin sekali gus menstabilkan struktur kaki apabila berjalan. Lapik dalam dilengkapi sistem ortotik dengan lengkungan yang tinggi diperbuat daripada span eva yang lembut dan mengikut bentuk lengkuk tapak kaki pastinya memberi keselesaan kepada postur badan kita untuk tegak dan stabil.
Saya syorkan kasut Medshoe ini untuk mereka yang punya masalah kencing manis, sakit tumit, lenguh, sakit tulang belakang, ibu mengandung serta buat mereka yang suka berjalan dan berdiri lama juga kepada pelajar sekolah yang sentiasa aktif bergerak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika berhasrat untuk menjadi orang yang berjaya, tidak perlu tunggu untuk bertindak dan cubalah melakukan sesuatu yang bermanfaat. Jangan sesekali berfikir untuk berhenti dari apa yang telah diusahakan selama ini, kerana langkah kita sudah terlalu jauh untuk menyerah. Nor Farahiyah Kamal Bharin atau lebih dikenali sebagai Farra Fareez, 36 tahun, terus menyusun strategi dalam usaha mengembangkan sayap perniagaannya ke Indonesia.
Wanita cantik berasal dari Kelantan ini, semakin rancak membina empayarnya setelah 13 tahun berniaga.
“Saya berkahwin pada usia muda. Selepas mempunyai cahaya mata, saya mula terfikir untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat daripada hanya duduk di rumah menjaga anak sahaja. Saya sering travel ke Indonesia, membeli pakaian dan tudung untuk dijual di Malaysia.
Bermula dari situ saya mengenali satu jenama produk kecantikan popular di sana dan menyuntik semangat untuk menerokai dunia perniagaan skincare sendiri.” Farra Fareez
“Dengan modal lebih kurang RM300, saya buat sendiri sabun skincare di rumah. Saya masak dalam periuk kecil, cuba beberapa kali untuk pastikan sabun ini terhasil dengan baik.
Bayangkan saya masak, sampai berbuih satu bilik dengan sabun. Saya tidak pernah berputus asa, sehinggalah saya berpuas hati dengan keberkesanan sabun betik yang saya buat sendiri.
Suami turut membantu membelikan saya sebuah mesin untuk membuat produk sabun. Setelah belajar akhirnya saya berjaya menghasilkan sabun betik untuk penjagaan wajah yang terbaik yang kini berada di pasaran sehingga sekarang. Masih ingat, waktu itu saya buat packaging sendiri dan cuba jual kepada kenalan rapat.
Semakin hari, permintaan meningkat dan selepas dua tahun barulah saya memiliki kilang SME untuk menghasilkan produk sabun dengan menggunakan formula yang saya ciptakan sendiri.” Farra Fareez
Usaha Farra telah membuahkan hasil dan memberi kejayaan besar untuknya.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur hanya dengan produk sabun dari air tangan sendiri, perniagaan saya terus berkembang dengan menghasilkan pelbagai rangkaian produk yang lain.
Ramai yang mempercayai keberkesanan produk ini kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi, seperti buah-buahan dan tiada merkuri.
Saya terus mengukuhkan strategi pemasaran di radio, televisyen dan aktif di Facebook ketika itu. Sekarang kami semakin rancak buat promosi di semua platform sosial media. Permintaan meningkat dan pejabat saya dari kecil pun telah berpindah kepada yang lebih besar.
Setelah produk saya mendapat tempat di Malaysia, saya nekad untuk meluaskan empayar perniagaan saya ini ke Indonesia. Sebelum pandemik, saya berjaya menembusi pasaran Indonesia secara legal.
Bukan mudah sebenarnya produk kecantikan untuk menembusi pasaran di sana. Tetapi sayangnya kerana pandemik menjadi kekangan besar sekaligus membataskan urusan mengeksport produk Farra Beauty ke negara tersebut.
Keadaan ini agak mengecewakan sebenarnya tetapi apa yang berlaku di luar kawalan kita. Selepas dua tahun, saya kembalikan semangat untuk tawan hati rakyat Indonesia kerana masih ada permintaan terhadap produk Farra Beauty.
Sekarang saya sedang merangka strategi pemasaran di Indonesia bersama ramai influencer dan Tik Tokers di sana. InsyaAllah, saya akan lancarkan produk ini secara besar-besaran tahun hadapan.”
Menyentuh tentang perniagaannya sebagai Co-Founder Nilofa, Farra menjelaskan,
“Sebenarnya Neelofa sepupu di sebelah suami dan ingin melakukan kerjasama perniagaan bersama dalam usaha membantu keluarga beradiknya. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, saya sangat gembira untuk menerima pelawaan Neelofa untuk bekerjasama dalam perniagaan F&B ketika itu memerlukan modal yang besar.
Saya dan Neelofa bekerjasama dalam melaksanakan perniagaan susu pisang yang mana produk pertama kami yang pada ketika itu. Alhamdulillah, sambutan hangat sehingga permintaan melebihi pengeluaran. Namun kami berjaya memenuhi semua permintaan tersebut dan kini Nilofa terus mengorak langkah mengeluarkan produk Nilofa Plus minuman detox.” Farra Fareez
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Natural Skincare Award, Farra Fareez ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nornadirah Mohd Shah, 26 tahun merupakan seorang usahawan muda berjiwa besar yang ingin terus mengembangkan empayar niaganya. “Saya merupakan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan sepenuh masa dalam bidang perkhidmatan. Tamat menduduki SPM dengan keputusan cemerlang, saya bergiat aktif dalam aktiviti lasak dengan menyertai latihan PLKN secara sukarela sebagai langkah persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dunia luar.
Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Pentadbiran Awam di UITM Kedah. Saya terus mengorak langkah mencuba nasib dalam pelbagai bidang pekerjaan untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman.
Dikongsikan di sini, saya merupakan pemegang rekod dunia (Guinness World Of Record) dalam kategori persembahan seni silat terbesar di dunia bersama dengan Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi pada 2015. Selain itu, saya juga pernah menyertai Kejohanan Paintball Peringkat Antarabangsa (World Cup Asia) di bersama-sama pasukan UITM Kedah.
Kerana minat mendalam terhadap sukan paintball ini, ia sangat membakar semangat saya untuk ke peringkat seterusnya . Berikutan kos perbelanjaan yang sangat tinggi dalam sukan ini seperti yang kita sedia maklum, sukan ini dikategorikan lebih kepada golongan elit. Ia telah memotivasikan saya untuk mempunyai kewangan yang kukuh demi mencapai cita-cita saya,” kongsi Nornadirah tentang minat dan harapan untuk menjadikan impiannya ini satu kenyataan suatu hari nanti.
Bidang perniagaan sememangnya membuka pintu rezeki yang luas, Nornadirah terus mengorak langkah mencari peluang yang sesuai dengan diri dan jiwanya. “Saya menyertai kursus jahitan di Pusat GIATMARA selama 6 bulan dan mengasah kemahiran serta bakat yang ada. Ketika dalam pengajian dan pembelajaran itu, saya mendirikan rumah tangga.
Bermodalkan mas kahwin sebanyak RM1001, saya membeli mesin jahit dan mula menerima tempahan dari rumah.
Dari situ saya terus gigih belajar selok-belok pengurusan tempahan dan khidmat pelanggan selama tiga tahun. Setiap kali saya belajar dan sertai pelbagai kursus, saya akan pulang dengan motivasi dan semangat tinggi untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan saya. Semangat itu saya bawa bersama usaha dan ketekunan agar ia tercapai.
Dan kini, alhamdulillah kejayaan telah saya peroleh. Saya percaya dengan kesabaran yang tinggi, pengorbanan dan keikhlasan pasti membuahkan hasil. Saya tidak pernah berhenti mempelajari sesuatu yang baru, terutama berkaitan marketing.
Bersama Sifu Najib Assadok, jenama The Nad melonjak naik hasil teknik pemasaran yang betul dan video live saya telah mencecah satu juta tontonan. Ia telah membuka rezeki saya menerima pelanggan baru dan sekaligus menaikkan hasil jualan The Nad.
Hasilnya kini The Nad dahulunya beroperasi dari rumah terus ke komersial lot dan membuka tempat operasi rasmi untuk kerja-kerja jahitan. Bermula dengan hanya satu mesin jahit, The Nad naik taraf dari workshop hingga ke butik. Dan kini, The Nad telah mempunyai satu unit lot dua tingkat dan menjalankan aktiviti perniagaan serta perkhidmatan sepenuhnya,” ujar Nornadirah sambil tersenyum.
Sedikit perkongsian pengalaman sewaktu COVID-19 melanda, “Oh! Masa PKP kedai kami tidak beroperasi sepenuhnya. Saya terus mencari alternatif lain dengan menjalankan aktiviti perniagaan berkonsepkan F&B. Kami menjual Roti John Malik yang lain dari yang lain dengan resepi berbeza dari Roti John lain. Alhamdulillah, mendapat sambutan dan ia berterusan sehingga sekarang.
Selepas tamat PKP, hasrat terpenting dalam perniagaan saya tercapai hasil bantuan rakan-rakan semua, iaitu membuka perkhidmatan pendidikan kelas pengajian Al-Quran untuk semua peringkat umur dan keutamaan kepada orang dewasa dan warga emas yang buta huruf. Ini antara usaha kami untuk membantu mereka dan pastinya niat murni ini adalah kerana Allah SWT, sebahagian daripada saham akhirat kami. Aamin.”
Perjalanan perniagaan memang akan melalui proses yang sukar dan mengambil masa yang panjang bagi usahawan yang menjalankan perniagaan dari bawah dengan tanpa modal yang banyak. Hari demi hari, keberkatan itu memang dapat dirasai dengan kejayaan membuka perkhidmatan terbaru dalam perniagaan kami, iaitu menyenarai perniagaan sewa pelamin sebagai salah satu perkhidmatan yang mempunyai permintaan ramai dalam empayar The Nad.
Berkongsi lagi kisah menyentuh hati dalam hidup Nornadirah. “Peristiwa paling terkesan dalam hidup saya apabila ibu menghidap strok ketika baru tiga bulan kedai saya beroperasi. Pada ketika itu, saya terasa sangat penat dari segi mental dan fizikal. Dengan kekurangan pekerja, bebanan kerja yang banyak, menjaga anak dan menjaga ibu yang sakit.
Sehinggakan satu tahap, suami saya terpaksa berhenti kerja dengan notis 24 jam untuk bantu jaga ibu. Pengorbanan suami ini amat saya hargai dan beliau banyak membantu perniagaan saya sepenuhnya. Tiada istilah rehat ketika itu, waktu siang saya jaga ibu dan malam saya kerja di butik untuk siapkan tempahan, kadang-kadang hingga ke subuh hari.
Makin hari kesihatan diri juga main terjejas dan suami banyak memberi nasihat, serta membantu untuk saya seimbangi gaya hidup yang lebih sihat.
Alhamdulillah, kami amat bersyukur dapat melalui dugaan ini dengan penuh kesabaran dan semuanya kembali pulih dengan lebih baik sehinggakan The Nad berjaya dikembangkan hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan.”
Kata motivasi terakhir dari Nornadirah, “Saya meletakkan matlamat dan cita-cita yang tinggi untuk berusaha menjadi orang kaya supaya dapat membantu orang lain yang memerlukan. Kita perlu memasang niat yang tinggi untuk berjaya di dunia serta akhirat.
Letak Allah di hadapan sebagai matlamat hidup dan perlu tabah menempuhi ujian Allah kerana rezeki yang kita dapat sebenarnya, hasil keberkatan yang kita peroleh. InsyaAllah, Allah akan buka satu persatu jalan terbaik di hadapan kita.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.