Personalitinya mesra dan mudah didekati. Air wajah dan gayanya penuh elegan, setiap tuturnya tegas dan berisi membuatkan dirinya cukup disenangi. Walau berdarah keturunan diraja, namun jiwa korporat YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah raja abdul aziz penuh dengan misi tanpa perlu bersandarkan status diri.
Dalam dunia perbankan yang acap kali dikuasai figura lelaki, pencapaian YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah mencerminkan satu kejayaan luar biasa diungguli sosok seorang wanita berkarisma. Di bawah kepimpinan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, visi dinamik beliau diyakini mampu merubah perspektif ramai terhadap institusi perbankan digital.
SUSUR GALUR
Keberanian dan kredibiliti ditonjolkan Raja Teh Maimunah nyata berakar dari asal usul dan perjalanan hidupnya yang tersendiri. Berkongsi susur galur keluarganya, Raja Teh Maimunah memiliki darah diraja Perak di sebelah ayahanda, manakala bonda beliau pula berasal dari susur galur kerabat diraja Kelantan.
Ayahandanya ialah YM Raja Abdul Aziz Ibni Almarhum Raja Musa, anakanda kepada YM Raja Musa bin Raja Mahadi dan bondanya, YM Raja Zabidah binti Raja Ahmad puteri kepada YM Dato’ Raja Haji Ahmad bin Raja Endut mendirikan rumah tangga pada tahun 1966. Pasangan tersebut berjaya membina sebuah institusi keluarga yang diimbangi dengan nilai dan ajaran yang menjadi teras membentuk keperibadiannya. Ayahanda dan bondanya dikurniakan tiga cahaya mata, dan beliau ialah anak sulung daripada tiga adik beradik.
“Ayahanda dan bonda saya banyak menanamkan nilai kemandirian, disiplin, dan empati dalam diri saya. Dari mereka, saya belajar untuk menghargai orang lain dan berbuat baik sentiasa.
Pesanan bonda yang paling saya ingat adalah untuk sentiasa memegang nilai-nilai kejujuran, tanggungjawab dan sentiasa bekerja keras dalam kehidupan tak kira apa jua status,” ujar Raja Teh Maimunah yang merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata perempuan ini.
Raja Teh Maimunah turut mengakui bahawa keluarganya masih memelihara beberapa adat diraja, khususnya dalam aspek protokol dan etiket. Apabila berinteraksi dengan ayahanda dan bonda, beliau menggunakan bahasa istana. Walaupun demikian, beliau sangat mengutamakan kesederhanaan dalam membesarkan anak-anak.
Tatkala berbicara soal gaya hidup keluarga diraja, pasti ramai membayangkan kehidupan serta gaya mewah yang dikelilingi pembantu peribadi diiringi layanan istimewa, namun hakikatnya Raja Teh Maimunah amat sibuk dengan urusan tugas korporat serta tak menang tangan menguruskan keluarga.
Jadi bila kali terakhir Raja Teh Maimunah ber ‘me-time’, lepak-lepak santai sambil membuat rawatan muka dan sebagainya, usik penulis. “Oh, saya dah tak ingat! Long, long time ago,” ujar beliau sambil tertawa.
Ads
Dalam soal mendidik anak-anaknya, Raja Teh Maimunah cukup berpegang kepada prinsip keseimbangan antara disiplin dan kasih sayang. “Saya mendidik anak-anak dengan panduan dan sokongan, sambil sentiasa mendengar pendapat mereka, serta memberikan ruang untuk mereka memahami pengurusan emosi dan cara mengenali perasaan masing-masing.
Malahan, saya memastikan mereka tahu menghargai warisan dan nilai budaya. Saya percaya adat dan tradisi tidak seharusnya membataskan kita, tetapi wajib menjadi landasan yang kukuh untuk membina identiti dan jati diri seseorang,” kata Raja Teh Maimunah.
“Menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga adalah keutamaan kami, dan setiap kali ada kesempatan, kami memilih untuk beriadah dengan aktiviti bersama keluarga seperti melancong, rock climbing, mountain biking, dan diving. Berembun Forest Reserve, Negeri Sembilan, Air Terjun Lata Tampit dan Sungai Pisang adalah antara lokasi riadah kegemaran kami,” jelas Raja Teh Maimunah.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Teh Maimunah, asalnya figura ini melanjutkan dalam bidang undang-undang di University of East London atas nasihat ayahanda tercinta.
“Saya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari universiti yang sama. Walaubagaimanapun, saya tidak mengorak kerjaya dalam bidang undang-undang kerana minat yang lebih kuat pada dunia perbankan dan industri kewangan,” ulas tokoh korporat jelita yang meniti usia 57 tahun ini apabila membuka bicara tentang perjalanan awal kariernya.
Pengalaman lebih daripada tiga dekad dalam bidang perbankan dan kewangan telah menjadi saksi bagaimana perjalanan karier dari satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi tak semudah yang disangka. “Saya semakin serius dalam bidang perbankan sejak melahirkan anak pertama pada 1996. Anak saya adalah inspirasi utama untuk bekerja keras. Pada ketika itu, saya adalah seorang ibu tunggal dan fokus utama saya adalah untuk membesarkan anak dan memberikan kehidupan yang stabil.”
Ads
Seawal usia anaknya dua atau tiga tahun, Raja Teh Maimunah berkongsi yang beliau nekad membawa anaknya ke pejabat dan meletakkan si kecil bersebelahan kubikel mejanya. “Waktu itu, saya masih eksekutif muda dan gaji pun tak sebesar mana,” ujarnya.
Walaupun boleh meninggalkan anak di bawah jagaan bondanya, beliau tetap memilih untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pekerja dan ibu. Bagi beliau, keazaman untuk berjaya dalam kerjaya adalah dua amanah penting yang perlu dipikul oleh dirinya.
Karier beliau selama lebih 30 tahun merangkumi sektor Perbankan Pelaburan, Perbankan Borong, Perbankan Islam dan Perbankan Digital. Sebelum bergelar CEO AEON Bank, Raja Teh Maimunah pernah menerajui beberapa bank terkemuka seperti Hong Leong Islamic Bank sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Ketua Pegawai Operasi Inovasi Digital dan Transaksi Perbankan bagi Kumpulan Hong Leong.
Beliau juga pernah menjawat peranan sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong di Kumpulan AmBank, serta Ketua Pegawai Eksekutif di AmInvestment Bank. Portfolio korporat beliau turut dikembangkan ke luar negara menerusi kerjaya bersama Bank Alkhair di Bahrain dan Kuwait Finance House yang kedua-duanya merupakan bank Islam di bawah Gulf Cooperation Council (GCC).
Kini, Raja Teh Maimunah merupakan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Pemegang Amanah Lembaga Amanah Warisan Negara dan dilantik oleh Bursa Malaysia sebagai Pengarah Kepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Pada tahun 2009, Raja Teh Maimunah turut menyumbang kepada pelancaran Bursa Suq Al-Sila, platform perdagangan komoditi murabahah pertama di dunia. “Saya sungguh berbangga apabila pasukan kami berjaya melancarkan platform Bursa Suq Al-Sila, yang mana ia menjadi kebanggaan bukan sahaja bagi Malaysia, tetapi untuk bank-bank Islam seluruh dunia,” kongsi beliau.
Ads
Raja Teh Maimunah mengakui bahawa dalam membangunkan bank digital Islamik, beliau banyak terinspirasi oleh usahawan tempatan yang berani mengambil risiko dan berusaha mengatasi cabaran walaupun dengan sumber yang terhad. Beliau turut mengagumi usahawan muda yang telah berjaya membina jenama dan perniagaan yang kukuh dengan memanfaatkan idea kreatif dan peluang komersil di platform digital.
“Saya kagum melihat usahawan-usahawan muda yang tidak putus asa walaupun menghadapi pelbagai kesulitan. Mereka adalah faktor pendorong untuk membangunkan AEON Bank, supaya kami dapat menyumbang kepada ekonomi digital negara dan membantu usahawan tempatan perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mengembangkan perniagaan.”
Membangunkan sebuah bank digital Islamik pertama di Malaysia bukanlah misi yang mudah. “Ia adalah salah satu cabaran terbesar dalam karier saya,” ujar Raja Teh Maimunah. Struktur bank ini sangat berbeza dengan bank konvensional, di mana pendekatan yang diambil adalah lebih inklusif, khususnya dalam menyediakan akses mudah kepada pembiayaan modal dan perkhidmatan perbankan perniagaan dan perbankan peribadi Patuh Syariah.
Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, ketua organisasi korporat dan ikon kepada ramai wanita di luar sana, Raja Teh Maimunah berjaya membuktikan bahawa peranan seorang pemimpin bukan sahaja pada tanda aras kejayaan yang dicapai tetapi juga pada cara beliau menjadi sumber inspirasi kepada orang di sekelilingnya.
“Di bank saya, separuh daripada peringkat pengurusan semuanya wanita. Benar, bila seorang wanita menjadi bos pastinya ada faktor emosi, but women also have the maternal instinct yang bagi saya menjadikan wanita lebih sensitif dan ada nilai empati pada para pekerja. Ini yang akan menjamin keharmoniaan dan kecemerlangan dalam satu organisasi
Namun saya akui tidak mudah bagi seorang wanita especially mom with three daughters untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Jadi apa yang saya buat, saya rancang kalendar harian, yakni saya akan merancang keperluan a week ahead in advance, agar dalam kesibukan macam mana pun, saya akan pastikan aktiviti dengan anak-anak tidak tercicir, kerana bagi saya, sebagai seorang ibu masa bersama anak-anak sangatlah penting,” ulas beliau.
Kelak suatu hari nanti pasti akan bersara, apakah legasi yang ingin ditinggalkan? “Bersara dari perbankan mungkin tidak dalam waktu terdekat, tetapi andainya ia berlaku saya teringin melihat dan membuka jalan untuk lebih ramai wanita serta bakat-bakat muda menerajui industri perbankan dan sektor kewangan negara kerana saya percaya wanita adalah setanding dengan kaum lelaki,” akhiri beliau.
Dengan pengalaman dan visi yang dimiliki, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah bukan sahaja berjaya mencipta legasi beliau dalam industri perbankan, tetapi juga menjadi lambang keberanian dan iltizam bagi semua wanita yang mendambakan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi tidak mengira status mahupun asal-usul. Semoga kisah pemimpin wanita berkaliber ini menjadi inspirasi buat semua wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keyakinan dan kualiti kesihatan merudum dek masalah berat badan dialami tidak mematahkan semangat Nur Jauhatul Dinnie, pengasas DN’S Beauty Solution bangkit melawan arus. Beliau mengeluarkan produk meal replacement Fitztox yang kian meniti bibir di kalangan mereka yang ingin tampil sihat dan menawan.
Di kala lambakan produk-produk kecantikan dan kesihatan di pasaran, Fitztox muncul sebagai satu solusi utama kepada masalah utama dihadapi kaum wanita, tidak lain tidak bukan isu berat badan berlebihan.
Diilhamkan oleh keinginan untuk membantu wanita mendapatkan saiz idaman tanpa perlu mengorbankan kehendak selera, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari atau lebih mesra disapa Dinnie hadir dengan produk Fitztox yang berasaskan bahan-bahan semula jadi serta selamat digunakan.
“Inspirasi utama saya adalah untuk membantu individu mencapai kesihatan dan kecantikan secara holistik. Saya percaya kecantikan sebenar datang daripada tubuh yang sihat dan seimbang, jadi saya mahu menawarkan produk yang bukan sahaja berkesan tetapi juga selamat untuk jangka masa panjang,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini membuka bicara.
Bermula daripada mengusahakan sebuah salon, Nur Jauhatul Dinnie tidak pernah terfikir transisi kehidupannya berubah 360 darjah saat dirinya disapa kegagalan. “Atas kehendak ayah, saya membuka salon sendiri. Namun atas kekurangan ilmu pemasaran dalam pengalaman meniaga, saya terpaksa menutup salon berkenaan dan mencari alternatif lain untuk bangkit semula.
Lantas saya berjinak-jinak meniaga produk orang lain dahulu, sehinggalah saya mendapat inspirasi untuk mengeluarkan produk sendiri hasil penelitian saya melihat ada sahabat-sahabat yang berjaya mengubah nasib dengan mengeluarkan produk sendiri. Anggapan saya, jika mereka boleh berjaya kenapa tidak saya?” akui dirinya yang berasal dari Perak.
Dalam tempoh dua tahun Fitztox di pasaran, dia menekankan pendekatan keseimbangan antara kecantikan dan kesihatan. “Visi kami adalah untuk membina keyakinan dalam diri setiap pelanggan melalui produk yang mereka boleh percayai tanpa kompromi terhadap kesihatan.”
Namun siapa menyangka, di sebalik perjalanan dirinya menembusi cabang perniagaan, Nur Jauhatul Dinnie turut pernah berhadapan dengan situasi sukar mengemudi empayar perniagaannya.
Suri hati kepada pengasas bersama iaitu suami tercinta Syukry Radzuan yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya ini turut menjelaskan keinginan mendapatkan bentuk tubuh yang menawan menjadi inspirasi setelah berhadapan pelbagai kondisi kesihatan seperti mudah sakit pinggang, kesukaran untuk bergerak dan sebagainya.
Sebagai seorang usahawan wanita, Nur Jauhatul Dinnie turut tidak terlepas berhadapan pelbagai asam garam berniaga antaranya kekurangan modal, persaingan yang sengit, konsistensi malah sehinggalah pandangan sinis daripada orang sekeliling. Namun, semangatnya yang tidak pernah pudar dan keyakinan terhadap produknya membantunya untuk terus melangkah dengan bergaya.
“Saya tak bermula seorang diri. Saya mempunyai pasukan yang semestinya masing-masing punya emosi sendiri. Dalam masa kita nak membangunkan produk, orang-orang di bawah seliaan juga perlu diberikan perhatian namun ia tidak mudah. Bayangkan, pada waktu itu semua strategi tak berhasil, sehinggalah sales jatuh sampaikan satu tahap tiada lagi baki tinggal dalam akaun simpanan.”
Nur Jauhatul Dinnie percaya bahawa setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan merasa yakin dengan diri mereka sendiri. “Di DN’S Beauty Solution, kami sentiasa melakukan kajian pasaran dan mendengar maklum balas pelanggan, agar dapat memahami kehendak mereka dan memastikan produk dihasilkan memenuhi ekspektasi mereka.”
Lantas, salah satu matlamat utama Nur Jauhatul Dinnie adalah untuk memberdayakan wanita. Melalui inisiatif seperti program latihan keusahawanan untuk wanita contohnya suri rumah dan pelajar, beliau menggalakkan wanita untuk mencipta peluang mereka sendiri dan tidak terikat kepada norma biasa.
“Salah satu produk teras DN’S Beauty Solution, Fitztox, telah membuktikan daya tarikannya sejak dilancarkan pada Julai 2022. Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga kepada para usahawan yang bernaung di bawahnya. Para usahawan, yang merupakan pengedar produk ini, telah mengalami perubahan positif dalam kehidupan dan ekonomi mereka.
Fitztox bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga membina potensi diri, di mana ramai yang memperolehi kejayaan besar dalam perniagaan dan kehidupan peribadi mereka. ‘Fitztox bukan sekadar produk kecantikan; ia adalah simbol keyakinan dan kepercayaan dalam potensi diri,’ yakini Nur Jauhatul Dinnie.”
DN’S Beauty Solution tidak hanya bergantung kepada produk yang berkualiti tinggi, strategi pemasaran yang bijak juga memainkan peranan penting dalam kejayaan jenama ini. Nur Jauhatul Dinnie turut memanfaatkan kekuatan media sosial untuk membina komuniti yang menyokong dan terlibat. Dengan menjalin kerjasama dengan pempengaruh kecantikan dan pakar dalam bidang ini, Fitztox dapat mencapai lebih ramai pengguna dan meningkatkan kesedaran tentang produk mereka.
Fitztox juga mengambil pendekatan mengambil kira maklum balas daripada pelanggan untuk memperbaiki dan meningkatkan produk. Ini menunjukkan betapa seriusnya jenama ini dalam memastikan kepuasan pelanggan dan kualiti produk. Melihat kepada kejayaan yang dicapai di Malaysia, DN’S Beauty Solution kini bercita-cita untuk mengembangkan sayap perniagaan ke negara jiran di Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Ini adalah langkah strategik untuk memperluaskan pasaran dan memberikan lebih banyak peluang kepada para usahawan untuk mengubah nasib mereka.
“Kami mahu pastikan semua prosedur dan undang-undang negara pengimport dipatuhi sebelum kami mula memasuki pasaran luar. Ini adalah bukti bagaimana syarikat ini sentiasa mengutamakan kualiti dan pematuhan undang-undang bagi memastikan produk mereka diterima dengan baik di setiap pasaran,” jelasnya lagi.
Sebagai usahawan, Nur Jauhatul Dinnie turut akui dirinya tak pernah berhenti menenun mimpi dan angan-angan kerana baginya ia perkara biasa sebagai seorang peniaga. “Saya bercita-cita untuk membina kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan bagi produk kami, yang akan memberi peluang meneroka inovasi baru dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Dengan cara ini, kami berharap dapat mencipta produk yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan pengguna dengan lebih baik.”
Dalam setiap langkahnya, Nur Jauhatul Dinnie sentiasa memegang prinsip bahawa kejayaan adalah hasil daripada usaha gigih, kesungguhan, dan keyakinan diri. Baginya, setiap cabaran adalah peluang untuk terus maju, dan impiannya untuk menjadikan Fitztox sebagai jenama kecantikan dan kesihatan terkemuka di peringkat global kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Nur Jauhatul Dinnie adalah contoh seorang wanita yang berani mengejar impian dan mengubah nasib menerusi perniagaan. Kejayaan DN’S Beauty Solution bukan sahaja mencerminkan kejayaan peribadi, tetapi juga kejayaan kolektif yang menginspirasi lebih ramai wanita untuk terlibat dalam dunia keusahawanan.
Akhir kata, apa agaknya nasihat Nur Jauhatul Dinnie buat semua wanita di luar sana yang ingin terjun dalam bidang keusahawanan? “Saya nasihatkan semua wanita di luar sana untuk terus berpegang kepada nilai diri, sentiasa berinovasi, dan jangan takut untuk mengambil risiko. Kejayaan akan datang jika kita gigih berusaha dan tidak mudah berputus asa.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wangian bukan sekadar penyedap bau. ia tela menjadi sebahagian daripada identiti wanita moden yang mencerminkan keperibadian, keyakinan dan keanggunan mereka. Wangian yang sesuai dapat meningkatkan keyakinan diri seorang wanita.
Aroma yang wangi bukan hanya membuat orang di sekeliling berasa selesa, tetapi i juga memberi suntikan keyakinan dan tenaga positif. Dengan hanya beberapa semburan, seorang wanita lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran!
Itulah yang menjadi aspirasi buat pengasas Beauboss Perfume, Athira Mohamed Shahid atau lebih mesra disapa Tiya yang memulakan perniagaan ini berdasarkan minat yang mendalam terhadap wangian sejak kecil. Sifatnya yang gemar mencuba pelbagai jenis minyak wangi menjadikan dirinya menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan wangian.
Meskipun pernah mencuba beberapa perniagaan lain sebelum serius menubuhkan Beauboss Perfume, Tiya tidak menafikan kerjaya di awan biru merupakan titik tolak bagaimana dirinya serius dalam perniagaan berasaskan wangian ini. Menyingkap permulaan Beauboss Perfume, Tiya sering memenuhi pesanan minyak wangi yang sukar diperoleh di dalam negara sewaktu bertugas di awan biru.
“Pengalaman bertugas di awan biru membawa saya mengenali pelbagai jenis wangian sekaligus memberi inspirasi untuk melahirkan jenama sendiri iaitu Beauboss Perfume. Alhamdulillah ia menjadi jenama pilihan ramai atas dasar kualiti dan harga yang berpatutan,”ujar Tiya yang bersyukur minatnya terhadap wangian membuka rezeki untuk diirnya sebagai sumber pendapatan.
Wangian Punca Rezeki
Memulakan perniagaan pada skala kecil, Beauboss Perfume mula berada di pasaran di mana ia membawa konsep wangian berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Matlamat Beauboss Perfume untuk memberikan pengalaman mencuba wangian yang menarik. Di samping itu, ia membolehkan pelanggan bereksperiman dengan aroma berbeza tanpa kos yang terlalu tinggi.
“Saya berharap jenama ini mampu memenuhi keperluan pencinta wangian yang ingin tampil menarik dengan pelbagai aroma, tanpa perlu membelanjakan wang yang besar,”ujar Tiya berkongsi misi Beauboss Perfume.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam perniagaan, menurut Tiya segala pahit manis dalam dunia perniagaan yang diusahakan banyak mematangkan dirinya berhadapan dengan cabaran dunia perniagaan.
“Saya memulakan Beauboss Perfume dengan modal yang terhad. Malah terpaksa menggunakan kaedah ‘preorder’ bagi membina kepercayaan pelanggan. Dengan ketekunan dan usaha yang berterusan, saya berjaya mengukuhkan Beauboss perfume sebagai jenama wangian yang dipercaya dan berkualiti”.
Motivasi Diri
Tiya tidak menafikan, inspirasi terbesar dalam perniagaan datang dari semangat ibu tersayang yang juga merupakan seorang usahawan wanita yang tidak pernah mengenal erti kalah dalam dunia perniagaan.
“Melihat kejayaan mama mencapai impian dari segi kewangan, memiliki rumah dan kereta idaman, ia membakar semangat saya untuk mencapai kejayaan serupa.
Berkat dorongan suami dan keluarga, saya menjadikan wangian ini sebahagian dari gaya hidup dan punca rezeki. Meskipun terdapat saingan dalam industri wangian, saya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu ada, malah ia mendorong untuk sentiasa fokus dan konsisten,”ujar Tiya lagi.
Sikap optimis dan berpandangan jauh menjadi asas kejayaan wanita ini yang tidak pernah menjadikan kegagalan sebagai penamat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Antara cabaran yang perlu saya lalui dalam bisnes wangian ini ialah untuk menggambarkan wangian yang dihasilkan kepada para pelanggan terutamanya di platform digital. Tapi Alhamdulillah, Beauboss Perfume berjaya mengatasinya dengan menyediakan platform maklum balas pelanggan sebagai rujukan untuk pelanggan baru”.
Sejak penubuhannya, Beauboss Perfume telah berjaya menarik perhatian pelanggan dan baru-baru ini mendapat pengiktirafan NONA Superwoman Award 2024 dalam kategori NONA Best Fragrance Brand Award di mana ia menjadi tanda aras kejayaan Beauboss Perfume sebagai jenama wangian lokal yang mendapat kepercayaan pelanggan.
“Saya ingin melihat Beauboss Perfume berkembang ke tahap antarabangsa. Malah saya bercita-cita untuk membuka lebih banyak cawangan dan memperkenalkan koleksi khas Beauboss Perfume di pelbagai peringkat”.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Beauboss Perfume bercadang menempatkan jenamanya di peringkat antarabangsa selain menghasilkan koleksi khas wangian eksklusif yang diiktiraf seluruh dunia.
“Dengan keazaman, sokongan keluarga dan kepercayaan kepadaNya, adalah resipi utama Beauboss Perfume mencapai kejayaan berterusan. Setiap rezeki sudah ditetapkan olehNya. Usaha, tawakal dan terus berusaha adalah kunci kepada kejayaan”, ujar Tiya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pemilik kanta lekap Temylens pentingkan cantik & selesa pada pelanggan, bermula 20 pasang, kini terjual lebih 200,000. Pemilik Temylens ini antara usahawan wanita yang berjaya mencipta nama dalam dunia perniagaan.
Menurut Fatin Ameerah Zaabar atau mesra disapa Temy, dirinya memulakan perniagaan Temylens sekitar dua tahun lalu, selain turut mengusahakan jenama Temyracle dan Bows & Ribbons.
Berusia 33 tahun, Temy membuka kisah bagaimana bermulanya perjalanan perniagaan berasaskan contact lens atau kanta lekap berwarna. “Awalnya saya memakai contact lens untuk diri sendiri. Tapi ramai yang bertanya di mana saya beli kerana kata mereka contact lens saya pakai nampak cantik seperti mata asli selain selesa dan boleh dipakai dalam tempoh masa panjang.
“Bermula 20 Pasang Kanta Lekap Kini Terjual Lebih 200,000
Dari situ saya mendapat idea, kenapa tidak saya cuba menjualnya. Alhamdulillah, bila saya memulakan perniagaan lens ini dengan 18 warna pilihan yang cantik, sambutan dari orang ramai sangat menggalakkan.
Fatin Amirah Zaabar yang juga pemilik syarikat Temyracle Sdn Bhd menerima anugerah di malam penghargaan Nona Superwoman Award 2024.
Bermula dengan hanya 20 pasang, akhirnya mampu terjual lebih daripada 200,000 pasang. Ramai mengakui suka akan contact lens berjenama Temylens. Terletak cantik dan sesuai dengan mata orang Asia. Harganya pula berpatutan iaitu RM29 sahaja,” katanya sambil menambah bahawa dirinya sangat menekankan tiga elemen iaitu keselesaan, cantik dan memberi keyakinan diri bila memakainya.
Pemilik Temylens Pentingkan Selesa & Cantik Pada Pelanggan
“Temy selalu meletakkan diri Temy sebagai pengguna. Kita biasanya mahukan sesuatu yang selesa bila pakai contact lens. Ya, contact lens Temy ini sangat selesa, boleh tahan berjam-jam penggunaan tanpa membuatkan mata jadi pedih atau merah. Water contentnya sebanyak 38 peratus.
Keduanya, cantik. Pengguna contact lens semestinya mahu nampak mata lebih cantik. Temy selalu tanya feedback pelanggan bila mereka beli dan pakai. Kata mereka contact lens ini sesuai dipadankan dengan pelbagai pakaian. Nampak asli sangat dengan mata orang Asia.
Dan terakhir rasa keyakinan saat memakai contact lens ini. Ramai pembeli akan repeat order kerana tahap keyakinan diri mereka tinggi bila menggunakannya tambahan harga pula tak terlalu mahal dan mampu milik. Tapi sebenarnya ia bukan berkisar kepada berapa nilai kita beli tapi selesa bila memakainya, itu paling penting,” katanya lagi.
Aura Cik Siti Wan Kembang pastinya mengalir dalam semangat wanita Kelantan. Ketokohan lagenda wanita yang memerintah negeri Serambi Makkah sekitar 1610 sehingga 1677 Masihi cukup diingati.
Tidak hanya cantik tapi auranya sudah cukup memberikan inspirasi kepada wanita-wanita Kelantan yang banyak membangunkan ekonomi keluarga hari ini. Lihatlah saja kemeriahan Pasar Siti Khadijah yang memenuhi setiap ruang pasar, banyak juga founder berjaya berasal dari negeri di Pantai Timur ini.
Dalam melebarkan sayap perniagaan, Temy memaklumkan syarikat miliknya baru saja mendapat lesen Establishment iaitu Medical Device Autority (MDA) yang membolehkan Temylens dipasarkan ke kedai-kedai optical seluruh negara.
“Sebenarnya tak banyak syarikat tempatan memiliki lesen MDA ini. Kenapa kami usahakan mendapatkan MDA ini ialah kerana produk Temylens bukan produk biasa-biasa yang dijual di Uptown atau pasar malam sebaliknya syarikat tempatan mampu bersaing dengan brand berjenama di pasaran. Insya Allah kita mahu melebarkan sayap ke Indonesia, Singapura dan Brunei,” ujar Temy dengan yakin.
Temy turut memaklumkan dirinya hanya mengekalkan 18 warna pilihan seperti brownies, sesame, jasmin, tiramisu, pistachio, kunafa dan banyak lagi buat masa ini dan pada masa akan datang pilihan warna tak akan melebihi 20.
“Kalau ikut katalog di pihak pembekal, ada beribu warna sampai rambang mata dibuatnya. Bermacam warna termasuk lens bercorak. Tapi untuk Temylens ini, saya hanya pilih warna sesuai dengan kehendak pasaran. Alhamdulillah pembeli suka dan mengulang beli termasuk ada yang membeli ke semua warna saya jual,” kata wanita jelita itu yang kini sedang sarat berbadan dua.
Tidak mudah bergelar ahli perniagaan. Ada banyak cabaran dan ujian perlu dihadapi terutama melibatkan orang ramai. Turun naik dan pasang surut adat berniaga, ditambah berlaku lambakan produk di pasaran.
“Temy bukan bermula dengan Temylens semata. 12 tahun dulu Temy dah berniaga skrub, skin care iaitu Temyracle tapi orang mahukan result cepat. Jadi Temy nampak peluang Temylens ini kerana resultnya nampak depan mata berbanding skrub yang perlukan masa.
Berbeza dengan kosmetik atau penjagaan badan. Resultnya mengambil masa untuk dibuktikan keberkesanannya. Dalam masa yang sama, kita kena buat penyelidikan & pembangunan (R&D) produk. Temy sendiri pastikan setiap produk dihasilkan, Temy guna dahulu. Dah guna dan yakin baru jual. Jadi semua itu memerlukan masa yang panjang tapi serentak itu, kita tak boleh mengalah.
Temy bersama suami yang turut sama membantu perniagaan diusahakan mereka.
Begitu juga ketika perniagaan kita maju, kena ada simpanan secukupnya. Tak ketinggalan kos operasi, kena ada cash flow lebih daripada enam bulan untuk kekal bertahan. Temy ingat lagi, bertahun-tahun, Temy gunakan Myvi sampai ada orang tanya founder pakai Myvi saja ke? Itu belum lagi cabaran diuji produk rosak sampai kita rugi banyak. Tapi sebagai usahawan, kita tetap kena sabar dan jalan terus, Berniaga ini memang memerlukan kesabaran tinggi kerana ujiannya besar tapi nikmatnya juga besar.
Temy sendiri kuatkan semangat dan jalan terus. Alhamdulilah, saat ada syarikat yang ditutup akibat COVID-19, syarikat Temy bertahan dan mampu bayar gaji pekerja tanpa terjejas. Alhamdulillah juga, beberapa tahun ini kami upgrade kepada kereta yang lebih selesa. Itupun bukan pakai sebab nak nampak mewah tapi inginkan keselesaan buat anak-anak dan keluarga. Bahkan simpanan juga terus digandakan.”
Temy mengakui arus perubahan terutama ‘teknik pemasaran’ yang berbeza adalah cabaran bagi peniaga sepertinya. “Marketing trend ini tak sama seperti dulu. Dulu kita boleh menjual di Facebook tapi hari ini paling laju di TikTok. Orang pula sentiasa mahukan barangan dibeli cepat sampai. Jadi kena pos segera pesanan pelanggan. Bila permintaan tinggi pula, kita tak boleh supply. Jadi semua ini adalah cabaran dalam perniagaan. Pendek kata kena peka dengan semua situasi,” katanya.
Memasang impian mahu melangkah jauh meneroka dalam dunia perniagaan, Temy akui dia dan pasangan hidupnya, Muhammad Faris Ramli, 33 sedang meneroka Temylens ke pasaran Indonesia. “Kini kami sedang mengusahakan perkara ini dan saya nampak ada peluang itu. Tambahan pula rakyat di negara jiran sangat ramai. Insya Allah, semoga suatu hari nanti produk Temylens akan menembusi pasaran Indonesia, doakan ya,” katanya sambil mengukir senyuman manis.
Sejak kecil, Temy akui sudah membaca majalah Nona dan cukup teruja menjadi sebahagian penerima anugerah Nona Superwoman Award buat kali keempat ini. “Mak saya sering membeli majalah sejak saya kecil lagi. Masa tu apa saja petua kecantikan, kita jadi teruja membaca dan mempercayainya. Memandangkan majalah ini jadi pilihan ramai wanita, produk yang Temy jual juga berkaitan wanita, jadi ia satu platform terbaik untuk kembangkan perniagaan,” akhiri Temy penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon dan model jelita dari Indonesia, Aryani Fitriana antara figura umum yang mengambil keputusan untuk bertudung dan menutup aurat sepenuhnya.Di sebalik penghijrahan itu, rupa-rupanya...