Kemenangannya meraih gelaran Bintang Paling Popular BH ke-36 ibarat satu validasi namanya dalam medan muzik tanah air. Berdiri megah dengan personaliti serta keupayaan nyanyian luar biasa, memahat kukuh nama Aina Abdul sebagai anak seni dengan pesona yang tidak mungkin malap, hanya akan gemerlap dan terus bersinar.
Dia bukan sekadar seorang penghibur, tapi penenun yang mencipta kanvas seninya beracuankan mimpi sehingga jadi realiti. Ketika dunia seni dahagakan bakat seni yang unik, dia muncul sebagai permata yang bersinar, dengan aura dan kemahiran vokal yang memukau.
Setiap naskhah didendangkan bagai helaian puisi yang hidup, setiap persembahan bagai ritual seni dengan magis tersendiri menjentik perasaan lantas membuat hati pendengar tersentuh tanpa disedari. Itulah kuasa yang ada pada dirinya. Tidak hairanlah, Aina Abdul disebut-sebut sebagai bintang masa depan.
Sedekad berkelana mencari ruang, perjalanan karier seni Nurul Aina binti Abdul Ghani tidak mudah. Jelasnya, sepuluh tahun ini cukup bermakna buat dirinya sebagai seorang penyanyi. Transisi dari seorang ‘Aina’ ke ‘Aina Abdul’ itu memakan masa dan segala jatuh bangun yang dikecapi adalah satu pelajaran untuk Aina terus kuat dalam bidang nyanyian,” jelas anak bongsu dari lima adik-beradik ini.
Bermula dari seorang gadis Johor Bahru yang biasa dan dibesarkan di Seremban dengan impian besar, Aina Abdul mengorak langkah mempertaruhkan bakatnya sebagai penyanyi gig di restoran dan kelab malam. Langkah itu diteruskan dalam pertandingan Mentor Legend dan seterusnya ke World Championships of Performing Arts di Amerika Syarikat. Di sana, Aina berjaya mendapat tempat pertama menewaskan 110 peserta dari serata dunia, sekaligus menjadi titik mulanya bertapak dalam industri.
“Aina berterima kasih kepada Cikgu Shamsiah, guru Darjah 6 Aina yang mengubah diri ini daripada seorang yang pemalu kepada Aina yang sekarang. Bayangkan, dia ‘memaksa’ kami menyertai pertandingan nyanyian dan seorang pun tidak terkecuali. Itulah pertama kali Aina mengeluarkan suara dan mampu untuk menyanyi di khalayak ramai.”
Walaupun namanya agak ‘lambat panas’ berbanding senior-senior yang lain namun Aina tidak pernah merintih nasib.
“Banyak telah dilakukan dan dikorbankan termasuk masa serta tenaga untuk apa yang dikecap kini. Sejujurnya, Aina tak mengejar tetapi 10 tahun kerja keras menjadi sangat bermakna dan tidak sia-sia.”
Di sebalik kelunakan suara, Aina Abdul adalah figura yang tidak hanya berpaut pada talent semata-mata. Seiring dengan kejayaan yang dikecap kini, Aina akui dirinya banyak belajar dari pengalaman, tak lupa ilmu muzik yang menjadi nadi kariernya.
Ads
“Bagi Aina, pendidikan adalah kunci yang membuka pintu-pintu impian. Ilmu bukan sekadar memberi kefahaman dalam teknik vokal, tetapi juga ‘isi’ yang melengkapkan diri kita dengan kemahiran kreatif, ‘decision making’ dan bagaimana untuk membawa diri dalam industri.
Namun ilmu tak semestinya dengan memegang sejulung ijazah, ia juga boleh ditimba daripada pelbagai sudut. Jadi galilah ilmu muzik di mana-mana saja hatta YouTube sekalipun,” jelas Aina yang memiliki Sarjana Muda Muzik Kontemporari Universiti dari UCSI.
Dan kini, hatrik tiga kali vokal terbaik yang dirangkul penyanyi dan komposer berusia 30 tahun ini sejak AJL36 petanda kedudukan Aina yang dilihat sukar digugat, sekaligus menempatkan dirinya dalam liga ‘one to beat’ dalam mana-mana pertandingan disertai. Enggan mendabik dada, namun Aina akui perbandingan dalam industri menyeksa emosi dan mentalnya.
“Peminat mungkin kecewa tapi kalau diikutkan Aina enggan bertanding lagi. Aina ingin lindungi minda Aina. Acap kali bila dibandingkan misalnya siapa punya vokal terbaik dan sebagainya, ia tidak sihat. Jadi Aina ambil ini sebagai cabaran untuk kekal relevan, dan kelainan apa lagi boleh Aina bawakan. Jika ingin bersaing sekalipun, mungkin di pentas lebih besar seperti peringkat antarabangsa.”
Namun bagaimana pula dengan usikan pemerhati industri yang menggelar Aina ‘The Next Siti Nurhaliza’? “Bagi Aina, there is only one Siti Nurhaliza. Aina kagumi beliau sebagai seorang ikon dan inspirasi buat Aina. Malah Aina sendiri pun masih mencari identiti sendiri dalam bidang seni. Aina berbesar hati namun pada masa yang sama, I don’t feel good about it,” jelas Aina lagi.
Tak gusar peminat menjauh andai Aina membuat keputusan tidak bertanding lagi? “Aina percaya Ainations akan sentiasa berada di belakang Aina walau apa jua yang akan Aina tampikan selepas ini. Misi Aina adalah untuk meramaikan lagi fans Aina Abdul, dan Aina tak sabar untuk melihat ke mana lagi Aina akan ‘terbang’ selepas ini,” ulas Aina merendah diri.
Ads
Ikon Fesyen
Dia bukan sahaja dikenali dengan suara emasnya, tetapi juga keberanian dalam berfesyen. Setiap kali hadir ke mana-mana acara, stail Aina sering kali mencuri perhatian mencerminkan personalitinya yang kreatif, berani mencabar norma sekaligus melonjakkan namanya. Namun apa benar dakwaan Aina dilihat sudah mulai ‘toned down’ dan tidak seberani dulu?
“Fesyen adalah satu bentuk ekspresi diri dan jiwa seni Aina. Mana-mana wanita pasti ingin lihat yang cantik-cantik bukan? Namun setelah sekian lama dalam industri, Aina mula belajar apa yang elok untuk diri sendiri dan mula berhati-hati. Jadi setiap kali Aina ingin membuat sebarang keputusan terutama sekali bab pakaian, hanya satu insan yang Aina akan utamakan, iaitu ibu Aina.”
Pemergian arwah ayahnya di usia 15 tahun meninggalkan kekosongan yang tidak dapat digambarkan. Ketiadaan figura ayah pada usia yang begitu muda membuatkan Aina lebih menghargai setiap momen bersama ibunya, Zaini Abdullah yang banyak berkorban membesarkan dirinya dan adik-beradik, sekaligus menjadi pendorong utama kejayaannya hari ini.
“Seawal usia 15 tahun, Aina melihat kehidupan ibu Aina berubah 360 darjah selepas kehilangan suami. Sejak arwah ayah meninggal dunia, ibulah yang menggalas tanggungjawab tersebut. Pengorbanan ibu mengizinkan Aina untuk menjadi penyanyi cukup Aina hargai apatah lagi tiada siapa dari keluarga Aina berkecimpung dalam bidang seni. Ibu dan kakak Aina kedua-duanya pengajar, jadi bila kehendak Aina dipersetujui, bagi Aina itu adalah pengorbanan terbesar ibu yang tak akan Aina lupakan,” imbas Aina dalam nada sebak.
Ads
Sebagai seorang wanita dan insan biasa, Aina Abdul menganggap kritikan sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya dalam industri seni.Baginya, setiap kecaman adalah peluang untuk menguji kekuatan jiwa, sekaligus memperbaiki diri.
“Aina okay dengan kritikan. Jika dulu memang Aina akan cepat mudah terasa. Dari paras rupa sehinggalah persembahan Aina sehingga kini masih ada yang mengecam. Aina percaya bahawa setiap komen, ujian yang datang dengan rahmat tersembunyi. Kita tidak boleh mengawal apa yang orang katakan, tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita menghadapinya,” kata Aina dengan penuh keyakinan.
Menganggap ‘Aina Abdul’ itu sebagai satu jenama dalam perniagaan, dia tetap berpegang pada prinsipnya bahawa kesungguhan, kerja keras, dan keikhlasan dalam berkarya adalah kunci sebenar kejayaan. Lantas Aina terbuka berkongsi modus operandinya dalam memperkukuhkan namanya dalam bidang seni sekaligus memberi semula kepada komuniti seni tanah air.
“Jika diizinkan Tuhan, Aina ingin memiliki empayar perniagaan sendiri, yakni sebuah bangunan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan – fotografi, penggambaran muzik video dan sebagainya. Selain itu, azam Aina untuk menjadi satu entiti di mana Aina dapat membantu anak-anak muda berkarya dan ingin merealisasikan impian mereka. Selain itu sudah pasti Aina mahu mengeluarkan album Aina sendiri, serta siri jelajah konsert termasuk konsert solo dari produksi sendiri, InsyaAllah.”
Kesimpulannya, Aina Abdul tidak pernah berasa selesa dengan kejayaan yang dicapainya, sebaliknya sentiasa mencari jalan untuk membawa inovasi dalam muziknya. Dengan misi mempersembahkan sesuatu yang baru kepada peminat, sama ada melalui susunan muzik yang lebih segar, lirik yang lebih mendalam, atau konsep video muzik yang unik, semangat inilah yang menjadikan Aina seorang penyanyi yang dinamik dan kekal relevan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan calang-calang, Priya Dharshini Prabakaran merupakan wanita termuda pertama di Astro yang menggalas peranan besar sebagai Ketua Pengarah Radio Astro pada usia 37 tahun. Memiliki keperibadian yang mudah mesra, Priya menyusun kata memulakan bicara.
The Loft Studio Asia
“Asalnya saya tidak pernah memilih bidang radio sebagai kerjaya utama kerana saya seharusnya bekerja dalam bidang psikologi. Impian saya untuk menjadi seorang ahli psikologi. Segalanya bermula ketika saya menyambung pengajian di salah sebuah universiti tempatan. Sambil belajar saya turut melakukan kerja separuh masa di stesen radio kerana minat dan mahu menimba pengalaman.
“Ketika itu bos ada tanya saya, nak jadi penyampai radio tak? Saya kata boleh dan terus cuba. Saya ini sebenarnya seorang yang susah berkata ‘tidak’. Saya cuba sahaja dan cabar diri. Saya berjaya lakukannya namun lama-kelamaan saya sedar yang jiwa saya bukan sebagai penyampai radio. Saya tak selesa dengan limelight dan lebih suka berada di belakang konti sahaja.
“Ibu juga ada bertanya, saya tak mahu jadi ahli psikologi ke? Saya jawab, sekarang pun saya banyak menggunakan ilmu psikologi kerana bekerja dengan ramai orang. Salah satunya ialah saya dapat memberi impak kepada budaya syarikat melalui ilmu psikologi yang saya ada. Apabila bekerja dengan golongan senior pula, saya harus mendengar dan menghormati mereka. Saya tahu bagaimana cara yang betul untuk berkomunikasi dengan mereka. Secara tidak langsung ilmu psikologi yang saya belajar sebelum ini tetap dipraktikkan dalam kerjaya dan kehidupan seharian,” jelas Priya.
Setiap kerjaya pasti ada cabaran yang tersendiri. Begitulah juga yang dihadapi oleh Priya apatah lagi menggalas tanggungjawab yang bukan ringan.
The Loft Studio Asia
“Di tempat kerja dari segi lingkungan usia, kami lebih kurang sebaya dan tiada masalah untuk berkerjasama. Tetapi apabila saya yang sering naik pangkat dan bergelar ketua macam lonely sedikitlah. Sebenarnya tiada yang berubah pun dari segi komunikasi, pergaulan dan sebagainya. Namun apabila melibatkan urusan kerja, kami harus profesional.
“Satu lagi cabaran ialah memandangkan saya seorang perempuan dan masih muda ada yang merendah-rendahkan kemampuan saya serta tidak ambil serius. Tidak dinafikan bahawa kalau kita lihat sejarah dalam industri radio kebanyakan seniornya adalah lelaki. Sekarang ini barulah kita dapat melihat ramai golongan wanita yang menceburi industri ini.
“Bagi saya jika bekerja dalam industri yang majoritinya lelaki, kita sebagai wanita perlu menyuntik sedikit jiwa maskulin dalam diri. So, you must play a game. Buat masa ini saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang pemimpin. Saya tidak mahu menjadi pemimpin yang terlalu stereotype kerana mahu menjadi diri sendiri. Saya mahu semua orang dalam syarikat ada hak bersuara masing-masing.
The Loft Studio Asia
“Saya pun tidak tahu berapa lama akan pegang jawatan ini. Jadi, suara mereka adalah sangat penting sebagai pengganti saya selepas ini di Radio Astro. Tidak kiralah lelaki mahupun perempuan, tanggungjawabnya ialah memperkasakan masyarakat. Itulah sikap pemimpin yang saya mahu jadi. Apa pun saya bersyukur kerana setakat ini segala matlamat berjaya dicapai dan disempurnakan dengan baik.”
RELEVAN
Tambah Priya, untuk kekal relevan industri radio harus berkembang secara konsisten serta ada perubahan. Sebelum ini semua content radio berkonsepkan on air. Namun sekarang orang mendengar radio bukan hanya di on air tetapi juga menerusi digital. Priya percaya bahawa industri radio tidak akan mati jika ia dikendalikan dengan cara yang betul mengikut trend semasa.
“Semasa pandemik, semua pengumuman kita dengar di radio. Itulah cara untuk mendapatkan info terpantas tanpa perlu penyampai bersiap dan sebagainya. Jadi, in a way it’s a human touch that orang masih perlukan radio. Tetapi untuk content sekarang, lawak bodoh sudah tidak relevan lagi. Semasa era 80-an ke 90-an, kita masih belum ada Internet. Jadi, pilihan memang tak banyak. Sekarang kita sudah ada banyak pilihan jadi kita akan pastikan content itu benar-benar relevan dan memberi impak kepada pendengar.
“Kita kena bagi informasi yang pendengar boleh ambil dan jadikan teladan. Ia lebih kepada apa yang kita beri semula kepada rakyat Malaysia. Kebanyakan stesen radio bersaing untuk menjadi nombor satu. Saya pun tidak boleh kawal mereka kerana orang hanya akan pilih dan dengar stesen radio kegemaran mereka sahaja. Apa yang penting sentiasa memberikan content yang terbaik untuk pendengar.”
The Loft Studio Asia
Priya sentiasa berpegang kepada prinsip percaya diri dalam apa jua perkara yang dilakukan. Bagi Priya, tiada salahnya hendak mendengar pendapat orang lain tetapi akhirnya harus percaya dengan apa yang kita lakukan. Itulah yang sering dia ingatkan kepada dirinya sendiri.
“Saya suka belajar dan kalau ada sesuatu perkara yang tidak tahu saya akan bertanya. Walaupun seorang ketua, saya sebenarnya banyak belajar daripada rakan-rakan termasuk pengalaman sendiri. Sekurang-kurangnya kita mencuba. Kalau buat silap segera minta maaf dan perbetulkan. Buang perasaan ego barulah diri kita dihormati. Kerjaya pun berkembang dengan baik dalam persekitaran yang positif dan sihat.
“Dalam bidang radio, saya menjadikan Kudsia Kahar sebagai seorang legend dalam dunia penyiaran radio. Adakalanya saya mendapatkan pendapat dan nasihat daripada beliau. Saya banyak belajar daripada orang-orang di sekeliling saya yang lebih berpengalaman.”
Priya sangat bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang sangat penyayang. Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu tunggal turut menjadikan ibunya seorang wanita yang berjiwa kental. Sekaligus, menjadi sumber inspirasi buat Priya.
The Loft Studio Asia
“Bagi saya, ibu merupakan role model dan seorang pejuang yang tidak pernah mudah berputus asa. Saya juga banyak belajar daripada bapa. Walaupun bapa sudah meninggal dunia tetapi saya masih berpegang kepada nasihatnya agar menjadi seorang yang kuat. Begitu juga dengan ibu, beliau mengajar saya bagaimana menjadi seorang pejuang yang tidak mudah mengalah dalam apa jua perkara yang dilakukan.
“Walaupun ibu dan bapa saya tidak berpelajaran tinggi tetapi mereka mempunyai sikap juang yang tinggi. Adakalanya saya turut belajar daripada kesilapan mereka dan tabah mengharungi segala cabaran yang datang sebaik mungkin.
“Kita hanya mampu merancang namun akhirnya Tuhan juga yang menentukan. Jangan terlalu overthinking, lakukan sahaja mengikut kemampuan. Jangan merasa terlalu tertekan dengan perkara yang di luar kawalan kita.
“Ibu sering berkata yang dia sayangkan saya. Maka, percayalah walau apa sahaja berlaku pasti akan ada insan yang sentiasa setia di sisi dan menyayangi kita. Doa dan restu ibu pasti mengiringi setiap langkah kita dalam apa jua perkara yang dilakukan,” ungkap Priya yang sering memuliakan ibunya yang kini berusia 72 tahun.
Menurut Priya sekiranya tidak bekerja dalam industri radio, kemungkinan dia kini bergelar seorang ahli psikologi atau aktif melakukan sesi coaching.
“Saya bersyukur kerana berjaya mencapai apa yang saya ingin lakukan. Di samping itu, saya dapat memberi semula kepada masyarakat dalam bentuk content space on radio. Selepas ini mungkin dalam bentuk yang lain pula. Namun begitu, bidang psikologi tetap menjadi keutamaan saya.
“Bagi saya keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi adalah sangat penting. Ketika berusia 20-an, saya sangat sibuk dengan urusan kerja. Namun setelah usia menganjak 30-an saya mula sedar betapa pentingnya keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi. Setiap hujung minggu saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan untuk bersosial tanpa ada ada kaitan dengan urusan kerja.
“Nasihat saya buat wanita, percaya dan yakinlah dengan diri sendiri. Jangan mudah merasa lemah dan berputus asa. Barulah orang akan menghormati kita”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah sebenarnya untuk membuat sebarang keputusan besar dalam kehidupan lebih-lebih lagi yang melibatkan kerjaya. Begitulah yang dilalui oleh usahawanyang dikenali sebagai Anis Mastura Azmin ini sebelum melangkah ke dunia perniagaan. Siapa sangka, daripada seorang setiausaha kini graduan pentadbiran profesional ini bergelar pengasas dan pengarah syarikat miliknya sendiri iaitu A&A World Premium Cookware.
Daripada seorang yang bekerja makan gaji di pejabat kini segalanya berubah secara total setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan. Mesra dengan panggilan Anis, usahawan kelahiran Pantai Timur ini dianggap bertuah kerana bapanya yang juga merupakan seorang usahawan menjadi pendorong serta mentor dan tulang belakang sepanjang penglibatan Anis dalam bidang perniagaan.
“Dalam keluarga, ayah memang seorang usahawan dan saya mewarisi minat serta bakat berniaga yang dimilikinya. Sejak kecil lagi saya sudah biasa melihat susah payah ayah dalam berniaga demi mencari rezeki buat kami sekeluarga. Secara tak langsung saya dapat belajar selok belok tentang perniagaan.
“Sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan, saya bekerja sebagai setiausaha di salah sebuah syarikat yang terletak di Kuala Lumpur. Pada 2013, saya telah mengambil keputusan besar dalam hidup di mana saya menjual koleksi beg, baju serta barangan kosmetik,” kongsi Anis, penerima Nona Superwoman Award 2024 kategori Nona Best Kitchenware Business Award.
Selepas itu, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan kelengkapan dapur seperti periuk dan pinggan mangkuk. Ketika itu Anis masih belum ada jenamanya sendiri. Lama-kelamaan perniagaannya kian berkembang dan bertahan sehingga kini. Lebih 10 tahun menjual barangan dapur akhirnya Anis berjaya memiliki jenama dan empayar perniagaannya sendiri iaitu A&A World Premium Cookware.
“Segalanya bermula apabila saya melihat banyak masalah yang timbul dalam pembuatan periuk. Kebanyakan periuk yang ada di pasaran, bahagian bawahnya nipis menyebabkan masakan cepat hangit. Daripada situlah saya terinspirasi untuk mencipta satu periuk yang boleh custom. Bahagian bawah periuk kita pilih material yang tebal supaya masakan tidak mudah hangit. Dari segi pembuatan periuk pula kami memilih mesin yang berteknologi tinggi.
“Sebelum menghasilka sesuatu produk, saya agak cerewet terutama dalam pemilihan maerial. Di samping itu, penggunaan mesin berteknologi tinggi sangat penting dalam menghasilkan finishing periuk yang lebih cantik, kemas dan selamat untuk pengguna. Untuk material, kita menggunakan jenis stainless steel yang berkualiti tinggi agar tahan lebih lama dan mesra pengguna,” jelas Anis.
CABARAN
Bergelar usahawan pastinya tidak terlepas daripada cabaran mahupun halangan. Apatah lagi, untuk memperkenalkan produk kepada orang ramai termasuklah mendapatkan kepercayaan mereka untuk membeli.
“Cabaran terbesar dalam membangunkan jenama A&A World ini ialah untuk mendapatkan kepercayaan para pelanggan bahawa periuk yang kami hasilkan sangat bagus serta berkualiti tinggi. Dari segi kehidupan, ia membantu dalam mengubah kualiti gaya hidup mereka menjadi lebih baik. Setelah berjaya mendapat kepercayaan itu, cabaran seterusnya ialah untuk kekal konsisten dalam menghasilkan periuk berkualiti tinggi.”
Sepanjang menjalankan perniagaan, pasti ada momen yang paling membanggakan Anis dari segi pencapaian. Bersama syarikatnya, Anis pernah menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah berprestij antaranya Superbrands Malaysia dan Asia Pacific TOP Excellence Service, Lebih membanggakan, Anis turut menerima gelaran Ikon Wanita Kelantan yang dianugerahkan oleh YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato’ Seri Diraja Sharifah Azwan.
“Satu lagi kejayaan terbesar ialah apabila kami dapat membayar ratusan ribu zakat setiap tahun sebagai jihad ekonomi kami untuk seluruh negeri Kelantan,” kongsi Anis yang sentiasa berpegang kepada kepada prinsip bahawa perubahan-perubahan kecil akan menghasilkan satu kejayaan yang sangat besar.
Menjadikan suami dan bapa sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan serta kehidupan, Anis berpendapat mereka sentiasa ada di sisinya di kala susah mahupun senanng. Mereka sentiasa memberi sokongan dan dorongan tanpa jemu. Kata-kata mereka menghidupkan dan menyuburkan jiwa. Saat berkongsi pengorbanan suami dan bapa, Anis tidak dapat menahan sebak.
“Kadang-kadang apabila tercetusnya masalah-masalah yang terlalu rumit dan sukar diselesaikan dalam perniagaan, saya memerlukan bantuan serta sokongan daripada mereka. Di kala saya semakin down merekalah yang sentiasa memberi saya kata-kata semangat dan tetap berdiri di belakang saya. Mereka juga sering memberi motivasi kepada saya agar membuat keputusan yang terbaik walau apa pun terjadi. Salah satu nasihat bapa yang sentiasa saya ingat ialah jujur dan Amanah dalam perniagaan.
“Tidak dilupakan ialah nasihat, kata-kata semangat serta doa daripada ibu yang tidak pernah putus. Begitu juga dengan keluarga dan adik beradik yang sentiasa ada dalam hidup saya di kala suka mahupun duka. Merekalah tulang belakang saya yang sebenar. Saya bersyukur dan bangga dikurniakan insan-insan yang baik seperti mereka,” jelas Anis yang turut mementingkan nilai kasih saying.
PERANCANGAN
Berkongsi tentang perancangan masa depan khususnya dalam perniagaan, banyak sebenarnya yang ingin dicapai oleh wanita hebat ini. Anis berharap agar manfaat produknya dapat terus disebarkan kepada pengguna seterusnya mencapai rutin kehidupan yang lebih seimbang dengan penggunaan kelengkapan dapur berkualiti tinggi.
“Untuk perancangan masa depan perniagaan, kami akan fokuskan kepada perkembangan perniagaan dan sustainability. Ia adalah sangat penting demi kelangsungan perniagaan dan syarikat A&A World Premium Cookware agar kekal relevan dengan permintaan semasa. Doakan perjuangan kami bukan setakat di sini sahaja. Semoga momentum kami terus konsisten dalam menghasilkan periuk berkualiti tinggi. Impian saya untuk melihat A&A World Premium Cookware terbang lebih tinggi.
“Nasihat saya buat seluruh wanita walau apa pun status anda sama ada bekerjaya atau suri rumahtangga sepenuh masa, ikhlaslah dalam setiap Tindakan yang dilakukan. Keberuntungan akan pasti menjadi milik anda dunia akhirat.
“Bagi wanita yang bergelar usahawan, jadilah seperti matahari yang sentiasa memberi sinar harapan dan masa depan. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk alam dan isinya. Berjuanglah demi sebuah kehidupan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam dunia perniagaan, ramai wanita berani melangkah keluar daripada zon selesa untuk mencapai impian. Mardiana Made, antara wanita yang berani berhadapan risiko dalam usaha untuk merubah kehidupan.
Usahawan berasal dari Tawau, Sabah ini nekad mengharungi cabaran kehidupan melangkah ke dunia perniagaan yang tidak pernah disangka bakal merubah kehidupan.
Sebagai pemilik DS Rich Manufacturing, sebuah kilang OEM, pakar dalam penghasilan produk kosmetik dan kesihatan, beliau kini menjadi inspirasi bagi usahawan tempatan terutama wanita di Sabah.
Pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup, Mardiana sempat berkongsi pernah diuji sekitar tahun 2018 di mana dia dan suaminya kehilangan sumber pendapatan dalam sekelip mata. Tanpa sebarang pilihan, Mardiana memilih untuk mengubah nasib keluarganya dengan membina perniagaan dari bawah.
“Saya mulakan langkah dengan menjadi orang tengah kepada kilang OEM di Semenanjung Malaysia. Dari situ, saya belajar tentang servis, formula dan pembungkusan. Semuanya bermula dengan kesungguhan untuk mengubah kehidupan keluarga,” kata Mardiana mengenang kembali kesukaran hidup yang dihadapinya empat tahun yang lalu.
Modal Kecil Jadi Asbab Kejayaan
Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil, Mardiana berjaya membuka DS Rich Manufacturing yang beroperasi di Sabah, berkat pengetahuan yang semakin berkembang.
“Bermula hanya dengan empat orang pekerja dan beberapa mesin asas, saya membina perniagaan ini atas dasar ketabahan, tidak berputus asa dan keyakinan terhadap diri sendiri,” ujar Mardiana yang ternyata boleh berbangga dengan pencapaiannya kini.
Kejayaan DS Rich Manufacturing bukan sekadar kisah pencapaian individu, ia juga membawa misi besar untuk membantu usahawan tempatan, khususnya di Sabah. Mardiana menubuhkan kilangnya dengan impian untuk menyediakan perkhidmatan OEM yang berkualiti, selamat dan halal, menjadikannya pilihan bagi usahawan kecil yang ingin memiliki jenama sendiri.
“Saya melihat potensi besar dalam industri kosmetik dan saya mahu menyokong lebih ramai usahawan tempatan yang mempunyai impian tetapi kekurangan fasiliti pengeluaran,” ujar Mardiana.
Mardiana mempunyai matlamat dan cita-cita untuk menjadikan DS Rich Manufacturing sebagai kilang OEM pilihan di Malaysia, tidak hairanlah mengapa dia memastikan setiap produk yang dikeluarkan memenuhi standard kualiti tinggi serta sesuai untuk pasaran yang lebih luas.
“DS Rich Manufacturing komited untuk membina reputasi di dalam dan luar negara, membantu mereka menjangkau impian mereka,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya mengenai industri OEM di Sabah, Mardiana mempunyai pandangannya yang tersendiri. Katanya, industri OEM di Sabah sedang berkembang pesat dan dapat dilihat ramai usahawan kini sedar tentang potensi dalam industri kecantikan dan kesihatan dan mencari kilang yang boleh dipercayai.
“Meskipun kedudukan kilang berada di Tawau, ia tidak menghalang klien dari Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk memilih DS Rich Manufacturing sebagai pengeluar produk mereka. Dengan kualiti formula dan servis cepat, kedudukan kilang di Sabah tidak menjadi penghalang untuk mendapat kepercayaan pelanggan,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Cabaran
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Mardiana tidak menafikan cabaran mengurus kilang OEM di Sabah bukannya mudah apatah lagi apabila bercerita soal kos penghantaran bahan mentah dari Semenanjung Malaysia dan luar negara memerlukan perancangan logistik yang teliti.
“Kami cuba mengatasi cabaran ini dengan mencari pembekal tempatan berkualiti serta merancang dengan teliti bagi mengurangkan risiko kelewatan dan kos tinggi,” tambah Mardiana.
Bercerita soal kejayaan DS Rich Manufacturing di peringkat nasional, bagi Mardiana ia terletak pada keunikan formulasi produk yang dihasilkan. Mengakui cerewet dan amat menitikberatkan formulasi yang sentiasa mengikut perkembangan pasaran, Mardiana memastikan usahawan yang bekerjasama dengannya memiliki produk yang relevan dan unik.
“Kami menyediakan perkhidmatan konsultasi R&D untuk mencipta formula khas yang disesuaikan mengikut kehendak klien. Ini membantu mereka mempunyai USP (Unique Selling Point) yang membezakan produk mereka di pasaran,” jelas Mardiana.
Tidak puas dengan pencapaian sedia ada, Mardiana bercita-cita untuk mengembangkan DS Rich Manufacturing ke peringkat antarabangsa. Malah syarikatnya sedang dalam perancangan memperkenalkan formula baharu yang memenuhi trend kecantikan global.
Baginya, impian ini adalah untuk melihat jenama yang dihasilkan oleh kilangnya berjaya menembusi pasaran luar negara dan membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!