Cikgu Samm ada kisah sedih sebelum berjaya, “hari pertama ambil SPM ayah meninggal, kesannya cikgu gagal. Sebut sahaja nama Ho Pooi San, pasti ramai tertanya-tanya siapa gerangan individu ini.
Berbeza bila menyebut nama Cikgu Samm Pakar Borong China Expert, pasti ramai mengenalinya di media sosial. Mesra menggunakan nama komersial, ilmu dicurahkan berjaya melahirkan puluhan ribu founder dalam pelbagai bidang keusahawanan khususnya bagi produk borong.
Cikgu Samm Ada Kisah Sedih Sebelum Berjaya
Berpengalaman lebih 18 tahun, pernah bekerjasama dengan lebih 100 jenama tempatan dan antarabangsa seperti MAS Airlines, Garnier Malaysia, Guardian, Vivo Malaysia, Watson, Samsung, SimplySiti dan banyak lagi dengan menyediakan barang dagangan (merchandise) kepada syarikat-syarikat korporat, Cikgu Samm berkongsi suka-duka perjalanan kehidupannya sehingga namanya berdiri teguh hari ini.
Di sebalik kejayaan hari ini, terselit kisah sedih dalam hidupnya ketika remaja. “Saya dulu terpaksa repeat kertas SPM subjek Bahasa Melayu kerana ayah sakit dan adik-beradik lain tinggal jauh. Bayangkan saya kena ambil bas seorang diri daripada Bentong turun ke Kuala Lumpur untuk pergi ke Pusat Tuisyen Kasturi.
Selepas tamat STPM, saya nekad tak mahu sambung belajar sebab nak jadi ahli muzik selain minat fesyen. Tapi mak bangkang. Mak suruh saya sambung belajar dan ikut cakapnya. Pada fikiran mak, kena ada ijazah untuk dapat kerja kerajaan. Ada kerja yang baik seperti doktor, cikgu dan sebagainya.
“Hari Pertama Ambil SPM Ayah Meninggal, Kesannya Cikgu Gagal…
Di Bentong, ayah ada buka kedai hardware dan saya biasa tolong tapi dalam masyarakat Cina, orang perempuan tak akan dapat apa-apa kerana kedai diberi pada anak lelaki. Jadi kita memang kena usaha cari duit sendiri tambah ayah sudah meninggal ketika itu.
Sebelum mohon masuk universiti tu, saya tanya kakak. Bidang apa yang senang dan tak perlu belajar sangat. Katanya ambil jurusan Psikologi atau Komunikasi Media. Tapi masa tahun pertama, saya hampir dibuang universiti sebab ponteng kelas hampir setahun. Sebab tak minat belajarkan tapi dipaksa juga.
Pensyarah beri amaran, buat lagi atau terus dibuang. Masuk tahun kedua, saya buat-buat rapat dengan Ketua Pelajar. Sebab saya nak tumpang tugasan yang mereka buat. Sekurangnya ada markah di situ,” katanya tertawa kecil.
Bermula dengan hubungan baik itu, ruang dan peluang dirinya berniaga di universiti pun bermula. “Bila kita baik dengan ketua pelajar, semua pelajar lain termasuk Dekan akan mula kenal kita. Saya dapat booth berniaga masa konvokesyen. Jual bunga, untung ribu-ribu juga. Kemudian saya ada jual CD dan DVD.
Ads
Setiap malam rakan-rakan yang bantu saya berniaga akan serahkan duit. Bagus juga pengalaman ini kerana ia mengembangkan minat saya dalam dunia perniagaan. Jadi masa di universiti, saya tak bergantung duit dari mak. Semua cari sendiri,” katanya yang dilihat hampir mengalirkan air mata.
PERNIAGAAN
Berkongsi lagi kisah kehidupannya, jelas Cikgu Samm semasa di alam pekerjaan, dia hanya sempat bekerja makan gaji selama setahun sebelum mula bekerja sendiri. “Sewaktu pusat beli-belah Mid Valley Megamall baru dibuka, saya ada kenalan yang bapanya berniaga kuih bulan. Saya beranikan diri ambil moon cake itu dan jual di booth kecil di Mid Valley. Saya upah kawan jagakan. Masa rehat saya lari sekejap pergi tengok dan balik dari kerja, terus pergi berniaga.
Walau saya hanya berniaga 28 hari sahaja, jualan moon cake mencecah sebanyak RM120,000. Memang tak sangka jualan sebanyak itu. Lepas tolak semuanya termasuk bayar pada bapa kawan saya, untung saya dapat RM20,000 lebih. Saya sendiri tak sangka, 28 hari saja berniaga tapi untung lebih RM20,000. Lepas itu saya terus berhenti kerja dan mulakan perniagaan sendiri.”
Dengan modal RM20,000 untung berniaga kuih bulan, Cikgu Samm terus mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai menjual baju kurung di pusat beli-belah Amcorp Mall. “Masa itu zaman ada majalah lagi. Saya selalu letak majalah Nona sebagai rujukan pelanggan. Bila mereka nak tempah baju selain beli baju sedia ada, saya akan jadikan fesyen Nona sebagai rujukan. Konon-konon jadi pereka. Lama-lama dari satu kedai, saya mampu buka empat butik di situ.
Bila ada kedai, kita mula berkenalan dengan pemborong di Kenanga. Saya mula belajar sikit-sikit masa berborak dengan mereka. Saya nampak kehidupan mereka berbeza. Berniaga sampai jam 5 petang saja tapi boleh pakai BMW, Mercedes dan lain lagi sedangkan saya niaga sampai jam 10 malam tapi duit tak semewah mereka.
Ads
Sampailah pada satu trend, kemerosotan orang membeli di butik. Ketika itu, saya jual semua kedai dan dapat untung dalam RM90,000. Saya mulakan perniagaan borong dengan ambil kedai di Kenanga pula. Tapi tak semudah itu kerana kawan yang nak bawa saya ke China mungkir janji sebab dia kata bosnya marah.
Tahun 2003, saya memberanikan diri pergi seorang diri ke China untuk memborong pakaian. Tak sangka mampu lakukan walau tiada pengalaman langsung ambil barang dari China secara terus. Masa tu belajar shipping dan banyak lagi. Tak mudah tapi banyak ilmu dapat. Masa berniaga di Kenanga itulah juga saya melibatkan diri aktif dalam industri Original Equipment Manufacturer (OEM) produk jenama sendiri kerana satu barang boleh untung sehingga RM30,000.
Dan dari situlah, saya mula belajar proses demi proses hingga mampu membantu lebih 31,747 usahawan Bumiputera memulakan perniagaan produk jenama sendiri dari China selama 18 tahun pengalaman dalam bidang ini.
Jelasnya, kejayaan tidak datang dalam sehari, tetapi dengan usaha, ilmu dan semangat, anda mampu mencapai apa sahaja,” kata Cikgu Samm yang memegang prinsip tersebut. Menurut Cikgu Samm, tiga elemen penting dalam perniagaan borong adalah ilmu, strategi, dan kejujuran. Dirinya sentiasa menekankan pentingnya mendapatkan maklumat yang betul sebelum membuat keputusan besar. Baginya, ilmu adalah kunci untuk mengelakkan kerugian besar.
Ramai mahu berjaya sebagai ahli perniagaan dan juga ingin bergelar orang kaya. Tak hairanlah kita sering bertemu golongan yang bertanyakan soalan, ‘How to start’ atau nak jual apa. Menurut Cikgu Samm, soalan di atas hanya individu yang bertanya mampu menjawabnya.
“Maksudnya begini. Kalau orang tanya saya, bagaimana nak mula. Nak jual apa atau lain lagi, sebenarnya jawapan itu ada dalam diri kita sendiri. Saya tak tahu apa minat awak, apa kekuatan awak. Jadi bagaimana saya nak beri cadangan. Tapi kalau kita dah kenal pasti minat kita apa, kekuatan kita apa, jadi saya boleh bimbing. Jangan biarkan orang buat keputusan bagi diri kita terutama dalam dunia bisnes. Kerana ada banyak bisnes yang rugi sebab kita tak kenal pasti kekuatan kita apa?” celotehnya.
Tambah Cikgu Samm lagi, kesilapan paling besar ialah takut membuat keputusan dan tidak percaya pada diri sendiri. “Tapi saya tak salahkan situasi ini kerana di sekolah, kita tak diajar membuat keputusan sendiri. Kita disogok dengan semua jawapan yang kita nak dengar. Jadi semua ini menjadikan kita takut. Orang yang berani ialah orang yang mahu mencuba. Tak kisah sama ada kita buat itu betul atau salah tetapi keputusan itu dibuat oleh kita. Jadilah orang yang berani dan mempercayai diri sendiri.
Lagi satu saya selalu ditanya kita nak mula dengan jual apa? Jawapan saya ialah berniaga tanpa keluarkan modal ialah paling baik. Buat affiliate tetapi dalam pada itu, bila ada wang simpan kerana kita nak pergi lebih jauh iaitu sebagai founder pula.
Keuntungan sebagai founder ini besar sekitar 30 ke 40 peratus. Berbanding jual barang orang untungnya sedikit. Kita perlu tanamkan azam begitu.
Saya bagi contoh, ada modal dalam RM500 saja dah cukup untuk mula berniaga. Belilah apa-apa barang dulu sikit-sikit. Nanti dah untung mula fikir lebarkan sayap lebih jauh. Untuk mula berniaga, beli dari peniaga borong seperti di Kenanga dulu, jangan terus ke China. Sebab kita tak ada pengalaman lagi. Bila kita dah bersedia untuk lebih jauh, baru pergi ke China dan lain lagi,” ujarnya berkongsi ilmu.
Siapa yang berkata barang China low class adalah satu kesilapan. “Saya bagi contoh, kalau kita beli barang murah, kita akan dapat kualiti murah. Tapi kalau kita beli harga mahal, maka kualiti juga terbaik.
Tahukah, banyak produk kosmetik berjenama dibuat di China. Tengok pasaran mana kita nak terokai tapi kalau kata barang China low class, itu silap. Sebab banyak kilang-kilang besar dengan teknologi terbaik ada di China. Tak nafikan ada yang pernah tertipu bila berurusan dengan pembekal dari China. Ada yang kata kos penghantaran mahal tapi kalau kita tak belajar, kita memang boleh kena tipu. Sebab itu mesti ada mentor.
Saya pun ada mentor yang ajar saya. Kena tipu juga adalah satu pelajaran untuk kita jadi lebih baik di masa depan. Sebab itu kita kena berurusan dengan pihak yang betul,” katanya yang kini giat mengembangkan rangkaian latihan dan bantuan untuk membantu usahawan tempatan khususnya dalam bidang Artificial Intelligence (AI), seiring dengan perkembangan teknologi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah sebenarnya untuk membuat sebarang keputusan besar dalam kehidupan lebih-lebih lagi yang melibatkan kerjaya. Begitulah yang dilalui oleh usahawanyang dikenali sebagai Anis Mastura Azmin ini sebelum melangkah ke dunia perniagaan. Siapa sangka, daripada seorang setiausaha kini graduan pentadbiran profesional ini bergelar pengasas dan pengarah syarikat miliknya sendiri iaitu A&A World Premium Cookware.
Daripada seorang yang bekerja makan gaji di pejabat kini segalanya berubah secara total setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan. Mesra dengan panggilan Anis, usahawan kelahiran Pantai Timur ini dianggap bertuah kerana bapanya yang juga merupakan seorang usahawan menjadi pendorong serta mentor dan tulang belakang sepanjang penglibatan Anis dalam bidang perniagaan.
“Dalam keluarga, ayah memang seorang usahawan dan saya mewarisi minat serta bakat berniaga yang dimilikinya. Sejak kecil lagi saya sudah biasa melihat susah payah ayah dalam berniaga demi mencari rezeki buat kami sekeluarga. Secara tak langsung saya dapat belajar selok belok tentang perniagaan.
“Sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan, saya bekerja sebagai setiausaha di salah sebuah syarikat yang terletak di Kuala Lumpur. Pada 2013, saya telah mengambil keputusan besar dalam hidup di mana saya menjual koleksi beg, baju serta barangan kosmetik,” kongsi Anis, penerima Nona Superwoman Award 2024 kategori Nona Best Kitchenware Business Award.
Selepas itu, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan kelengkapan dapur seperti periuk dan pinggan mangkuk. Ketika itu Anis masih belum ada jenamanya sendiri. Lama-kelamaan perniagaannya kian berkembang dan bertahan sehingga kini. Lebih 10 tahun menjual barangan dapur akhirnya Anis berjaya memiliki jenama dan empayar perniagaannya sendiri iaitu A&A World Premium Cookware.
“Segalanya bermula apabila saya melihat banyak masalah yang timbul dalam pembuatan periuk. Kebanyakan periuk yang ada di pasaran, bahagian bawahnya nipis menyebabkan masakan cepat hangit. Daripada situlah saya terinspirasi untuk mencipta satu periuk yang boleh custom. Bahagian bawah periuk kita pilih material yang tebal supaya masakan tidak mudah hangit. Dari segi pembuatan periuk pula kami memilih mesin yang berteknologi tinggi.
“Sebelum menghasilka sesuatu produk, saya agak cerewet terutama dalam pemilihan maerial. Di samping itu, penggunaan mesin berteknologi tinggi sangat penting dalam menghasilkan finishing periuk yang lebih cantik, kemas dan selamat untuk pengguna. Untuk material, kita menggunakan jenis stainless steel yang berkualiti tinggi agar tahan lebih lama dan mesra pengguna,” jelas Anis.
CABARAN
Bergelar usahawan pastinya tidak terlepas daripada cabaran mahupun halangan. Apatah lagi, untuk memperkenalkan produk kepada orang ramai termasuklah mendapatkan kepercayaan mereka untuk membeli.
“Cabaran terbesar dalam membangunkan jenama A&A World ini ialah untuk mendapatkan kepercayaan para pelanggan bahawa periuk yang kami hasilkan sangat bagus serta berkualiti tinggi. Dari segi kehidupan, ia membantu dalam mengubah kualiti gaya hidup mereka menjadi lebih baik. Setelah berjaya mendapat kepercayaan itu, cabaran seterusnya ialah untuk kekal konsisten dalam menghasilkan periuk berkualiti tinggi.”
Sepanjang menjalankan perniagaan, pasti ada momen yang paling membanggakan Anis dari segi pencapaian. Bersama syarikatnya, Anis pernah menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah berprestij antaranya Superbrands Malaysia dan Asia Pacific TOP Excellence Service, Lebih membanggakan, Anis turut menerima gelaran Ikon Wanita Kelantan yang dianugerahkan oleh YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato’ Seri Diraja Sharifah Azwan.
“Satu lagi kejayaan terbesar ialah apabila kami dapat membayar ratusan ribu zakat setiap tahun sebagai jihad ekonomi kami untuk seluruh negeri Kelantan,” kongsi Anis yang sentiasa berpegang kepada kepada prinsip bahawa perubahan-perubahan kecil akan menghasilkan satu kejayaan yang sangat besar.
Menjadikan suami dan bapa sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan serta kehidupan, Anis berpendapat mereka sentiasa ada di sisinya di kala susah mahupun senanng. Mereka sentiasa memberi sokongan dan dorongan tanpa jemu. Kata-kata mereka menghidupkan dan menyuburkan jiwa. Saat berkongsi pengorbanan suami dan bapa, Anis tidak dapat menahan sebak.
“Kadang-kadang apabila tercetusnya masalah-masalah yang terlalu rumit dan sukar diselesaikan dalam perniagaan, saya memerlukan bantuan serta sokongan daripada mereka. Di kala saya semakin down merekalah yang sentiasa memberi saya kata-kata semangat dan tetap berdiri di belakang saya. Mereka juga sering memberi motivasi kepada saya agar membuat keputusan yang terbaik walau apa pun terjadi. Salah satu nasihat bapa yang sentiasa saya ingat ialah jujur dan Amanah dalam perniagaan.
“Tidak dilupakan ialah nasihat, kata-kata semangat serta doa daripada ibu yang tidak pernah putus. Begitu juga dengan keluarga dan adik beradik yang sentiasa ada dalam hidup saya di kala suka mahupun duka. Merekalah tulang belakang saya yang sebenar. Saya bersyukur dan bangga dikurniakan insan-insan yang baik seperti mereka,” jelas Anis yang turut mementingkan nilai kasih saying.
PERANCANGAN
Berkongsi tentang perancangan masa depan khususnya dalam perniagaan, banyak sebenarnya yang ingin dicapai oleh wanita hebat ini. Anis berharap agar manfaat produknya dapat terus disebarkan kepada pengguna seterusnya mencapai rutin kehidupan yang lebih seimbang dengan penggunaan kelengkapan dapur berkualiti tinggi.
“Untuk perancangan masa depan perniagaan, kami akan fokuskan kepada perkembangan perniagaan dan sustainability. Ia adalah sangat penting demi kelangsungan perniagaan dan syarikat A&A World Premium Cookware agar kekal relevan dengan permintaan semasa. Doakan perjuangan kami bukan setakat di sini sahaja. Semoga momentum kami terus konsisten dalam menghasilkan periuk berkualiti tinggi. Impian saya untuk melihat A&A World Premium Cookware terbang lebih tinggi.
“Nasihat saya buat seluruh wanita walau apa pun status anda sama ada bekerjaya atau suri rumahtangga sepenuh masa, ikhlaslah dalam setiap Tindakan yang dilakukan. Keberuntungan akan pasti menjadi milik anda dunia akhirat.
“Bagi wanita yang bergelar usahawan, jadilah seperti matahari yang sentiasa memberi sinar harapan dan masa depan. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk alam dan isinya. Berjuanglah demi sebuah kehidupan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wangian bukan sekadar penyedap bau. ia tela menjadi sebahagian daripada identiti wanita moden yang mencerminkan keperibadian, keyakinan dan keanggunan mereka. Wangian yang sesuai dapat meningkatkan keyakinan diri seorang wanita.
Aroma yang wangi bukan hanya membuat orang di sekeliling berasa selesa, tetapi i juga memberi suntikan keyakinan dan tenaga positif. Dengan hanya beberapa semburan, seorang wanita lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran!
Itulah yang menjadi aspirasi buat pengasas Beauboss Perfume, Athira Mohamed Shahid atau lebih mesra disapa Tiya yang memulakan perniagaan ini berdasarkan minat yang mendalam terhadap wangian sejak kecil. Sifatnya yang gemar mencuba pelbagai jenis minyak wangi menjadikan dirinya menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan wangian.
Meskipun pernah mencuba beberapa perniagaan lain sebelum serius menubuhkan Beauboss Perfume, Tiya tidak menafikan kerjaya di awan biru merupakan titik tolak bagaimana dirinya serius dalam perniagaan berasaskan wangian ini. Menyingkap permulaan Beauboss Perfume, Tiya sering memenuhi pesanan minyak wangi yang sukar diperoleh di dalam negara sewaktu bertugas di awan biru.
“Pengalaman bertugas di awan biru membawa saya mengenali pelbagai jenis wangian sekaligus memberi inspirasi untuk melahirkan jenama sendiri iaitu Beauboss Perfume. Alhamdulillah ia menjadi jenama pilihan ramai atas dasar kualiti dan harga yang berpatutan,”ujar Tiya yang bersyukur minatnya terhadap wangian membuka rezeki untuk diirnya sebagai sumber pendapatan.
Wangian Punca Rezeki
Memulakan perniagaan pada skala kecil, Beauboss Perfume mula berada di pasaran di mana ia membawa konsep wangian berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Matlamat Beauboss Perfume untuk memberikan pengalaman mencuba wangian yang menarik. Di samping itu, ia membolehkan pelanggan bereksperiman dengan aroma berbeza tanpa kos yang terlalu tinggi.
“Saya berharap jenama ini mampu memenuhi keperluan pencinta wangian yang ingin tampil menarik dengan pelbagai aroma, tanpa perlu membelanjakan wang yang besar,”ujar Tiya berkongsi misi Beauboss Perfume.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam perniagaan, menurut Tiya segala pahit manis dalam dunia perniagaan yang diusahakan banyak mematangkan dirinya berhadapan dengan cabaran dunia perniagaan.
“Saya memulakan Beauboss Perfume dengan modal yang terhad. Malah terpaksa menggunakan kaedah ‘preorder’ bagi membina kepercayaan pelanggan. Dengan ketekunan dan usaha yang berterusan, saya berjaya mengukuhkan Beauboss perfume sebagai jenama wangian yang dipercaya dan berkualiti”.
Motivasi Diri
Tiya tidak menafikan, inspirasi terbesar dalam perniagaan datang dari semangat ibu tersayang yang juga merupakan seorang usahawan wanita yang tidak pernah mengenal erti kalah dalam dunia perniagaan.
“Melihat kejayaan mama mencapai impian dari segi kewangan, memiliki rumah dan kereta idaman, ia membakar semangat saya untuk mencapai kejayaan serupa.
Berkat dorongan suami dan keluarga, saya menjadikan wangian ini sebahagian dari gaya hidup dan punca rezeki. Meskipun terdapat saingan dalam industri wangian, saya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu ada, malah ia mendorong untuk sentiasa fokus dan konsisten,”ujar Tiya lagi.
Sikap optimis dan berpandangan jauh menjadi asas kejayaan wanita ini yang tidak pernah menjadikan kegagalan sebagai penamat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Antara cabaran yang perlu saya lalui dalam bisnes wangian ini ialah untuk menggambarkan wangian yang dihasilkan kepada para pelanggan terutamanya di platform digital. Tapi Alhamdulillah, Beauboss Perfume berjaya mengatasinya dengan menyediakan platform maklum balas pelanggan sebagai rujukan untuk pelanggan baru”.
Sejak penubuhannya, Beauboss Perfume telah berjaya menarik perhatian pelanggan dan baru-baru ini mendapat pengiktirafan NONA Superwoman Award 2024 dalam kategori NONA Best Fragrance Brand Award di mana ia menjadi tanda aras kejayaan Beauboss Perfume sebagai jenama wangian lokal yang mendapat kepercayaan pelanggan.
“Saya ingin melihat Beauboss Perfume berkembang ke tahap antarabangsa. Malah saya bercita-cita untuk membuka lebih banyak cawangan dan memperkenalkan koleksi khas Beauboss Perfume di pelbagai peringkat”.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Beauboss Perfume bercadang menempatkan jenamanya di peringkat antarabangsa selain menghasilkan koleksi khas wangian eksklusif yang diiktiraf seluruh dunia.
“Dengan keazaman, sokongan keluarga dan kepercayaan kepadaNya, adalah resipi utama Beauboss Perfume mencapai kejayaan berterusan. Setiap rezeki sudah ditetapkan olehNya. Usaha, tawakal dan terus berusaha adalah kunci kepada kejayaan”, ujar Tiya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya. Seseorang Itu Mesti Berusaha Keras Untuk Menjadi Yang Terbaik” begitulah pegangan Tiara Suraya. Setiap mata yang memandang pasti tertarik dengan aura dimiliki, mana tidaknya, wanita ini memiliki wajah cantik dan tutur kata yang sentiasa tersusun indah. Pemilik nama Tiara Suraya, 24, merupakan seorang wanita muda yang berjaya dalam dunia perniagaan kecantikan.
Pengasas jenama kecantikan Venus Rose ini adalah contoh inspirasi wanita muda yang berjaya menembusi dunia perniagaan kecantikan dan kesihatan kulit. Meskipun baru memulakan perjalanan perniagaannya pada Januari 2024, Tiara Suraya sudah membuktikan dirinya sebagai seorang usahawan yang berwawasan dan mempunyai matlamat besar dalam industri ini. Melalui Venus Rose, Tiara Suraya bukan sekadar fokus kepada produk kecantikan, tetapi juga mengangkat konsep women empowerment dan integriti wanita.
“Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya”
Memulakan bicara, Tiara Suraya berkata, dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan bagi membantu wanita meningkatkan keyakinan diri melalui penjagaan kecantikan dan kesihatan kulit.
“Sebenarnya impian saya sejak kecil ingin menjadi seorang doktor. Saya mahu membantu orang, khususnya wanita dari segi perubatan. Tapi apabila meningkat dewasa impian tersebut mula berkembang dan saya sedari bukan saja dari segi perubatan malah saya juga boleh membantu wanita menjaga kecantikan dan kesihatan kulit,” kongsi Tiara Suraya yang menyedari bahawa kecantikan luar dan dalam juga penting untuk meningkatkan keyakinan diri seseorang wanita.
Dek kerana itu juga dirinya tertarik untuk melanjutkan pelajaran berkaitan kecantikan. Wanita hebat ini juga merupakan pemilik dua ijazah sarjana muda, pertama dalam jurusan Kosmetik & Kecantikan diikuti dengan ijazah kedua dalam bidang Sains Kimia Kosmetik.
Berbekalkan pendidikan yang kukuh, Tiara Suraya memutuskan untuk menubuhkan Venus Rose, sebuah jenama yang menawarkan produk kecantikan dan penjagaan kulit berkualiti tinggi. Menurutnya, fokus utama Venus Rose adalah pada bahan-bahan terbaik dan inovasi dalam produk yang semuanya dihasilkan dengan teliti dan dinilai oleh pakar-pakar dalam industri kecantikan.
Sumber Inspirasi
Salah satu faktor yang mendorong Tiara Suraya untuk terus maju adalah ibunya, yang bukan sahaja seorang mentor, tetapi juga pengurus yang hebat. Ibu Tiara Suraya adalah inspirasi utama, seorang wanita yang berjaya dan berdedikasi.
“Mummy adalah figura yang sangat kuat dalam hidup saya. Saya ingin menjadi seperti beliau, seorang wanita yang boleh menguruskan perniagaan dengan bijaksana dan penuh kasih sayang,” ujar Tiara penuh rasa hormat.
Hubungan yang erat ini bukan sahaja memberi sokongan moral, tetapi juga mengajarnya untuk tidak pernah berputus asa, meskipun perjalanan perniagaan penuh dengan cabaran. Dalam banyak perkara, Tiara Suraya sering menegaskan bahawa kekuatan mental dan tekad adalah kunci untuk berjaya.
Apa yang membuat Tiara Suraya begitu mengagumkan adalah kemampuannya untuk mengimbangi pelbagai peranan dalam hidup. Selain seorang usahawan, Tiara Suraya juga seorang anak yang sangat menghargai peranan ibunya dalam hidupnya. Sebagai seorang wanita muda yang sudah mempunyai perniagaan sendiri, Tiara Suraya juga berfungsi sebagai inspirasi bagi wanita lain, membuktikan bahawa wanita boleh mencapai kejayaan besar dalam apa jua bidang yang mereka pilih.
Walaupun dunia perniagaan kecantikan penuh dengan persaingan, Tiara Suraya tetap berani menghadapi cabaran. Dalam banyak kesempatan, Tiara Suraya menekankan bahawa untuk berjaya dalam dunia yang sangat kompetitif ini, kita perlu sentiasa fokus pada kualiti, pelanggan dan pemasaran yang bijak. “Persaingan ada di mana-mana, tetapi yang penting adalah bagaimana kita terus memberi yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Sebenarnya wanita cantik ini juga merupakan seorang yang aktif dalam dunia seni lakonan. Antara drama yang dibintangi adalah Andai Tiada Dia yang turut dilakonkan oleh Ummi Nazeera dan Hisyam Hamid.
Menginjak ke soalan tentang produk kecantikannya, Venus Rose merupakan produk yang mengutamakan kualiti. Setiap produk yang dihasilkan diberi perhatian yang teliti, bermula dari pemilihan bahan yang terbaik sehingga ke pembungkusan menarik dan eksklusif. Salah satu produk utama Venus Rose adalah pelembap yang mengandungi bauan istimewa dari Mekah, yang bukan sahaja memberikan sensasi wangian menyegarkan tetapi juga mengandungi bahan-bahan berkualiti tinggi. Selain itu, produk ini hadir dengan lima jenis serum yang diformulasikan untuk memberikan manfaat berbeza kepada kulit.
Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya
Berkongsi tip dalam mengendalikan perniagan, Tiara Suraya menekankan pentingnya mendengar dan memahami kehendak pelanggan. “Pantang larang yang utama adalah kita perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelanggan. Kepuasan mereka adalah keutamaan kami,” katanya. Menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan memastikan mereka berpuas hati adalah kunci untuk memastikan pelanggan setia kembali lagi.
Tiara Suraya menyedari bahawa dunia perniagaan kecantikan penuh dengan persaingan sengit. Namun, dirinya percaya bahawa untuk berjaya, perlu sentiasa fokus pada kecemerlangan.
“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Seseorang itu mesti berusaha keras untuk menjadi yang terbaik dalam bidang ini,” sambung Tiara Suraya yang juga menekankan kepentingan pemasaran yang berkesan, terutama melalui platform media sosial yang menjadi saluran penting untuk mempromosikan produk Venus Rose.
Menyentuh tentang impian masa depan, Tiara Suraya berharap untuk mengembangkan Venus Rose ke peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Saya mahu memiliki kilang sendiri dan membawa produk Venus Rose ke seluruh dunia. Kami mahu memperkenalkan kecantikan Venus Rose kepada wanita di luar negara,” jelasnya.
Selain itu, Tiara Suraya juga berhasrat untuk membuka lebih banyak spa kecantikan di bawah jenama Venus Rose ke seluruh Malaysia sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna.
Bagi Tiara Suraya, kejayaan dalam perniagaan tidak datang dengan mudah, tetapi dengan semangat yang tidak kenal erti putus asa, wanita mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan. “Wanita muda perlu percaya pada diri mereka sendiri dan kekuatan mental mereka. Kehidupan ini memang sukar, tetapi jika kita terus berusaha, pasti kita akan berjaya,” luahnya.
Menurutnya, generasi muda kini mempunyai lebih banyak peluang untuk berjaya berbanding sebelumnya. Dengan pendidikan, semangat, dan kerja keras, tiada yang mustahil. Mengakhiri perbualan Tiara Suraya berasa sangat bangga apabila dirinya terpilih menerima pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024 menerusi kategori NONA Best Young Entrepreneur Award.
“Nona Superwoman Award adalah platform yang memberi peluang kepada wanita, terutama wanita muda untuk tampil dan berjaya dalam bidang keusahawanan. Saya percaya bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai kejayaan, dan melalui sokongan seperti ini, mereka dapat memperkenalkan produk mereka ke pasaran dan mengembangkan perniagaan mereka. Saya juga yakin wanita mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencipta perubahan dan berjaya dalam apa jua yang mereka usahakan. Ia adalah dorongan positif untuk wanita muda agar terus berani mengejar impian dan mencipta peluang bagi diri mereka sendiri,” kongsinya.