Semalam menyaksikan hari pertama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melaporkan diri sebagai Menteri di tersebut. Nampaknya, gaya semi formal menjadi pilihan Ahli Parlimen Segambut itu tatkala melangkahkan kaki ke bangunan Kementerian Belia dan Sukan yang terletak di Putrajaya.
Ia sekaligus amat berlainan dengan penampilan beliau sebelum ini ketika menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita di samping Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu menyandang jawatan sebagai menteri.
Hannah Yeoh merupakan wanita kedua menerajui Kementerian Belia dan Sukan di mana sebelum ini Datuk Seri Azalina Othman Said memegang portfolio tersebut. Dalam kabinet kali ini, Azalina memegang portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di bawah Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurut menteri yang berusia 43 tahun ini, beliau tidak akan memperkenalkan program baharu di bawah kepimpinannya, sebaliknya mahu memperkasakan rancangan sedia ada bagi memastikan kecemerlangan sukan negara dapat diteruskan.
Hannah menjelaskan, beliau memerlukan tempoh untuk mendengar taklimat daripada semua pemegang taruh dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Ketika ini, program Podium yang diwujudkan pada 2015 hasil cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tetap diteruskan biarpun pernah disifatkan sebagai program sukan termahal dengan misi menggenggam pingat emas pertama sukan Olimpik.
Selepas beberapa tahun diperkenalkan, program itu pernah dirombak, namun idea asalnya tetap diteruskan di bawah pentadbiran tiga menteri.
“Aspek yang saya nak lihat sukan ini boleh diakses kepada semua. Kedua, memberi satu keadaan selamat kepada atlet dan ketiga dari segi kebajikan keselamatan untuk atlet kita, yang itu saya banyak dengar daripada atlet.
“Keempat, selalunya orang akan rasa kalau ada kepimpinan baharu mungkin ada program baharu tapi saya tiada hasrat untuk memperkenalkan program-program baharu dulu, saya nak dengar dan nak cari jalan untuk memperkasa program sedia ada.
“Sebab itu saya kata tak mahu buat program baharu supaya atlet ada kesinambungan mereka.
“Kalau kita asyik tukar hala tuju, susah untuk atlet. Jadi bagi saya sangat mudah, sukan adalah sukan dan tidak perlu dirumitkan,” katanya ketika melapor diri di Menara KBS, Putrajaya semalam.
Hannah Yeoh merupakan antara wajah baharu yang menjadi anggota Kabinet diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Ini kali pertama pemimpin muda DAP ini diangkat sebagai menteri penuh kerana di bawah pimpinan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sebelum memasuki bidang politik, Hannah yang berusia 43 tahun pernah berkhidmat sebagai peguam di luar negara iaitu di Tasmania, Australia sebelum mengambil keputusan pulang untuk berkhidmat di tanah air.