Tangisan adalah cara anak memberitahu ketidakpuasan hatinya dengan kita. Itu nasihat Pakar Keluarga & Kasih Sayang, Ibu Rose atau Dr. Rozieta Shaary pada ibu bapa masa kini.
Air mata itu adalah tanda komunikasi dari hati mereka. “Bila anak tantrum atau meraung, kita boleh minta dia kurangkan kadar suaranya. Kita boleh minta dia berhenti menangis. Namun janganlah kaitkan dengan perbuatannya betul atau tidal.
IKLAN
Kerana ini amat mengelirukan anak itu.
Bagaimana jika terjadi suatu hari nanti, dia terlihat anda menangis, adakah itu bermaksud anda tidak baik? Pertama mengapa Ibu Rose tidak menggalakkan anda mengatakan kata-kata begini kerana ia sesuatu yang amat mengelirukan anak-anak kita.
Bayangkan bila anda sering mengatakan kata-kata begini, cuba suatu hari kita bercerita kepada anak kita tentang seorang yang kita kagumi contohnya sirah Nabi Muhammad SAW.
Cerita semasa baginda kecil, semasa kematian ibu dan datuk baginda dan baginda menangis. Inilah di antara contoh yang boleh mengelirukan anak kecil kita. Kita kata Nabi itu baik tapi kenapa baginda menangis?”
Tambah Ibu Rose lagi, kata-kata yang berulang akan menjadi satu kepercayaan. “Betul, sebab ia akan masuk ke belief system anak itu. Bila ini terjadi akan ada dua kemungkinan.
Satu, kerana dia perlu menangis dan juga kuat menangis, maka dia fikir itu caranya untuk menunjukkan ekspresi. Itu satu kepercayaan yang mungkin dia akan ambil tanpa kita berniat untuk itu terjadi. Kedua, sebab mahu pastikan dia good boy, dia pendam rasa sedih atau sakit. Dia pendam perasaannya. Kerana dia tidak hargai perasaannya, maka lama-lama dia lupa untuk berperasaan.
Jadi bila sudah besar, dia tidak tahu untuk menyatakan sedih dan tidak berani untuk menangis. Masalahnya, bukan itu sahaja perasaan yang dia tidak mampu zahirkan.”
IKLAN
3 Cara Tangani Anak Menangis
Tanya dengan ikhlas apa yang menyebabkan dia menangis. Jika dia tidak tahu, bolehlah beri ‘menu list’ sebab.
Bila sudah tahu, barulah ‘offer’ bantuan.
“Kalau mama peluk okay tak? atau nak mama duduk dekat abang jer?”
Kisah Anak Bongsu Ibu
Semasa anak Ibu yang bongsu tu masih kecil, bila dia letih, demam atau sedih dia akan menangis. Dan bila Ibu tanya memang dia tidak boleh memberitahu. Jadi Ibu akan katakan kepadanya, “Fia boleh merengek pada mummy, merengeklah, mummy peluk Fia. Fia tak perlu menangis kuat sebab, I am here and I love you”.
IKLAN
Sekarang ni dia sudah 20 tahun.
Dia bercerita kembali kepada Ibu bahawa ia sangat membantu dia mengendalikan perasaannya pada masa itu, bila Ibu izinkan dia mengeluarkan frustration dengan cara merengek. Sebenar tidaklah susah sangat kita hendak menenangkan anak-anak kita.
Yang penting kita jangan suka sangat melabelkan anak kita itu dengan nama-nama yang akan menjadi identiti yang tidak membantu dia dan kita langsung. Contohnya, memanggil anak kita cengeng. Ingat ya, kata-kata kita boleh menjadi doa yang tidak kita sengajakan.
Seperti yang Ibu katakan bahawa kesabaran memerlukan skil mengendalikan state kita. Dan untuk kita boleh mengendalikan state kita, kita perlu ada skil dan ilmu.
Banyak cara boleh dilakukan untuk menikmati kemanisan rumah tangga. Bagi pasangan pengantin baru ini, aktiviti kesukarelawanan menjadi asbab kebahagiaan pertama mereka usai majlis pernikahan berlangsung.
Kisah Muhammad Ridzuan Osman, 34, dan Nur Afifah Habib, 26, dari Sungai Petani benar-benar menginspirasikan.
Berbeza daripada norma pengantin baru lain yang memilih untuk berbulan madu di tempat peranginan, mereka berdua pula sama-sama menyarung PPE dan menguruskan pengebumian jenazah pesakit COVID-19.
“Jodoh ni unikkan, didatangkan dengan pelbagai cara. Jodoh mereka dengan jalan sukarelawan dan kebajikan ini. Semoga Allah ikat kasih sayang juga dengan cara yang sama.” Ustaz Mohammad Yaakub Yusra
Ridzuan dan Afifah
Pasangan ini baru saja diijab kabul dan bersanding pada hujung minggu lalu di Permatang Berangan, Tikam Batu.
Selang sehari, mereka dilihat sama-sama menguruskan jenazah pesakit COVID-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin, Sungai Layar jam 5 petang Selasa.
Muhammad Ridzuan, yang juga ketua operasi Team Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul, Murtadha Dakwah Centre (Madad), berkata, sebaik mendapat perkhabaran terdapat jenazah untuk diuruskan dia segera memaklumkan kepada isterinya.
“Isteri saya bersetuju dan kami segera pergi mengambil jenazah di Hospital Sultan Abdul Halim dan membawanya ke tanah perkuburan.
Kami bersama rakan sukarelawan lain sama-sama membantu menyelesaikan pengebumian jenazah lelaki berusia 80 tahun.” Muhammad Ridzuan
Sementara itu Nur Afifah yang bekerja di sebuah restoran makanan Korea tampak tidak kekok memegang cangkul.
“Saya menyertai Team Hang Cangkul ini sejak tiga bulan lalu dan di sinilah cinta saya dan suami mula berputik.
Kami mula mengenal hati budi masing-masing dan suami mula melamar saya untuk dijadikan isteri.
Telah lama saya mengimpikan untuk menyertai badan sukarelawan dan kini saya sudah menemuinya.” Nur Afifah
Selama tempoh tiga bulan pasangan ini telah menguruskan pengebumian lebih 15 jenazah yang meninggal akibat COVID-19.
Mengakui pandemik COVID-19 menjadi penyakit yang amat menggerunkan di negara ini sejak dua tahun lalu, di mana ia telah mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi.
Namun tanggungjawab menyempurnakan jenazah pesakit COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan, pelindung muka dan lain-lain tidak pernah diabaikan pasangan ini.
Jelas pengantin baharu ini, mereka akan terus melakukan kerja sukarelawan ini sampai bila-bila.
Bagi pasangan ini, pengalaman memakai PPE membuatkan mereka menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus merawat pesakit COVID-19.
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Sedar tak sedar dah 8 bulan usia kandungan Uyaina Arshad. Tak lama dah tu nak bersalin. Walau makin sarat namun Uyaina yang mesra disapa sebagai Yana ini kekal ceria dan teruja setiap kali bercerita tentang fasa kehamilannya. Seri ibu mengandung juga terserlah di raut wajah isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran ini.
Kesempatan bertemu dengan Uyaina di majlus perasmian Koleksi RR Mono II Rizman Ruzaini baru-baru ini memberi peluang kepada NONA untuk bertanya khabar mommy-to-be ini.
“Alhamdulillah sekarang saya dan baby dalam keadaan sihat. Sedang tunggu masa..sikit saja lagi dah nak ‘keluar’. Mohon doa semua, doakan saya dan baby sihat.
Dalam rasa excited, tak sabar ada jugalah rasa takut sebab first time nak jadi mak dan ayah kan. Rasa nervous pun ye juga.
Dari segi persediaan tu kami dah siapkan barang baby, dah pilih hospital mana nak bersalin, berpantang di mana…benda-benda ni yang paling penting dulu.
Lepas tu nak kena bersedia fizikal dan mental, tidur yang cukup. Paling penting bagi saya ialah selamat. Saya memang kalau boleh nak bersalin secara normal. Tapi kalau ada sebarang masalah, saya terpaksa terima dan terbuka hati untuk terima keadaan itu.
Jadi, kena doa banyak-banyak agar dapat bersalin normal selain selamat dan dipermudahkan segalanya aamiin.
PENGALAMAN HAMIL
“Masa trimester pertama tu saya muntah je sepanjang masa. Tak boleh bau sebarang perfume. Contohnya, kalau keluar ke mana-mana saya boleh bau perfume.
Memang tak tahan. Masa awal-awal tu muntah teruk jugalah. Bukan morning sickness je tapi setiap masa. Semua sickness ada.
Masa trimester ke-2 saya dijangkiti COVID-19 dan appendix pula. Masuk trimester ketiga dah OK sikit, alhamdulillah. Saya dah mula aktif dengan shooting dan sebagainya.”
Menurut Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, sejak hamil berat badannya naik mendadak sekitar 10kg.
“Ia bertambah dari berat asal saya sebelum kahwin. Jadi sekarang ni sepanjang hamil 8 bulan berat saya dah 65kg. Memang banyak kenaikannya tu!”
NASIHAT & TIP DARI IBU
“Ibu banyak kali pesan agar sentiasa berselawat dan mohon ampun dengan suami dulu sebelum masuk ke dewan bersalin nanti. Ibu cakap memang sakit tapi berapa ramai dah wanita yang melahirkan. Laluinya dengan tenang kerana ini semua.
Ini adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi seorang ibu serta sebahagian daripada proses dalam kehidupan seorang wanita selain berkahwin dan mengandung. Melahirkan juga sebahagian daripada fitrah kita sebagai seorang wanita. Maka, laluinya dengan hati yang terbuka, Insha-Allah segalanya akan selamat.
PERANCANGAN SEBELUM BERSALIN
“So far, saya cuma nak experience dan nak enjoy the journey, the process. Untuk karier mungkin saya akan lebih fokus kepada baby dulu. Kalau berpantang tu kena betul-betul walaupun susah.
Yana nak cuba ikut sebab lagi cepat badan kita sembuh, lagi cepat kita boleh kerja. Nak biasakan dengan jadual, shooting dan sebagainya. Ia akan jadi lagi cepat kalau kita sihat. Dan mudah untuk kembali ke bentuk badan asal.
Dari segi panggilan, tak tahu lagi. Umi, Bonda atau Ibu. Insha-Allah saya juga akan mengadakan gender review.
Niat bukan untuk berlagak ke apa, lebih sekadar untuk meraikannya bersama keluarga, family bonding seterusnya untuk meraikan additional ahli baru dalam keluarga.
MOHON DOA
“Saya mohon doa dari semua agar saya dan baby sihat dan selamat. Baby pun dapat membesar menjadi anak yang baik, berbakti kepada orang tua, comel dan anak yang dapat membanggakan kami. Insha-Allah…
“Saya sepatutnya bersalin awal September tapi doktor banyak kali cakaplah, bila usia kandungan masuk 37 minggu dah kena get ready. Apa sahaja boleh berlaku.”
Untuk rekod, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran berkenalan pada awal tahun 2019 di sebuah program terbitan Astro. Mereka sah bergelar suami isteri pada 21 Disember 2021 dalam sebuah majlis tertutup di The Colony, Star Boulevard KLCC. Dalam majlis tersebut, Raja Syahiran menyerahkan mas kahwin berupa set barangan kemas buat Uyaina dan tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak. Pasangan ini juga memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan kedua belah keluarga.