Berusia 54 Tahun & Ada 3 Anak Perempuan, Ibu MIRA FILZAH Nampak Awet Muda!

Dalam kesibukan warga net dan masyarakat bercerita tentang keindahan ‘Wedding of the Year’ Mira Filzah dan Wan Emir Astar, penampilan ibu kepada pengantin perempuan turut tidak terkecuali menjadi bualan ramai. Apatah lagi, sehari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan selebriti popular tersebut… Faizatul Akmar Dato’ Hisan baru sahaja meraikan perkahwinan anak bongsu yang juga adik kepada Mira Filzah iaitu Aina Fadhilah.

Pastinya bulan September menjadi momen bermakna bagi ibu tiga anak perempuan cantik ini kerana selain kesemua cahaya matanya sudah pun bergelar isteri, beliau dan suami turut menerima dua orang anak menantu sekaligus!

Mendekati ratu hati Mira Filzah ini, wanita hebat bernama Faizatul Akmar Dato’ Hisan sememangnya menjadi sumber inspirasi buat ketiga-tiga anak. Mana tidaknya, bukan hanya dikurniakan rupa paras menarik, isteri Badioezaman Ab Khalik ini juga seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan cukup anggun berhijab.

Di majlis pernikahan Mira Filzah

Dengan cucu sulung

Mengintai laman Instagram Faizatul Akmar yang memiliki lebih 40 ribu followers, terserlah sisi penyayang beliau sebagai ibu dan isteri. Setiap perkongsiannya juga lebih banyak berkisar tentang aktiviti keluarga tersayang.

6 Jun lalu genap 54 tahun usia Faizatul Akmar. Biarpun sudah meniti umur lebih separuh abad dan bergelar nenek namun kejelitaan wanita berkulit cerah ini kekal memukau. Tidak hairanlah Mira Filzah mempunyai wajah lembut dan ayu. Mewarisi gen cantik ibunda tersayang rupanya! Kalau selama ini peminat memuji kemulusan kulit wajah Bintang Paling Popular tersebut, lihat sahaja kulit bersih dan gebu ibunya.

Bersama suami tercinta ketika hari lahir ke-54

Teringat kata-kata Mira yang mengaku sangat rapat dengan ibu tersayang berbanding adik-beradik lain. Dalam temu bual bersama Nona tidak lama dulu, Mira mendedahkan, “Mira dan mak very direct. Kalau rasa nak tanya apa pun Mira akan tanya sebab Mak very open… very transparent.

Tak ada benda yang Mira tak tahu dan tak ada benda yang mak tak tahu pasal Mira. Even mak pun ada bercerita tentang dirinya waktu muda-muda.”

Yang pasti, Faizatul Akmar bukan calang-calang wanita. Selain sibuk mengasuh dan mengurus keluarga, beliau juga seorang wanita bekerjaya dan menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM). Semestinya beliau mempunyai kredibiliti kepimpinan yang tinggi sampai diberi kepercayaan mentadbir institusi pendidikan berkenaan. Kagum!

Terharu dan bersyukur atas kurniaan Allah dengan perkahwinan dua puteri tersayang baru-baru ini, Faizatul Akmar turut menitipkan pesanan indah berikut kepada anak dan 3 anak menantu.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Dengan izin dan rahmatNYA telah
melengkapkan keluarga kami. Dari 3 anak perempuan ENGKAU telah mengurniakan kami 3 anak lelaki serta diserikan dengan kehadiran seorang cucu.

Terima kasih Ya Allah, kurniaanMU amat besar kepada hambamu yang kerdil ini. Moga ENGKAU terus melindungi kami, membimbing kami dan menunjukkan jalan yang lurus kepada kami.

Kepada anak-anak mak Ain Farhanah, Mira Filzah, Aina Fadhilah serta anak-anak lelaki mak Izzat Hamdan, Wan Emir Astar, Mohamad Afif… mak abah sayang kalian. Jaga agama, jaga diri dan jaga keluarga. Mak doakan semua anak-anak mak bahagia dunia dan akhirat.

Pesanan mak, bahagia bukan memiliki segalanya, tapi kebahagiaan sebenar apabila KITA MENCINTAI APA YANG KITA MILIKI dan layari bahtera rumah tangga dengan sederhana kerana RUMAH TANGGA YANG SEMPURNA ADALAH RUMAH TANGGA YANG TIDAK MENGHARAPKAN KESEMPURNAAN.”

Moga segala kejayaan dan asuhan sempurna Faizatul Akmar dan suami turut menjadi inspirasi buat semua. Juga, rumah tangga ketiga-tiga anak mereka berkekalan hingga ke syurga.

IKLAN
Share