
Apa rancangan hujung minggu ni? Jom berehat sejenak sambil menghirup udara segar dan nikmati panorama gunung-ganang yang menghijau, rasanya pasti bagai terapi tatkala mengharungi pandemik COVID-19.
Bagi yang teringin berubah angin, pakej Fun & Nature di Resorts World Genting ni antara pilihan terbaik yang dekat, tapi menyeronokkan.
Bayangkan dengan tawaran serendah RM125, anda dapat bercuti untuk dua orang termasuk penginapan satu malam di Resorts World Awana, menjamu selera, trip jungle trekking dengan jurupandu dan tiket pergi-balik Awana SkyWay.
Semua ini pada harga promosi untuk jangka masa terhad iaitu pada 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 Ogos 2020.
Anda boleh beristirahat dan merebahkan badan di Resorts World Awana, sebuah hotel dengan padang golf 18-lubang yang terbentang indah. Pakej ini juga merangkumi makan untuk dua orang di High Line Rooftop Market yang bersuasanakan alfresco, tiket Awana SkyWay untuk dua orang termasuk hentian percuma di Stesen Chin Swee bagi yang berminat melawati Kuil Chin Swee Caves.
Kemuncak percutian ini adalah misi jungle trekking dengan jurupandu di laluan Konservasi berdekatan hotel. Peminat alam semula jadi pasti teruja untuk meneroka hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun. Sambil bersiar-siar melalui Encyclopedic Walk, singgah juga di Awana Bio Park dan belajar tentang biodiversiti Montane Timber Forest dan habitatnya.

Di sini anda mungkin bertuah jika menemui haiwan liar yang bebas di tempat tinggalnya. Ada kambing gunung, siamang, harimau black panther, pelbagai spesis ular dan monyet. Aneka flora dan fauna juga memayungi kanopi hutan, selain lebih 60 spesis burung yang menjadikan hutan ini sebagai taman permainan mereka.
KEPERLUAN BERCUTI
- Bagi mematuhi SOP kerajaan, anda mestilah memakai pelitup muka setiap masa.
- Sebaik tiba di hotel, imbas dahulu MySejahtera dan periksa suhu badan.
- Gunakan sanitizer tangan yang disediakan.
- Amalkan penjarakan sosial sepanjang aktiviti.
Pernah Belajar Hanya Diterangi Pelita & Bangun 4 Pagi Bantu Ibu Ayah Penoreh Getah, Kejayaan Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif Cetus Inspirasi!

Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PERJALANAN HIDUP DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
KARIER


Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.



DATUK BANDAR KUALA LUMPUR
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
KEKUATAN DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Banglo Bernilai RM 10 Juta Milik ROZITA CHE WAN Akhirnya Siap Untuk Diduduki. Dekorasi Klasik Inggeris Jadi Pilihan Che Ta!

Genap mencecah usia 50 tahun 9 Mac lalu, nampaknya Rozita Che Wan menyambutnya dengan melangkah masuk ke kediaman baharu yang dimilikinya! Akhirnya kediaman milik selebriti ini yang bernilai hampir RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya siap sepenuhnya!
Penantian selama empat tahun menghuni rumah jenis banglo mewah itu akhirnya termakbul selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta melabur jutaan ringgit akhirnya ternoktah.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
“Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya.

Menurut sumber, banglo mewah Che Ta mengambil tema klasik Inggeris sebagai dekorasi utama kediaman keluarga tersebut. Malah elemen tersebut digarap sempurna bagi sebuah kediaman yang selesa dan sempurna buat selebriti yang sememangnya mementingkan kesempurnaan dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Rumah banglo berkenaan tidak hanya didiami Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan tiga anaknya. Malah seperti dilaporkan sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu turut dipuji ramai kerana memuliakan orang tua apabila mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama.
“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
“Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya.
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban.
“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
“Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu
selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya.
Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama.
“Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.

Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus bila nak ke Tanah Suci Makkah.
“Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Tapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.
“Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tak lama lagi.
Anggun Usia 57 Tahun, Terpegun Wajah Cantik & Mahligai Mewah DATIN SALWA ABDUL RAHMAN!

Meniti usia lewat 50an, kecantikan pelakon filem Kolej 56, Datin Salwa Abdul Rahman ini nyata menawan. Masih aktif menerima jemputan nyanyian, penyanyi era 80an berkenaan memiliki aura tersendiri hingga ke hari ini.
Mengimbas kembali petua kecantikan seperti yang dikongsikan bersama Nona tidak lama dulu, isteri Datuk Subadron Abdul Aziz ini mendedahkan dia pernah menggunakan sabut dan hampas kelapa untuk menjaga kecantikan kulit sejak kecil.
“Sebenarnya tak ada sebarang rahsia. Saya memang sejak dari kecil hingga sekarang suka kecantikan dan sentiasa menjaga kulit. Dulu-dulu bila tengok mak menjaga kecantikan kita pun akan terikut sama. Teringat dulu bila mak saya menggunakan hampas kelapa sebagai lulur di tangan dan seluruh badan.
Maklumlah dulu-dulu bukan ada jual produk kecantikan. Kaedahnya, guna apa sahaja yang ada di dapur. Tapi ternyata menggunakan hampas kelapa buat kulit kita jadi lembut dan berminyak.
Mak saya juga menggunakan sabut kepala untuk mencuci daki di badan. Mak akan pilih sabut kelapa yang lembut dan mencuci daki kami adik-beradik. Tapi itu dulu, sekarang saya selesa menggunakan produk kecantikan yang lagi mudah dan berkesan.





Melihat kesungguhan mak menjaga kecantikannya juga menjadikan saya mula menjaga kecantikan dari awal dengan rutin penjagaan wajah seperti membersihkan wajah, penyegar dan pelembap.
Saya juga tak akan tidur bersama mekap. Kena bersihkan dulu walaupun kadang-kadang terlalu mengantuk,” ujarnya yang mempunyai dua orang anak iaitu Puteri Sulaikha kini 24 tahun dan Puteri Sufrie Nizam, 21 tahun.
22 November lalu merupakan ulang tahun kelahiran Datin Salwa. Menerusi perkongsian di media sosial, jelas terpancar wajah bahagianya saat diraikan ahli keluarga dan sahabat handai.




Memang meriah tengok sambutan hari lahir Datin Salwa. Kalau dihitung, ada lebih daripada tiga biji kek hari lahir diterimanya! Lebih bermakna, hari lahir Datin Salwa turut diserikan dengan bacaan Yasin, Tahlil dan doa selamat serta kesyukuran daripada anak-anak tahfiz.
Daripada video yang dimuat naik, kelihatan rumah agam Datin Salwa yang mewah dan luas bak istana! Tenang je tengok kediaman Datin Salwa sekeluarga.
Februari lepas, suami Datin Salwa iaitu Datuk Subadron yang juga bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur menerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2022 di Istana Negara.