
Tak dinafikan atlet beregu badminton wanita negara, M. Thinaah ini kian meningkat naik dan menunjukkan prestasi membanggakan dalam sukan berkenaan. Selepas kejayaan memenangi Terbuka Perancis 2022, nama Thinaah dan rakan beregunya iaitu Pearly Tan semakin meniti di bibir peminat sukan badminton tanah air.
Atlet berusia 26 tahun ini dijangka bakal berangkat ke Paris bagi menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang mewakili Malaysia dalam kategori beregu wanita.
Menelusuri latar belakang Thinaah, dia merupakan anak kepada pasangan Muralitharan dan Dr. Parimala Devi.
Adik-beradik jaguh badminton ini juga bukan calang-calang. Selinaah Muralitharan misalnya yang merupakan penuntut universiti MAHSA dan jurulatih tersenarai dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records sebagai penulis puisi terpanjang negara dan Asia.
Jun tahun lalu, M. Thinaah dipilih sebagai Olahragawati bagi Anugerah Sukan Negeri Selangor 2021-2022. Sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Dia juga bergelar Naib Juara Malaysia Masters 2023 selepas tewas di tangan pemain beregu wanita dari China.
Atas pencapaian membanggakan tersebut, Thinaah menerima pengurniaan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023.
Kongsi Thinaah, “Saya berbesar hati menerima anugerah ini daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj sempena hari keputeraan Baginda. Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan saya sangat menghargainya. Daulat Tuanku.”
Lebih bermakna, dia turut mendedahkan ibu tersayang juga pernah menerima anugerah daripada Sultan Selangor.
“Saya juga sangat gembira dapat bersama ibu tercinta pada majlis istimewa ini yang turut menerima anugerah daripada Sultan Selangor pada awal tahun 2022. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.”
Selain itu, Thinaah juga dilaporkan fasih bertutur dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Difahamkan dia mula mempelajari Bahasa Mandarin selepas berdepan masalah komunikasi untuk berinteraksi dengan rakan sepasukan ketika menjalani latihan.
Percutian Mewah Hanis Zalikha Raih Tumpuan, Villa Eksklusif Maldives Jadi Pilihan Suami & Anak-Anak!

Melopong peminat tengok percutian mewah Hanis Zalikha dan Hairul Azreen baru-baru ini. Sejurus menyambut 1 Syawal di tanah air, pasangan romantis ini terus ‘terbang’ ke Maldives bersama dua anak kesayangan untuk bercuti. Seperti kelaziman, percutian Hanis dan Hairul pasti menjadi perhatian kerana tempat percutian yang dipilih bukan calang-calang!
Sewaktu baru berkahwin pada 2015, pasangan ini memilih Pulau Bora-Bora sebagai destinasi berbulan madu. Kelainan mereka menjadikan resort mewah dunia itu sebagai percutian pertama selepas bergelar suami isteri menjadi bualan hangat.
Apatah lagi penginapan untuk satu malam saja mencecah tidak kurang daripada RM5,000!
Pada 2017, Hanis dan Hairul kemudian bercuti ke Soneva Jani, Maldives selepas kelahiran anak sulung mereka. Percutian tersebut diuar-uarkan mencecah sekitar RM13,000 untuk satu malam.
Terbaharu, selebriti yang juga usahawan tersebut bertandang ke Maldives sekali lagi. Kali ini lebih istimewa dengan kehadiran anak kedua mereka.
Maldives sememangnya cukup terkenal sebagai lokasi pelancongan pilihan yang memiliki pemandangan laut yang indah dan kemewahan resortnya.
Kongsi ibu jelita ini, “Back here and with Alisa this time.”
Seronok betul tengok Hanis sekeluarga meluangkan masa bersama-sama di sana. Bukan saja terhibur dengan telatah anak-anak selebriti ini bahkan gaya dan fesyen percutian mewah Hanis Zalikha dan Hairul turut menjadi perhatian.
Tak hairanlah Hanis dan Hairul sering menjadi rujukan untuk destinasi percutian kerana perkongsian mereka yang menarik setiap kali pergi melancong dan mempunyai ‘taste’ tersendiri.
Sepanjang percutian ini juga Hanis turut terpalit isu mengenai dirinya yang dikatakan sedang hamil anak ketiga. Bagaimana pun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan empunya diri mahupun suami.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar dan Alisya Aisyah.
Semoga rumah tangga Hanis dan Hairul sentiasa diberkati Allah SWT.
Beli Tanah Untuk Bina Tahfiz Buat Golongan Susah, Pengasas SHALICIOUS Kejar Keberkatan Berniaga

Siapa sangka dalam usia 25 tahun, anak jati Kota Bharu Kelantan ini sudah pun bergelar usahawan muda yang bukan calang-calang. Tak sekadar di Malaysia, perniagaannya turut menguasai pasaran Indonesia secara sah dan kini dalam proses ke pasaran Brunei dan Singapura. Selain produk kesihatan dan kecantikan, dia juga memiliki beberapa cabang perniagaan lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka.

Boleh dikatakan kehidupannya kini lebih selesa dan mewah. Melihat kepada tahap kejayaannya itu tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa gelaran jutawan itu sudah dalam genggaman. Kematian bapa dan berasal dari keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Di kala anak muda seusianya sedang enjoy dengan dunianya, ibu kepada seorang anak ini gigih membina legasi perniagaannya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria. Kenali pengasas produk kesihatan berdaftar, Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra digelar Sha Hasan.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Bermula saat itulah ibu terpaksa bekerja seorang diri untuk menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu saya nekad nak berjaya dan ubah nasib keluarga.
Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga. Bila dah habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya memilih untuk belajar di kampung saja iaitu Kota Bharu, Kelantan.
Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap, boleh ubah nasib keluarga. Tapi saya tetap teruskan berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes. Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.
Saya berbisnes sampailah umur 18 tahun. Makin lama makin tak menang tangan dibuatnya. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya. Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious.
Kini saya ada beberapa cabang bisnes tetapi personal branding dan marketing daripada saya sendiri hanyalah Shalicious. Wismanya di Kelantan dan ada second branch HQ di Bangi. Selain di Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah. Kini dalam proses nak masuk ke pasaran Brunei dan Singapura pula seterusnya ke negara-negara lain, Insha-Allah.

Best seller product ialah suplemen yang dianugerahkan Top Ten Asia Award tahun 2019 untuk high quality product kategori health and beauty. Terdapat 3 jenis suplemen iaitu Mixberry Powder dan NV Colly Beauty Secret, Glowee Oat serta skincare C-Shine Serum dan C-Shine Cleanser.

Sepanjang bergelar usahawan, saat paling memberi kesan kepada saya antaranya yang berlaku pada tahun 2018. Masa tu saya ada berpuluh-puluh orang staf dan bisnes pun bagus waktu itu. Namun tiba-tiba Allah SWT uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa. Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
Kesannya, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi kerana terlalu tertekan. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih dan terpaksa bergantung dengan ubat. Saya juga ambil masa yang lama untuk move on.
ASET PERTAMA DIMILIKI
Aset pertama yang saya beli ialah tanah dan dirikan bangunan. Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Bagi saya itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, bolrh generate more money.
Reward terbesar selepas berjaya capai target ialah selain dapat beli apa yang diimpikan, saya dapat mengeluarkan zakat secara konsisten dan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan kepada ratusan keluarga asnaf. Itulah reward sebenar bagi saya. Tahun ini kami telah membeli tanah untuk membina tahfiz buat golongan kurang berkemampuan untuk hantar anak belajar agama.

Suami adalah tulang belakang utama saya selama ini. Terlalu banyak pengorbanannya untuk diceritakan. Selama saya bergelar usahawan, suamilah banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar. Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat. Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami sebab nak saya bersyukur dan bangkit semula. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih daripada kita. Itulah tugas kita untuk berjuang demi mereka. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
KEKALKAN BISNES
Dengan keadaan ekonomi sekarang orang dah kurang membeli barang-barang tak perlu atau ikut kemahuan. Kini orang lebih memilih barang-barang keperluan antaranya essential product. Apa yang saya jual ialah dari segi keperluan. Suplemen yang membantu kesihatan dan kecantikan. Jadi nasihat saya. jangan menjual benda-benda yang bukan keperluan.
Sekarang pun orang dah kurang walk in lagi-lagi lockdown sekarang ni. Jadi kuatkan jenama di sosial media supaya orang sentiasa nampak dan tahu kita menjual keperluan yang setiap keluarga perlukan. Satu lagi, simpanan. Sekarang ini bukan masanya untuk kita membeli belah. Kurangkan membeli yang tak perlu dan lebihkan kepada simpanan. Atau boleh tukarkan kepada emas. Sekarang saya banyak tukarkan wang kepada emas sebagai persediaan masa depan.
Selain itu, saya dan suami juga ada backup business berkaitan keperluan harian dalam bidang makanan. Kami ada involve dalam bidang agriculture iaitu membekalkan ayam. Kami ada tanah 12 ekar yang dijadikan tempat memelihara ayam. Bisnes ni sebenarnya untuk bantu orang-orang kampung. Tak perlukan marketing sebab kami ada regular customer. Bila ekonomi merosot orang tetap akan makan dan beli ayam. Itulah plan kami kalau rasa dah tak boleh teruskan bisnes yang tidak memerlukan.
Jangan mudah mengalah dan jangan takut untuk mencuba kerana sampai bila pun kita tidak akan berjaya. Bila dah cuba jangan jadi orang yang mudah mengalah sebab setiap yang kita buat memerlukan proses. Bila tengok mereka yang dah berjaya tetap akan ada ujian. Teruskan dan percaya kepada proses. Bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.
Saya dulu pun tak pernah terfikir akan jadi seperti sekarang. Tapi bila dah mula, percayalah kita nak buat more and more. Bila dah pecahkan tembok tu kita mesti nak try benda yang lebih besar dan mencabar. Ibarat dah addicted, jadi mulakan.
Saya berkahwin ketika umur 19 tahun. Umur 20 tahun dah ada anak. Awal-awal tu bila ada anak kecil saya pula sibuk dengan bisnes. Uruskan suami lagi, memang susah nak sesuaikan keadaan itu dengan kita yang muda. Memang tak sempat nak merasai kehidupan seorang remaja, enjoy dengan kawan-kawan. Memang tak pernah.
Dulu pernah cakap menyesal kahwin awal, start bisnes awal, tak ada kawan tapi suami selalu cakap suatu hari nanti saya akan faham dan bersyukur sebab Allah SWT dah tetapkan yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah kata-kata suami jadi kenyataan. Rasa berdosa sangat bila cakap begitu dulu. Bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri. Dia tidak akan beri jika tak sesuai dengan diri kita. Allah SWT lebih kenal diri kita.
INISIATIF BUAT YANG TERKESAN
Inisiatif saya untuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ialah membuka bisnes tanpa modal di samping menggalakkan orang ramai untuk berbisnes. Saya ajar mereka cara nak buat bisnes dengan Shalicious.
Selain itu, saya turut beri bantuan kepada kampung-kampung dan sentiasa berhubung dengan Ketua Kampung. Selalunya saya sendiri yang akan turun memberi bantuan. Jika tidak, saya akan hantar wakil.
Mereka ini terdiri daripada suri rumah termasuk yang bekerjaya tetapi tak pernah buat bisnes. Memang sentiasa ada coaching daripada saya kerana kebanyakan mereka bergantung income dengan Shalicious. Berkat kesungguhan mereka mampu beli tanah, membantu keluarga dan membuat simpanan sendiri. Ikutkan produk Shalicious boleh masuk farmasi tetapi saya memilih untuk tidak lagi sebab nanti mereka yang bergantung income dengan Shalicious tidak boleh buat duit. Saya juga masih nak bekerja dengan mereka dan pada masa sama dapat bantu mereka menjana pendapatan.”
Kredit Foto: Instagram @shahasan22
Pandu Sendiri Kereta Sewa Untuk Melihat Keindahan Bumi New Zealand Antara Pengalaman Berharga UMMI AISHAH

Terpegun dengan keindahan pemandangan yang bergunung ganang dan statusnya sebagai salah sebuah negara tercantik di dunia, telah membawa Aishah ke bumi New Zealand sekaligus memenuhi impiannya sejak dulu untuk menjejakkan kaki ke negara kiwi ini.
Aishah atau nama sebenarnya Ummi Aishah Ahmat Suhaimi ke sana bersama seorang sahabat baik. Melihat kepada setiap koleksi gambarnya ternyata Aishah sangat teruja menikmati setiap momen indah di sana.
PENGALAMAN PERJALANAN
“Kami memilih tarikh 8-15 November 2018 untuk mengunjungi selatan New Zealand. Perjalanan ke Auckland mengambil masa kira-kira 14 jam termasuk transit tiga jam di Gold Coast, Australia.
Kami bermalam di Kiwi Airport Backpackers Motel selama semalam. Keesokannya kami bangun seawal jam 4 pagi untuk ke Christchurch. Setibanya di sana kami menyewa kereta di Apex Car Rentals.
Antara destinasi yang dikunjungi ialah Muzium Canterbury, Victoria Clock Towers dan Fairlie Heritage Museum. Hujan lebat ketika itu membataskan perjalanan kami. Sekitar pukul 12 tengah hari kami ke Lake Tekapo dan bermalam di sana.
Pemandangan di kiri kanan jalan sangat cantik dengan salji yang memutih. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar. Tak ketinggalan, kami turut ke Mount Cook dan Hooker Valley Track.
Sepanjang perjalanan kami amat teruja dengan pemandangannya yang indah sehinggakan kami kerap berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar. Sisa-sisa salji di atas gunung ganang kelihatan sangat cantik.
Selepas itu kami menuju ke Queenstown dan bermalam di situ. Sekitar pukul 11 pagi kami ke Apex Car Rentals untuk memulangkan kereta. Kami kembali ke Auckland dan bertemu dengan Mrs Jean bagi merasai pengalaman bermalam di dalam campervan.
Seterusnya, tempat yang paling tidak sabar untuk kami kunjungi ialah Hobbiton. Betapa cantiknya perkampungan Hobbit seperti mana yang digambarkan dalam filem. Lebih dua jam kami di Hobbiton sebelum ke Lapangan Terbang Auckland untuk kembali ke Malaysia.”
DETIK TAK DAPAT DILUPAKAN
“Pengalaman terpaksa memandu pada waktu malam ketika menuju ke Larnarch Castle. Silap kami juga kerana tak berangkat lebih awal ketika di Wanaka Lake kerana terlalu leka mengambil gambar. Akibatnya kami terpaksa meredah perjalanan selama lima jam bermula pukul 6 petang sampailah 11 malam.
Kami diselubungi rasa takut kerana kawasan itu amat sunyi dan gelap, ditambah pula kawasan istana lama yang dikatakan berhantu. Akhirnya setelah didatangi oleh pekerja yang ramah di situ, kami kembali merasa lega dan tenang. Apa pun percutian kali ini sangat berbaloi dan menakjubkan.”