Nama pengurus peribadi yang juga bekas kakak ipar kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak cukup sinonim dengan figura penyanyi No. 1 Malaysia itu. Selain menguruskan karier Siti, wanita lembut yang mesra disapa Kak Rozi itu juga mahir memasak serta memiliki sebuah restoran iaitu Resipi Sangdewi di Cheras.
Kecur liur melihatkan aneka juadah lauk-pauk, kuih-muih, nasi ayam geprek serta masakan panas yang ditawarkan di restorannya. Kata Kak Rozi, pengunjung boleh datang berbuka puasa di sini atau bungkus, nak hantar pun boleh!
Tengok tu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza pun suka jamu selera di restoran Kak Rozi. Nampak sedap betul lauk-pauk kat sini…
Walaupun sibuk menguruskan kerjaya dan restoran dalam satu masa, tapi Kak Rozi sebenarnya masih melapangkan waktu untuk memasak sendiri di rumah.
Kalau tengok sharing ibu anak tiga ni di media sosial, macam-macam menu dimasaknya untuk keluarga tersayang.
Ads
“Menu berbuka puasa hari ini. Sempat sediakan juadah kari ikan merah, sayur taugeh, daging masak kicap dan terung bakar bersantan bersama budu dan ikan masin.
Nabil ulang makan 2 kali, masa berbuka dan lepas Isyak/Terawih. Sedaplah gamaknya tu…” Kak Rozi
Ads
Paling suka tengok Kak Rozi buat Ayam Masak Tiram Serai pada hari pertama berpuasa lepas. Tulisnya, kalau zaman awal Facebook dulu hari-hari dia akan muat naik gambar menu yang dimasak sebelum keluar bekerja. Siap selang-seli dengan sajak puitis dan madah lagi!
“Seiring waktu berlalu… dah lama rasanya tidak berbuat demikian. Balik kerja tadi, saya terus memasak 2 menu utama ini iaitu ayam masak tiram serai dan kari ikan jenahak.
Menu berbuka hari pertama berpuasa. InsyaAllah sesiapa yang nak resipi saya tulis nanti kerana walaupun ini adalah posting makanan tetapi saya mahu berkongsi resipi sebagai manfaat.” Kak Rozi
Ads
Pada yang berada di sekitar Cheras, bolehlah cuba masakan Kak Rozi di Restoran Sangdewi miliknya. Restoran ni dibuka bermula jam 3.30 petang hingga 9.00 malam.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika kebiasaannya, kebanyakan kafe lebih gemar memilih konsep dekorasi moden dan makanan ala hipster untuk menarik kedatangan pelanggan ke kafe. Namun kali ini, penulis tertarik dengan gaya konsep dekorasi yang diterapkan di Faroz Cafe yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mana tidaknya, dari jauh sudah boleh kelihatan dekorasi serba mewah bagaikan berada di Eropah!
Terpersona dengan gaya dekorasi Eropah klasik menjadi sumber inspirasi buat Puan Sri Faridah Idris mengetengahkan konsep dekorasi tersebut untuk kafe miliknya yang terletak di kawasan perumahan elit di pinggir Kuala Lumpur.
Menurut Puan Sri Faridah lagi, setiap kali berkunjung ke luar negara terutamanya di negara Eropah, beliau amat tertarik dengan gaya dekorasi kediaman mahupun kafe yang terdapat di sana. Dek rasa kecintaan terhadap dekorasi gaya Eropah Klasik ini, Puan Sri Faridah membawa elemen gaya dekorasi tersebut untuk diterapkan di kafe miliknya.
“Saya sememangnya amat menggemari gaya dekorasi Eropah klasik. Saya jatuh cinta dengan gaya dekorasi istana di Eropah. Jadi, saya menggunakan elemen tersebut untuk ruang dekorasi di Faroz Cafe ini. Walau bagaimanapun, dari segi menu saya masih menerapkan menu berasaskan citarasa tempatan serta menu barat yang bersesuaian dengan citarasa masyarakat Malaysia,” ujar Puan Sri Faridah yang banyak memberi idea untuk kafe yang menjadi kesayangannya itu.
Faroz Cafe dibuka secara rasminya pada 9 Januari 2019 yang lalu ini mengetengahkan menu tempatan dan menu barat. Antara menu citarasa tempatan yang disediakan termasuklah nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu, soto, lontong dan pecal. Selain menu tersebut, antara menu istimewa yang boleh didapati di Faroz Cafe termasuklah pulut kuning yang dihidangkan bersama rendang daging serta sup tulang merah yang enak dan menyelerakan. Selain itu, hidangan manisan berupa kuih-muih, bubur manisan, kek dan sebagainya turut disajikan untuk para tetamu yang datang menjamu selera.
Ketika kunjungan penulis ke Faroz Cafe baru-baru ini, penulis dan jurufoto sempat merasai keenakan soto dan sup tulang merah yang disediakan sendiri oleh Puan Sri Faridah. Ternyata air tangan VIP ini amat enak dan beliau amat menitik beratkan penggunaan bahan-bahan yang segar untuk memastikan hidangan yang disediakan untuk para tetamu memenuhi selera.
Lebih istimewa, kebanyakan hidangan citarasa tempatan disediakan sendiri oleh Puan Sri Faridah Idris mengikut resipi keluarganya sambil dibantu oleh kakitangan yang dilatih khusus untuk menyediakan menu tempatan. Manakala untuk hidangan barat pula bakal disediakan oleh cef berpengalaman dalam menyediakan sajian barat.
Melangkah masuk ke dalam kafe, mata seakan terpaku melihat gaya dekorasi Eropah klasik yang menampilkan imej mewah. Pada pandangan penulis, dekorasi yang diterapkan seakan membawa penulis berada di istana lama di Eropah yang sememangnya terkenal dengan gaya dekorasi yang halus dan penuh kesenian. Setiap sudut di ruang kafe diberi sentuhan dekorasi agar kesinambungan dekorasi Eropah tetap diberi perhatian khusus.
Dalam memperkatakan tentang dekorasi, kafe ini sememangnya istimewa kerana ia mempunyai ruang di tingkat dua yang luas untuk mengadakan sebarang majlis tertutup. Menurut Puan Sri Faridah lagi, ruang di tingkat dua juga mengetengahkan konsep dekorasi Eropah dan amat sesuai untuk mengadakan majlis-majlis tertutup seperti sambutan hari lahir, majlis perasmian mahupun mengadakan majlis pernikahan secara kecil-kecilan.
Selain ruang kafe yang luas dan selesa, ruang solat turut disediakan yang terletak di tingkat tiga bangunan rumah kedai milik Faroz Kafe ini. Sekaligus ia memudahkan untuk para pelanggan mengerjakan solat tanpa perlu keluar dari premis ketika sedang menikmati hidangan sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam.
Bagi memudahkan para pelanggan menikmati hidangan di kafe ini, ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam dari isnin hingga sabtu, manakala pada hari ahad pula ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang. Nampaknya, tidak sukar untuk mencari hidangan Melayu di kawasan kejiranan elit di Taman Tun Dr Ismail dengan pembukaan Faroz Kafe ini!
Hidangan Melayu tetap diangkat ke satu tahap yang tinggi di samping penerapan dekorasi Eropah klasik yang menenangkan tatkala menikmati hidangan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai yang keliru, tidak pasti dengan kegunaan cuka epal yang hanya tersimpan di pantri dapur. Tahukah anda, ia telah digunakan sejak beribu-ribu tahun yang lampau oleh masyarakat Greek dan Mesir sebagai makanan serta tonik kesihatan? Cuka epal kebanyakannya diperbuat daripada epal cider kerana ia mengandungi kandungan gula tertinggi yang dapat membantu proses penapaian. Keasidannya di antara pH 4.25 dan 5.00 serta amat bermanfaat untuk kita.
MENURUNKAN BERAT BADAN
Cuka epal dapat membantu mempercepatkan penurunan berat badan kerana asid asetik boleh menyekat selera makan, meningkatkan metabolisme dan mengurangkan gejala pembendungan air. Saintis juga berpendapat bahawa cuka epal berfungsi untuk ‘mengganggu’ penghadaman kanji dalam tubuh, yang bermaksud lebih sedikit kalori yang memasuki saluran darah.
MENCEGAH GANGGUAN PENCERNAAN
Hirup sesudu cuka epal sebelum makan, lebih-lebih lagi ketika anda bakal menikmati comfort food yang menggemukkan. Anda juga boleh mencuba remedi ini; tuang sesudu madu dan sesudu cuka epal ke dalam segelas air suam dan minum kira-kira 30 minit sebelum waktu makan untuk melancarkan pencernaan makanan.
MELEGAKAN SAKIT TEKAK
Sebaik sahaja terasa perit di bahagian tekak, dapatkan cuka epal untuk membasmi kuman dan membantu mencegah infeksi yang lebih teruk. Kebanyakan kuman tidak dapat bertahan dalam persekitaran berasid yang dihasilkan oleh cuka, maka campurkan ¼ cawan cuka epal ke dalam ¼ cawan air suam dan berkumur-kumurlah setiap 1 jam.
MERAWAT SAKIT PERUT
Tiba-tiba sakit perut? Nah, hirup sedikit cuka epal yang dikacau dengan sedikit air. Andainya jangkitan bakteria merupakan penyebab utama diarea, pengambilan cuka epal yang mengandungi antibiotik sangat efektif untuk mengatasinya. Ia juga mengandungi pektin yang boleh melegakan kekejangan dalam usus.
MENURUNKAN PARAS KOLESTEROL
Masih banyak kajian yang sedang berjalan bagi membuktikan cuka epal baik untuk menurunkan kolesterol. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian pada tahun 2006 menemukan kebaikan asid asetik dalam cuka berkesan menurunkan paras kolesterol jahat dalam tubuh tikus uji kaji. Bahkan, kajian di Jepun juga mendapati pengambilan setengah auns cuka epal sehari boleh merendahkan kolesterol dalam tubuh manusia.
MENGUBATI SEDU
Ambil satu sudu kecil cuka epal dan minum. Rasanya yang masam berkesan menghentikan sedu secara beransur-ansur. Kemasaman cuka epal bagai sejenis isyarat kepada otak agar jangan tersedu.
MEMULIHKAN HIDUNG TERSUMBAT
Apabila hidung anda tersumbat akibat demam selesema, capailah cuka epal. Ia mengandungi khasiat potasium yang melonggarkan mukus dan asid asetik yang mencegah pembiakan kuman; dua penyebab hidung tersumbat. Hanya campurkan satu sudu kecil cuka epal ke dalam air suam untuk melancarkan pernafasan.
MERANGSANG TENAGA
Senaman dan stres yang ekstrem boleh menyebabkan peningkatan asid laktik dalam tubuh, seterusnya mendorong kelesuan. Menariknya, kandungan asid amino dalam cuka epal dapat berfungsi seperti antidot. Ia mengandungi potasium dan enzim yang mencetuskan perasaan penat. Campurkan satu ke dua sudu besar cuka epal ke dalam minuman anda dan dapatkan ledakan tenaga yang luar biasa.
MENGHILANGKAN NAFAS BERBAU
Jikalau memberus gigi atau mouthwash masih tidak menyelesaikan masalah nafas berbau anda, cuba gunakan cuka epal. Berkumur-kumur dengannya atau cairkan cuka epal ke dalam air kumuran untuk membunuh bakteria penyebab bau nafas. Cara ini juga dapat membantu memutihkan gigi anda.
MENGAWAL GULA DARAH
Menurut beberapa kajian, amalan meminum cuka epal dapat membantu mengimbangi paras gula darah. Satu kajian terhadap pesakit diabetes jenis 2 yang tidak mengambil insulin mendapati amalan mereka menghirup dua sudu besar cuka epal sebelum tidur membantu menurunkan paras glukosa apabila terjaga dari tidur. Saintis juga percaya bahawa kesan antiglisemik di dalam asid cuka epal dapat merendahkan paras gula darah selepas seseorang menikmati makanan tinggi karbohidrat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peminat program memasak pasti terhibur melihat personaliti yang ditampilkan oleh Ili Sulaiman tatkala menyediakan pelbagai menu istimewa di dapur. Sering berkongsi menu istimewa di program televisyen mahupun laman Instagram miliknya, jangan tak tahu Ili Sulaiman kini melangkah setapak lagi dalam dunia perniagaan berasakan food & baverage dengan memperkenalkan @ILIPOTDELIVERY, steamboat & grill halal pertama di Malaysia!
Meraikan tarikh penting sempena ulangtahun perkahwinannya semalam, Ili Sulaiman turut memperkenalkan buah tangan terbaharunya iaitu Ili Pot Delivery istimewa untuk penggemar hidangan steamboat dan grill di Malaysia.
Lebih istimewa, ia menampilkan hidangan steamboat dan grill halal pertama di Malaysia yang menggunakan konsep penghantaran ke rumah! Secara rasminya, peminat hidangan steamboat dan grill boleh menempah hidangan istimewa ini bermula 9 November lalu.
Dilahirkan dari darah campuran English-Chinese dari sebelah ibu dan Sri Lanka-Melayu dari bapanya, Ili dibesarkan dalam lingkungan pelbagai budaya dan makanan yang pelbagai. Atas pengaruh tersebut, tidak hairanlah mengapa dia sememangnya amat dekat dengan dunia kulinari dan antara hidangan kegemarannya termasuklah hidangan steamboat dan grill.
“Sejak kecil, nenek sudah membiasakan saya dengan suasana di dapur. Memandangkan keluarga kami sering berkumpul untuk makan bersama-sama, jadi saya sudah terbiasa dengan menikmati pelbagai menu yang dimasak sendiri di rumah dan hidangan gerasaskan steamboat dan grill juga merupakan hidangan yang sering menjadi pilihan kami sekeluarga,” ujar Ili ketika ditanya mengenai inspirasi mewujudkan @ilipotdelivery.
“Saya pasti hidangan berasaskan steamboat dan grill ini menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Kebiasaannya, hidangan berasaskan steamboat dan grill hanya dapat dinikmati di restoran sahaja. Tetapi kali ini, ia boleh dinikmati di rumah bersama keluarga dan semua ahli keluarga boleh merasai peluang memasak sendiri hidangan dalam keselesaan kediaman masing-masing.
Apatah lagi dalam situasi negara sedang berhadapan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di kebanyakan negeri, jadi peluang untuk menikmati hidangan berasaskan steamboat di luar adalah mustahil. Jadi, anda nikmati sahaja hidangan istimewa bersama keluarga di rumah dengan menempah di www.ilipotdelivery.com. Mudah bukan,” ujar Ili yang melalui proses R&D selama beberapa bulan untuk memperkenalkan hidangan steamboat dan grill yang halal ini.
Mesti anda terfikir, untuk menikmati hidangan steamboat dan grill di rumah memerlukan peralatan grill dan mangkuk steamboat bukan? Usah bimbang kerana setiap pakej di dalam @ilipotdelivery menyediakan peralatan steamboat dan grill tersebut.
“Dengan satu langkah mudah, log masuk ke laman web www.ilipot.com.my dan anda boleh menempah set hidangan steamboat dan grill yang lengkap termasuklah mangkuk sup steamboat, grill, burner, alas meja plastik dan hidangan steamboat dan grill pilihan anda. Ili Pot membuat penghantaran dari jam 12 tengah hari ke 12 tengah malam untuk membolehkan anda menikmati hidangan steamboat dengan 5 jenis sup, 4 jenis perapan, 2 sos istimewa dan pelbagai pilihan hidangan steamboat dan grill yang istimewa.”
Antara perisa sup yang disediakan termasuklah Saranghae jjigae berasakan citarasa Korea, Mi So Spicy, Chanko Nabe (tidak pedas) Creamy Chicken and Garlic (tidak pedas) dan Thom Yum. Manakala sos perapan pula termasuklah sos teriyaki, Spicy Korean, Thai BBQ dan sos istimewa rahsia Ili Sulaiman! Malah, pada 14 November ini sempena sambutan Deepavali, dapatkan coconut candy secara percuma dengan setiap pembelian!
Tempahan sudah boleh dibuat di laman web dan layari Instagram @ilipotdelivery untuk menikmati hidangan istimewa bersama keluarga dari kediaman rumah anda!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.