Jika kebiasaannya, kebanyakan kafe lebih gemar memilih konsep dekorasi moden dan makanan ala hipster untuk menarik kedatangan pelanggan ke kafe. Namun kali ini, penulis tertarik dengan gaya konsep dekorasi yang diterapkan di Faroz Cafe yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mana tidaknya, dari jauh sudah boleh kelihatan dekorasi serba mewah bagaikan berada di Eropah!
Terpersona dengan gaya dekorasi Eropah klasik menjadi sumber inspirasi buat Puan Sri Faridah Idris mengetengahkan konsep dekorasi tersebut untuk kafe miliknya yang terletak di kawasan perumahan elit di pinggir Kuala Lumpur.
Menurut Puan Sri Faridah lagi, setiap kali berkunjung ke luar negara terutamanya di negara Eropah, beliau amat tertarik dengan gaya dekorasi kediaman mahupun kafe yang terdapat di sana. Dek rasa kecintaan terhadap dekorasi gaya Eropah Klasik ini, Puan Sri Faridah membawa elemen gaya dekorasi tersebut untuk diterapkan di kafe miliknya.
“Saya sememangnya amat menggemari gaya dekorasi Eropah klasik. Saya jatuh cinta dengan gaya dekorasi istana di Eropah. Jadi, saya menggunakan elemen tersebut untuk ruang dekorasi di Faroz Cafe ini. Walau bagaimanapun, dari segi menu saya masih menerapkan menu berasaskan citarasa tempatan serta menu barat yang bersesuaian dengan citarasa masyarakat Malaysia,” ujar Puan Sri Faridah yang banyak memberi idea untuk kafe yang menjadi kesayangannya itu.
Faroz Cafe dibuka secara rasminya pada 9 Januari 2019 yang lalu ini mengetengahkan menu tempatan dan menu barat. Antara menu citarasa tempatan yang disediakan termasuklah nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu, soto, lontong dan pecal. Selain menu tersebut, antara menu istimewa yang boleh didapati di Faroz Cafe termasuklah pulut kuning yang dihidangkan bersama rendang daging serta sup tulang merah yang enak dan menyelerakan. Selain itu, hidangan manisan berupa kuih-muih, bubur manisan, kek dan sebagainya turut disajikan untuk para tetamu yang datang menjamu selera.
Ketika kunjungan penulis ke Faroz Cafe baru-baru ini, penulis dan jurufoto sempat merasai keenakan soto dan sup tulang merah yang disediakan sendiri oleh Puan Sri Faridah. Ternyata air tangan VIP ini amat enak dan beliau amat menitik beratkan penggunaan bahan-bahan yang segar untuk memastikan hidangan yang disediakan untuk para tetamu memenuhi selera.
Lebih istimewa, kebanyakan hidangan citarasa tempatan disediakan sendiri oleh Puan Sri Faridah Idris mengikut resipi keluarganya sambil dibantu oleh kakitangan yang dilatih khusus untuk menyediakan menu tempatan. Manakala untuk hidangan barat pula bakal disediakan oleh cef berpengalaman dalam menyediakan sajian barat.
Melangkah masuk ke dalam kafe, mata seakan terpaku melihat gaya dekorasi Eropah klasik yang menampilkan imej mewah. Pada pandangan penulis, dekorasi yang diterapkan seakan membawa penulis berada di istana lama di Eropah yang sememangnya terkenal dengan gaya dekorasi yang halus dan penuh kesenian. Setiap sudut di ruang kafe diberi sentuhan dekorasi agar kesinambungan dekorasi Eropah tetap diberi perhatian khusus.
Dalam memperkatakan tentang dekorasi, kafe ini sememangnya istimewa kerana ia mempunyai ruang di tingkat dua yang luas untuk mengadakan sebarang majlis tertutup. Menurut Puan Sri Faridah lagi, ruang di tingkat dua juga mengetengahkan konsep dekorasi Eropah dan amat sesuai untuk mengadakan majlis-majlis tertutup seperti sambutan hari lahir, majlis perasmian mahupun mengadakan majlis pernikahan secara kecil-kecilan.
Selain ruang kafe yang luas dan selesa, ruang solat turut disediakan yang terletak di tingkat tiga bangunan rumah kedai milik Faroz Kafe ini. Sekaligus ia memudahkan untuk para pelanggan mengerjakan solat tanpa perlu keluar dari premis ketika sedang menikmati hidangan sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam.
Bagi memudahkan para pelanggan menikmati hidangan di kafe ini, ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam dari isnin hingga sabtu, manakala pada hari ahad pula ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang. Nampaknya, tidak sukar untuk mencari hidangan Melayu di kawasan kejiranan elit di Taman Tun Dr Ismail dengan pembukaan Faroz Kafe ini!
Hidangan Melayu tetap diangkat ke satu tahap yang tinggi di samping penerapan dekorasi Eropah klasik yang menenangkan tatkala menikmati hidangan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas!