Nampaknya naib juara program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA ini betul-betul kotakan janji. Sebelum diumumkan sebagai pemenang lagi, Nik Aswat sudah menyuarakan niat murninya kepada penulis untuk mengadakan satu kelas mekap khas buat peminat yang menyokongnya selama ini. Tegas Nik, sama ada menang atau tidak… dia tetap akan menunaikan janji dan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-24 hari ini, ada pengumuman yang ingin disampaikan Nik Aswat.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab dinobatkan sebagai naib juara. Walau pada awalnya, target untuk masuk ke final pun sudah cukup membanggakan. Lepas habis Fabulous MUA, saya hendak fokus kepada mekap dan butik selain mahu memajukan diri ke tahap yang lebih baik. Matlamat saya adalah untuk menjadi seseorang yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain.
Jadi, untuk membalas jasa baik mereka yang telah banyak menyokong kerjaya saya dan sebagai tanda mahu berbakti kembali kepada masyarakat… saya berbesar hati mengadakan kelas mekap seikhlas hati kepada sesiapa yang berminat di butik baru saya di Kulim, Kedah.
Kelas mekap yang pernah dianjurkan Nik Aswat.
Solekan Nik Aswat di final Fabulous MUA.
Rekaan busana di butik Nik Aswat.
Ini bukanlah kali pertama saya buat kelas mekap seikhlas hati. Kali pertama saya buat ialah pada awal tahun lalu di butik lama saya. Waktu itu saya masuk pertandingan Malaysia’s Makeup Artist (MMA). Tujuan saya buat kelas ini adalah untuk menghargai bakat dan keinginan orang lain yang hendak menceburi bidang solekan. Macam saya cakap tadi, matlamat hidup saya bila sudah berjaya ialah untuk lihat orang lain juga berjaya.
Bagi saya, ilmu perlu dikongsi. Saya faham perasaan mereka yang sangat meminati bidang ini dan saya pun pernah beberapa kali pergi kelas mekap untuk belajar teknik
solekan yang betul. Selain pergi kelas, saya juga belajar tentang selok-belok dunia solekan daripada ramai makeup artist.
Apa salahnya sekarang, saya pula yang kongsi ilmu dengan orang lain. Bak kata orang-orang lama, ‘Menuntut ilmu biar sampai ke negara China’. Istilah mencari dan memberi ilmu ini luas, sampai bila-bila pun takkan pernah habis,” ujar anak kelahiran Pulau Mutiara ini.
Enggan meletakkan kriteria tertentu kepada mereka yang berminat menyertai kelas mekap seikhlas hati ini, Nik Aswat memutuskan mahu membuat kelas berkenaan pada 25 November nanti. “Anggaran peserta adalah sekitar 20 orang ke bawah atau jika banyak permintaan… mungkin saya akan buat dua hari atau slot pagi dan petang. Bukan tak mahu ambil ramai tapi keadaan ruang butik yang terhad.
.
Rekaan busana di butik Nik Aswat.
InshaAllah, jika ada rezeki lebih nanti saya akan buat lagi. Kriteria umur, saya tak kisah. Cuma kalau boleh saya mahu newbie yang sekurang-kurangnya ada asas dalam mekap tetapi tak tahu macam mana untuk kembangkan lagi bakat mereka. Setakat ini saya sudah mendapatkan tajaan daripada Syok Cosmetics, Farmasi Color Cosmetics (FCC) dan beberapa produk kosmetik lain.”
Mengenali peribadi Nik Aswat, ternyata anak muda ini bukan hanya seorang yang lucu dan peramah. Bahkan dia memiliki personaliti usahawan berjaya yang sentiasa bersedia, berani mencuba, kreatif, bijak mencari peluang dan positif merencana masa depan. Meskipun ketika program Fabulous MUA masih berlangsung… otaknya ligat meneroka bidang baru yang mampu menjana pendapatan lumayan. Kagum!
“Alhamdulillah, setiap apa yang saya buat dalam program ini saya nampak usaha saya. Daripada Fabulous MUA inilah saya dapat asah bakat dan lebih mengenali diri saya yang sebenarnya. Memang itu antara matlamat saya. Waktu uji bakat dulu pun saya pernah cakap dekat juri yang saya mahu jadi yang terbaik dan cari kelebihan diri sendiri. Walaupun tak jadi winner, dapat nombor dua pun saya dah bersyukur. Bukan kedudukan pemenang yang menjadi keutamaan saya tapi yang lebih penting, saya dapat belajar banyak benda dari program Fabulous MUA.”
Finalis Fabulous MUA.
Ditanya pengalaman paling terkesan sepanjang menjadi peserta Fabulous MUA, ini jawapan jujur Nik Aswat. “Saya tak pernah masuk pertandingan seumpama ini yang banyak mengajar erti mekap sebenar kepada para peserta sebab sebelum ini kalau saya masuk pertandingan… habis je mekap, settle dan umum nama pemenang. Berbeza dengan Fabulous MUA, yang tidak keterlaluan kalau saya katakan ia padat dengan bermacam-macam ilmu tentang dunia solekan daripada mereka yang pakar. Belum lagi kira perkongsian ilmu sesama peserta. Pendek kata dah macam ‘library’ bergerak,” selorohnya.
Tambahnya lagi, “Walaupun perjalanan saya sebagai makeup artist masih jauh tapi apa yang boleh saya pesan kepada bakal makeup artist di luar sana, anda perlu ada semangat,usaha dan sentiasa rendah diri. Tak kira dalam apa juga industri yang diceburi pun kena sentiasa humble. Kalau berlagak orang tak suka dan jangan berhenti cari ilmu. Itulah juga yang saya amalkan dalam kehidupan. Sehebat mana pun orang tu, dia tetap kena cari ilmu.”