
Diam tak diam, usia perkahwinan vokalis kumpulan Seventeen, Ifan dan isterinya, Citra Monica memasuki angka dua tahun. Seperti pasangan suami isteri yang lain, baik Ifan mahupun Citra mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka.
Namun mungkin belum ada rezeki untuk disahkan hamil secara semulajadi, Ifan dan isterinya sepakat memilih untuk melakukan kaedah persenyawaan in vitro atau In Vitro fertility untuk mendapatkan zuriat.
Memetik laporan Kapan Lagi, ia merupakan kali kedua Citra Monica menjalani kaedah IVF. Kali pertama pasangan ini melakukan teknik IVF tidak memberikan kesan yang positif. Namun keduanya tidak berputus asa dan mengambil keputusan untuk sekali lagi mencuba proses tersebut.
Baik Ifan mahupun Citra pernah melalui proses pemeriksaan untuk memastikan keadaan kesihatan mereka pada tahap terbaik untuk menimang cahaya mata. Ifan menyangkal dakwaan dia dan isterinya mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan zuriat.
Namun perlu diambil perhatian apabila wanita semakin meningkat usia, kemungkinan untuk hamil juga menjadi semakin tinggi apatah lagi Citra Monica kini sudah mencecah usia 37 tahun.
Untuk rekod, Citra Monica dan Ifan masing-masing memiliki seorang anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu. Kedua-duanya kini sudah meningkat remaja dikenali sebagai Rania dan Ricci.
Rania Ifan berusia 14 tahun dan menuntut di Pesantren Tahfidz Qur’an di daerah Malang, Jawa Timur. Manakala Ricci, merupakan anak Citra Monica yang kini sudah berusia 18 tahun.
Bercerita mengenai proses IVF, Ifan memaklumkan bahawa selepas ini Citra Monica akan menjalani proses pengeluaran telur dan persenyawaan.
“InsyaAllah jika tiada ada halangan, bulan depan sel telur ibu dan sperma bapa akan disatukan. Doakan semoga ada rezeki kali ini,” ujar Ifan yang kagum dengan pengorbanan si isteri untuk memperolehi zuriat sebagai buah cinta mereka berdua.
Ifan dan Citra Monica mendirikan rumahtangga pada 29 Mei 2021. Terdahulu Ifan atau nama sebenarnya Riefian Fajarsyah kehilangan isterinya, Dylan Sahara dalam sebuah tragedi tsunami yang berlaku di Tanjung Lesung, Indonesia pada 24 Disember 2018.
Masalah Pendengaran Meningkat Semasa PKP. Mana Tidaknya, Semua Terdedah Kepada Audio Keterlaluan!

Melepasi satu bulan berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sudah tentu banyak masa dihabiskan di hadapan kaca televisyen dan gajet seperti telefon pintar atau skrin komputer. Sekaligus pancaindera seperti mata dan telinga amat terdedah terhadap masalah terutamanya apabila terdedah dengan cahaya skrin dari komputer dan kebanyakan individu lebih gemar menggunakan head phone Ketika melakukan tugasan, baik semata menghadiri mesyuarat secara alam maya ataupun sekadar mendengar muzik semasa melakukan tugasan.
NONA mendapatkan pandangan Pakar Telinga, Hidung, Tekak dan Pembedahan Kepala & Leher, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM & Klinik Pakar Perubatan USIM Dr Nor Eyzawiah Hassan mengenai perkara di atas.
Dr Nor Eyzawiah Hassan
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah terhadap penggunaan gajet untuk kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang jika terlalu terdedah dengan bunyi dengan penggunaan alat pendengaran seperti headphone atau earphone”?
DR NOR EYZAWIYAH: Bagi memastikan pengekangan wabak pandamik COVID-19, kerajaan telah mengarahkan arahan PKP yang telahpun memasuki fasa ketiga. Situasi ini tidak dapat dipastikan bila akan berakhir. Kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, mahupun tinggi telah pun ditutup.
Sebagai ibubapa kita pasti tidak mahu anak-anak terdedah dengan aktiviti yang tidak sihat serta mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan bukan?Selain daripada melayari kelas secara online, salah satu daripada aktiviti anak-anak yang popular untuk mengisi kebosanan adalah bermain “game” dan dengan melayari video atas talian. Aktiviti ini lebih popular dengan penggunaan “headphone atau earphone” untuk mendapat lebih fokus atau keseronokan.
Mengikut kajian, pendedahan terhadap permainan atas talian adalah dianggarkan secara purata 5-7jam sehari. Sewaktu PKP, jangka masa ini dijangka meningkat lebih banyak jika tidak dikawal. Pendedahan penggunaan gajet dan penggunaan headphone harus dipantau supaya digunakan dengan cara selamat dan dapat mengelakkan kesan jangka pendek dan jangka penjang.
NONA: Boleh Dr kongsikan kesan jangka pendek dan jangka masa panjang penggunaan headphone atau earphone ini?
DR NOR EYZAWIYAH: Penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi tidak selamat, dan terlalu kuat dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan masalah kurang pendengaran dan gangguan deringan halus (tinnitus) di dalam telinga. Jika pendedahan kepada bunyi kuat ini dijauhkan dan dielakkan, kesan ini bersifat semetara dan boleh kembali kepada normal.
Jika pendedahan kepada paras bunyi yang tinggi berlaku secara berterusan, ia boleh mendatangkan kepada masalah kurang pendengaran dan tinnitus di dalam telinga kesan jangka panjang. Jika berlaku kesan jangka panjang, ia tidak boleh disembuhkan kerana kerosakan sel-sel rerambut pendengaran telah berlaku secara kekal. Banyak kajian dijalankan mendapati semakin ramai remaja mengalami masalah pendengaran akibat penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi yang tidak selamat.
Selain memberi kesan kepada pendengaran, pendedahan kepada bunyi yang bising dalam jangka masa yang lama juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan. Ia boleh menyebabkan peningkatan denyutan nadi dan tekanan darah serta peningkatan kadar pernafasan. Pendedahan kepada bunyi yang bising juga boleh menyebabkan gangguan tidur. Ini secara langsung dan tidak langsung boleh menyebabkan masalah kurang fokus, mudah penat dan emosi terganggu.
NONA: Apakah saranan terbaik utk ibubapa mengehadkan waktu gajet anak-anak?
DR NOR EYZAWIYAH Untuk memastikan anak-anak tidak terdedah dengan paras bunyi yang tidak selamat, ibu bapa dan masyarakat perlu mengetahui paras bunyi yang selamat. Mengikut saranan Industrial Noise Control Module (DOSH) 2018, bunyi yang melebihi 90dB selama lebih 8 jam sehari adalah tidak selamat.
Jadual 1: Paras bunyi yang tidak selamat dan jangka masa pendedahan
Paras bunyi (dB) | Jangkamasa pendedahan (minit-jam) |
85 | 16 jam |
90 | 8 jam |
95 | 4 jam |
100 | 2 jam |
105 | 1 jam |
110 | 30 minit |
115 | 15 minit |
140 | letupan |
Untuk mengetahui paras bunyi dan contoh bunyi yang ada disekeliling kita, boleh merujuk jadual 2. Ibubapa disarankan untuk mendedahkan kepada anak-anak tentang paras bunyi dan bahaya pendedahan kepada bunyi yang tidak selamat. Adalah digalakkan untuk memantau paras bunyi yang digunakan dan jangka masa pendedahan agar anak-anak terhindar daripada kesan jangka masa pendek dan Panjang. Pendedahan dan didikan boleh didedahkan dengan pelbagai cara penyampaian supaya lebih kreatif dan menarik minat anak-anak serta memberi impak yang lebih besar.
NONA: Pada pandangan doktor, apakah aktivi yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak kecil dan mengelakkan mereka dari terlalu ‘lekat’ dengan gajet?
DR NOR EYZAWIYAH :Penggunaan gajet dan pendedahan terhadap penggunaan headphone dan earphone agak berleluasa pada masa sekarang. Tetapi, masih ada peluang untuk kita merubah keadaan dan merangsang perkembangan anak-anak terutama yang masih kecil. Ibubapa harus mengambil peluang sewaktu PKP ini untuk meluangkan masa dengan anak-anak sambil berbual dan bertukar idea. Masa bersama sangat penting kerana inilah saatnya ibubapa boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya. Inilah juga masanya untuk ibubapa memberikan teguran pada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan. Ini sebenarnya lebih bermanfaat untuk perkembangan otak si kecil dan hubungan diantara ibubapa dengan anak yang lebih besar terutama yang meningkat remaja. Kebosanan mereka tidak seharusnya dibiarkan dengan penggunaan gajet yang melampau.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan komputer game.bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak kesan pada pendengaran.
DR NOR EYZAWIYAH: Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kaum bapa juga melekat pada skrin telefon dan komputer bersama earphone atau headphonenya. Kaum bapa juga seharusnya mematuhi paras bunyi yang selamat dan pematuhan jangka masa yang disarankan. Sewaktu PKP inilah kaum bapa yang selalunya sibuk ditempat kerja boleh mengambil peluang bersama bermain bersama anak-anak terutama permainan yang boleh menguji minda dan membaca buku bersama-sama. Disamping itu, aktiviti solat berjemaah dan bertadarus juga amat digalakan. Apatah lagi sewaktu Ramadan bakal menjelma, ini adalah masa terbaik untuk menjadi Imam untuk keluarga dalam situasi PKP ni.
Jadual 2: Paras bunyi dan contoh sumbernya.:
#FabulousMUA Arda Bangga Biaya Kos Belajar Guna Duit Mekap Walau Terpaksa Ulang-alik Johor-KL

Jika dahulu ramai yang beranggapan kerjaya sebagai jurusolek ini bukan kategori profesional dan hanya dilakukan secara sambilan. Namun kini kerjaya ini semakin dipandang tinggi dan beberapa pusat pengajian awam dan swasta mula menawarkan jurusan solekan ini.
Bukan mudah membentuk kerjaya dalam bidang solekan tanpa mengharung setiap cabaran yang datang. Arda Dhia salah seorang peserta Fabulous MUA mempunyai cerita tersendiri dalam mengejar cita-citanya menjadi jurusolek yang disegani.
Hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang solekan, wanita yang mempunyai nama sebenar Razdhiatul Ardawiyah Sukor ini rupanya pernah ulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur dengan kerap semata-mata untuk menampung kos pendidikannya.
“Habis saja SPM saya ditawarkan bekerja dengan sebuah Bridal di Batu Pahat, Johor. Dalam masa yang sama saya telah ditawarkan untuk sambung belajar di Kuala Lumpur. Saya terpaksa ulang-alik jika dapat job dengan niat mencari duit belanja menampung perbelanjaan harian sebagai seorang pelajar walaupun masa tu upah hanya RM50 untuk satu sesi makeup,” bicara Arda yang memiliki Diploma Information Technology in Network Engineering ini.
Menyingkap kisah wanita yang berusia 29 tahun ini dalam bidang solekan, “Saya bermula sebagai artis budaya secara sambilan di Johor. Bakat dalam bidang solekan saya terserlah apabila mula bersolek sebagai penari. Kemudian saya belajar selok-belok bersolek daripada majalah dan beberapa mak andam dan akhirnya saya pula bergelar mak andam.
Selepas 6 tahun menjadi mak andam saya tukar kerja sepenuh masa jadi jurusolek di M.A.C selama dua tahun. Kemudian saya bekerja pula di butik Chanel dan akhirnya tekad berhenti kerja retail. Ini kerana saya mahu tumpukan perhatian sepenuhnya sebagai Full Time Makeup Artist di Johor supaya dekat dengan keluarga,” tutur Arda yang mampu bertahan susah senang dalam bidang ini selama 11 tahun kerana minat yang mendalam.
Nampaknya wanita yang berasal dari Johor Bahru ini begitu yakin dengan bidang kerjaya yang dipilihnya. “Mungkin pada masa dulu orang nampak bidang solekan ini sekadar cari duit sampingan dan tak boleh berkembang maju.
Tapi, beberapa tahun kebelakangan ini galakan dalam bidang solekan seperti kehadiran produk antarabangsa masuk ke Malaysia yang memerlukan makeup artist tempatan untuk bekerja di belakang tabir telah menyuntik inspirasi kami untuk terus berjaya dalam bidang solekan.
Makeup artist diperlukan untuk menyempurnakan model di Pentas Fesyen dan menerajui kelas-kelas yang dianjurkan syarikat antarabangsa serta membawa kami menimba ilmu sehingga ke luar negara. Peluang yang tersedia juga telah menyuntik semangat makeup artist mengambil inisiatif membuat produk kosmetik jenama sendiri,” ucap wanita kecil molek ini.
Menurut wanita yang gemar tersenyum ini, kehidupan alaf baru yang terdedah dengan pengaruh media sosial turut memberi impak positif dalam dunia solekan. “Ramai wanita dan lelaki yang berlatar belakang keluarga susah tetapi mempunyai ilmu solekan mampu menjana pendapatan dengan menjadi idola dan inspirasi di media sosial. Jadi saya percaya bidang solekan adalah platform yang terbaik untuk sesiapa pun yang nak berjaya dan hidup senang cuma sesorang itu sendiri kena bijak mengambil peluang supaya tidak ketinggalan,” katanya.
Arda beruntung kerana mempunyai suami yang memahami dan menyokong apa sahaja bidang yang diceburinya. “Alhamdulillah, suami sangat memahami walaupun waktu berkenalan kami agak singkat dan baru saja berkahwin selama hampir 7 bulan. Jadi bukan mudah untuk suami faham jalan kerja sebagai jurusolek ini dan menerima cara kerja isteri yang kerap berulang alik ke KL dan ke mana saja untuk mencari rezeki.
Saya bertuah dapat suami yang berfikiran terbuka dan menyokong kerjaya saya. Mula-mula kahwin dulu, bila kami berpindah ke rumah sendiri barulah dia nampak barang-barang mekap yang terlalu banyak sampai dia rasa pening nak tolong saya berkemas. Banyak juga dia bertanya tentang makeup jadi sekarang suami faham kenapa saya sanggup berhabis duit membeli produk dan kenapa saya harus mencari job selari dengan pelaburan tersebut.
Saksikan Arda Dhia dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Berniaga Macam-Macam Asalkan Halal & Jana Duit, HIDAYAH Bangkit Berdikari Demi Anak!

Kagum dengan usaha dan semangat Siti Norhidayah Mohd Ali. Meskipun pahit untuk ‘telan’ hakikat suami tersayang, Allahyarham Abam Bocey sudah kembali ke rahmatullah namun wanita cekal ini enggan terus meratap kesedihan.
Sebaliknya kuat dan bangkit meneruskan hidup demi anak tersayang yang kini berusia tiga tahun.
Mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 8 Disember 2017, perkahwinan mereka bertahan hampir tiga tahun apabila Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020.




Hasil perkongsian hidup, Abam dan Hidayah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffery yang lahir pada 14 Jun 2019.
Dua tahun menjalani hidup tanpa suami di sisi nyata bukan satu tugas mudah bagi Hidayah. Apatah lagi, anak mereka masih kecil dan memerlukan lebih perhatian.
Bagaimana pun, wanita berusia 30 tahun ini nekad mengubah nasib keluarga dengan menceburi perniagaan.
Produk pertama yang pernah dijual Hidayah selepas suami tercinta meninggal dunia ialah biskut coklat, kemudian berniaga buah durian, cempedak dan kini dia rancak menjual sabun pencuci muka Dieya Beauty.



Selain itu, Hidayah juga mengeluarkan produk Sambal Hidayah by Dapur Kak Nis yang mempunyai aneka perisa seperti Paru Crispy, Ikan Bilis Crispy, Ikan Bilis Petai Cili Api, Ikan Masin Cili Api, Hitam Belimbing Ori dan Tempoyak Bilis Petai.
Semakin minat berniaga, Hidayah pada 18 Oktober lepas melebarkan sayap perniagaan dengan membuka satu lagi cabang bisnes menerusi Jebat Auto Zone iaitu pusat cuci kereta dan detailing kenderaan.



Berkat doa dan kerja keras tersebut, Hidayah mampu tersenyum bangga apabila dapat memiliki kenderaan mewah hasil titik peluhnya sendiri. Semoga semangat dan perjuangan Hidayah sebagai ibu tunggal menjadi kekuatan buat golongan wanita bangkit daripada kesusahan hidup.