Selama ini, beliau ‘menutup’ kemas rahsia hati. Sepanjang melayari alam perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada aktor popular, Dato’ Adi Putra.
Di sebalik kegembiraan Datin Aida dan Dato’ Adi Putra melalui fasa hidup bahagia sebagai suami isteri, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang cukup mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak.
Dalam temubual bersama wanita berjiwa kental ini ketika sesi fotografi bersama Nona Mei 2018 iaitu kira-kira empat tahun lalu, Datin Aida terbuka berkongsi sisi peribadi.
“Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet. InshaAllah, akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan dah buat pembedahan.
Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedahnya yang mengaku hanya sempat merasai nikmat hamil tiga bulan.
Mengulas perjalanan Datin Aida untuk hamil menerusi kaedah in-vitro fertilization atau IVF, sambil tersenyum beliau menyusun bicara. “Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak.
Ads
Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”
Mengambil semangat dan kekuatan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata selepas 11 tahun berkahwin, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah penyanyi tersohor negara tersebut menjalani rawatan IVF demi menimang zuriat sendiri.
“Datuk Seri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi.
Ads
Saya percaya kalau ditakdirkan tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.
Alhamdulillah, saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, kami dapat tahu keistimewaan Adelia masa masih bayi apabila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” luah Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Ads
Yang pasti, pendedahan eksklusif ini dibuat untuk dijadikan inspirasi kepada ramai lagi wanita bergelar isteri di luar sana yang masih menanti rezeki anak.
Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Aida berharap agar pengakuan ini tidak disalah erti dan sempat menitipkan pesanan ini.
“Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”
Kredit foto: Instagram Datin Aida Yusof
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kebahagiaan seorang isteri bukan terletak kepada kemewahan harta dan wang berjuta. Namun, rasa bahagia seorang isteri apabila suami yang dikahwini atas dasar cinta sentiasa berada di sisi di saat susah dan juga senang. Dipaksa berpisah walau atas dasar apa juga alasan, begitu merentap jiwa wanita yang bergelar isteri. Kekuatan wanita yang bernama Datuk Seri Dr. Wan Azizah ini memang tiada galang ganti.
Melihat linangan air mata yang membasahi pipi wanita tabah ini di saat pembebasan suami tercinta mampu menyentuh hati setiap wanita yang bergelar isteri. Hanya Datin seri seorang yang faham gejolak jiwanya selama hampir 20 tahun suami berada dalam tahanan politik.
15 TIP ISTERI SOLEHAH
1. Perkahwinan adalah sesuatu yang perlu dipertahankan sampai bila-bila. Bila ada masalah, cari penyelesaian. Jangan mudah putus asa!
2. Pilih seseorang yang lebih tua yang anda berdua percaya untuk dijadikan tempat rujukan bila ada masalah.
3. Jaga solat anda dan Allah SWT akan jaga perkahwinan anda.
4. Akui bila anda salah dan suami anda betul. Buang ego untuk menjadi punca perbalahan.
5. Bekerjasama dalam menjaga kerukunan rumah tangga.
6. Berkongsi suka dan duka. Jika sedang berduka jangan simpan dalam hati dan sentiasa ada masa untuk meluahkan perasaan.
7. Sentiasa bertolak ansur dalam mendirikan rumah tangga. Jangan berkira atau mengharapkan suami tahu peranan dirinya.
8. Apa pun yang berlaku, sentiasa letak Allah SWT sebagai yang utama.
9. Sabar adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.
10. Dalam rumah tangga suami adalah syurga kepada isteri.
11. Jangan besarkan perkara yang remeh-temeh.
12. Jangan ungkit perkara yang sudah lepas.
13. Kurangkan bercakap dan lebihkan mendengar.
14. Ingat bahawa nak jadi isteri yang baik untuk mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
15. Suami bukan pembaca minda, jadi jangan harap dia sentiasa akan faham fikiran anda.
Sumber: Bercinta Selepas Nikah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nurheliza Helmi, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia ini bukan hanya aktif dalam bidang nyanyian berbentuk keagamaan, bahkan namanya juga kini cukup sinonim dengan bermacam-macam aktiviti kebajikan. Pernah menyertai misi kemanusiaan ke luar negara seperti Syira dan Palestin, selebriti berusia 32 tahun ini juga sebenarnya tidak lupa untuk membantu kanak-kanak dan golongan yang memerlukan di dalam negara. Satu usaha murni yang patut diteladani rakan artis dan masyarakat.
Tidak sekadar menyumbang tenaga dan melawat golongan terlibat, Heliza turut menggunakan platform perniagaan tudungnya Heliza Guzelhive sebagai ‘jambatan’ untuk merealisasikan usaha itu. Sebahagian hasil jualan label hijab eksklusif berkenaan akan diagihkan untuk membantu pesakit jantung kronik menerusi Yayasan My Prihatin.
Kongsinya, “Teringat Kak Ja pernah pergi kursus dulu, ustaz ada share, kalau nak buat bisnes, rancangkan bisnes itu autopilot untuk infaq. Moga apa kita buat dapat keberkatan, Allah reda. Selain dari sedekah yang kita semua bagi, jalankan bisnes juga boleh sedekah secara automatik dan pembeli juga bersedekah bersama. BESTKAN!
Tudung HelizaGuzelhive adalah untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit jantung kronik kanak-kanak di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Yayasan My Prihatin. Setiap pembelian tudung oleh HG Lovers akan ada bahagian disalurkan ke Tabung Myheart. HG Lovers juga boleh menderma secara terus ke Tabung Myheart ini menerusi akaun MAYBANK – YAYASAN MYPRIHATIN 5648 0164 8485.
Ataupun menerusi website http://www.myprihatin.org.my/derma.html. InsyaAllah dalam masa terdekat ini Kak Ja akan melawat pesakit jantung kanak-kanak di IJN bagi menyampaikan sumbangan serta berinteraksi dengan pesakit dan keluarga mereka.
Nantikan update daripada Kak Ja dan teruskan menyumbang. Jazakumullahu khairan kathira.”
Tersentuh dengan niat Heliza yang tidak mencari keuntungan semata-mata sebaliknya turut mengejar keredaan Allah SWT. Bagi yang ingin menderma dan menggayakan hijab Heliza Guzelhive, terdapat 4 koleksi menarik yang ditawarkan iaitu Si Manis Raya Collection, Stella Shawl Collection, Lubna Shawl Collection dan Lubna Bawal Collection. Yang penting, koleksi hijab ini menepati piawaian syariah dan selesa digayakan.
Sumber: Instagram Nurheliza Helmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saban tahun pasti ada saja kejayaan yang dijulang selebriti cantik ini. Seolah-olah dia sudah merencana hala tuju hidupnya awal beberapa tahun ke hadapan. Tidak mahu tercicir melakar kejayaan lebih besar tahun ini, pada 15 Februari lalu Neelofa melancarkan penjenamaan semula jenama empayarnya Naelofar ke tahap lebih tinggi. Usaha itu dibuat bersempena ulang tahun kelahiran Noor Neelofa Mohd Noor yang ke-31 pada 10 Februari lepas. Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Nona dedah amalan yang dilakukan Neelofa setiap hari hingga dia mampu meraih pelbagai pencapaian, populariti dan disegani ramai.
Meskipun pada awalnya pengasas Naelofar ini agak keberatan berkongsi amalan harian kerana bimbang dilabel riak dan menunjuk-nunjuk, namun selebriti ini akhirnya akur dan melihat perkongsian ini dari sudut positif dengan harapan ia mampu mengajak orang ramai berubah menjadi insan yang lebih baik. Sepanjang perbualan, setiap tutur katanya dilontar dengan penuh berhati-hati… barangkali enggan kenyataan yang dibuat mendatangkan tanggapan negatif masyarakat terhadap dirinya.
“Biasanya saya bangun dalam pukul 4.15 pagi, solat dan baca doa-doa rasul dulu. Kemudian saya sambung zikir sebab masa itulah suasana tenang dan sunyi. Habis je solat Subuh, saya ambil masa untuk baca Al-Quran sampai waktu syuruk. Sebab waktu ini is the best time to baca Al-Quran. Sama juga waktu di antara maghrib dan azan solat isyak. Dua waktu ini saya baca Al-Quran.
Lepas habis waktu syuruk tadi, kalau rasa mengantuk sangat saya akan tidur balik tapi kalau tak, saya akan terus buat kerja macam biasa. Bangun, mandi, kemas bilik dan buat apa-apa yang patut. Dan setiap hari juga waktu hendak bersiap depan cermin, dalam masa satu jam macam tu… saya akan buka bacaan zikir, doa atau ceramah motivasi ustazah termasuklah motivation speeches yang boleh naikkan semangat saya,” ujar Lofa tanpa selindung.
Patutlah rezeki Neelofa melimpah-ruah, rupa-rupanya dia sentiasa meletakkan Allah SWT di tempat paling atas tidak kira sesibuk mana pun. ‘Santapan jiwa’ Neelofa juga tidak terhad pada waktu-waktu tertentu sahaja. Bahkan dia turut memulakan hari dengan rutin unik iaitu dengan mendengar ungkapan-ungkapan positif termasuklah ketika mandi.
“Waktu mandi biasanya saya akan pasang muzik atau video berkaitan fearless motivation. Iyalah, daripada nyanyi baik buat benda ni. Memang itulah yang saya buat kebanyakan hari. Kalau travel misalnya ke New York, saya akan bangun lagi awal. Memandangkan masih jetlag, saya guna waktu itu untuk solat tahajud.”
Tegas Neelofa lagi, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan didikan dan ilmu agama yang baik daripada ibu tersayang, Datin Noor Kartini. “My mom banyak beri impak kepada
saya dalam penghayatan agama. Doa-doa yang saya amalkan pun datang dari dia juga. Mama selalu tolong saya ‘mencantikkan’ lagi sesuatu doa dan dia pandai menjadikannya lebih indah. Doa yang viral dalam program Naura dulu tu pun separuh daripadanya doa mama dan saya rasa most of my kejayaan selama ini pun adalah berkat doa mama.
Jenis mama ni kalau dia tahu saya ada urusan kerja di mana-mana atau berjumpa dengan klien contohnya, dia akan sembahyang mohon dipermudahkan urusan saya. Always! Sebab itu saya rasa semua yang saya dapat ini berkat doa mama. Kadang terfikir dan risau juga kalau mama tak ada, macam manalah saya agaknya.”
Mendengar kata-kata Neelofa sahaja pun sudah terpalit aura positifnya. Nampak saja amalan pengacara popular ini simple. Tapi hendak melaksanakannya perlu konsisten. Berkat usaha berterusan dan yakin, pasti akan ada hasilnya kelak. Yang penting azam untuk maju dan berjaya sentiasa ada dalam diri. Moga perkongsian Neelofa ini memberi manfaat kepada semua dan terus memberi inspirasi untuk berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!