Bayangkan secawan aiskrim yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Sedapnya Mokti’s Ice Cream, patutlah jenama ini jadi fenomena di Malaysia!
Bukan aiskrim biasa, tapi aiskrim Mokti’s terus laris dan kukuh di pasaran kerana diformulasikan kemanisannya menggunakan 99% gula apong asli.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd, Siti Fatimah Adnan, 31 tahun, bisnes yang dijalankan bersama suami, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein itu bukan sekadar mempertaruhkan keenakan aiskrim gula apong semata-mata bahkan beberapa produk lain.
“Sebenarnya kami juga mempunyai sijil pengesahan halal daripada JAKIM dan kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Yang terbaru, Mokti’s juga merupakan player artisanal gelato Muslim pertama di Malaysia yang mana mempunyai lebih 40 jenis artisanal gelato tanpa pengawet, tanpa pewarna tiruan dan tanpa perasa tiruan!
Selain itu, aiskrim Mokti’s juga pernah mendapat beberapa penganugerahan antaranya The Brandlaureate The World Best Brands (Bumiputera) 2022, The Brandlaureate The World SME’s Best Brands 2022 serta International Women’s Day Outstanding Young Woman Entrepreneur Award 2022 pada tahun lepas.” Siti Fatimah
Untuk mencapai ke tahap ini, cerita Siti Fatimah bukan semudah yang difikirkan. Terlalu banyak kenangan pahit manis pernah berlaku sepanjang beliau mengusahakan bisnes aiskrim yang diasaskan pada tahun 2020 itu.
Namun yang paling terkesan sekali adalah kenangan membuat aiskrim sendiri yang mana hampir setiap hari aiskrim buatannya terpaksa dibuang kerana resipinya tidak menjadi. Sehinggalah akhirnya membuahkan hasil berkat kegagalan yang dialami itu, aiskrim Mokti’s diterima ramai.
“Saya juga suka untuk mengimbau zaman dimana saya bersama adik berjualan di belakang bonet kereta. Masa tu kami perkenalkan aiskrim kon serendah RM1. Seronok melihat orang tua dan kanak-kanak berulang-alik beli aiskrim kerana kesedapannya.
Ads
Bagi saya aiskrim Mokti’s memberikan senyuman dan ketenangan ketika memakannya. Ia merembeskan hormon gembira dan ceria kerana rasanya yang tradisi. Kebanyakan aiskrim kami juga mengekalkan rasa Malaysia yang autentik dan boleh diterima kebanyakan peringkat umur.”
Empayar Mokti’s Ice Cream kini mencapai 93 outlet di serata Malaysia dan 6 buah kilang di Perlis. Paling membanggakan, mereka juga mengambil keputusan drastik dengan mengembangkan sayap bisnes ke Turkiye baru-baru ini.
Mokti’s Türkiye beroperasi secara rasmi di Lüleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul pada Mac 2023. Saksikan majlis perasmian ringkas yang diadakan ini… Membanggakan!
Ads
Tambah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak itu, beliau berharap agar bisnes Mokti’s terus berkembang dengan pesat dan dapat membantu peniaga-peniaga aiskrim Mokti’s memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.
“Ya, kami baru saja membuka sebuah outlet antarabangsa di sana. Ini adalah langkah pertama kami dalam membuka peluang perniagaan antarabangsa.
Bukan kerana di Malaysia tidak memadai, tapi kami mencabar diri kami untuk berani melangkah jauh dan membawa aiskrim buatan Malaysia ini ke mata dunia.
Ads
Kita juga ada beberapa produk baru sepanjang tahun 2023. Jadi untuk peminat-peminat aiskrim bolehlah ke outlet Mokti’s berdekatan untuk mencuba.
Antaranya kolaborasi dengan jenama Famous Amos untuk fasa pertama. InsyaAllah aiskrim tersebut akan berada di outlet Mokti’s sehingga hujung bulan April.” Siti Fatimah
Berbeza daripada ahli perniagaan lain yang kebanyakannya workaholic atau overthinking, Siti Fatimah bijak memainkan peranan mengikut keadaan. Kalau di rumah sebagai isteri dan ibu, kalau di kilang juga sebagai pekerja agar beliau sendiri tahu dan menghargai nilai-nilai kesusahan team Mokti’s yang bekerja.
“Bagi saya yang paling penting dalam perniagaan ini adalah kesefahaman dan bekerja dalam pasukan. Kita tidak boleh terlalu rigid atau tidak mempercayai orang lain.
Untuk berkembang dalam perniagaan mestilah ada sifat mempercayai orang lain tapi mesti juga berhati-hati. InsyaAllah bila kita gajikan pekerja, rezeki lain akan datang kepada kita.”
Mengakhiri temu bual, wanita yang merupakan penerima Nona Best Halal Ice Cream Award di acara berprestij Nona Superwoman Award 2022 lalu gemar membaca dan bermain dengan anak-anak itu terus-terang mengakui bahawa keluarga adalah penenang dan pemberi kekuatan kepadanya. Merekalah prioriti hidup Siti Fatimah dan suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dua tahun lalu, kisah Syazwan Najmi Zulkarnain dan isteri pernah tular. Isterinya, Nur Nasuha Shafie meninggal dunia dalam keadaan koma selepas 14 hari melahirkan bayi kembar mereka pada 31 Mac 2020 di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
Gambar kenangan bersama arwah isteri, Nur Nasuha Shafie.
Ketika itu, mereka baru 10 bulan bergelar suami isteri. Lebih memilukan, arwah tidak sempat melihat serta memeluk bayi kembar mereka yang dilahirkan tidak cukup bulan. Walau sedih namun Syazwan Najmi yang merupakan seorang peniaga pasrah dengan ketentuan Ilahi. Sebelum menghembuskan nafas terkahir, isterinya sempat memberikan nama kepada bayi kembar mereka.
Kini, Syazwan Najmi bahagia bersama anak kembarnya iaitu Nur Medina Sofiya dan Nur Medina Safiya. Makin besar makin banyak keletahnya. Syazwan Najmi sering berkongsi video-video dia bersama Sofiya dan Safiya di Instagram. Rata-rata pengikutnya memuji kecomelan Sofiya dan Safiya dengan keletahnya yang sangat mencuit hati.
Lebih bertuah, kisah mereka turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Pasangan diraja berjiwa rakyat ini sudah dua kali membuat kunjungan kasih bertemu Syazwan Najmi dan anak kembarnya.
Tengku Mahkota Kelantan, YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan isteri, YAM Che Puan Sofie Louise Johansson.Pasangan diraja yang berjiwa penyayang dan prihatin.
“Orang-orang istana maklumkan yang Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie sangat suka pada Sofiya dan Safiya.
Mereka dalam pantauan YTM dan Che Puan Sofie. Saya diamanahkan untuk menjaga Sofiya dan Safiya baik-baik,” kongsi bapa tunggal yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan berusia 25 tahun ini.
Sekental mana pun jiwa seorang lelaki pasti akan gugur jua air matanya, terutama saat terkenangkan nasib Sofiya dan Safiya yang tak pernah kenal sosok tubuh seorang ibu, apatah lagi merasa kasih sayangnya sejak lahir.
“Detik paling mencabar bagi saya bila Sofiya dan Safiya dah pandai bercakap. Bila mereka tengok orang sekeliling ada ibu, bermain dan bermanja dengan ibu mereka, Sofiya dan Safiya dah mula tanya, “Mana ibu kakak, adik Abiy?” sambil merenung saya dengan wajah sedih.
“Mula-mula dapat tahu arwah tak sedarkan diri, saya down sangat takut akan kehilangannya. Tapi apakan daya kita hanya merancang, Allah SWT menentukan. Kalau dulu isteri sentiasa ada, dialah tempat untuk saya bersandar bahu dan bercerita. Tapi sekarang hanya anak-anak tempat saya bermanja, meluahkan perasaan.
“Saya berjanji akan terus kuat demi Sofiya dan Safiya, demi masa depan mereka. Kalau sedih saya tak pernah tunjuk depan mereka sebab tak mahu mereka tahu. Sebab itulah saya perlu sentiasa ceria depan mereka.
“Pesan Ma (ibu) dan Abah, semua yang terjadi ni ada sebabnya. Ingat Allah, ada hikmah di sebalik dugaan ini. Terus kuat seperti mana Ma dan Abah membesarkan kami tujuh beradik tanpa ada apa-apa.”
MOMEN HARI BAPA “Kenangan ketika pertama kali sambut Hari Bapa ialah ketika Sofiya dan Safiya kejutkan saya dari tidur dan memberitahu “Abiy..Abiy..bangun Abiy. Lewat dah ni!”
Manakala kenangan paling indah ialah bila Sofiya dan Safiya tengok saya solat dan berdoa sambil menangis. Mereka datang tanya, kenapa Abiy nangis? Mereka peluk dan sapu air mata saya.
“Harapan saya agar Sofiya dan Safiya menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat, taat suruhan Allah SWT seterusnya menjadi anak solehah serta ingat pengorbanan ibu dan Abiy. Sentiasa kenang jasa ibu bapa yang membantu kita saat susah mahupun senang.
KALAU ADA JODOH “Insha-Allah..kalau ada jodoh. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Sofiya dan Safiya kerana mereka juga perlukan kasih seorang ibu walapun bukan ibu kandung. Saya yakin, Allah SWT sudah aturkan yang terbaik. Tinggal kita saja yang perlu berusaha.
“Nasihat saya khas buat bapa-bapa tunggal di luar sana, jangan lupa galas tanggungjawab sebagai seorang ayah walapun isteri tiada di sisi. Ingat, kalau kita rasa susah ada yang lagi susah dari kita. Terus kuat demi anak-anak.”
Kredit Foto: Instagram Syazwan Najmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jumpa orang baik-baik pun rezeki. Begitulah umpamanya pertemuan Nona dengan Thita Zikron Mohd Amin, seorang jururawat Malaysia yang bertugas di Madinah. Kebetulan Thita sedang pulang bercuti menyambut Ramadan di tanah air, maka kisah kerjayanya di Tanah Suci jadi topik bualan.
Berasal dari Pahang dan kini berusia 43 tahun, Thita melakar pencapaian cemerlang di Tanah Suci sebagai Education Liaison Nurse.
Di sana, beliau bertanggungjawab sebagai jururawat untuk merawat dan menjaga bayi pramatang serta bayi yang dilahirkan dengan penyakit kongenital.
Sebagai ibu lima anak, jujurnya pasti tidak mudah bagi Thita meninggalkan suami dan cahaya mata demi mencari rezeki di luar negara.
Selain perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dalam suasana berbilang bangsa, perasaan rindu atau ‘homesick’ pasti menghantui diri.
“Pada awalnya saya sengaja suka-suka menghadiri temu duga oleh Agensi Melorita untuk jawatan jururawat di Hospital Madinah yang baru dibuka.
Walaupun saya dah berkhidmat di Pantai Hospital Kuala Lumpur selama lebih kurang 11 tahun, tapi hati terbuka nak mencuba di tempat baru dan alhamdulillah saya diterima bekerja di sana.” Thita
Memiliki kelulusan Sarjana Kejururawatan, Diploma Kejururawatan, Post Basic Neonatal Nursing serta pengalaman di hospital yang agak lama, laluan Thita untuk berkhidmat di luar negara semakin cerah.
Beliau pernah berkhidmat di unit rawatan rapi neonate (NICU) daripada tahun 2001 hingga 2011 dan pernah menggalas jawatan Ketua Jururawat sebelum meletakkan jawatan untuk bekerja di Saudi Arabia.
Perasaannya bercampur baur. Tak dinafikan pada awalnya beliau sendiri berasa sedih untuk meninggalkan suami, anak-anak dan mak abah tersayang tapi dalam waktu yang sama seronok mahu berkhidmat di negara orang serta menjejakkan kaki ke tanah haram.
“Di sana bila terasa ‘homesick’, biasanya kami akan hilangkan stres dengan melaksanakan ibadah umrah jika ada peluang selain window shopping.
Rasa stres atau kekurangan dalam kerjaya ini pastinya bila saya terpaksa menghadapi kematian walau segala usaha sudah dilakukan untuk menyelamatkan si bayi.
Bagi saya, jadi jururawat bukan sekadar cuci najis, tukar lampin pesakit malah lebih meluas definisinya. Ia mengajar kita untuk lebih menghargai keluarga dan jati diri dalam diri untuk lebih berjaya.
Kena tabah dari semua aspek dan saya bangga menjadi jururawat.” Thita
Tambah Thita lagi, beliau beruntung kerana berada di Tanah Suci dan bekerja di hospital yang menawarkan faedah atau benefit yang bagus untuk kakitangan.
Bayangkan tiket pergi dan balik ke Malaysia semuanya ditaja oleh pihak hospital dua kali setahun! Mereka juga dibenarkan bercuti mengikut jumlah cuti tahunan yang ada dan selalunya Thita akan balik kampung sekitar 30-35 hari.
“Bila balik Malaysia, biasanya saya akan bawa anak-anak pergi bercuti sama ada di dalam atau luar negara.
Family day dengan adik-beradik juga menjadi agenda penting setiap kami saya balik bercuti untuk eratkan silaturahim.” Thita
Komitmen Thita dipuji, beliau turut menerima anugerah penghargaan sebagai Educational Team bulan lepas
Jururawat hebat ini merupakan isteri kepada Mohd Fadzlishah Jamaludin serta ibu kepada Yaszmeen Qhaisara (21 tahun), Yaszmeer Zechry (19 tahun), Yaszandra Qhayreena (16 tahun), Yaszndyeea Zhara (14 tahun) dan Mohammad Qays Qarizh (3 tahun).
Mengakhiri perbualan, sempat Nona bertanya harapan Thita dalam kerjaya.
“Sebenarnya tujuan asal ke negara orang untuk mencari pengalaman dan membantu keluarga memandangkan gaji yang ditawarkan sangat besar.
Sehingga kini saya masih meneruskan matlamat untuk meringankan beban keluarga disamping menambah ilmu di dada.
Tahun 2023 adalah tahun ketujuh saya berada di bumi barakah ini. Saya harapkan apa yang saya pelajari di sini dapat dikongsi bersama dengan jururawat di Malaysia untuk menaiktarafkan perkhidmatan jururawat di Malaysia.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat Datin Fouziah Gous untuk segera khatam Al-Quran di bulan Ramadan. Pencapaian beliau sekaligus membuktikan tiada apa yang mustahil dicapai sekalipun bergelar isteri, ibu kepada dua cahaya mata dan usahawan.
Paling utama, seseorang itu perlu gigih berusaha dan nekad memperoleh apa yang mereka hajat. Tumpang bangga dan gembira dengan kejayaan Datin Fouziah!
Mengenali keperibadian isteri Dato’ Md Zhafran Md Yusof ini, beliau sememangnya seorang wanita berjiwa besar. Tidak pernah lelah memajukan perusahaan minuman kesihatan sarang burung FG Walet, beliau juga merupakan pemilik gimnasium Fighters Den Muay. Bayangkan, dalam kesibukan mengurus perniagaan dan dua anak kecil, Datin Fouziah tetap mampu menghafaz Al-Quran di bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan. MasyaAllah!
Tidak mahu dilabel riak kerana berjaya khatam, Datin Fouziah sebaliknya mahu menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat buat seluruh wanita! Berkongsi momen terindah bersama insan yang banyak membantunya khatam Al-Quran tahun ini, Datin Fouziah memberitahu, “Dengan izin Allah SWT seperti yang dihajatkan untuk khatam di Ramadan dan Nuzul Quran dimakbulkanNya. Official khatam bersama Ustazah Fadzilah. Terima kasih Ustazah kerana sanggup ikut kehendak saya.
Sanggup drive datang rumah, sanggup layan mengaji dalam phone selama sejam, sanggup korbankan tidur, sanggup ikut masa saya dan banyak lagi. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.
One picture for my feed untuk kenangan yang paling indah dalam hidup. Segala puji-pujian bagi Mu Ya Allah.”
Sebagai meraikan kejayaan khatam Al-Quran dan perniagaan yang semakin berkembang maju, pada 28 April lepas, Datin Fouziah dan suami tersayang sepakat mengadakan Majlis Iftar Ramadan dan sambutan Nuzul Al-Quran khusus buat seluruh kakitangan Zhafou Trading Sdn Bhd.
Menelusuri perjalanan FG Walet, selepas berjaya melancarkan mesin inovasi minuman kesihatan pertama di Malaysia ketika Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) pada sekitar dua tahun lalu, Datin Fouziah turut meluaskan empayar niaga melalui kerjasama dengan Circle K Vietnam iaitu rangkaian kedai serbaneka terkenal yang mempunyai ratusan outlet di seluruh dunia sekitar bulan November 2019.
Malah, pada penghujung 2019 pula beliau menerima penganugerahan The Asia Halal Brand Awards.
Semoga Datin Fouziah terus menjadi sumber inspirasi ramai tidak hanya menerusi peranannya sebagai usahawan bahkan kecekalan beliau selaku seorang ibu dan isteri.
Kredit: Instagram Datin Fouziah Gous
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.