Bukan Jaga Hati Suami Je, Hati Ibu Mentua Pun Kena Tackle! Ini 10 Cara Jadi Menantu Favourite!

560

Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan. Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.

Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya. Terutama anak atau pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.

Sebagai mentua, adakalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya, perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang anak lagi dalam keluarga.

Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya, menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.

10 CARA JADI MENANTU FAVOURITE

  • SELALU SENYUM

-Apabila berdepan dengan mentua, jangan sesekali menarik muka masam. Sebaiknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang mentua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda itu tidak begitu gembira.

  • ELAK MASUK CAMPUR

-Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain sekalipun apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergossip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mentua dan ipar duai yang lain.

  • MURAH HATI

-Untuk mengambil hati mentua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mentua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Jika tidak, anda boleh beri wang untuk belanja.

  • RINGAN TULANG

– Ingat, di rumah mentua anda perlu ringan tulang. Bangun awal pagi, solat subuh dan segera bantu ibu mentua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.

  • SELALU MINTA PANDANGAN

-Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya, Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti mentua anda gembira.

  • USAH CEMBURU DENGAN MENTUA SENDIRI

-Asyik anda sahaja layan suami sesekali berilah peluang untuk ibu mentua melayan anaknya.Misalnya ketika anda balik ke kampung. Bukan setiap hari mentua anda berpeluang layan anak lelaki seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi, biarkan jika mentua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat.

  • JAGA AIR MUKA SUAMI

-Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakiti hati anda. Kawal emosi anda depan mentua.Usah sekali memperkecilkan suami di depan mentua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mentua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.

  • JAGA PERCAKAPAN

– Usah biarkan kerana mulut badan binasa. Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai mulut lepas, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert pada yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mentua. Fikir sebelum bercakap.

  • DAHULUKAN DIA

-Sebagai menantu yang baik, anda dahulukan mentua anda dalam apa jua keadaan.Sebagai contoh mudah, apabila ibu mereka naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk dududk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.

  • PUJI SUAMI ANDA

-Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu puji kebaikan suami di depan ibu mentua anda. Sesekali ucapan begini, “pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa amat beruntung dapat suami macam dia.” ROSMAH IDAYU ABU SAMAH