Bukan Tempoh Singkat, 64 Tahun Hidup Bersama Kisah Cinta Tun Hasmah & Tun Mahathir Suntik Inspirasi

64 tahun bukan suatu tempoh yang singkat apatah lagi menempuh kehidupan alam perkahwinan. Namun, ini yang terlihat oleh pasangan romantis, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Foto: Twitter @chedetofficial

Sememangnya pasangan ini wajar dijadikan contoh terutama pasangan muda yang baharu mendirikan rumahtangga. Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 64 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini.

Menggalas tugas sebagai isteri kepada lelaki yang pernah bergelar Perdana Menteri bukan suatu tugas yang mudah. Apatah lagi bergelar ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Hari ini Tun Hasmah dan Tun Mahathir meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 64 tahun. Tun Mahathir telah menzahirkan rasa syukurnya dengan mencoret di laman twitter, “I am shy of showing public affection. But we have been married 64 years. I think it is worth celebrating our tolerance for each other and other feelings,” tulisnya.

Seorang isteri memang berfungsi untuk menyokong suami walau dalam apa hal sekali pun, ini yang telah ditunjukkan oleh wanita yang berusia 94 tahun ini saat bercerita tentang suami kesayangan.

Foto: Instagram @chedetofficial

“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.

“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mesti akan dirapikan jika ada yang tak kena, agar nampak lebih natural,” bicara Tun Hasmah tentang sikap suami yang sangat cerewet tentang penampilannya.

Foto: Twitter @chedetofficial

“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Hasmah tentang sifat suaminya yang teliti tentang soal pakaian dan gemar bersut nehru atau bush jacket.

“Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layankan dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” ujar Tun Hasmah menjawab persoalan rasa cemburu dengan suami sendiri.

Foto: Twitter @chedetofficial

“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan malah, pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” kongsi Tun Hasmah yang menggambarkan cinta sejati masih wujud.

“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah SWT jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya, ” tutur Tun Hasmah tentang suaminya yang tak tahu erti penat.

Foto: Twitter @chedetofficial
IKLAN
Share