64 tahun bukan suatu tempoh yang singkat apatah lagi menempuh kehidupan alam perkahwinan. Namun, ini yang terlihat oleh pasangan romantis, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
IKLAN
Sememangnya pasangan ini wajar dijadikan contoh terutama pasangan muda yang baharu mendirikan rumahtangga. Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 64 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini.
Menggalas tugas sebagai isteri kepada lelaki yang pernah bergelar Perdana Menteri bukan suatu tugas yang mudah. Apatah lagi bergelar ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Hari ini Tun Hasmah dan Tun Mahathir meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 64 tahun. Tun Mahathir telah menzahirkan rasa syukurnya dengan mencoret di laman twitter, “I am shy of showing public affection. But we have been married 64 years. I think it is worth celebrating our tolerance for each other and other feelings,” tulisnya.
Seorang isteri memang berfungsi untuk menyokong suami walau dalam apa hal sekali pun, ini yang telah ditunjukkan oleh wanita yang berusia 94 tahun ini saat bercerita tentang suami kesayangan.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.
IKLAN
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mesti akan dirapikan jika ada yang tak kena, agar nampak lebih natural,” bicara Tun Hasmah tentang sikap suami yang sangat cerewet tentang penampilannya.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Hasmah tentang sifat suaminya yang teliti tentang soal pakaian dan gemar bersut nehru atau bush jacket.
IKLAN
“Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layankan dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” ujar Tun Hasmah menjawab persoalan rasa cemburu dengan suami sendiri.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan malah, pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” kongsi Tun Hasmah yang menggambarkan cinta sejati masih wujud.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah SWT jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya, ” tutur Tun Hasmah tentang suaminya yang tak tahu erti penat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Comel sungguh Abeer Widad, satu-satunya anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 6 tahun sangat rapat dan manja dengan Ustazah Sharifah Khasif. Apa yang paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah yang hebat suatu masa nanti.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Atas faktor itulah wanita berusia 38 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.
KEKAL POSITIF
“Alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.
Kalau nak dikenangkan momen-momen menyentuh hati tu memang banyak. Lebih-lebih lagi bila Abeer tanya “Kenapa kita dua je Ummi? Kenapa ayah tak ada?” Hal-hal macam ni lah saya kena jelaskan betul-betul kepadanya. Paling penting jangan meracuni fikiran anak, itu konsep saya.”
IBU SEBAGAI CONTOH TERBAIK
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat, dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran akan diberi rezeki dan kehebatan yang luar biasa oleh Allah SWT.
Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
“Untuk meluangkan masa bersamanya saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalunya selepas waktu persekolahan saya akan bersama Abeer. Hubungan kami memang sangat rapat dan saya memanggilnya Kakak. Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum.
Selalunya sebelum ini saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa. Saya layan Abeer macam orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga ada mengadakan kelas khas yang saya atur untuk Abeer bersama 10 kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Namun saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer seperti tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
IMPIAN
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Saya juga bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts(ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka dua tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana. Kelas diadakan pada setiap Jumaat malam.
Impian saya seterusnya ialah ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, insyaAllah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Khasif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alahai, comel sungguh cucu kembar kepada Menteri Wilayah Persekutuan ini. Diberi nama Samaira Amani Afiq Amani dan Sara Amani Afiq Amani kedua-duanya kini berusia 6 bulan.
Sering digelar sebagai ‘Mek Twins’ oleh keluarga terdekat, Samaira dan Sara merupakan cahaya mata pertama Wan Nur Shahirah Wan Mohamed Azman dan Afiq Amani Tan Sri Annuar Musa.
Afiq Amani merupakan anak lelaki tunggal Tan Sri Annuar Musa dan Puan Sri Rosniah Abdul Rahman. Tiga lagi anak mereka ialah Azzahraa, Azzwaa dan Ajjrina. Kesemuanya sudah berumahtangga.
Kini Tan Sri Annuar Musa dikurniakan 9 orang cucu yang comel-comel belaka. Nampaknya meriahlah keluarga besar ini dengan keletah anak-anak kecil apatah lagi dengan kehadiran cucu kembar, Samaira dan Sara.
Wan Nur Shahirah adalah satu-satunya menantu perempuan dalam keluarga ini. Berasal dari Kota Bahru, Kelantan Wan Nur Shahirah yang berusia 27 tahun ini merupakan seorang peguam korporat.
Afiq Amani menikahi Wan Nur Shahirah pada awal tahun lalu. Beberapa bulan kemudian Wan Nur Shahirah disahkan hamil. Pengalaman melahirkan antara detik paling tidak dapat dilupakan oleh ibu jelita ini.
PENGALAMAN HAMIL & BERSALIN
“Ketika dimaklumkan oleh doktor yang saya hamil anak kembar sejujurnya saya merasa sangat risau memandangkan kami baru sahaja memasuki alam perkahwinan. Tak sangka pula fasa parenting datangnya sangat cepat sehingga membuatkan saya cemas. Dalam pada itu saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah SWT.
Manakala reaksi suami sebaliknya pula. Tenang dan hanya tersenyum sahaja. Setiap kali orang bertanya, suami akan usap perut saya sambil berkata “Ni kembar ni.” Sememangnya sebelah keluarga saya ada kembar iaitu makcik saya namun kedua-duanya telah meninggal dunia sejak bayi.
Alhamdulillah sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang masalah yang teruk. Cuma saya sangat takut dengan suntikan. Pengalaman setiap kali kena suntik ketika check-up memang sangat ngeri bagi saya.
Momen sedih adalah ketika bersalin. Asalnya saya dijadualkan untuk kelahiran normal dengan cara induce. Namun setelah beberapa jam tiada progres, doktor pakar menasihatkan saya agar menjalani pembedahan caesarean (c-section) kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua bayi.
Memandangkan I was induced sejak pagi lagi, pada malam pembedahan tu kesan ubat bius saya semakin berkurang. Kebetulan semasa doktor cuba mengeluarkan bayi kedua saya dalam keadaan sedar. Waktu itu saya terasa badan seperti ‘dibelah’ dua. Akhirnya doktor terpaksa menambah dos ubat bius dengan segera.
CABARAN BERGELAR IBU Saya cuba yang terbaik untuk menguruskan kedua-duanya mengikut jadual yang sama iaitu waktu untuk makan, tidur, nap, playtime, dan lain lain. Saya juga cuba untuk memberikan perhatian sama rata terhadap mereka. Tak dinafikan mempunyai bayi kembar sangat memenatkan apatah lagi ini pengalaman pertama saya bergelar ibu.
Apabila seorang bayi tidur, yang seorang lagi akan bangun dan menangis. Jadi saya sentiasa berjaga untuk menyusu dan menguruskan mereka. Bila dua-duanya menangis saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat dukung bagi memenangkannya. Ia benar-benar menyentuh jiwa saya sebagai ibu.
Sejak mempunyai anak saya sering berasa resah dan kurang rehat. Bila ada urusan di luar saya akan mudah risau dengan keadaan anak-anak di rumah, pengerakan pun jadi terhad. Jadi saya hanya akan keluar rumah bila perlu sahaja.
KEKAL LANGSING & CANTIK Saya yakin dengan cara sederhana dan konsisten, contohnya diet. Saya tak pernah amalkan diet kerana akan makan apa sahaja yang saya suka tetapi dengan cara sederhana. Kalau makanan itu manis saya makan sekadar untuk merasa. Paling penting berhenti sebelum terlalu kenyang.
Apabila menyentuh tentang bentuk badan ramai di luar sana yang menggunakan umur sebagai alasan. Bagi saya tua atau muda kita sentiasa digalakkan untuk bersenam atau sekurang-kurangnya berjalan di halaman rumah sekitar 15-20 minit secara konsisten.
KAGUMI BAPA & IBU MERTUA Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak mementingkan diri. Mereka sering meletakkan kepentingan orang lain sebelum diri mereka sendiri. Setiap hari Papa akan bertugas bermula pukul 7.30 pagi sehingga adakalanya sampai lewat malam. Namun begitu Papa gembira melaksanakan tugasnya membantu rakyat kerana ia memberikan satu kepuasan buat dirinya. Bagi saya, Papa adalah seroang pemimpin yang sangat berwibawa serta sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
Manakala Mama adalah tulang belakang keluarga. Mama sentiasa memastikan segala keperluan serta makan minum anak-anak, menantu serta cucunya terjaga. Malah, Mama sendiri yang akan memasak dan menghidangkan makanan ke dalam pinggan untuk semua pembantu di rumah. Ini menunjukkan betapa penyayang dan merendah dirinya mereka.
Selalunya kalau dengan Mama, kami akan ada sesi bual pagi dan petang berbincang mengenai pelbagai topik antaranya tip-tip masakan, agama dan kesihatan. Walaupun umurnya sudah mencecah 62 tahun tetapi beliau masih kekal langsing dan cergas. Alhamdulillah!
PESANAN BUAT WANITA Untuk menjadi seorang yang prihatin dengan kesihatan dan kecantikan, cuba luangkan masa sehari atau beberapa jam untuk “self-care”. Ingat, anda bukan sekadar isteri dan ibu malah seorang wanita yang punya impian serta harapan.
Luangkan beberapa jam atau minit untuk memanjakan diri. Buat perkara yang menyeronokan seperti menari, brisk walking di dalam bilik, facial atau memasak menu kesukaan. Bila dalam keadaan gembira dan tidak stres, akan memudahkan kita dalam membuat keputusan. Remember that when you eat better you will feel better and you will look better.
Kredit Foto: IG @wnshahirahazman @annuar.musa56
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak sekadar memiliki rupa paras yang cantik jelita, telah terbukti juga mereka ini memiliki kehebatan tersendiri dalam bidang seni yang diceburi.
Malah, mereka ini antara yang dikategorikan sebagai selebriti wanita antarabangsa yang hadir dengan pakej iaitu cantik dan bijak. Sebab itulah perjalanan seni mereka tidak dicemari dengan kontroversi murahan semata-mata untuk dikenali.
Sekadar memberi beberapa contoh, Nona senaraikan 5 selebriti wanita terkenal yang sinonim dengan gelaran beauty with brain.
EMMA WATSON
Nama aktres jelita kelahiran Perancis yang dibesarkan di England ini mula dikenali ramai kerana lakonannya sebagai Hermione dalam filem bersiri, Harry Potter, filem adaptasi daripada novel terkenal.
Gadis manis ini merupakan graduan Brown University jurusan kesusasteraan Inggeris. Disebabkan kepintaran dan bakatnya, Emma diangkat sebagai duta perwakilan termuda bagi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
JULIA STILES
Julia pernah berlakon dalam filem The Prince and Me, dan juga The Bourne Identity bergandingan dengan bintang ternama iaitu Matt Damon.
Julia merupakan graduan Columbia University dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris. Dia juga memperoleh Ijazah Sarjana bersama penganugerahan pencapaian cemerlang dari pihak universiti.
NATALIE PORTMAN
Pelakon jelita bertahi lalat di pipi ini mula dikenali menerusi filem lakonan antaranya Black Swan.
Selain cantik dan berbakat besar dalam dunia lakonan, Natalie merupakan graduan lulusan Harvard University jurusan psikologi. Natalie berjaya buktikan bahawa dia tidak bersandarkan kepada kecantikan saja malah dia juga bijak dalam akademik.
ELIZABETH BANKS
Pernah membintangi filem The Hunger Games dan Lego the Movie.
Si cantik Elizabeth merupakan lulusan University Penssylvania dalam jurusan komunikasi.
JODIE FOSTER
Aktres senior dalam industri Hollywood, bakat lakonan Jodie Foster sememangnya tak perlu disangkalkan lagi. Buktinya, dia pernah memenangi Golden Globe Award.
Sering membintangi filem-filem romantik Hollywood, Jodie Foster juga seorang wanita yang cemerlang dalam pengajiannya di mana dia merupakan graduan Yale University jurusan kesusasteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!