Suasana kampung bagai dah memanggil. Sekarang ni ramai yang ibaratnya jasad saja di depan mata tapi hati dan fikiran melayang ke rumah ibu bapa. Tak sabarnya nak balik raya!
Sayang sekali, peningkatan kes COVID-19 akhir-akhir ini makin membimbangkan. Bimbang juga ancaman gelombang kedua dan kemungkinan PKP dikuat kuasakan semula. Tambah-tambah menjelang sambutan Aidiladha beberapa hari lagi.
Mujurlah melalui pengumuman sebentar tadi, kerajaan memutuskan masih tiada sekatan perjalanan. Bermaksud, niat nak balik kampung atau merentas negeri sempena hari raya ini dibenarkan.
Mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban sewaktu PKPP harus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan. Antaranya memastikan penjarakan sosial 1 meter, memakai pelitup muka dan sarung tangan.
Paling penting, ingat-ingatkan ahli keluarga yang terlibat supaya mengelakkan daripada 3S iaitu bersesak, ruang sempit/tertutup dan juga sembang dalam jarak dekat.
SOP PELAKSANAAN IBADAH KORBAN
Buat para isteri yang suaminya bertugas untuk melaksanakan ibadah korban nanti, info ini khas untuk anda. Ambil tahu SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan sila ingatkan orang tersayang tentangnya!
- Ibadah korban dibenarkan selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha dan tiga hari Tasyrik sahaja.
- Waktu korban hanya pukul 6.00 pagi – 6.00 petang sahaja.
- Pastikan juga anak-anak kita di bawah umur 12 tahun tidak dibawa mengikut bapa atau ahli keluarga yang lain ke tempat ibadah korban dilakukan.
LOKASI PENYEMBELIHAN
- Masjid dan surau dengan kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri.
- Kawasan lain dengan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.
- Kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) TIDAK DIBENARKAN.
SYARAT KELAYAKAN BERTUGAS
- Warganegara berumur 21 hingga 60 tahun.
- Tidak bergejala dan mempunyai penyakit kronik.
- Tidak berada dalam keadaan uzur (bertongkat/berkerusi roda).
- Suhu badan tidak melebihi 37.4 darjah Celcius.
- Bukan dari kalangan orang yang dikuarantin.
Bagi haiwan korban seperti lembu, kerbau, dan unta –
Tidak melebihi 40 orang untuk 10 ekor dalam sehari
Bagi seekor kambing –
Tidak melebihi 2 orang dan 10 ekor sehari
Mereka yang terlibat juga mestilah mematuhi SOP Korban PKPP untuk penjarakan yang sepatutnya iaitu dari 15 hingga ke 30 kaki bergantung kepada SOP yang telah ditetapkan.
SOP Korban PKPP juga telah menetapkan memasak bahagian daging adalah tidak dibenarkan melainkan tempat penyediaan jamuan adalah berasingan dan berjarak 20 meter dari tempat korban dan petugas tidak lebih 10 orang. Jamuan bagi para petugas hendaklah disediakan oleh caterer.
Jawatankuasa juga boleh melantik petugas khas atau melakukan kaedah pandu lalu untuk mengagihkan daging kepada mereka yang sepatutnya.
Sesudah pelaksanaan, tapak itu juga perlulah dibersihkan dan melupuskan sisa pepejal dan cecair haiwan korban. Proses nyahkuman juga perlu dijalankan di kawasan tersebut.
Kapasiti Kehadiran
Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap kawasan yang ingin melaksanakan ibadah korban perlu patuhi kapasiti kehadiran.
Had kapasiti yang dibenarkan adalah seramai 250 orang dan hanya 30 orang petugas bagi seekor lembu iaitu dari proses menumbangkan, menyembelih, melapah, dan pembahagian.
Semoga dengan info ini dapatlah kita saling ingat-mengingatkan ahli keluarga yang terlibat agar lebih berwaspada bagi mengelakkan jangkitan penyakit. Kesedaran bermula dari rumah, dan anda orang rumah yang prihatin wajib ambil tahu SOP ini untuk persediaan suami.