Kareena Kapoor satu nama besar yang tidak asing lagi dalam industri seni Bollywood. Bintang popular ini yang juga merupakan adik kepada Karisma Kapoor memiliki kejelitaan semula jadi yang diwarisi daripada ibunya.
Setiap kali melihat penampilannya di layar perak pandangan mata pasti tidak berkedip dengan kecantikan raut wajah serta kemulusan kulitnya yang putih bersih. Sebaik mendirikan rumahtangga bersama Saif Ali Khan dan memiliki cahaya mata, Kareena kini lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap keluarga.
Sedar tak sedar rupa-rupanya Kareena kini hampir mencecah usia ke 40 tahun. Namun Kareena masih kelihatan awet muda, kulitnya juga masih cantik dan anjal persis seorang wanita berusia 20-an. Agaknya apalah rahsia Kareena yang boleh diinspirasikan? Adakah dengan statusnya yang bergelar artis tersohor maka dia sanggup melaburkan wang yang banyak untuk rawatan kecantikan?
AMAL AIR KOSONG DAN DIET TERATUR
“Saya kurang gemar membeli barangan kosmetik yang mahal mahupun melakukan sesuatu yang berlebihan pada kulit. Ia antara aset penting yang perlu diberi penjagaan yang rapi dan betul,” kongsi Kareena.
Di samping itu, rahsia Kareena kekal menawan pada usia 40 tahun adalah kerana dia turut mengamalkan rutin diet secara konsisten biarpun sudah bergelar isteri dan ibu.
“Bagi saya semua ini berkat usaha diet yang saya amalkan di samping meminum banyak air kosong. Selain itu, saya turut mendisiplinkan diri dengan membersihkan kulit wajah dengan air suam pada setiap hari. Apa pun saya sangat bersyukur dikurniakan kulit yang sihat dan cantik kerana ibu saya juga memiliki kulit yang luar biasa cantiknya,” ungkap Kareena.
Kecantikan seseorang bukan hanya perlu dirawat dari luar sahaja malah perlu meminum air kosong yang banyak seperti yang diamalkan oleh Kareena kerana ia bukan sekadar mampu menjadikan kulit kekal cantik dan bersih bahkan bebas daripada kedutan kerana air membantu melembapkan kulit. AMY MOHD