Baru majlis lamaran dan tunang dah mewah serta eksklusif macam ni, kalau resepsi persandingan nanti mesti lebih extravaganza! 13 Mac lalu pastinya menjadi detik istimewa buat Krisdayanti dan bekas suami, Anang Hermansyah apabila anak sulung mereka Aurel selamat melangsungkan pertunangan dengan jutawan muda yang juga YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar.
Lebih eksklusif, majlis yang berlangsung di Hotel Intercontinental, Jakarta turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indonesia iaitu RCTI!
Seramai 70 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat menghadiri majlis pertunangan Aurel, 23 tahun dan Atta atau nama penuhnya Muhammad Attamimi Halilintar yang berusia 27 tahun. Tampil sedondon dengan busana tradisional rekaan Ancha Wedding rona ungu, jelas terpancar wajah syukur dan bahagia kedua-dua bakal pengantin tersebut.
Ads
Menerusi perkongsian foto pertunangan mereka di media sosial, memang terserlah mewah majlis pertunangan Atta dan Aurel ini. Pendek kata, tidak ubah seperti majlis persandingan apabila ruang dewan dihias dengan bunga-bungaan rona senada putih dan ungu.
Selain kelibat Anang dan Krisdayanti, turut hadir menyerikan majlis ialah isteri Anang iaitu Ashanti dan kakak kepada Krisdayanti, Yuni Shara. Difahamkan, Aurel dan Atta akan diijab kabul sebagai suami isteri pada 21 Mac ini.
Ads
Aurel yang mengikut jejak langkah ibu bapa sebagai penyanyi juga bergelar usahawan menerusi jenama Aurelloly Cosmetics. Sementara Atta pula selebriti media sosial terkemuka Indonesia yang mempunyai lebih 26 juta subscribers di YouTube dan dianggarkan meraih pendapatan bulanan mencecah sehingga hampir RM2 juta!
Aurel merupakan kakak kepada Azriel Akbar Hermansyah yang juga anak kepada Krisdayanti dan Anang sebelum ibu bapa mereka bercerai pada tahun 2009.
Stamina merupakan perkara penting untuk seseorang penyanyi terutamanya ketika menjayakan konsert pada skala besar kerana mereka perlu beraksi dalam tempoh panjang dan mendendangkan puluhan lagu. Antara cara yang menjadi pilihan penyanyi mengekalkan stamina adalah dengan bersenam dan menjadikan pusat kecergasan sebagai lokasi untuk memantapkan stamina. Namun bagi pelantun lagu Jatuh, Lah Ahmad, dia selesa memilih berpuasa bagi memantapkan staminanya.
Lah atau nama sebenar, Abdullah Ahmad, 43, berkata, amalan tersebut dilakukan untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan tenaga sepanjang menjayakan Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada 7 Oktober ini.
“Untuk mempersembahkan lebih 20 lagu dalam konsert, sudah tentu saya kena jaga stamina. Cara saya melakukannya adalah dengan berpuasa. Apabila berpuasa, secara tidak langsung ia membuang lebihan toksin dalam badan dan kita jadi lebih bertenaga,” katanya ketika ditemui media di majlis sidang media baru-baru ini.
Lah berkata, ketika hendak menjayakan 25 Years Lah Ahmad Live In Concert di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Januari lalu, dia turut berpuasa dan ternyata caranya itu menampakkan hasil yang positif.
Lah yang juga bekas anggota kumpulan V.E berkata, dia mula berpuasa apabila menghampiri tarikh membuat persembahan.
Lah berkata, aksinya di IB dianggap istimewa kerana memberi peluang kepadanya mendendangkan lagu yang belum pernah dipersembahkan.
“Ada juga lagu lama saya yang peminat tidak pernah dengar termasuk lagu dari album baharu akan didendangkan pada malam itu. Selain itu, ada segmen bersama penyanyi jemputan. Kumpulan Ruffedge bakal menjadi penyanyi undangan di malam konsert tersebut.
Lah menyifatkan konsert di IB bakal menjadi pencetus kepada penganjuran sebuah lagi acara yang menghimpunkan artis R&B popular tanah air . Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di IB dianjurkan Rubbertapper Production House dan diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya (UM).
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Esok, satu lagi sejarah tercipta apabila Malaysia bakal mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Upacara Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mengenali peribadi Raja Permaisuri Agong ke-16 ini… baginda bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru… kakanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya selaku Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia, Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi PERTAP dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI).
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah serta Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disemberi 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Raja Permaisuri Agong ke-12
Seri Paduka Baginda Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merupakan ahli kerabat diraja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda berkahwin dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada 15 Februari 1967.
Pada 14 Julai 2000, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah telah dilahirkan pada 18 November 1971. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999 hingga 21 November 2001.
Raja Permaisuri Agong ke-10
Seri Paduka Baginda Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dilahirkan pada 11 September 1924. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 ketika Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Tuanku Najihah bergelar Raja Permaisuri Agong ke-10 mulai 26 April 1994 sehingga 25 April 1999. Di samping itu, baginda turut memperoleh pendidikan formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah dan London School of Oriental Studies.
Raja Permaisuri Agong ke-9
Baginda ialah Raja Permaisuri Agong yang kesembilan berikutan perlantikan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Baginda juga merupakan rakyat jelata yang pertama dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1932.
Raja Permaisuri Agong ke-8
Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar ibni DYMM Sultan Muhammad II.
Baginda merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Iskandar Alhaj ibni Almarhum Sultan Ismail dan menjadi Raja Permaisuri Agong kelapan sejak 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Raja Permaisuri Agong ke-7
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad merupakan Raja Permaisuri Agong ketujuh mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Baginda juga ialah permaisuri kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong ke-6
Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Mohamed Petra merupakan Raja Permaisuri Agong keenam mulai 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979. Baginda juga merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewarisi takhta kerajaan negeri Kelantan dari tahun 1960 hingga kemangkatannya.
Raja Permaisuri Agong ke-5
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahmad merupakan Raja Permaisuri Agong kelima sejak 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Baginda adalah permaisuri kepada Almarhum Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Raja Permaisuri Agong ke-4
Yang di-Pertuan Agong ke-4, Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III ialah suami kepada Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat bermula 21 September 1965 hingga 20 September 1970.
Raja Permaisuri Agong ke-3
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Permaisuri Agong ketiga sejak 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Baginda merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Permaisuri Agong ke-2
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Ampuan Jema’ah Almarhum Raja Ahmad merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kedua sejak 14 April 1960 sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1 September 1960.
Raja Permaisuri Agong pertama
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tunku Kurshiah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin merupakan Raja Permaisuri Agong pertama sejak 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960.
Lumrah apabila bergelar selebriti dan public figure, ke mana saja pergi mesti dikerumuni peminat. Situasi sama juga dilalui aktres cantik, Rozita Che Wan. Setiap gerak geri dan penampilan isteri Zain Saidin ini sentiasa menjadi perhatian khalayak.
Hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang seni, Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta sudah pun menempuh pelbagai dugaan sebagai anak seni dan terpalit dengan kontroversi.
Sebagai insan normal pastinya Che Ta juga ada keinginan, emosi terganggu dan mahu menjalani hidup biasa seperti orang lain.
Pun begitu, sebagai individu terkenal dia perlu sentiasa tampil positif dan mesra melayan peminat. Apatah lagi apabila terserempak dengan mereka yang mahu bergambar.
Bagaimana pun ibu tiga anak berkenaan dalam temu bual bersama Nona baru-baru ini mendedahkan mengenai insiden pernah ditegur ibu tersayang kerana tindakannya yang enggan melayan peminat.
Tanpa berselindung Che Ta berkata, “Mak I ni jarang cakap. Dia banyak diam daripada bercakap. Itulah bila dia bersuara mesti menusuk kalbu. Dia cuma pesan satu je. Hormat dengan semua orang.
Tambah-tambah bila dia tengok peminat. Dia pernah tegur I, peminat nak ambil gambar, I tak mahu. Dia kata jangan.. dia dulu pernah teringin nak ambil gambar dengan artis tapi
tak pergi sebab takut kena reject.
Benda tu, I selalu ingat. Bila nampak peminat yang kata Che Ta nak ambil gambar.. I teringatlah mak I pesan. Tengah rushing pun, senyum dan pergilah (bergambar).”
Iyalah manusia mana tidak pernah buat silap. Setidak-tidaknya Che Ta belajar daripada kesilapan dan kini lebih menghargai peminat yang menyokong kerjaya seni dan perniagaannya. Untung masih ada ibu yang boleh beri nasihat.
Tambah Che Ta lagi, “Dengan laki (suami) pun kena hormat, itu juga pesan mak. Termasuk dengan orang gaji. I ajar anak-anak hormat dengan pembantu kami. Walau pun dia orang luar tapi dia yang membantu I dengan family.
Alhamdulillah anak-anak pun tak adalah berlagak dengan pembantu atau sesiapa. Misalnya kalau minta pembantu tolong sediakan makanan yang nak dimakan, bila dah dapat anak I akan kata thank you dekat pembantu. Alhamdulillah syukur.”
Meskipun secara luaran Che Ta seorang wanita yang penuh dengan glamor tapi anak kelahiran Kedah ini tetap ingat asal usulnya dan enggan mendabik dada atas segala kejayaan yang diraih.