Berita perkahwinan Ben Affleck dan Jennifer Lopez di Las Vegas pada Sabtu (16/7), seakan baru semalam dilangsungkan. Kini pasangan pengantin baru itu dikatakan sedang memadu asmara dan menghabiskan percutian bulan madu mereka di Paris, Perancis.

Tambah istimewa kerana diraikan bersama hari lahir ke-53 Jennifer Lopez yang jatuh pada 24 Julai lalu. Bahagia dan secocok bersama, pasangan yang digelar ‘Bennifer’ ini sering dilihat berpegangan tangan sambil menatap mesra saat berlibur di sana.

IKLAN

“We did it. Love is beautiful. Love is kind. And it turns out love is patient. Twenty years patient.” Jennifer Lopez

Meskipun ia bukanlah perkahwinan pertama buat kedua-dua selebriti ini, namun hubungan yang terjalin sejak bertahun-tahun lamanya menjadikan hidup mereka kini sempurna. Pasangan Bennifer pernah bercinta dan bertunang pada tahun 2002, namun sayangnya tali pertunangan itu terlerai sekitar tahun 2004.

20 tahun kemudian, mereka akhirnya bersatu pada usia Ben Affleck mencecah 49 tahun dan Jennifer Lopez, 53 tahun!

Momen istimewa tersebut bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah gaya busana Jennifer Lopez sepanjang menikmati saat romantis ini turut diperkatakan. Wanita Latin yang popular dengan lagu ‘If You Had My Love’ itu memilih beberapa gaun feminin saat menghabiskan masa di sisi suami tercinta.

Jom semak inspirasi gaun Jennifer Lopez sepanjang honeymoon ini!

 

BERSIAR DI SUNGAI SEINE

 

 

Pasangan ini menghabiskan masa belayar dan menikmati keindahan Sungai Seine yang popular. Penampilan Jennifer Lopez dalam gaun korset bercorak flora, beg tangan Gucci dan sepatu rona coklat menyempurnakan suasana. Jangan lupa kenakan kaca mata hitam Aviator untuk tampak chic!

 

GAUN OSCAR DE LA RENTA UNTUK ACARA BELI-BELAH

 

IKLAN

 

Salah satu gaun paling menonjol yang dikenakan Jennifer Lopez di Paris adalah sehelai gaun rekaan Oscar de la Renta. Manis dengan corak bunga besar, wanita ini bijak memadukannya dengan tali pinggang kecil, sandal dan tas jingga Hermes Birkin. Ringkas tapi sangat stylish!

 

GAUN LABUH UNTUK MAKAN MALAM

 

IKLAN

 

Menikmati acara makan malam romantis di Paris, Jennifer Lopez memilih balutan gaun labuh bermotif bunga yang elegan. Gaun dengan perincian lengan belon itu tambah sempurna dengan paduan aksesori dan beg tangan emas nan mewah.

 

SAMBUTAN HARI JADI

 

 

Sempena hari lahirnya yang ke-53, Jennifer Lopez mengenakan sepasang busana gaun halter rona merah jambu untuk acara di sekitar The Louvre Museum. Untuk menyerlahkan keindahan gaun tersebut, aksesori minimal dikenakan termasuk tas kecil dan sepatu rona nude.