Alhamdulillah tidak lama lagi Nabila dan tunangnya, Datuk Latif Romly bakal mendirikan rumah tangga. Berdebar menghitung hari menanti hari bahagia, wanita kesayangan atlet paralimpik negara ini bertuah kerana bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik. Malah berpendidikan tinggi.
Mac lepas, Nabila atau nama penuhnya Nabila Farhana Musaidi berjaya menamatkan pengajian dan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ke-11 Institut Pendidikan Guru (IPG). Tahniah!
Mesra ditemu bual Nona baru-baru ini, wanita berusia 24 tahun tersebut melahirkan rasa syukur kerana selepas dua tahun dia akhirnya dapat menghadiri majlis graduasi IPG.
Kongsi Nabila, “Alhamdulillah, saya tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian dari IPG Kampus Kota Bharu.
Sepatutnya graduasi tahun 2020 lagi tapi baru buat majlis konvokesyen sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dulu. Sekarang, saya dah kerja di Lembah Klang.”
Menyentuh perancangan menuju hari bahagia di samping tunang tersayang, Nabila sambil ketawa memberitahu dia menganggarkan persiapan untuk majlis perkahwinannya sudah mencecah 70 peratus.
Ads
“Ya, dah ada tarikh. Dah boleh nak menghitung hari sebab dah dekat dah. InshaAllah, majlis nanti buat di Perlis sebab kami berdua memang berasal dari sana.”
Sementara itu ditanya perasaan bergelar isteri tidak lama lagi, ini jawapan jujur Nabila. “Mixed feeling. Kadang rasa excited kadang risau juga sebab fikirkan tanggungjawab makin besar lepas kahwin dan jadi isteri.
Alhamdulillah sepanjang bertunang, hubungan kami berjalan lancar dan tidak menghadapi dugaan besar. Setahun jadi tunang orang ni, saya rasa kami lagi rapat dan banyak kenal perangai serta true colors masing-masing.”
Nabila dan Datuk Abdul Latif Romly mengikat tali pertunangan pada Oktober lepas. Pasangan romantis ini mula berkenalan sejak kedua-duanya masih di bangku sekolah.
Ads
“Saya mengenali Latif sejak dari sekolah menengah. Kenal dah lama tapi mula rapat waktu Tingkatan 5. Masa tu ada beberapa minggu lagi sebelum SPM. Latif balik semula ke Perlis untuk ambil SPM selepas pulang dari Incheon. Dari situ kami bertanya khabar dan mula rapat lebih daripada kawan.”
Ditanya keistimewaan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu di matanya, dedah Nabila, “Latif ni seorang yang sangat bersemangat dan bermotivasi tinggi. Saya akui selepas jadi atlet kebangsaan, Latif banyak berubah jadi lelaki yang lebih matang.
Kadang-kadang rasa macam dia ni tak ada kekurangan. Aura positif Latif ni lah membuatkan dia istimewa di mata saya.”
Menjelas lanjut penerimaan kedua-dua belah keluarga, Nabila bersyukur hubungan mereka mendapat restu ibu bapa. “Alhamdulillah keluarga saya sangat berhati terbuka menerima Latif. Family kami berdua pun kalau boleh nak satukan kami berdua lebih cepat sebab dah terlalu lama berkawan.”
Sementara itu, Nabila yang bertugas sebagai guru sekolah turut berkongsi aktiviti harian. “Saya merupakan seorang guru Sejarah dan Muzik di sekolah rendah. Banyak masa saya habiskan di sekolah lah kalau hari bekerja.
Rutin harian sama saja macam orang lain. Weekdays kerja, weekend pula dapatlah hang out dengan kawan-kawan. Kalau cuti panjang sikit, bolehlah nak balik ke kampung di Perlis.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama isteri PM, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya lembut seperti air tapi sifat air yang tenang itu mampu memadamkan api. Beliau memimpin dengan meletakkan akhlak di depan, sekaligus membuatkan ahli politik wanita berusia 70 tahun itu amat disegani. Kelembutan takkan pernah tewas dengan kekerasan, itulah ciri seorang ikon wanita hebat yang diangkat dalam Nona Superwoman Award 2022.
Bercerita secara eksklusif kepada Majalah Nona tentang momen perjuangan beliau, wanita yang merupakan ibu kepada enam permata hati – Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana itu terbuka mengimbau kenangan lama.
Menyentuh pengalaman paling pahit Dr Wan Azizah selaku ketua keluarga sepanjang tempoh suaminya dipenjarakan, siapa sangka dalam keterpaksaan itu melahirkan seorang wanita hebat yang menjadi pemimpin politik, ketua parti dan gagasan pembangkang, malah beliau turut menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Foto: Keow Wee Loong Photography
Rentetan peristiwa pemecatan dan penahanan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah mula bangkit melalui gerakan reformasi. Beliau bertanggungjawab membantu menubuhkan Parti Keadilan Nasional digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia pada April 1999 yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat dan bertindak selaku Presiden PKR.
Kekuatan luar biasa Dr Wan Azizah menyuntik inspirasi kepada masyarakat dunia. Saksikan sesi temu bual eksklusif Majalah Nona ini…
KELETIHAN
Isteri kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga mengakui ada kalanya pernah terfikir untuk berhenti dek terlalu penat dicemuh namun semangatnya membina kekuatan diri untuk terus bangkit.
“Sejujurnya saya penat dan letih sebab nampak macam tiada penghujungnya. Kadangkala bila saya dah nampak akan berjaya, tapi akhirnya berlaku ujian pengkhianatan membuatkan saya kembali kepada asal.
Saya banyak kali dipandang rendah atas sebab isteri banduan ataupun dicemuh setiap kali saya pergi kempen, berpaling muka dan sebagainya.
Tapi saya fikir mereka tak kenal saya mungkin. Tak kenal maka tak cinta kan saya terima saja. Cuma yang membuatkan saya kuat sehingga kini adalah kerana saya mahu reda Allah SWT.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah sewaktu mengangkat sumpah jawatan
Pasangan Perdana Menteri Malaysia ke-10 bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah
Sejujurnya saya terfikir banyak kali untuk berhenti. Saya masih ingat kali kedua Anwar (dipenjarakan), kami hanya diberi setengah jam saja dan terus jatuh hukum. Memang saya sedih sebab ingat dia akan sambung perjuangan politik kami.
Tapi apabila difikirkan balik insyaaAllah, saya boleh. Kalau tidak Allah takkan uji saya jika saya tak mampu. Tukarkan mindset bagaimana kita melihat masalah yang kita hadapi. Minta pertolongan pada Allah, jangan pada makhluk.” Dr Wan Azizah
Pintar dan solehah, ikuti sambungan kisah penuh wanita yang diangkat sebagai Nona Superwoman 2022 ini dalam edisi khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isk…nak hantar atau tidak ke sekolah? Tak terlalu awal ke? Dilema sungguh mak-mak bila anak mula menjejak umur setahun ke atas. Apa yang perlu mak-mak tahu sebelum hantar anak ke playschool.
Seronok membelek Instagram angkawasan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isterinya Datin Dr Halina. Seawal usia setahun lagi mereka sudah mula menghantar si kembar Adam dan Noah ke playschool.
Kongsi Datuk di IGnya, sekolah mereka bukan hanya tempat untuk bermain tetapi anak-anak juga boleh bergaul sesama rakan sebaya, bermain, menyanyi lagu kanak-kanak, belajar menggunakan flash cards, mewarna dan banyak lagi.
“It will be good for the boys to learn about socializing and independence from a very young age. Boys tend to have separation anxiety more than girls at that age. They tend to cling more to their parents…”
Tingkatkan keyakinan bersosial
Kemahiran bersosial boleh dipupuk sejak kecil. Ada yang mudah bergaul dan ada juga yang lebih suka menyendiri. Takpe, beri mereka masa kerana mereka juga baru mengenali dunia luar.
Mereka akan mula bermain dengan rakan-rakan sebaya dan lama-kelamaan mereka akan lebih mesra saat disapa kanak-kanak yang lebih dewasa. Jangan haling mereka bermain dengan permainan kegemaran kerana dari situlah mereka akan mula membuat teman.
Time-out dari mak ayah!
Jangan salah faham. Anak-anak seronok bersama mak ayah cuma mereka juga perlukan pergaulan luar untuk boost minda. Biarkan sel-sel otak mereka berhubung. Lagipun, mak ayah boleh luangkan masa berdua-duaan. Eratkan hubungan suami isteri.
Potty training
Pastikan anda tahu polisi playschool agar anda boleh mempersiapkan anak-anak lebih awal. Sungguhpun terdapat polisi yang hanya menerima anak-anak yang pandai membuang air sendiri, kakitangan juga sebenarnya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mak ayah pula jangan lupa sediakan pakaian lebih.
Beri lebih masa
Semua mak ayah mahu anak cepat pandai. Tidak ada mana-mana sekolah pun yang boleh memberi magis pintar pada hari pertama persekolahan. Biarkan mereka bermain, belajar bersosial, menyanyi dan mewarna terlebih dahulu sebelum mereka mula mengenali abjad dan nombor. Jangan ‘bunuh’ minat anak ok!
Sumber foto: IG Datuk Dr Sheikh Muszaphar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila sebut saja nama Khir Khalid pasti terdetik di hati, anak kelahiran Johor ini ‘meninggi diri’ kerana sentuhan emasnya bukan sahaja menjadi buruan selebriti malah menjadi pilihan wanita VVIP termasuk kerabat diraja. Namun pemegang ijazah fesyen ini bukan begitu. Walau sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri lelaki yang bangga dengan gelaran Jurusolek ini sentiasa merendah diri dan sentiasa ingat di mana permulaan langkah kariernya.
20 tahun berkecimpung dalam bidang solekan bukan jangka masa yang pendek. Khir juga begitu berani menongkah arus ketika mula melangkah dalam industri kecantikan dengan menukar trend solekan tebal kepada ‘No Makeup Makeup Look’. Perjuangan Khir menukar trend solekan ketika itu tidak diterima sepenuhnya sehingga pernah diusir!
“Memang saya pernah diusir keluar bilik di awal penglibatan saya dahulu. Ada seorang penyanyi pernah suruh saya balik sebab dia merasakan solekan saya tak cantik. Masa tu saya nak ubah solekan tebal kepada yang lebih kepada less is more.
Kini setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini alhamdulillah hasil karya saya diterima. Di antara kenangan manis saya apabila saya diberi kepercayaan untuk menatarias Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar di Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini,” kongsi Khir Khalid yang tak malu dipanggil Jurusolek malah berbangga dengan gelaran tersebut.
Sentuhan magis Khir Khalid terlalu istimewa sehingga terdapat selebriti, golongan atasan atau pengantin sanggup menunggu tarikhnya semata-mata mahukan hasil sentuhan Khir Khalid di hari bahagia mereka. “Betapa pentingnya peranan jurusolek sehingga mereka sanggup berbuat begitu,” tutur Khir Khalid.
Keperibadian Khir Khalid yang pendiam ini juga sedikit sebanyak menjadi faktor yang melonjakkan kariernya. “Kalau menyolek saya hanya fokus kepada kerja dan kurang bercakap. Saya juga tak pernah memilih sama ada wanita ternama atau wanita biasa saya tetap akan membuat rujukan sebelum bekerja.
Sebagai contoh sebelum menatarias seseorang personaliti saya study terlebih dahulu wajah mereka. Saya akan melihat keperibadian personaliti tersebut agar solekan nanti berseri di wajahnya,” kata Khir Khalid yang setuju setiap jurusolek perlu mengikut perkembangan semasa. Menurutnya peredaran masa membuatkan konsep solekan dahulu agak berbeza dengan sekarang.
Bercakap tentang cabaran, “Mula-mula mencebur diri dalam bidang ini saya menemui pelbagai kerenah klien. Ditambah pula ketika mula-mula dulu saya mahu menukar trend solekan tebal kepada hasil solekan yang tak begitu tebal dalam masa yang sama mengekalkan kecantikan wajah yang sebenar. Saya tak suka nak ubah wajah seseorang dan sukar juga untuk mendidik masyarakat ketika itu. Tetapi akhirnya DNA Khir Khalid telah diterima. Perjuangan saya membuahkan hasil,” ujar Khir Khalid.
Sentuhan Khir Khalid di wajah Neelofa sebagai penghias muka depan majalah Nona isu Februari 2019.
Bila diajukan persoalan tentang jurusolek sekarang lebih mudah naik disebabkan media sosial, komen Khir Khalid, “Saya gembira melihat perkembangan ini apabila ramai anak muda yang berminat untuk menjadi jurusolek.
Saya juga tidak cemburu apabila ‘langkah’ mereka mudah tidak seperti penglibatan awal saya dahulu sekitar tahun 2000 yang tidak ada kemudahan media sosial. Agak sukar untuk mencipta nama dan menembusi dalam industri ini. Namun begitu, pada pandangan saya kebanyakan jurusolek sekarang ada segelintir di antara mereka tidak boleh digelar jurusolek tetapi mereka adalah pengusaha kosmetik,” ucap Khir Khalid mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat Datuk Mastura Tan Sri Mohd Yazid dalam menimba ilmu. Mana tidaknya, pada usia 60an dia nekad menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah atau PhD.