Mungkin ramai yang masih tidak mengenali gadis cantik bernama Annabel Yao ini. Tapi kalau sebut tentang jenama telefon pintar terkenal, Huawei pasti ramai yang membayangkan kualiti produk telefon berkenaan yang berasal dari negara tembok besar China itu. Apa kaitan Annabel Yao dengan Huawei? Sebenarnya Annabel Yao ialah anak perempuan yang juga pewaris empayar Huawei milik Ren Zhengfei.
Meniti usia 22 tahun, Annabel yang dilahirkan di Hong Kong merupakan anak kepada Yao Ling iaitu isteri kedua kepada jurutera, Ren Zhengfei. Pengasas Huawei yang terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi serta politik di China itu dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki hasil daripada dua perkahwinannya.
Ads
Meskipun perniagaan telefon pintar Huawei semakin dikenali dan digunakan di serata dunia namun selaku pengasas, Ren Zhengfei di negara kelahirannya disifatkan seorang yang low profile. Dia jarang muncul di majlis-majlis rasmi dan sukar ditemubual oleh para media. Pun begitu, Ren Zhengfei terpaksa menyingkirkan sikap tersebut dan bersemuka dengan media apabila isu pengharaman Huawei di Amerika Syarikat mendapat perhatian meluas tidak lama dulu.
Mendekati peribadi dan gaya hidup anak perempuan bongsunya, Annabel merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di Harvard. Bercita-cita mahu mempunyai kerjaya dalam bidang perniagaan dan ekonomi, Annabel bukan hanya cemerlang dalam akademik bahkan aktif dalam seni terutamanya apabila dia melibatkan diri sebagai penari balet profesional di Harvard Ballet Company.
Menurut laman web Harvard Ballet Company, gadis cantik ini mula berjinak dalam tarian balet ketika usianya baru 15 tahun di Shanghai. Dari situ, Annabel kemudian meneruskan minatnya dan mendalami seni tarian indah tersebut di sebuah akademi berprestij di United Kingdom.
Kira-kira dua tahun lalu, Annabel menarik perhatian golongan elit di China dan Eropah kerana telah terpilih dalam penganjuran majlis tari-menari Le Bal des Debuntantes di Paris pada November 2018. Ia bukan calang-calang acara kerana hanya gadis sosialit berusia di antara 16 hingga 21 tahun yang memiliki rupa paras cantik, berpendidikan dan lahir dari keluarga ternama khususnya dalam bidang perniagaan, hiburan mahupun politik akan dipilih sebagai peserta majlis tari-menari tersebut.
Ads
Daripada 19 gadis cantik yang layak… Annabel ialah salah seorang daripada mereka yang mewakili negara China. Selebihnya berasal dari India, Amerika, Jerman, Hong Kong, Belgium, Perancis, Portugal dan Filipina. Kesemua mereka dilaporkan bertemu dengan jejaka dari keluarga elit lain di serata dunia untuk saling mengenali dan bersosial dalam kelas bangsawan.
Dua hari sebelum majlis tari-menari bermula, Annabel dan peserta wanita lain sempat beramah mesra, menjalani latihan tarian bersama-sama selain terlibat dalam sesi fotografi. Peserta wanita turut diberi soalan tentang gaya fesyen yang digemari mereka di samping diminta memilih busana pilihan masing-masing. Pada majlis itu, Annabel memilih untuk menggayakan gaun indah rona champagne rekaan J Mendel.
Kata Annabel, “Bagi individu yang memiliki segala-galanya lebih daripada orang lain, adalah sangat penting bagi anda untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Seboleh-bolehnya saya mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan serta lebih selesa menganggap diri saya seperti gadis biasa lain. Yang perlu bekerja keras untuk berjaya dan berusaha menjadi individu yang lebih baik setiap hari.”
Ads
Biarpun sibuk dengan rutin harian sebagai pelajar, Annabel gemar menghabiskan masa bercuti ke luar negara termasuk ke New York, Paris dan beberapa tempat percutian menarik di dunia. Dia juga dilihat sering memakai pakaian dan aksesori berjenama mewah seperti Chanel, Dior, Louis Vuitton dan sebagainya.
Menyingkap latar belakang anak pengasas Huawei ini lagi, Annabel mempunyai seorang kakak bernama Sabrina Meng Wanzhou berusia 48 tahun yang merupakan antara orang terpenting dalam empayar Huawei.
Sumber: South China Morning Post
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Mengintai kehidupan Jinkee, wanita cantik ini memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum dan suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190
juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Menurut Post Magazine, ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Menerusi perkongsian di Instagram wanita berusia 41 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia, keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Selain mempunyai rumah agam di Filipina, mereka juga dikhabarkan memiliki kediaman elit di Los Angeles.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Peti sejuk yang kemas bukan sekadar susunan bekas-bekas teratur di setiap para. Tapi juga pemahaman kita tentang suhu dan jenis makanan yang betul demi menjamin kesegaran makanan yang disimpan.
Ibu ibu di rumah tu kenalah bijak organize peti sejuk dengan sedikit ilmu sains makanan. Barulah kita faham logik kenapa yang siap dimakan mesti di atas dan bahan mentah mesti di bawah.
Hari ni Nona berkongsi tip susun atur peti sejuk yang dipraktikkan oleh Pegawai Teknologi Makanan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Tuan Sazly Azizuddin Bin Sahaimi (FB Page Sazly Tulih). Lepas ni mungkin ibu ibu pun boleh praktik cara susunan ni di rumah sendiri.
Kongsi beliau, mula-mula sekali kena faham suhu peti ais.
Suhu Chiller : 0°C hingga 10°C
(untuk sayur, buah, susu, telur, jem)
Suhu Freezer : – 18°C ke bawah
(untuk daging, ayam, ikan, lala, aiskrim, kuih sejuk beku)
Bila dah tahu perbezaan suhu ni, barulah kita sediakan bekas-bekas penyimpanan yang sesuai mengikut kategorinya.
CARA SUSUN ATUR
Pertama sekali, pastikan tiada kotoran dibawa masuk dalam peti sejuk. Contohnya, sayur perlu dibersihkan akarnya yang masih mempunyai tanah.
Bahan mentah contohnya ikan dan daging disiang dan dibersihkan dahulu serta dipotong pada saiz yang lebih kecil supaya tidak dinyahbeku berkali-kali.
Labelkan bahan mentah. Jika perlu, letakkan tarikh bila kita beli. Amalkan first in, first out.
Daging, ayam, ikan dan hasilannya perlu disusun di ruangan sejuk beku dengan baik. Jangan terlalu padat supaya semua bahan mentah ini akan sejuk sekata.
Asingkan para untuk bekas makanan siap dimakan dan bekas bahan mentah.
Letakkan makanan bermasak ini di para bahagian atas dan bahan mentah yang belum dimasak di para bawah untuk elakkan pencemaran silang berlaku.
Tin susu sejat yang telah dibuka, jangan disimpan terus ke dalam peti sejuk. Tukar ke bekas lain yang bertutup. Kita tahu peti sejuk keadaannya lembap dengan oksigen boleh menggalakkan pengaratan pada tin.
Begitu juga pada ruangan dingin. Jangan terlalu banyak barang disimpan. Rancanglah pembelian barangan anda.
Selalulah keluarkan makanan siap dimakan yang disimpan seeloknya kena makan segera dan jangan melebihi 2 hari.
Pastikan suhu di ruang sejuk beku dan dingin pada suhu yang betul.
Pastikan anda tidak selalu buka dan tutup peti sejuk pada bulan Ramadan ini dikhuatiri suhu akan bertambah (naik). Dan ada kemungkinan juga makanan siap dimakan tu tiba-tiba berkurang pada waktu siang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kuat semangat Siti Elizad Mohamad Sharifuddin untuk bergelar seorang ibu! Meskipun sudah dua kali menjalani rawatan kesuburan IVF namun selebriti cantik ini tidak putus asa berjuang untuk hamil dan menimang cahaya mata. Enggan meratap sedih, Elizad kini lebih tenang menerima ketentuan takdir.
Ditemui Nona baru-baru ini, Elizad yang bakal menginjak usia 39 tahun akui merancang untuk menjalani proses IVF sekali lagi tahun ini.
“Saya dah dua kali buat IVF dan belum ada rezeki. Ia sebenarnya bukan desakan daripada family tau. Desakan daripada orang ramai tu yang tanya bila nak ada baby. Saya anggap itu satu semangat untuk mereka membayangkan macam mana baby Elizad nanti.
Untuk tahun ini inshaAllah saya akan cuba (jalani IVF). Cumanya rezeki, ketentuan daripada Allah. Kalau I boleh bagi, on the spot I bagi dan happy sangat.
Tapi I struggle sebenarnya, tipulah kalau kita tak pernah murung sebab kita tengok media sosial ni ramai orang upload baby cute so kita mesti nak ada seorang yang baby kita nanti muka macam mana.
Tapi belum ada rezeki. InshaAllah tahun ini saya akan cuba lagi. Kalau tak dapat (anak), saya dah masuk musim reda. I nak masuk early 40, I rasa tak apalah. Kalau ada, ada. Kalau tak ada, I tetap enjoy.”
Tambah isteri Shamsul Baharin Rahman ini lagi, “Masa tahun pertama bila kahwin, I tak ready lagi waktu tu. So mungkin kesalahan mulut ni juga sebab kata tak ready.
Actually bila kita dah kahwin kita dah kena kata kita ready dah. Saya fikir ini ujian daripada Allah sebab selama ni apa je kita nak semua dapat. Tapi this one rasa macam susahnya nak dapat.
Stress bila orang banyak bertanya dekat family. Saya kasihan dekat ayah saya sebab among adik-beradik semua dah ada anak. I seorang je tak ada lagi dan seorang je perempuan. Yang lain semua lelaki.
I rasa stress bila orang bertanya dekat ayah saya sebab dia dah tua. Untuk saya, saya dah ok dah masuk musim reda. Kalau dulu, I stress tapi now semuanya ok je. Happy.”
Pada November 2020, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan IVF untuk mendapatkan zuriat namun mengalami keguguran selepas seminggu disahkan hamil.
Perjalanan IVF pelakon, pengacara dan juga DJ radio ini turut pernah mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menjalani IVF sebanyak 17 kali untuk menimang cahaya mata.
Elizad mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin pada 11 Januari 2015.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengasas jenama Leeyana Rahman selamat bersalin anak ketiga pada 11 November lepas. Lebih istimewa, dia dan suami tercinta iaitu Muhammad Hafiz Abdul Hamid menerima kehadiran cahaya mata tersebut saat usia perkahwinan mencecah 10 tahun ...