Kebiasaannya apabila berlaku perceraian yang mana kedua-dua pasangan masih hidup, ada beberapa tuntutan yang boleh dituntut oleh seseorang bekas isteri. Cuma kita jarang ambil tahu, tentang seorang balu (isteri kematian suami) juga mempunyai beberapa hak yang sangat perlu diselesaikan.

Nona mendapatkan penjelasan peguam syarie Fahmi Ramli dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates tentang hal ini.

IKLAN

Biasanya orang hanya tahu nak selesaikan Faraid iaitu pembahagian harta pusaka. Sedangkan, pusaka ini adalah peringkat terakhir pengurusan harta si mati. Jadi, saya ringkaskan tentang jenis tuntutan yang wajar dituntut oleh seorang balu keatas ahli waris simati yang lain.

Bercerai Mati, Apa Yang Isteri Boleh Tuntut Selain Harta Pusaka?

Hutang dalam perkahwinan

Sekiranya, si suami masa dia hidup, pernah meminjam dan menggadaikan barang kemas milik isteri, namun tidak sempat untuk tebus kemudian dia meninggal, isteri tersebut boleh menuntut sebahagian daripada tinggalan pusaka simati untuk menebus gadaian tersebut.
Mungkin, perkara ini boleh diselesaikan secara baik iaitu meminta kepada ahli waris yang lain untuk bersetuju memberikan sebahagian wang tersebut untuk ditebus. Ini termasuk juga sekiranya simati ada tunggakan nafkah dan hutang maskahwin yang belum dilangsaikan.

Harta Sepencarian

Umum mengetahui, bahagian faraid bagi seseorang isteri ini akan menjadi kecil sekiranya mempunyai anak. Bahkan, akan menjadi lebih kecil sekiranya simati mempunyai banyak isteri. Jadi, harta sepencarian adalah salah satu tuntutan yang boleh dituntut sebagai hak seorang bekas isteri yang ada menyumbang dalam kehidupan rumahtangga mereka.

Biasanya, isu ini akan menjadi rumit jika berhadapan dengan ramai ahli waris kerana setiap ahli waris simati akan menjadi Defendan dalam tuntutan ini. Melainkan, semua ahli waris bersetuju dengan tuntutan tersebut.

Hak Jagaan Anak

IKLAN

Biasanya hak jagaan mungkin kurang berlaku antara bekas isteri dengan ahli waris yang lain. Cuma, ada sesetengah keadaan yang mana ada pertikaian mengenai hak jagaan anak. Khususnya yang sering berlaku adalah antara balu simati dengan bekas mertua.
Biasanya, ibu akan tetap dapat hak jagaan dan pihak lawan akan dapat hak melawat serta mungkin bermalam. Cuma, jika perkara ini tidak menjadi isu, mungkin tidak akan sampai ke Mahkamah melainkan mana-mana pihak perlukan satu perintah jagaan dikeluarkan.

Nafkah Anak

Memang ada ibu yang dia rasakan dia mampu untuk tanggung perbelanjaan anak-anak. Lebih-lebih lagi zaman ini, banyak ibu yang mempunyai kerjaya bagus serta pendapatan yang stabil. Cumanya, ada yang mungkin tak mampu untuk tanggung perbelanjaan tersebut.

Jadi, seorang balu boleh menuntut Nafkah Anak kepada waris sebelah suami untuk menanggung nafkah tersebut. Formulanya, mengikut senarai perwalian. Jika datuk kepada cucu masih hidup, maka datuk perlu menanggung. Jika tiada, bapa saudara perlu menanggung dan seterusnya. Jadi, jangan cakap bapa saudara tak ada kaitan yer.

IKLAN

Pengesahan Hibah

Sesetengah pihak ada membuat perjanjian hibah yang kita namakan Surat Ikatan Hibah keatas sesuatu harta. Yang mana, suami semasa hidup pernah memberi hibah hartanya kepada isteri secara sah disisi undang-undang. Cuma, perjanjian tersebut belum disahkan oleh mana-mana Mahkamah.

Jadi, seorang balu boleh membuat permohonan pengesahan Hibah terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya wujud Hibah tersebut. Sekiranya Hibah tersebut disahkan, pastinya harta yang dituntut itu tidak boleh dinamakan sebagai harta pusaka untuk di faraid.

Sekarang faham ke faham? Bukannya jika berlaku sahaja kematian, terus ahli waris lain nak faraid. Sabar, ada beberapa perkara perlu diselesaikan dulu sebelum sampai ke faraid. Hadis Nabi juga mewajibkan hutang diselesaikan Hutang dan Wasiat terlebih dahulu sebelum faraid.

Yang penting jangan terlalu lama untuk buat pengurusan harta si mati ini. Bimbang, akan berlaku kematian berlapis dan lebih menyukarkan proses pembahagian pusaka kelak. Tak perlu pertikai hak seorang bekas isteri, kalau memang haknya ada dalam Hukum.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI