Kecantikan aktres Amyra Rosli sememangnya diketahui ramai dan tidak disangkal lagi. Memiliki pesona dan aura tersendiri, bintang drama popular Nur ini terkenal dengan sikapnya yang mesra, rendah diri dan penuh kelembutan. Dari seorang pelakon, bakat Amyra turut bersinar sebagai pengacara televisyen.
Baru-baru ini kehadiran isteri aktor Amar Baharin ke sebuah majlis ilmu nyata menarik perhatian para tetamu dan peminat setia.
Berkongsi momen istimewa itu di media sosial miliknya, Amyra yang anggun mengenakan persalinan jubah rona Aqua cukup manis dipandang.
Sekaligus menyerlahkan sisi elegan dan perwatakan wanita muslimah sejati.
Yang pasti, foto yang dimuat naik itu mendapat pujian ramai. Bukan hanya terpesona dengan kecantikan Amyra bahkan mereka turut menyenangi perwatakan jelitawan tersebut yang berbudi pekerti tinggi.
Kongsi Amyra dalam gambar berkenaan, “She’s imperfect but she tries. Thank you kak Umie Aida bagi peluang sebaris dengan insan-insan hebat. Banyak perkongsian yang dapat Myra manfaatkan daripada majlis ilmu ni. Alhamdulillah.”
April lalu, ibu dua anak ini turut mendapat tumpuan masyarakat apabila berusaha keras menyiapkan kediaman ibu bapa yang ditipu sebuah syarikat hiasan dalaman. Difahamkan Amyra membayar sejumlah besar wang kepada syarikat terbabit namun tiada tindakan susulan dibuat.
Bagaimana pun niat untuk membahagiakan ibu bapa menjadi realiti apabila syarikat hiasan dalaman terkenal iaitu Lentera Creative Home sudi membantu.
Amyra atau nama sebenarnya Nur Amirah Izzati Rosli kini meniti usia 32 tahun dan merupakan seorang anak seni berjaya.
Dia mendirikan rumah tangga dengan Amar Baharin pada tanggal 11 November 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu anak lelaki Aqeef Anaqi dan anak perempuan Ayra Aryssa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjaga kecantikan kulit tidak kira masa termasuk ketika bercuti raya. Kelihatan cantik berseri di pagi raya menjadi dambaan wanita lebih-lebih lagi ketika mahu mempotretkan bersama keluarga tercinta. Cantik ketika beraya tidak bermakna perlu membawa semua peralatan make up yang tersusun indah di atas meja solek. Nanti, satu bagasi hanya untuk mengisi peralatan solek semata-mata.
Cukup hanya membawa alat solek yang perlu untuk memberi perlindungan kepada kulit serta menyerlah kecantikan semulajadi. Sebaik-baiknya ketika melancong tidak perlu bersolek tebal kerana ketika itu kulit terdedah kepada perubahan cuaca, sinar ultra ungu dan pencemaran. Saat santai solekan nipis telah memadai dan jangan lupa membawa kosmetik di bawah ini ketika berlibur.
SUN BLOCK
Krim pelindung matahari ini sangat penting dan wajib dibawa ketika bercuti. Krim ini memberi perlindungan kepada tubuh dari sinar UVA dan UVB dan perlu diletak di dalam beg tangan ketika libur. Memakai krim perlindungan suria ini tidak hanya ketika mahu ke pantai sahaja. Ke mana-mana sahaja perlu di sapu ke tubuh dan wajah termasuk di dalam kota yang nampak sejuk. Sinar matahari tetap ada walau dalam keadaan cuaca dingin, bukan begitu?
PELEMBAP WAJAH
Kulit wajah tidak boleh disembunyi dengan fabrik seperti kulit tubuh. Kulit wajah paling terdedah dan perlu diberi perlindungan sempurna. Pelembap wajah sangat diperlukan jika melancong ke tempat sejuk. Biasanya kulit akan mengalami hidrasi kerana udara yang sangat sejuk. Namun, ini bukan bererti bercuti di negara yang beriklim panas tidak perlu menyapu pelembap. Walau di mana sahaja kaki anda melangkah, pelembap perlu disapu ke wajah dan tubuh sebelum keluar rumah.
PELEMBAP BIBIR
Jika bibir kering dan pecah-pecah pasti mengganggu mood untuk menikmati percutian idaman. Kurang minum air dan cuaca sejuk melampau menjadikan bibir kering dan mengelupas. Cara paling mudah untuk memelihara bibir kering adalah pelembap bibir. Jika memilih pelembap bibir yang mengandungi perlindungan terhadap sinar UVA dan UVB adalah suatu bonus. Selain itu, jangan lupa menganbil sekurang-kurangnya dua liter air putih setiap hari.
BODY LOTION
Walaupun tubuh dilindungi dengan baju atau seluar namun tetapi juga perlu dipelihara kelembapannya. Tidak perlu membawa losen dalam kuantiti yang banyak atau botol besar, cukup untuk memenuhi keperluan percutian. Jika menemui kesukaran untuk menyapu losen di siang hari paksa diri untuk menyapu losen setiap kali sebelum tidur. Udara kering daripada penghawa dingin ketika tidur menjadi punca kulit kering.
DEODORAN
Bau badan ketika bercuti adalah a big no no! Menyelusuri kawasan yang dibanjiri dengan rakyat tempatan ditambah pula dalam kawasan panas mengundang peluh mengalir laju. Apabila memiliki penampilan yang menarik tetapi meninggalkan bau badan tidak enak akan menyelit persepsi yang tidak baik pada diri. Botol deodorant tidak sebesar mana dan mudah diselitkan di mana-mana. Sila masukkan deodorant dalam checklist!
BEDAK, LIPSTICK DAN MASKARA
Tiga item cantik ini penting dan wajib dibawa ke mana sahaja. Tidak ada siapa tahu siapa yang akan ditemui ketika sedang bercuti. Mungkin jodoh ditemui sewaktu sama-sama melawati tempat yang sama. Namun jangan tampil keterlaluan cukup hanya dengan penampilan natural. Pilih warna lipstick nude atau lembut. Jika mahu mata kelihatan sedikit besar boleh membawa pengalit mata bersama.
UBAT JERAWAT
Ini adalah penyelamat ketika mengalami waktu sukar apabila tiba-tiba jerawat muncul di tempat yang tidak diingini seperti ditengah-tengah hidung atau atas dahi. Tidak semua tempat ada menjual ubat jerawat yang sesuai dengan kulit. Lebih mudah bawa sendiri dan keluarkan ketika diperlukan. Mudah bukan?
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Industri hiburan di India terus kekal menjadi industri paling lumayan, glamor dan menjanjikan kekayaan luar biasa buat karyawan seni di sana. Nak tahu siapakah pelakon wanita Bollywood terkaya di dunia? Ayuh semak senarai di bawah!
Selain terbabit dengan lakonan, kebanyakan selebriti Bollywood juga terlibat sebagai duta produk dan menjalankan perniagaan sendiri. Malah, perkahwinan juga menjadi asbab nilai selebriti meningkat umpamanya pasangan Priyanka Chopra dan Nick Jonas.
(1) Aishwarya Rai – $100 juta
Berusia 49 tahun, Aishwarya Rai Bachchan telah dilahirkan pada 1 November 1973 dan merupakan bekas Miss World 1994.
Bergelar duta jam tangan Longines, wanita tinggi lampai serta berwajah anak patung ini tampil sebagai pelakon filem Hindi dan Tamil yang paling berjaya. Beliau juga pernah tersenarai sebagai wanita tercantik di dunia.
(2) Priyanka Chopra – $70 juta
Merupakan salah seorang pelakon Bollywood paling terkenal, Priyanka Chopra kemudiannya melangkah ke pentas seni antarabangsa dan pernah diangkat sebagai World’s Best-Paid TV Actresses menerusi rancangan popular Quantico (ABC Network).
Tahun 2018, wanita berusia 39 tahun ini berumah tangga dengan penyanyi, pelakon dan penulis lagu Amerika, Nick Jonas. Perkahwinan itu menjadikan mereka sebagai ‘Power Couple’ yang popular dan terkenal di seluruh dunia.
(3) Kareena Kapoor – $60 juta
Selain berlakon, wanita berusia 41 tahun ini juga merupakan duta jenama Boro Plus, Lakme dan Lux. Bakat lakonan Kareena diwarisi daripada keluarganya yang merupakan nama-nama besar dalam dunia Bollywood.
Isteri kepada kerabat diraja India yang juga pelakon popular Saif Ali Khan, Kareena dikatakan mengenakan bayaran setinggi Rs 9 crore (sekitar RM5 juta) untuk satu filem.
(4) Anushka Sharma – $47 juta
Sebelum menyertai dunia Bollywood, wanita berusia 33 tahun ini merupakan seorang bekas model ternama. Anushka banyak membintangi filem-filem popular yang mengangkat namanya sebelum membuka syarikat produksi sendiri, Clean Slate Filmz pada tahun 2014.
Sama seperti Kareena, pelakon jelita ini mengenakan bayaran setinggi Rs 7 – 9 crore untuk satu filem.
(5) Deepika Padukone – $40 juta
Pernah menjadi heroin di sisi Shahrukh Khan, nama pelakon jelita berusia 36 tahun ini begitu pantas meniti bibir peminat hiburan Bollywood. Majalah Time turut menamakan beliau sebagai di antara 100 orang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2018.
Merupakan anak seorang pemain badminton, Deepika yang dilahirkan di Copenhagen itu memulakan kerjayanya sebagai model. Beliau juga adalah pengasas Live Love Laugh Foundation, sebuah yayasan kesedaran kesihatan mental yang terkenal di India.
(6) Madhuri Dixit – $35 juta
Siapa yang tidak mengenali Madhuri? Semua peminat filem Bollywood menganggap wanita berusia 54 tahun ini sebagai lagenda! Wajahnya yang masih jelita tetap menjadi rebutan, apatah lagi Madhuri kerapkali memenangi anugerah sejak tahun 90-an.
(7) Katrina Kaif – $31 juta
Pelakon dan model popular berusia 38 tahun, Katrina merupakan seorang selebriti British-India yang terkemuka. Beliau baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Vicky Kaushal hujung tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di India.
(8) Preity Zinta – $30 juta
Terkenal dengan wajah comel dan lesung pipit di pipi, nama Preity Zinta meniti jiwa peminat Bollywood dengan lakonannya yang mantap. Pada usia 46 tahun, beliau aktif sebagai aktivis sosial, personaliti televisyen dan pengasas syarikat produksi PZNZ Media, selain co-owner pasukan kriket Indian Premier League iaitu Punjab Kings.
(9) Kajol Devgan – $28 juta
Dinobatkan sebagai pelakon wanita paling berjaya dalam sejarah Bollywood, isteri kepada Ajay Devgan berusia 47 tahun ini merupakan pemilik bangunan mewah Shiv Shakti di Mumbai. Kajol juga merupakan duta jenama Charmis, Joyalukkas Jewellery dan Whirlpool India.
(10) Vidya Balan – $25 juta
Pemenang The National Film Award berusia 43 tahun ini pernah membintangi sitkom TV popular, Hum Paanch serta pelbagai iklan komersil di India. Selain aktif dalam dunia seni, Vidya juga terlibat dengan pelbagai program pemerkasaan wanita serta kemanusiaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri berpendidikan tinggi.
Tanggal 22 Mac 2022 merupakan ulang tahun keputeraan Tuanku Zara ke-49. Baginda ialah anak bongsu daripada empat beradik yang diputerakan di Ipoh, Perak. Dua tahun lalu ketika ulang tahun keputeraan ke-47, Baginda berkenan membuka akaun Instagram rasmi Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun.
Perkahwinan Baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera Baginda Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri Baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerakan pada 2 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, memetik laporan portal Orang Perak, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan skuasy dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Selain aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, Baginda berkhidmat di syarikat petroleum negara Petronas selama enam tahun.
Pengalaman Baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan Baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda Baginda iaitu Datuk Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda Baginda pula ialah Datuk Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda.
Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Ternyata, Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan Baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Kredit foto: Instagram Perak Diraja, Malay Royalties
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.