Cekal, Profesional & Berpengalaman, DATUK NORA A MANAF Ikon Korporat Wanita Unggul Dan Sukses

Wanita hebat ini tidak perlu lagi diperkenalkan, terutama dalam bidang korporat dan perbankan. Memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun dalam kepimpinan di syarikat multinasional dan organisasi besar, memerentasi beberapa sektor termasuk akademik, telekomunikasi, tekonologi dan perkhidmatan kewangan, Datuk Nora Manaf adalah definisi seorang wanita yang cekal dan profesional.

Datuk Nora Manaf, 58 tahun, figura berprofil tinggi ini merupakan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank sejak dari tahun 2008 dan merupakan seorang ahli Lembaga Pengarah Yayasan Khazanah. Datuk Nora merupakan seorang Akauntan Bertauliah dan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Beliau memegang Sijil pasca siswazah dalam pembangunan sumber manusia dari Universiti Cornell dan juga jurulatih, ‘Gallup Strength’ Tahap II. Datuk Nora turut mempengerusikan beberapa jawatankuasa peringkat kebangsaan dan memegang beberapa keahlian Lembaga Pengarah termasuk Lembaga Pengarah Etiqa General Insurance Berhad dan MBB Labs Private Limited, Bangalore.

PENCAPAIAN DEMI PENCAPAIAN

Di Maybank, tanggungjawab Datuk Nora adalah merangka strategi modal insan di seluruh Kumpulan termasuk membentuk dan melaksanakan strategi perniagaan yang diselaraskan dengan aspirasi dan objektif Kumpulan. Beliau juga bertanggungjawab untuk semua aspek kakitangan, iklim tempat kerja dan prestasi.

“Saya bermula sebagai seorang akauntan bertauliah. Kemudian berkhidmat dengan beberapa syarikat multinasional dan organisasi tempatan yang besar di beberapa sektor termasuk sektor telekomunikasi di Maxis dan separa konduktor di Intel, serta terlibat dalam sektor pendidikan dan rundingan.

Ketika itulah saya dipelawa untuk menyertai Standard Chattered dan berkhidmat selama 9 tahun dalam peranan pengurusan termasuk Ketua Sumber Manusia, Scope International (subsidiari milik penuh Standard Chartered UK Plc) serta  jawatan pembangunan kepimpinan di London dan dalam kerja integrasi di Hong Kong pasca pengambilalihan SCB terhadap Chase Retail Bank. Dari situlah bermulanya perjalanan saya dalam industri perbankan,” jelas Datuk Nora Manaf khabarnya cukup handal memasak Beriyani Udang dan seringkali memasaknya untuk warga kerja Maybank tatkala setiap Aidilfitri.

Dan benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Selama 9 tahun bertugas bersama Standard Chattered, Datuk Nora Manaf sudah berpengkalan hampir ke serata dunia bermula dari Hong Kong, London, Filipina dan Indonesia.

Dan akhirnya hatinya terdetik untuk pulang semula ke Malaysia selepas menerima panggilan dari seorang individu yang cukup dikaguminya. “Suatu hari dirinya menerima panggilan daripada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang pada ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank mempelawa saya untuk menyertai Kumpulan Maybank pada Oktober 2008,” imbas Datuk Nora.

Hasil berkat reputasi, kelayakan dan usaha keras wanita besi ini beliau bersyukur dirinya diberikan tanggungjawab tersebut menyertai Maybank, salah sebuah bank tersohor dan diyakini di Malaysia. Bayangkan, ini merupakan jawatan keempat belas yang disandangnya dan hampir kesemua amanah ditawarkan khas buatnya.

“Ramai beranggapan wanita tidak ramai dalam perbankan. Salah anggapan itu. Di Maybank sendiri kini sudah mencatatkan 48% pembabitan wanita dalam pengurusan dan profesional. Jadi dalam mana-mana industri sekalipun, walaupun wanita seringkali dipandang sebelah mata bila sesuatu industri mulai diperkatakan, tetapi wanita zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Wanita sekarang boleh dikatakan lebih bijak, cekal dan punya kelebihan tersendiri. Yang pasti, semua ada peluang untu berjaya.”

Malah Datuk Nora sendiri adalah seorang wanita yang tidak lepas dari misinya dalam memperkasakan wanita lain. Beliau merupakan Penaja Eksekutif untuk Majlis Mentor Wanita Wanita Maybank yang ditubuhkan pada 2013 di mana organisasi ini berfungsi dalam struktur semasa Bank untuk menyokong pembangunan wanita serta menjadi Mentor untuk Program Kepimpinan Wanita ICAEW-TalentCorp.

Pada 2016, Datuk Nora telah dianugerahkan anugerah “Beacon of Light” di Sidang Kemuncak Kepimpinan Wanita Kebangsaan anjuran Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Datuk Nora turut berucap pada seminar Wanita dalam Kepimpinan di Universiti Oxford pada 2016. Universiti Pengurusan Singapura (SMU) turut menerbitkan Kajian Kes, bertajuk “Maybank: Transformasi Organisasi melalui Sumber Manusia” dengan kerjasama Datuk Nora pada 2019. Pada 31 Mac 2021, Datuk Nora dianugerahkan Anugerah Top 50 Impact Lifetime Achievement Awards untuk Kecemerlangan Wanita oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Sepanjang terlibat dalam dunia korporat dan perbankan, kehebatan beliau dalam memimpin, merencana dan menguruskan turut diperakui dengan pelbagai pengiktirafan, antara beliau pernah dinobatkan Global Top 50 Human Resource Professional serta dilantik ke Talent Compact 4.0, Panel Penasihat Bakat Industri Talent Corporation Malaysia Berhad. Pada tahun 2018, beliau telah dilantik ke Kumpulan Penasihat Menteri Sumber Manusia Malaysia. Pada Februari 2020, beliau telah dianugerahkan sebagai Banker Bertauliah oleh Chartered Banker Institute, yang beribu pejabat di Edinburgh, Scotland, United Kingdom.

WANITA JUGA MAMPU MEMIMPIN

Hebatnya Datuk Nora Manaf bukan hanya terletak pada keperibadian, jati diri dan kepintarannya, namun kebijaksanaan strategi beliau menguruskan sesebuah pasukan dan jabatan dengan profesional sekali. Melihat pada rekod prestasi, sudah semestinya Datuk Nora Manaf mempunyai corak kepimpinannya sendiri.

Untuk bacaan penuh, dapatkan edisi Nona Superwoman 2023 yang kini sudah berada di pasaran.

Baca artikel penuh penerima NONA Profession Award – Datuk Nora A Manaf di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.

Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Datuk Nora A Manaf menerusi pautan di bawah:

IKLAN
Share